Tuesday, 27 September 2016

IDEAS Dan Basahan Mimpi Liberalisme

Liberalisme adalah bentuk falsafah pemikiran, ideologi dan tradisi politik yang meletakkan kebebasan dan persamaan hak individu sebagai nilai politik yang paling utama. Liberalisme dikatakan lahir hasil daripada pertentangan di antara gereja dan sains pada penghujung Zaman Gelap di Barat. Pemikiran liberal mengagungkan kebebasan individu mengatasi segalanya, termasuklah kewajipan agama individu tersebut-mungkin kerana masih fobia dan terkesan dengan kekejaman gereja terhadap ahli-ahli sains pada Zaman Gelap.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan untuk menghadiri sebuah seminar anjuran Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), antara badan pemikir tempatan yang terkedepan untuk 'meliberalkan' negara, yang bertajuk 'Liberalism and Multiculturalism: Does freedom unite or divide?'. Forum itu boleh dirumuskan agak berat sebelah dalam mengetengahkan agenda liberal. Jika kita amati dengan teliti agenda-agenda yang dibawa oleh barisan panelis yang muncul di pentas, cuma Dr Hazlin Chong daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sahaja yang tidak bersetuju dengan naratif liberalisme boleh menyatukan rakyat Malaysia yang multikultural ini.

Isi kandungan yang dibentangkan oleh para panelis jemputan pula banyak tertumpu untuk mengkritik, menyindir dan mengecam dasar-dasar kerajaan, termasuklah yang berkaitan dengan hak istimewa bumiputera dan perundangan Syariah, terutamanya berkenaan hak untuk murtad. Semuanya dilihat dan ditimbang-tara daripada neraca liberalisme semata-mata. Liberalisme seakan-akan mahu dijadikan sebagai pemikiran tunggak-agung dan ianya begitu jelas diangkat tinggi dalam seminar tersebut. Ianya begitu dimuliakan sehingga salah seorang panelis, Khalid Jaafar (salah seorang daripada pengasas PKR, dakwa tokoh itu sendiri) dengan bangganya mengisytiharkan dirinya di hadapan para hadirin sebagai 'pendakwah liberalisme'.

Pendakwah liberalisme itu juga mendakwa bahawa DNA negara ini sebenarnya adalah liberalisme berpandukan kepada Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu 1957. Liberalis tersebut mendakwa secara lantang bahawa 'liberalisme adalah masa depan dunia', dan menurutnya lagi apabila Muslim bertegas ingin mendirikan negara Islam, mereka akan menuju kegagalan sepertimana yang terjadi kepada Pakistan dan Bangladesh.

Yang menariknya, panelis yang menyentuh isu hak istimewa bumiputera itu adalah seorang tokoh warga asing. Lelaki berketurunan Sri Lanka tersebut menyifatkan hak istimewa bumiputera itu adalah suatu langkah yang ‘illiberal’, tidak liberal. Persoalannya, adakah dengan tindak tanduknya itu bermakna dia cuba mendakwa isi kandungan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Wasiat Raja-raja Melayu 1957 dan Perlembagaan Persekutuan sebagai tidak adil kerana menjamin Hak Istimewa Orang Melayu? 

Malaysia tidak perlu jadi seperti Peranchis

Setakat manakah panelis warga asing itu yang sekarang berkhidmat di National University of Singapore (NUS) itu faham mengenai isi kandungan dokumen-dokumen tersebut? Sudahkah beliau membaca kesemua dokumen-dokumen tersebut?

Seorang panelis lain membicarakan perihal ketidakadilan perundangan Syariah hanya kerana ianya tidak meraikan hak mana-mana individu Muslim yang memilih untuk murtad. Panelis tersebut mencadangkan agar undang-undang tersebut dirombak kerana tidak mengikut selera ‘liberal’nya. Persoalannya adakah liberalisme bermaksud bahawa setiap orang berhak memilih undang-undang yang disukainya dan melanggar mana-mana undang-undang yang tidak disukainya? Nampaknya wanita tersebut yang mewakili sebuah NGO yang telah difatwakan sebagai sesat itu rupa-rupanya keliru antara liberalisme dan anarkisme!

Pendakwah liberalisme, Khalid Jaafar pula nampaknya cuba pura-pura 'buta' akan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang secara terang dan jelas menegaskan bahawa: "Islam adalah agama bagi Persekutuan". Percubaan beliau untuk menakut-nakutkan umat Islam Malaysia dengan kegagalan Pakistan dan Bangladesh dalam membentuk negara Islam adalah hujah yang lemah bagi menidakkan karakter Islam negara ini. Adakah kita perlu meninggalkan jati diri Islam negara ini dan terhegeh-hegeh meniru liberalisme barat hanya kerana kegagalan dua negara Asia Selatan tersebut? Untuk pengetahuan Pak Khalid, Malaysia tentunya jauh berbeza berbanding Pakistan ataupun Bangladesh. Pertamanya kita bukan etnik Pakistan ataupun Benggali dan banyak lagi perbezaan antaranya kedudukan ekonomi, geo politik dan sebagainya. Sila simpan sikit inferiority complex anda itu!

Forum yang dikelolakan IDEAS tersebut berlangsung selama sehari suntuk. Namun malangnya idea-idea dan konsep liberalisme yang dibentangkan di dalam majlis itu kebanyakannya kabur dan gagal mengambil kira karakter tempatan yang sudah berakar umbi. Rata-rata panelis yang hadir dalam seminar tersebut juga gagal untuk membuktikan bagaimana liberalisme dapat menyatukan rakyat Malaysia dengan berkesan. Agak malang lagi apabila agenda-agenda yang dibawa mereka sendiri itu pula berpotensi untuk membawa banyak kerosakan dan memporak-perandakan keamanan yang sedang dikecapi negara kerana dilihat lebih memilih untuk tidak menghormati undang-undang sedia ada dan sering pula mahu mencabar asas-asas dan prinsip-prinsip yang sudah termaktub kemas dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri, undang-undang tertinggi negara!

1 comments:

  1. Liberalisma adalahnjarum halus untuk mrnyuntik idea dan agenda yang lebih bessr iaitu pluralisma ugama... bila mereka bejaya meliberalkan pemikiran umat islam maka agrnda pluralisma akan diketengahkan dan akan dicanang pelusuk nrgara... hati hati mereka suka menjaja diri mereka sebagai prndakwah... pejuang.. mslah ulama sedsngkan.kemampuan mereka mguasai alquran.. hadis dan sunnah ... mereka jahil dan bodoh dalam syariat islam.... menjadikanm mereka inferiority compleks berasa rendah diri dan jumud mrngikut arus dan nafsu sambil bersrlindung dengan grlaran pendakwah...pejuang.
    layari link ... akhzaman.blogspot.com
    disitu akan ketemui ciri ciri srjarah manusia munafik kersna rasa inferiority compleks yg mendalam...
    Banysk info sejarah pluralisma murtad...liberalist sesat utk bahan bacaan dan renungan....

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.