Friday, 7 October 2016

Dubok-Dubok Dijamu Dedak Hegemoni Struktural??!

Adab berjual buku sesama manusiawi harus yang kaya isi. Yang dihasilkan daripada bahan dan sumber yang jelas baik-baik saja rencahnya. Adab sesama manusia juga harus berbuat baik-baik saja. Itu tanggungjawab moral sesama insan. Agama juga menuntut perkara yang sama. Jalan agama tidak pernah melanggar jalan manusiawi. Apatah lagi jika pelanggan yang membeli buku daripada toko kita, sama ada 3 buah buku dengan harga RM50 ataupun promosi 10 buah buku untuk RM100. Waima sebuah buku dengan harga serendah RM5 sekalipun ianya harus dihidang dengan isi-isi yang ‘terbaik dari ladang’. Tidak dapat tidak.

Lazimnya, dalam budaya kita terutamanya, jarang ada kedai-kedai makan yang menghidangkan makanan yang tidak sedap atau basi mendapat tempat dan menjadi pusat kunjungan pelanggan. Kalaupun ada kedai makan yang menjual makanan basi, tentunya ia tidak dapat bertahan lama dan mungkin juga kelak bakal mendapat saman daripada mereka-mereka yang keracunan ataupun yang mendapat mudarat ketika berlanggan di kedai makan tersebut.

Gambar Hiasan
Jadi kenapakah masyarakat kita adakalanya seperti acuh tidak acuh dengan penerbit-penerbit indie yang menghidangkan karya-karya subversif yang jelas bertentangan dengan agama dan budaya masyarakat kita yang jelas pula menyalahi perundangan negara? Kepada Sang Penerbit tidak hinggapkah ke kotak akal kita akan musibah yang bakal melanda jiwa-jiwa yang dibekal ‘racun’ ketika usia masih setahun jagung? Mungkin juga mereka-mereka itu bukan anak-anak kita. Bukan tanggungjawab kita. Namun adakah kita pasti suatu hari kelak kerosakkan yang kita lempar ke dalam masyarakat kita, tidak akan bercambah dan menjadi duri dalam daging seakan-akan boomerang laju menerpa mengenai anak-anak kita pula? Tentunya kita masih ingat insiden buku lucah dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bulan Mei lepas? 

Itu belum lagi dikira kes pesta buku kecil-kecilan, juga di ibu kota dengan kehadiran seorang gadis penuh taboo si Meliza yang menghina kalimah Allah dengan sajaknya, membantah pengharaman penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam, walaupun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa kalimah 'Allah' di negara ini adalah hak eksklusif Muslim. Itu keputusan mahkamah paling tinggi di Malaysia dan jika itu, hormat kepada undang-undang tempatan pun tidak mampu dipatuh, timbul persoalan, warganegara jenis apa yang sedang kita percambahkan kini? Karyawan jenis apa yang sedang kita bela?

Itu satu. Masalah yang lebih besar lagi ialah apabila kumpulan penerbit yang kononnya indie telah mendapat cap halal badan-badan seperti DBP dan ITBM, sekadar contoh, sehinggakan membawa mereka ke festival-festival buku dan penulisan antarabangsa seperti yang kita lihat berlaku baru-baru ini dengan ‘Manifesto Komunis’, sekadar contoh. Perhatian superhero yang diberikan kepada penerbit-penerbit buku tersebut dikatakan berakar apabila segelintir yang kini duduk atas kerusi hempuk di organ-organ kerajaan tersebut mesra indie, atau lebih tepat lagi mesra penerbit indie?

Gambar Hiasan
Sehinggakan ada majlis sastera pun dirasmikan oleh sekelompok dubok-dubok busuk yang kini sudah bergaya dan menjadi lejen dengan kekayaan baru yang mereka jumpa. Keterbukaan ini juga tidak terhenti disitu saja. Khabarnya juga dubok-dubok ini rajin berbuat kertas kerja memohon dana-dana daripada mana-mana ‘hegemoni struktural’, yang mereka kononnya mereka 'despised', untuk sekampit dua dedak. Rupa-rupanya ada diantara sosialis ini yang kononnya keras dan bersiap-siaga untuk melawan hegemoni itu dan ini, berjaya dilembikkan dengan duit?

Namun ada juga yang mahu mengkosherkan dubok-dubok ini dengan komen seperti, 'mereka juga sudah mengeluarkan buku-buku yang bersifat tidak anti kerajaan'. Jawapan biasa-biasa saya, tentulah, 'follow the money trail'. Resam babi-babi sosialis dalam Animal Farm, dubok-dubok pun nak makan sedap dan bergaya sakan. Sekali-sekala tentulah nak selfie gambar ala-ala 'winter is coming' di luar negara. Ala-ala bangsawan yang mereka sendiri selalu keparatkan!

Cuma kasihanlah anak-anak kita dibangkaikan sekumpulan 'hyenas'!

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.