Wednesday, 2 August 2017

IRF, MPF Bersama-sama GBM Sokong Buku G25!


Begitu dahsyat pengaruh kumpulan liberal Gagalis 25 (G25) yang terdiri daripada kumpulan pesara kakitangan awam. Nampaknya, usaha melobi pendapat umum dalam wacana awam Malaysia supaya terpengaruh dan bersetuju dengan perjuangan sekular, liberal dan pluralis agama mereka berbekas juga apabila pengharaman buku penerbitan mereka dibantah satu badan gabungan.

Baru-baru ini, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) yang antara lain dianggotai oleh beberapa gabungan NGO Muslim seperti Islamic Renaissance Front (IRF) dan Muslim Professionals Forum (MPF) telah mengeluarkan satu kenyataan dalam portal atas talian Malaymail Online (MMO) mempersoalkan pengharaman buku G25. MMO sememangnya dikenali sebagai sebuah portal yang giat mempromosi fahaman sekular, liberal dan pluralis agama di Malaysia. Malah tidak keterlaluan jika ada yang mengkritik portal tersebut sebagai lubuk radikal evangelis!

Kenyataan GBM yang disiarkan pada 1 Ogos 2017 lepas telah mendesak Kerajaan Malaysia untuk menarik kembali pengharaman buku Breaking the Silence: Voices of Moderation - Islam in a Constitutional Monarchy oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas alasan segala visi yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkenaan kesederhanaan atau wasatiyyah akan menjadi kosong jika pengharaman itu diteruskan.

GBM

Malah menurut kumpulan ini lagi, hak berperlembagaan rakyat Malaysia seperti kebebasan bersuara turut dinafikan dan pengharaman ini juga kononnya memberikan imej seolah-olah Kerajaan Malaysia tidak toleran, anti-kesederhanaan dan anti-intelektual.

Pada masa yang sama, GBM turut mendesak warganegara Malaysia terutamanya Ahli Parlimen untuk meminta Kerajaan Malaysia memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. GBM mendakwa, akta tersebut telah disalahgunakan oleh Kerajaan Malaysia untuk mengharamkan buku sesuka hati dan melemahkan pengembangan intelektual negara.1

Secara ringkasnya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 diperkenalkan bagi mengawal pengeluaran lesen mesin cetak serta permit penerbitan untuk pelbagai media cetak termasuklah akhbar parti politik dan akhbar harian.2 Akta ini mempunyai beberapa garis panduan bertujuan mengawal segala kandungan penerbitan supaya tidak menyinggung perasaan orang lain, mengelirukan masyarakat melalui kenyataan yang tidak benar, memudaratkan keselamatan negara dan menggugat keharmonian negara dengan menyentuh isu perkauman.

Buku G25, Breaking the Silence: Voices of Moderation - Islam in a Constitutional Monarchy dikatakan telah menyentuh kedudukan Islam dalam sebuah negara demokrasi berperlembagaan dengan cara yang dianggap boleh memudaratkan ketenteraman awam.

Persoalan juga timbul, kerana walaupun nama Pertubuhan IKRAM Malaysia masih menganggotai GBM dan Timbalan Presiden mereka, Haji Zaid Kamaruddin merupakan Pengerusi GBM sendiri (berdasarkan ‘PressStatement’ terbaru, 21hb Jun 2017), namun IKRAM kali ini memilih untuk tidak bersama-sama menandatangani sokongan terhadap Buku G25 yang telah diharamkan KDN itu.

Apakah Zaid Kamaruddin sebagai Pengerusi GBM tidak mengetahui tindak tanduk ahli GBM yang mengeluarkan Kenyataan Media ini? 


Rujukan:

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.