Wednesday, 5 July 2017

Kementerian Kesihatan Malaysia & Lesen Kedai Kopi - Subramaniam Sila Letak Jawatan

Cubaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membelakangkan Perlembagaan Persekutuan dengan menidakkan keperluan untuk lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Kertas Bahasa Melayu sebagai pra-syarat kepada graduan-graduan doktor perubatan untuk perjawatan kontrak UD41 di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara boleh diumpamakan sebagai sindiket ‘lesen kedai kopi’ kepada sekumpulan doktor tidak kompeten yang sememangnya tidak layak untuk berkhidmat di Malaysia. Cubaan ini jika benar berlaku haruslah dilihat sebagia satu jenayah kerana cuba menidakkan hak mereka-merekka yang berusaha keras untuk lulus Bahasa Melayu dalam SPM. Mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) patut buka kertas siasatan ke atas KKM.

Isu sama ada para doktor graduan luar negara tersebut telah lulus dengan cemerlang tidak menghalalkan mereka layak mendapat ‘lesen kedai kopi’ kerana kegagalan untuk berbahasa kebangsaan tentunya bakal membawa malapetaka dalam perkhidmatan harian mereka kepada warganegara yang bakal mendapatkan khidmat nasihat perubatan daripada mereka kelak. 


Kalau untuk berbahasa kebangsaan sekalipun mereka gagal, bagaimana kelak mereka mampu untuk memberikan nasihat, apatah lagi memahami masalah kesihatan yang dibualkan kepada mereka? Bagaimana jika ada yang mati kerana salah diberikan ubat? Perlukah kelak pesakit dipersalahkan kerana gagal berbahasa Inggeris atau bercakap dalam bahasa yang difahami doktor terbabit? Kita sedang bercakap pasal isu kesihatan dan nyawa manusia di sini dan bukan main olok-olok?!

Benarkah sekumpulan doktor graduan luar negara ini yang sepatutnya lebih bijak pandai dikalangan kita jika penguasaan bahasa kebangsaan sendiri pun masih gagal dan menjadi persoalan? Mungkin KKM mahu menghantar sekumpulan doktor ini ke Pasar Selayang untuk satu program ‘latih tubi’ dengan sekumpulan pendatang Nepal atau Rohingya yang jauh lebih fasih penguasaan bahasa kebangsaan dikalangan mereka? Ya, selayaknya itu.

Dr Abdul Jalil Nordin, Dekan Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mencadangkan supaya graduan tempatan diberikan keutamaan sambil menegaskan bahawa terdapat lambakan lebih daripada 3,000 graduan perubatan tempatan yang jauh lebih kompeten daripada segi penguasaan bahasa kebangsaan yang boleh mengisi kekosongan jawatan tersebut. Malah pada tahun lepas sahaja, menurut beliau lebih 1,000 graduan gagal mendapat tempat.

Politik anak tiri graduan tempatan apakah yang sedang diamalkan di KKM ini apabila graduan tempatan sendiri menunggu sehingga berbelas bulan lama dan graduan luar negara mendapat ‘lesen kedai kopi’ untuk jawatan yang sama? Jika benar terdapat cubaan untuk semberono berbuat 'hanky-panky', maka Subramaniam harus meletak jawatan dan SPRM usah berlengah lagi dalam membuka kertas siasatan ke atas ‘jenayah’ yang sedang mengambil tempat. Kembali ke status quo tidak bermakna kita harus tutup mata kepada sebarang cubaan salah laku tidak berperlembagaan.

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.