Thursday, 2 June 2016

Tokoh Sudan Tidak Faham Syariah, Tidak Faham Hudud!

Sebagaimana dijangkakan kehadiran Abdullahi an-Naim di negara ini hanya menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan. Dalam kenyataan yang dilaporkan oleh FMT hari ini Abdullahi mengatakan hukum hudud tidak ada di dalam al-Qur'an, kerana itu menolak hudud tidak berdosa, "saya tidak nampak ada hudud di dalam al-Qur'an, tunjukkan saya jika ada". Beliau juga berkata adalah tidak Islamik meluluskan rang undang-undang Shari'ah secara sembunyi-sembunyi tanpa dibuka ruang perbincangan kepada rakyat.

Abdullahi menuduh bahawa langkah PAS dan UMNO di parlimen baru-baru ini yang ingin agar akta 355 tentang mahkamah Shari'ah ditambah baik merupakan langkah yang tidak demokratik, sedangkan ia dilakukan melalui sidang parlimen dan baru di tahap pembentangan usul. Ianya tidak akan diluluskan jika tidak mendapat persetujuan majoriti ahli parlimen. Sebenarnya yang diusulkan oleh DS Haji Hadi bukanlah hudud, ia hanya penambahbaikan sistem kehakiman Shari'ah yang pada masa ini agak kolot dan terpinggir. Tidak benar tuduhan bahawa perkara ini tidak dibincangkan secara terbuka, kerana majoriti rakyat mahukan Islam dilaksanakan di negara ini dan minoriti bukan Islam semestinya menghormati kehendak majoriti ini jika mereka benar-benar mahukan demokrasi.

Abdullahi Ahmed An Naim 'the heretic' bersama ahli kumpulan G25 Latifah Merican Cheong-ED
Jelas bahawa Abdullahi tidak memahami Shari'ah mahupun Hudud. Beliau tidak boleh menafikan hakikat bahawa Shari'ah dan hudud ada di dalam al-Qur'an, fakta ini diketahui oleh sesiapa sahaja yang belajar tentang Islam, bahkan pelajar di tahap sekolah menengah pun boleh memahami hal ini. Shari'ah bukan produk ulama' ia telah diturunkan dan diamalkan sejak zaman Rasulullah saw dan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan orang Islam sejak itu sehinggalah sekarang. Abdullahi hanya bermain dengan perkataan, ia boleh menipu orang yang jahil, dan bukan Islam, namun ia tidak boleh menipu ramai orang.

Abdullahi bukanlah seorang sarjana Islam, apalagi seorang ulama' yang kata-katanya perlu dirujuk dan dianggap serius. Beliau hanyalah pakar perundangan Barat dari universiti sekular, yang dipuji dan diangkat tinggi kerana keberaniannya mempertikaikan hukum Islam. Ia lebih meyakini sistem sekular dan liberal daripada sistem Islam. Itu pilihannya, sepatutnya ia tidak memaksakan pilihannya itu kepada umat Islam di negara ini.

Dr Khalif Muammar

2 comments:

  1. Masing-masing berhak beri pendapat.2 June 2016 at 06:15

    Rukunnegara menetapkan kita membina masyarakat yang liberal dan berlandaskan sains dan teknologi bro.
    Biasalah bukan awak seorang je yang faham hudud atau syariah.
    Takde pula tuhan mengesahkan anda seorang je yang faham.
    Sebagai orang mukmin kita mesti menerima hakikat pemahaman kita terbatas dan apa yang anda fikirkan betul mungkin salah.
    Jika kita mendabik dada mengatakan kita saja pandai dan betul itu sudah takbur bro. Dan takbur itu perbuatan yang tak baik betul tak?

    Kita mesti hidup bertamadun dan secara harmoni sebab itu ugama melarang kita dari memecah masuk rumah jiran atau mengintip mereka.

    Semua pandangan adalah valid,Ini namanya demokrasi.

    ReplyDelete
  2. 06.15 ...,

    Demokrasi ... hmmm bertamadun .... hmm.... berharmoni ... hmmm.... . hehe.

    Demokrasi boleh dibeli ... tamadun tidak bermakna kemodenan ... harmoni bukannya dengan mengiyakan segala galanya.

    memang kita dilarang dari memecah masuk rumah jiran atau mengintip mereka ... tapi itu bukanlah satu satunya ajaran di dalam al-quran. banyak lagi yang ada di dalam al-quran.

    Kecetekan ilmu adalah masalah terbesar umat demokrasi, bertamadun dan berharmoni di dunia ini.

    Duduklah berbincang bersama sama rakan rakan kamu ... di dalam bilik bilik gelap kamu, di dalam bilik bilik nyaman kamu, di kelilingi suasana harmoni kamu, bersama pemandangan yang menyejukkan hati kamu, pasti tidak akan dapat kamu fahami sesuatu yang Allah s.w.t tidak mahu kamu fahami.

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.