Friday, 30 September 2016

Pindaan Akta 355-Ummah Bersatu Demi Islam!

Pada 26 Mei yang lepas, Dato' Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang telah membentangkan usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang mana meletakkan Perkara 2 (A) untuk meningkatkan atau meluaskan lagi hukuman ke atas pesalah-pesalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Meskipun usul itu baru sahaja dibentangkan dan masih belum lagi diperbahaskan, tetapi sudah cukup untuk menjadikan ahli-ahli Parlimen bukan Islam bertindak paranoid, meroyan yang bukan-bukan di luar dewan. Yang lebih menghairankan lagi, terdapat juga golongan yang beragama Islam turut membuat reaksi membantah pindaan tersebut?!

Yang peliknya kenapakah sudah mula bertapak suara-suara sumbang yang menolak bulat-bulat usul pindaan ini atas alasan ia cuma dibentangkan tanpa dibahaskan. Mereka mendakwa keengganan Ahli Parlimen Marang untuk tidak membahaskan usul tersebut sebagai tidak berhemah, tidak bertanggungjawab dan berbaur mainan politik beliau semata-mata. Dengan kata lain, mereka memfitnah Dato' Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang cuba 'menjual agama' atas nama politik.

Orang yang berfikir jauh tentulah dapat melihat hikmah dan langkah strategik mengapa beliau memilih untuk menangguhkan perbahasan mengenai usul tersebut. Tindakan menangguhkan usul tersebut akan membuka ruang masa bagi mengadakan dialog dan perbincangan untuk memberi kefahaman mengenai Pindaan Akta 355 kepada para pemimpin dan rakyat seluruh Malaysia. Perlu difahami bahawa proses penting ini memakan masa dan tidak berlaku secara tiba-tiba. Ini penting agar usul Pindaan Akta 355 tersebut dapat diperbahaskan setelah semua pihak mendapat maklumat dan penerangan yang secukupnya.


Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa golongan yang menolak usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah ini hanyalah disebabkan oleh dendam politik semata-mata. Penolakan mereka ini hanyalah sebuah langkah politik terdesak bagi menjaga kepentingan 'tuan politik mereka'. Jadi tidak hairanlah jika usul mahu menolak Pindaan Akta 355 juga sama selari dengan naratif parti sekular yang mereka 'pertuankan'!

Sekiranya mereka jujur dan berlapang dada mahukan penjelasan serta penerangan mengenai usul Pindaan Akta 355 ini, tentulah mereka tidak akan melepaskan sebarang peluang untuk menghadiri sesi penerangan dan diskusi yang dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk daripada pihak-pihak kerajaan, PAS dan ngo-ngo Islam sendiri.

Adalah diharapkan jika benar masih kurang jelas tentang Pindaan Akta 355 golongan ini dijemput untuk menghadirkan diri pada "Forum Mega Pemantapan Syariah: Tanggungjawab Parlimen dan Hak Umat Islam" anjuran Sekretariat Ummat pada 1 Oktober ini. Forum ini membawa panelis dari pelbagai latar belakang yang bakal memperjelaskan dengan lebih lanjut tentang Pindaan Akta 355. Wakil kerajaan dan parti-parti politik juga hadir untuk memberikan pandangan mereka berkenaan Pindaan Akta 355 kelak. Meskipun mereka berbeza latar belakang dan pegangan politik namun atas dasar Islam, diharap kita semua dapat bersatu dan beristiqamah dalam usaha memperkasakan Mahkamah Syariah di tanahair yang tercinta!

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.