Wednesday, 28 September 2016

MCA-Hidup Segan, Lagi Mahu Lawan Pindaan Akta 355?!

Baru-baru ini dilaporkan bahawa lebih kurang 70% daripada keseluruhan 4,900 cawangan parti MCA telah pun mati, menurut hasil kajian rambang yang dijalankan. Sememangnya ini tidak menghairankan memandangkan MCA kebelakangan ini dilihat gagal untuk berkhidmat dan menjaga kepentingan para pengundinya. Setiausaha MCA, Datuk Yoo Wei How mendakwa ini berlaku disebabkan oleh sikap para pemimpin-pemimpin cawangan MCA sendiri yang gagal untuk berkhidmat kepada rakyat dan mereka juga jarang mendekatkan diri dengan pengundi-pengundi di kawasan mereka sendiri.

Ini merupakan satu lagi bentuk kegagalan parti komponen BN yang dilihat amat bermasalah. MCA merupakan sebuah parti Cina yang pernah suatu ketika dahulu dilihat gah dengan ahlinya yang mencecah 1.08 juta, kini semakin lesu. Namun apa yang menghairankan ialah, kenapakah MCA yang mempunyai jentera propaganda yang sungguh signifikan dalam arena media massa seperti The Star dan Nanyang Siang Pau, yang masing-masing merupakan akhbar berbahasa Inggeris dan bahasa Cina yang paling laris di Malaysia, gagal untuk membuat parti tersebut kekal relevan dengan masyarakat Cina. Lebih menjadi tanda tanya ialah isi kandungan The Star acapkali dilihat lebih mempromosikan agenda parti cauvinis dan rasis DAP berbanding dengan agenda MCA sendiri, sehingga ramai  yang berani menuduh MCA sebagai bersekongkol dengan DAP.

helenang.wordpress.com

Realitinya kini MCA walaupun sebuah parti berasaskan kaum Cina sangat bergantung harap kepada undi belas ehsan kaum Melayu, memandangkan MCA kini tidak lagi mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi dari kalangan kaum Cina. Lebih sejuta ahli MCA nampaknya tidak mengundi MCA pada pilihanraya sebelum-sebelum ini. MCA nampaknya gagal menghidu sentimen kaum Cina yang kelihatan lebih gemar untuk memilih parti cauvinis dan rasis DAP berbanding dengan MCA. Survival MCA kini hanya bergantung kepada kaum Melayu/Muslim dan bukan lagi kaum Cina, dan hakikat ini nampaknya telah pun diakui oleh MCA sendiri.

Oleh itu tidak hairanlah jika Chong Sin Woon, Ketua Pemuda MCA, baru-baru ini telah membuat satu pengumuman berkenaan cadangan bagi mengalu-alukan kaum lain bagi menyertai MCA sebagai 'ahli bersekutu'. Usul ini khabarnya bakal dibangkitkan pada perhimpunan agung MCA akan datang supaya perlembagaan asal parti tersebut dapat dipinda. Tentu MCA juga sedar bahawa adalah tidak keterlaluan jika dikatakan hampir ketujuh-tujuh kerusi Parlimen yang dimenangi oleh MCA pada PRU 13 yang lepas, semuanya hasil daripada sumbangan undi orang Melayu/Muslim. MCA terbukti terdesak baru-baru ini kerana ia telah pun meminta supaya diberikan kerusi Parlimen Kuantan dan Wangsa Maju yang masing-masingnya adalah kawasan majoriti Melayu dan bukannya Cina.

helenang.wordpress.com


Hakikatnya MCA hidup dengan undi Melayu/Muslim, namun agak menghairankan kerana ianya tergamak pula untuk menjuarai agenda yang dilihat ramai sebagai mengkhianati kepercayaan, kemahuan dan budaya pengundi-pengundi Melayunya itu sendiri. MCA kini seperti terikut-ikut dengan gaya parti cauvinis dan rasis DAP dalam karakter Islamofobianya itu. Ia juga seolah-olah ingin menunjukkan kepada ramai bahawa ia lebih Islamofobia berbanding dengan DAP. Ini dapat dilihat dengan sifat biadab MCA yang lantang menentang usaha umat Islam Malaysia untuk memperkasakan Mahkamah Syariah di tanah air ini melalui Pindaan Akta 355 baru-baru ini.

MCA patut sedar diri dan menghentikan perbuatannya yang sia-sia itu. Adalah satu langkah yang sangat tidak produktif untuk menaikkan kemarahan umat Islam yang selama ini menjadi pengundi setianya selama ini. Pengkhianatan ini adalah satu langkah 'kamikaze' yang boleh menguburkan MCA sendiri. Tentunya ia kelak bakal mendapat balasan daripada para pengundi atas pagar dan kelak bakal menghakis kepercayaan pengundi yang masih lagi setia. 

Alangkah baiknya sekiranya MCA menggunakan masa, tenaga dan buah fikiran yang sedia ada untuk menghidupkan kembali 70% cawangan-cawangannya yang telah pun mati daripada berusaha keras mahu menidakkan hak orang Muslim untuk mempraktik agamanya tanpa sebarang sekatan. Mungkin ada benarnya kata Setiausaha MCA bahawa partinya itu semakin mati kerana pemimpin-pemimpinnya gagal untuk berkhidmat kepada rakyat - dalam konteks ini termasuklah dengan mengkhianati pengundi-pengundi Melayu/Muslim yang rata-rata menyokong usul Pindaan Akta 355!

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.