Thursday, 6 October 2016

Wiji Thukul Dan "Keras & Perasan" Thukul Cetak!

Aku bukan pembuat berita
Tapi aku memang khabar buruk buat penguasa
Puisiku bukan puisi
Tapi kata-kata gelap
Yang berkeringat dan berdesakan
Mencari jalan
Ia tak mati-mati
Meski bercerai dengan rumah
Ia ditusuk-tusuk sepi
Ia tak mati-mati
Telah ku bayar yang dia minta
Umur-tenaga-luka

Kata-kata itu selalu menagih
Padaku ia selalu berkata
Kau masih hidup

Aku memang masih utuh
Dan kata-kata belum binasa

(Aku Masih Utuh Dan Kata-Kata Belum Binasa-Wiji Thukul-18 Jun 1997)

Nampaknya setelah hampir 20 tahun kehilangan (dihilangkan?) Wiji Thukul, kata-kata tokoh yang satu ini terbukti masih belum binasa. Puisi Wiji Thukul masih bergema jauh melata, merata-rata. Mungkin juga 'bisa hidup seribu tahun lagi', seperti 'binatang jalang' yang satu itu. Tahun ini juga dunia menyaksikan sebuah filem yang bertajuk ‘Istirahatlah Kata-kata’ yang dedikasikan kepada Wiji Thukul yang banyak mempengaruhi anak-anak muda dengan mantra-mantra keras melawan dengan ‘khabar buruk buat penguasa?’

Khabarnya juga puisi ‘Lawan’ Wiji Thukul digemari oleh Presiden Joko Widodo, sang pemerintah yang mungkin bisa membangunkan Wiji Thukul daripada ‘mati’, jika dia masih hidup, tentunya.


Cakap-cakap juga, jauh di seberang sini, beberapa tahun lepas, dikalangan anak-anak yang obses dengan label indie, sebuah penerbitan tempatan telah berinspirasi dengan kisah Wiji Thukul yang dikatakan hilang sejak 1998 lagi. Penyajak yang sering bersajak keras dan tajam perihal kedaifan hidupnya membanting tulang empat kerat sebaga warga Republik Indonesia nampaknya sangat memberi kesan kepada sekumpulan jiwa anak-anak muda di sini.

Lalu pemikiran itu juga dibawa dan diangkat oleh anak-anak muda yang pada hemat saya masih mahu mencuba-cuba. Masih mampu untuk bereksperimen, suka-suka kerana masih berdaya, masih diberikan ruang senggang oleh Yang Maha Esa untuk berbuat demikian. Namun apa natijahnya kelak, jika nisbah-nisbah itu nanti, yang belum siap dan elok tentunya, kelak bakal dikongsikan dengan anak-anak sekolah agama, anak-anak sekolah yang masih belasan tahun umurnya yang masih belum kenal sesuatu hitam mahupun sesuatu putih? Yang hanya mampu membeli buku-buku separa masak 'eksprementasi' sang penerbit dengan kepingan kupon buku 1Malaysia?

Masalahnya jika proses pembentukkan jati diri itu tidak akan meninggalkan bekas, mempengaruhi yang lain, pucuk yang lebih muda contohnya, tentu tidak akan begitu memberikan kesan yang membimbangkan. Hal seseorang mahu merosakkan diri sendiri tentunya, dalam dunia serba liberal dan sekular ini, manusia kebanyakkan bisa tutup sebelah mata. Yang menjadi masalah ialah apabila anak-anak sekolah naif tidak berdosa tadi juga terkena tempias ide-ide busuk dan buruk itu sama. Apa dan siapa yang bakal mereka jadi di tahun-tahun mendatang kelak?

Bereksperimen dengan ‘Manifesto Komunis’ misalnya perlu satu tahap kematangan yang siap supaya dengan bingkas boleh diperincikan kebatilan yang sedang dijajakan. Jika tidak tentu akan ketemu natijahnya. Jadi kita menjadi risau dan tentunya hairan jika pihak berwajib seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya mampu memandang sepi insiden dungu dan buta tuli dua organ kerajaan kontang tanggungjawab, yang jelas perasan indie itu, bakal berulang lagi.

Jika memiliki bahan-bahan berunsur komunis adalah salah disisi undang-undang seperti yang ditegaskan untuk kesekian kalinya oleh Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar, kita ingin tahu apakah tindakan yang bakal diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan insiden ini, terutamanya berhubung dengan penerbitan bahan-bahan yang jelas menyalahi undang-undang negara? Kita bukan merujuk kepada Thukul Cetak semata-mata, malah seluruh penerbitan berbaur 'Manisfesto Komunis' yang jelas diharamkan Malaysia dan penerbit-penerbit mereka, indie mahupun bukan indie. Dalam hal isu ini pihak berwajib semestinya harus sentiasa bertegas.

Khabarnya pihak PDRM dan KDN bakal menyusun tindakan yang perlu supaya insiden ini tidak kembali berulang.

Namun khabarnya juga ada ribuan ringgit dana-dana kerajaan yang mendanai kelompok anak-anak muda siosialis ini yang kononnya anti segala sesuatu hegemoni struktural? Namun apa mungkinkah wajah kapitalis itu, siapa-siapa saja, nama dan keturunannya, sememangnya sama saja? Siapa-siapa mahu ke Christiana tapi singgah dulu di Jogja?

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.