Tuesday, 21 June 2016

Keputusan PRK Sungai Besar & Kuala Kangsar, Referendum Menyokong Pindaan Akta 355!

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) P.93 Sg. Besar, Selangor dan P.67 Kuala Kangsar, Perak masih hebat diperkatakan. Yang menang masih belum kebah meraikan momen-momen indah menang besar dan yang kalah seakan-akan terpukul dengan keputusan masih berkira-kira langkah sebagai persediaan pemilihan yang bakal mendatang. Apa yang pasti pada pemilihan kali ini menyaksikan pihak Barisan Nasional (BN) khasnya UMNO melalui calon-calonnya, Yang Berhormat (YB) Budiman Mohd Zohdi dan Yang Berhormat (YB) Datin Mastura Yazid menang dengan begitu berjaya jauh meninggalkan lawan.

Walaupun pilihanraya kali ini banyak dibayangi oleh isu pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 yang dibawa oleh YB Marang di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 lalu, terutamanya apabila ianya mendapat tentangan hebat daripada sejumlah Ahli-Ahli Parlimen bukan Islam seolah-olah ianya menjadi titik-tolak referendum kepada  Pindaan Akta 355. Namun kemenangan dengan majoriti yang lebih besar parti UMNO membuktikan bahawa akar umbi sememangnya memilih untuk menyokong usaha UMNO membawa ke tengah proses Pindaan Akta 355 demi untuk memperkasakan lagi Mahkamah Syariah di tanahair tercinta.


Hakikatnya umum tentunya masih ingat bahawa YB Pengerang iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said merangkap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merupakan pencadang kepada RUU tersebut untuk dibentangkan dan ianya disokong pula oleh YB Papar, Datuk Seri Rosnah Abdul Rashid Shirlin merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya, dengan arahan daripada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sendiri supaya perkara tersebut dibenarkan untuk dibentang dalam Dewan Rakyat.

Pendek kata ianya sememangnya secara sedar telah digerakkan oleh ahli-ahli UMNO dan hasilnya, akar umbi UMNO telah memberikan kemenangan yang sangat bergaya kepada UMNO jauh lebih besar daripada sebelumnya.

Ini dapat dilihat dengan jelas apabila pertambahan jumlah majoriti yang dimenangi UMNO berubah daripada 399 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kepada 9191 undi, peningkatan sebanyak  8792 undi. Begitu juga dengan kerusi P.67 Kuala Kangsar pula, jumlah majoriti bertambah  daripada 1,082 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kepada 6969, meningkat sebanyak 5887 undi semasa PRK baru-baru ini.

Sememangnya akar umbi Melayu dan Islam yang menjadi penyokong tegar parti tersebut  dahagakan pemerkasaan Mahkamah Syariah untuk mempertingkatkan lagi autonomi negeri unuk membendung gejala maksiat dan salahlaku syariah daripada berleluasa.

Sudah terang lagi bersuluh, maka jelaslah kemenangan besar yang dicapai oleh kedua-dua calon UMNO tersebut ialah berkat sokongan dan pendirian jitu untuk menyokong Pindaan Akta 355 demi memperkasakan Mahkamah Syariah seperti yang dikehendaki majoriti rakyat negara ini, sama ada di Sungai Besar, Selangor, Kuala Kangsar, Perak, mahu pun di seluruh negara seperti yang berkali-kali dibuktikan dengan kajian demi kajian yang telah dijalankan sebelum ini.

UMNO harus terus memandang ke depan dan tidak berdolak-dalih lagi dalam memperjuangkan isu ini. Kedua-dua ahli Parlimen yang baru dipilih juga harus memikul amanah ini dengan sebaik-baiknya. Memilih untuk berbuat sebaliknya, merupakan satu pengkhianatan kepada agama, bangsa dan negara!

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.