Wednesday, 5 October 2016

Kontroversi ‘Manifesto Komunis’-DBP & ITBM, Dungu Atau Buta Tuli?

Kontroversi berkenaan dengan penerbitan buku komunis yang dibawa delegasi Malaysia ke Pesta Buku Antarabangsa Indonesia sememangnya amat mengecewakan. Lebih mengecewakan ialah jawapan ‘biasa-biasa saja’ yang diberikan oleh kumpulan yang telah menconteng arang ke muka setiap daripada kita, 30 juta rakyat Malaysia yang telah diinjak-injak amanah dan tanggungjawab yang telah kita berikan.

Persoalannya kini, adakah wakil dan kumpulan kedua-dua agensi kerajaan tersebut buta tuli kepada undang-undang negara, dasar kebudayaan kebangsaan dan panduan penerbitan sedia ada sehinggakan membawa ‘Manifesto Komunis’ bersama-sama mereka ke Indonesia?

newsdetik.com
Hakikatnya berita kurang enak yang kita terima daripada delegasi buku Malaysia yang diketuai oleh Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) bersama dengan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) amatlah mengejutkan. Kenapakah buku yang jelas lari daripada aspirasi negara menjadi jamuan untuk dihidangkan kepada ribuan peminat buku di Indonesia? Kenapakah fahaman komunisme yang jelas membawa peristiwa buruk kepada ribuan rakyat Malaysia dan juga Indonesia, tentunya, menjadi pilihan kita untuk dibawa ke sana? Apakah yang perlu kita banggakan dengan fahaman, mahupun penerbitan seperti itu?

Tidak ada karya agung lainkah yang boleh dibawa ke Pesta Buku Antarabangsa Indonesia yang boleh kita banggakan? Adakah kita begitu nazak idea dan ketandusan karya-karya gah sehinggakan sebuah penerbitan hingusan, terbit daripada lapisan budak-budak tidak keruan arah dan tujuan, rendah jati diri yang menjadi kebanggaan untuk kita luncurkan nun ke Indonesia?

Pesta Penulis Singapura 2016 yang akan berlangsung pada 4hb-13hb November ini bakal membawa tema 'Sayang' perkataan Melayu yang kaya makna daripada 'kasih' sehingga lah kepada 'penyesalan', mengikut iklan promosi yang dibekalkan penganjur. Singapura sendiri meraikan kekayaan budaya Melayu dengan menjual 'Sayang' kepada dunia dan kita hanya mampu bawa Manifesto Komunis ke seberang?

Singapore Writers Festival 4-13 November 2016
Persoalannya juga apakah tindakan kontroversi tersebut selari dengan dasar penerbitan negara? Dan apakah juga komunisme kini sudah halal untuk berakar umbi (semula) di Malaysia? Tidak cukupkah penderitaan yang telah dialami oleh wira-wira kita? Adakah perjuangan ribuan tentera dan polis kita melawan regim komunis hanya sia-sia belaka? 

Masalahnya juga penerbitan Thukul Cetak sememangnya terkenal dengan karya-karya subversif, 'Keras & Melawan', takkanlah pihak ITBM dan DBP mengaku dungu dan buta tuli akan hakikat itu?!

5 comments:

  1. KENYATAAN MEDIA BERSAMA ITBM, DBP DAN PKB

    ITBM, DBP dan PKB Nafi Tuduhan Sengaja Malukan Negara

    1. Susulan insiden rampasan buku “Manifesto Komunis” terbitan Thukul Cetak di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (PBAI), Sabtu lalu, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Perbadanan Kota Buku (PKB) selaku ketua agensi delegasi penyertaan Malaysia hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab bahawa ia adalah insiden yang disengajakan bagi tujuan memalukan negara.

    2. Ini merujuk kepada tuduhan berniat jahat yang kini viral di pelbagai media, apabila mengaitkan kami, tiga agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan serangan bermotifkan politik, kononnya membuat pakatan sulit dengan pembangkang dan dengan sengaja membawa penerbit buku Indie bagi tujuan menyebar idea komunis serta sosialis di Indonesia.

    3. Apa sebenarnya berlaku hanya salah faham berpunca daripada ilustrasi logo Komunis pada kulit buku, sekali gus mengundang kehadiran pihak berkuasa Indonesia ke Pavilion Malaysia untuk merampas enam naskhah buku tersebut pada hari keempat pesta buku berlangsung.

