Thursday, 29 September 2016

Pindaan Akta 355-Warga Kristian, Jangan Silap Berwacana!

Di tengah-tengah kehangatan perdebatan Pindaan Akta 355, dengan pelbagai jenis forum, wacana dan seminar yang diadakan oleh pelbagai pihak sama ada untuk memperjelas, menyokong atau menentang, nampaknya penganut Kristian pun tidak mahu ketinggalan untuk tumpang sekaki. Dikhabarkan kumpulan Kristian juga sibuk mahu berforum dengan tajuk yang jelas menyimpang “Hadi’s Syariah Bill, What Christians Should Know” yang bakal diadakan pada 30 Oktober kelak. Melalui poster yang diedarkan secara online, forum ini adalah kelolaan Kairos Dialogue Network, sebuah kumpulan Kristian yang baru bertapak di Malaysia. Penceramah yang dijemput pula seperti yang terdapat pada poster forum ialah Rev. Fr. Clarence Devadass, Pengarah, Catholic Research Centre, Dr. Helen Ting, Saintis Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Eugene Yap, Pengarah, Kairos Dialogue Network manakala moderator ialah Rev. Dr. Sivin Kit, Pengarah, Institute of World Religions, satu lagi badan Kristian yang bertapak di Negeri Sembilan.

Melalui maklumat dalam poster tersebut, tiada seorang pun penceramah beragama Islam yang mengambil bahagian. Biar betul? Nak cerita pasal Pindaan Akta 355, perundangan syariah tetapi seorang Muslim pun tidak layak untuk berkongsi pandangan? Sudahlah tajuk pun salah; ‘Hadi’s Syariah Bill’. Apa maksud mereka sebenarnya? Mereka faham atau tidak apa yang mereka nak bincangkan dalam forum esok? Kenapa pula orang beragama Kristian sibuk-sibuk nak bincang perkara yang hanya melibatkan dan berkenaan dengan orang Islam? 

Bukankah sudah acap kali diperjelaskan bahawa Pindaan Akta 355 tidak langsung bersangkutan dengan bukan Islam. Mereka sememangnya tidak ada kena mengena pun dalam hal ini. Pokok pangkalnya YB Marang sudah membentangkan satu usul persendirian di Parlimen berkenaan pindaan Akta 355 bagi tujuan untuk meminda dan memantapkan undang-undang berkenaan Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah mempunyai kuasa perundangan hanya kepada orang yang beragama Islam. Selain itu, semuanya tertakluk seperti sedia ada di bawah perundangan sivil. Jadi kita tidak faham kenapakah perlu mereka menyibuk dalam hal ini?!

UndiYaRUU355

Kalau pun betul mereka sememangnya amat berminat untuk tahu apakah itu Akta 355 dan rangkumannya, jemputlah sekali penceramah yang beragama Islam atau mereka yang lebih mempunyai otoriti untuk bercakap berkenaan dengan Pindaan Akta 355. Masalahnya adakah mereka ini sebenarnya mahukan kebenaran atau sebenarnya mahu memesongkan kebenaran? Apatah lagi dewasa ini sudah terlalu banyak maklumat palsu yang berlegar-legar di alam maya yang banyak memberikan gambaran salah tentang Pindaan Akta 355. 

Apakah forum Kristian ini kelak bakal memberikan gambaran yang kurang tepat berkenaan dengan Pindaan Akta 355? Jika dijemput penceramah beragama Islam atau mereka yang berotoriti untuk bercakap perihal Pindaan Akta 355 ini, sudah tentu penerangan yang jelas dan jitu dapat diberikan untuk merungkai kesalahfahaman dan kesangsian terhadap pindaan tersebut kelak.

Amatlah sedih jika forum sebegini diadakan bukan untuk menyelesaikan masalah, sebaliknya mahu menangguk di air yang keruh dan bakal mengusutkan lagi keadaan. Kasihanilah perasaan rakyat yang sudah acapkali dijebak dan ditebak dengan pelbagai usaha yang bakal membakul-sampahkan keharmonian dan perpaduan majmuk negara yang dipupuk sekian lama. Setelah hampir 60 tahun merdeka perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama yang dibina sejak sekian lama dengan titik peluh dan pengorbanan orang-orang terdahulu, haruslah kita hargai dan pertahankan. 

Dan jikalau mereka benar-benar berminat dan mahu ambil peduli tentang apa itu Pindaan Akta 355, adalah amat disarankan supaya mereka menghadiri 'Forum Mega-Pemantapan Syariat: Tanggungjawab Parlimen Dan Hak Umat Islam' yang akan diadakan di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur pada pukul 9.45 pagi.

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.