Friday, 25 November 2016

Menjawab Polemik 'Anti Hudud' Seorang Tokoh Islam

Satu penulisan  yang tersebar luas di alam maya kian menimbulkan polemik, banyak perkara berkenaan keberkesanan hukum hudud dipersoalkan. Kita tidak akan membahaskan atau menafikan fakta. Kita mengakui apa yang benar dan menolak yang batil. Namun di dalam mesej tersebut, hudud digambarkan seolah-olah mempunyai banyak kelemahan. Ini diperkuatkan lagi dengan sokongan hujah-hujah yang menunjukkan kelemahan pentadbiran negara yang melaksanakan hudud seperti Arab Saudi. Seperti tiada keberkesanan langsung dengan perlaksanaan hudud di negara tersebut yang boleh dijadikan contoh.

Pertama sekali ingin diperjelaskan di sini, semua jenis hukuman dan bukan hudud sahaja, amat bergantung kepada  perlaksanaan. Dan perlaksanaan sesuatu itu bergantung kepada tokoh-tokoh yang yang bakal menggerakkannya kelak. Mengandaikan hudud sebagai contoh undang-undang yang lemah hanya kerana kelemahan daripada segi perlaksanaan adalah pemikiran yang dangkal. Adakah negara-negara gagal seperti Haiti, Myanmar, Zimbabwe, dan Greece mengamalkan sistem hudud? 

Hudud itu dilaksanakan dengan semangat Islam dan seruan Nabi Muhammad SAW. yang tersurat adalah hukuman dan yang tersirat itu adalah berkat disebaliknya. Tidak dinafikan kita masih perlu mendidik rakyat supaya menjiwai Islam bukan sahaja hanya pada nama akan tetapi kukuh berakar pada sahsiah dan keperibadian setiap individu Muslim itu.

Itu tanggungjawab sebagai individu dalam melaksanakan suruhan Allah SWT Dan pada peringkat kepimpinan, setiap pemimpin itu bertanggungjawab untuk melaksanakan hukum Allah. Memandangkan mesej polemik viral tersebut seolah-olah mempersoalkan RUU 355 yang dibentangkan oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang baru-baru ini, maka eloklah kita lihat dari perspektif dan konteks itu. Sepertimana kita maklum dalam penulisan tersebut menyatakan bahawa terdapat aspek ta’zir, muamalat dan siyasah dalam sistem jenayah.

Haiti Mangsa Kerakusan Sistem Sekular Barat!

Ta’zir itu telahpun dilaksanakan pada peringkat persekutuan melalui pelaksanaan kanun jenayah sivil. Akan tetapi apabila tiba giliran mahkamah syariah diperkasakan, maka muncul lah pejuang-pejuang ‘hak asasi manusia’ yang akan ‘menyalak’ kononya pemerkasaan mahkamah syariah akan menindas golongan bukan Islam. Sedangkan mahkamah syariah hanya boleh menghukum orang Islam sahaja. 

Dari aspek muamalat, bukankah kita ada sistem perbankan Islam yang kian meluas dan antara yang termaju di dunia? Bukankah itu satu bentuk pencapaian? Kenapa perlu kita rujuk pada kekurangan pihak lain sedangkan terdapat contoh yang terbaik di depan mata yang menjadi kayu ukur yang dicemburui negara-negara termaju dunia?

Dari aspek siyasah pula, seawal tahun 1955 lagi Parti Islam Se Malaysia (PAS) telahpun bertapak dan bertanding dalam pilihanraya negara. Dan PAS jugalah yang baru-baru ini telah membentangkan RUU 355 untuk pemerkasaan undang-undang syariah di Malaysia. Bukankah dengan jelas telah terdapat elemen siyasah Islamiyah di situ?  

Sebagai Muslim kita mempunyai tanggungjawab bersama terhadap Agama dan negara, kerana setiap daripada kita itu adalah pemimpin dan akan dipersoalkan tentang tanggungjawab kita di akhirat kelak,


Ibn Umar R.A berkata: saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawaban atas kepemimpinannnya. Seorang kepala negara akan diminta pertanggungjawaban perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang memelihara rumah tangga suaminya akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu/pekerja rumah tangga yang bertugas memelihara barang milik majikannya juga akan ditanya dari hal yang dipimpinnya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya (diminta pertanggungan jawab) darihal hal yang dipimpinnya. (Bukhari dan Muslim)

Sememangnya tidak wajar mana-mana manusia diaibkan, Islam mahupun bukan, apatah lagi jika perbuatan tersebut seperti menyindir hukum-hukum Allah SWTdan Rasul-Nya.

Gaya penulisan yang digunakan juga boleh memberikan salah fahaman tentang hudud dan perwatakan Umat Islam amnya. Ini adalah kerana artikel itu boleh difahami sebagai mengetengahkan keburukan sistem perundangan Islam. Sedangkan kelemahan sama ada dari segi pentadbiran atau integriti adalah dilakukan oleh pihak-pihak pentadbir yang tidak menjiwai Islam dan tidak amanah. 

Hanya kerana kesalahan dari aspek integriti itu tidak dihukum di mahkamah syariah, ini tidak bermakna pemerintah tidak memberikan perhatian kepada aspek-aspek itu. Malah ia adalah di bawah bidangkuasa mahkamah sivil kerana yang melakukan kesalahan sedemikian termasuk juga dari kalangan bukan Islam. Kita khuatir jika mesej-mesej seperti ini terus bersebaran, ini akan memberi satu persepsi yang buruk terhadap hukum-hakam Allah SWT. Jadi tidak hairanlah, jika orang bukan Islam kini sangat lantang menentang perkara-perkara yang berbentuk Islamik, mungkinkah ini disebabkan oleh orang Islam sendiri yang dilihat sering menentang hukum-hakam Islam.

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.