    4. Susulan rampasan, empat peserta delegasi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Thukul Cetak, Zulfikri Zamir Mohamad Munir selaku penerbit buku tersebut dan Pengurus Besar ITBM, Sakri Abdullah selaku Ketua Penyelaras Pavilion Malaysia diminta hadir ke balai polis dan pejabat imigresen bagi tujuan soal siasat dan kemudian dilepaskan tanpa ditahan selepas kandungan buku tersebut disahkan bebas daripada sebarang elemen yang mendorong kepada doktrin tersebut.

    5. Bagaimanapun, selaku ketua agensi delegasi Malaysia, Sakri mewakili ITBM dan DBP serta PKB mengambil tanggungjawab penuh menyelesaikan urusan dengan pihak berkuasa Indonesia, termasuk menyerahkan passport bagi jaminan membabitkan apa juga perkara berkaitan, sehingga ia selesai sepenuhnya dan dibenarkan pulang dengan penerbangan pada jam 8.30 malam waktu Indonesia, semalam (Isnin, 3 Oktober 2016).

    6. Sehubungan itu, ITBM, DBP dan PKB ingin menjelaskan bahawa peranan kami dalam isu ini ialah bertindak sebagai moderator atau pemudah cara, selari fungsi kami sebagai penyelaras yang membawa delegasi 21 penerbit, sekali gus delegasi terbesar Malaysia ke sebuah pesta buku antarabangsa. Tanggungjawab kami bukan hanya mempromosikan peluang perniagaan industri, tetapi juga menyelesaikan apa juga kesulitan dihadapi wakil peserta.

    7. Berkait ilustrasi kulit buku “Manifesto Komunis”, kami menerima penyertaan buku tersebut untuk pameran di Pavilion Malaysia berikutan tidak wujud sebarang halangan terhadap jualan buku itu di Malaysia, selain kandungannya yang disahkan sendiri pihak berkuasa Indonesia bahawa ia tidak bertentangan undang-undang negara mereka. Apa yang berlaku hanyalah ilustrasi logo yang asalnya dihasilkan atas tuntutan pemasaran, iaitu mengundang perhatian pembaca bagi ransangan jual beli – tanpa menyedari logo tersebut amat sensitif di Indonesia.

    8. Pada masa sama, pihak Ikatan Penerbit Indonesia (IKAPI) selaku penganjur PBAI juga sebelum ini tidak pernah memaklumkan kepada kami selaku agensi delegasi Malaysia berhubung perkara sensitif yang perlu diberi perhatian oleh setiap wakil peserta. Bagaimanapun, kami mengambil serius perkara ini dan sebagai tindakan serta merta, satu kajian bagi penyediaan SOP (Standard Operating Procedure) akan disediakan bagi tujuan persediaan untuk penyertaan di mana-mana pesta buku antarabangsa akan datang, termasuk mendapatkan senarai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan mengikut peraturan dan undang-undang negara tuan rumah untuk edaran, perhatian dan tindakan setiap wakil peserta.

    9. Sehubungan itu, kami dengan ini sekali lagi menafikan sekeras-kerasnya cubaan jahat pihak tertentu untuk mengaitkan kami dengan apa juga usaha bermotifkan politik, baik secara langsung mahupun tidak langsung. Tanggungjawab kami adalah kepada negara, dan hanya kepada negara tanggungjawab kami.

    Tamat/.
    *******

    ReplyDelete
  2. Kah kah kah. Penulis nak tunjuk pandai. Tapi tertunjuk bangang.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dan kau hanya mampu troll dengan kah kah kah??

      Delete
    2. Bangang jugak Muthalib dubok ni kan.. pakai komen unknown tp link pi ke G+ dia.. hahahah..

      Sebat puak musibat alam ni lg.. yg bangang, org kerajaan mana la pi bg kelulusan gran kt penerbitan2 mcm ni.

      Takkan nak kena hire pegawai SPRM 15 kira duit lagi kot?

      Delete
    3. Muthalib dubook? Biar betik? Takkan troll macam tu? Aku tak kisah bab validasi pandai tu, aku cuma nak tengok dia validatekan tuduhan bangang dia tu dalam esei...

      Takat ketawa kah kah kah, budak sekolah rendah pun pandai? Takkan makan sedap post Dubook jadi hampas dan batu jer??

      Delete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.