Tuesday, 8 November 2016

Dr MAZA & Rahmatun Lil Alamin Versi Penang Institute

Baru-baru ini penulis telah menghadiri Program Konvensyen Al-Islam Rahmatun Lil Alamin yang telah diadakan pada kali ke-2 anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Meskipun konvensyen tersebut berlangsung  selama tiga hari, penulis cuma berkesempatan untuk menghadiri forum yang bertajuk "Konvensyen Perundangan Syariah: Justice In Islam, Keadilan Untuk Semua".

Forum tersebut secara keseluruhannya berjalan dengan baik dan sangat informatif. Namun ada beberapa perkara yang mengecewakan penulis terutamanya isi kandungan ucaptama oleh SS Profesor Dato' Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Mufti Negeri Perlis yang juga lebih dikenali sebagai Dr Maza. 

Dr Maza berhujah mengatakan bahawa golongan murtad masa kini tidak sepatutnya dikenakan hukuman yang sama dengan pada zaman Nabi memandangkan pada zaman dahulu, manusia tidak mempunyai sebarang passport atau tanda pengenalan. Tidak seperti sekarang. Persoalannya adakah Jabatan Mufti Negeri Perlis tidak peka kepada hakikat kepada statistik golongan murtad untuk keluar dengan kenyataan simplistik sebegitu?

Wong Chin Huat (Penang Institute) Menjadi Moderator Forum Keadilan Untuk Semua

Amat menyedihkan juga apabila Dr Maza seperti alergik dengan kebangkitan Islam yang sedang mengambil tempat. Dr Maza bukan sahaja dilihat memberikan gambaran yang kurang adil apabila memilih untuk bercerita tentang kezaliman kekhalifahan silam. Beliau juga melihat ‘Daulah Islamiyah’ dengan kaca mata negatif. Suka atau tidak sedarkah Dr Maza bahawa Islam adalah Agama bagi Persekutuan?

Bukan itu saja malah Dr Maza juga kelihatan lebih selesa untuk menghentam institusi-institusi Islam seperti institusi zakat yang kononnya gagal menjalankan tugas mereka apabila proses untuk meminta bantuan di Gereja lebih mudah daripada Baitulmal itu sendiri. Beliau seolah-olah menutup mata kepada proses kerja yang  tentunya beliau sebagai seorang Mufti juga arif? Kita hairan kenapakah naratif yang dibawakan oleh Dr Maza seperti selari dengan apa yang diperjuangkan oleh kumpulan G25, Sisters in Islam (SIS) dan Wong Chin Huat?

Apa yang terserlah juga pada Forum tersebut, wakil daripada SIS dilihat tidak berminat dengan pandangan yang tidak selari dengan mereka dan Wong Chin Huat apabila bergegas keluar dewan apabila tokoh perlembagaan yang berhormat Profesor Dato’ Naser Disa, tokoh yang sering membawa pandangan yang bertentangan dengan mereka mengambil tempat di podium. Dimanakah sikap keterbukaan dan berlapang dada yang sering dilaungkan oleh kumpulan ini yang kononnya mahu orang ramai terbuka dengan pandangan liberal mereka tetapi pada masa yang sama juga memilih untuk menutup telinga kepada perbezaan pendapat yang mahu diperdengarkan.

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.