Friday, 24 June 2016

Tidak Masuk Akal Untuk Bukan Islam Bantah Pindaan Akta 355-JMPP & GPEM

Sekumpulan 29 NGO Islam dan Melayu hari ini menyatakan sokongan kepada Pindaan Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong pada pembukaan Parlimen pada bulan Mac lepas.

Kumpulan yang terdiri daripada dua gabungan besar NGO iaitu Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) dan Gabungan Perwakilan Melayu Pulau Pinang (GPEM) telah mengadakan sidang media bersama menegaskan bahawa Pindaan Akta 355 itu selari dengan kehendak Yang di-Pertuan Agong agar usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dapat disegerakan.

"Lebih-lebih lagi Akta ini telah lama wujud dan pindaan pernah dilakukan sekitar 32 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1984. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan bahawa Islam sebagai Agama Persekutuan" kata Pengerusi JMPP, Ustaz Hafiz Nordin.

"Dengan ini kami menyangkal sama sekali kenyataan-kenyataan yang mengatakan bahawa pindaan ini tidak mengikut perlembagaan dan menyifatkan mereka yang mengeluarkan kenyataan itu tidak faham perlembagaan serta mempunyai niat yang tidak baik terhadap hak umat Islam untuk beramal dengan agama mereka."



Menurut Ustaz Hafiz Nordin lagi adalah menjadi kewajipan kepada seluruh rakyat untuk menghormati keluhuran perlembagaan yang mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara. Ini ditegaskan lagi dengan sumpah perjawatan Yang di-Pertuan Agong dengan nama Allah iaitu WALLAHI, WABILLAHI, WATALLAHI, seperti yang termaktub dalam Perkara 37 Fasal 1 dibaca bersama Jadual Keempat Butiran 1 Perlembagaan Persekutuan untuk menjaga Islam pada setiap masa, mestilah dijunjung bersama oleh semua.

"Kami ingin juga menyatakan bahawa Pindaan ini hendaklah disegerakan demi menjaga masalah ummat yakni ummat Islam kerana pindaan ini akan menjadikan hukuman atau denda ke atas kesalahan syariah lebih setimpal."

Sambil menegaskan bahawa adalah tidak masuk akal apabila sesetengah pihak bukan Islam menyatakan Pindaan Akta 355 bakal membawa ketidakadilan kepada masyarakat bukan Islam sedangkan undang-undang Syariah telah sedia ada dipraktikkan di negara ini dan ianya tidak ada kena mengena dengan golongan bukan Islam.



Pada 26 Mei lepas Ahli Parlimen Marang telah membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian iaitu pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016. Ianya dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pengerang dan disokong oleh Ahli Parlimen Papar.

Ianya kemudiaan mendapat tentangan hebat oleh beberapa parti politik bukan Islam yang melabelkannya sebagai Hudud.

Pada hari Jumaat ini (24 Jun 2016) sekumpulan 500 NGO Islam dan Melayu, termasuk PEMBELA dan PERKASA akan berkumpul diperkarangan Masjid Negara untuk menyatakan sokongan terhadap Pindaan Akta 355. Orang ramai dijemput hadir memberikan sokongan!

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.