Wednesday, 25 May 2016

Pendakyah Sekularis Masuk Malaysia Lagi?!


Siapa Dr Abdullahi Ahmed An-Naim Yang Dijemput IRF Mengadakan Siri Dialog Dan Pertemuan Di Malaysia?


Beliau adalah antara tokoh terkemuka yang diangkat oleh barat kerana fahaman negara liberal dan bertegas menolak perundangan Syariah.

Beliau mendakwa perundangan Syariah adalah bukan daripada sumber wahyu, dan cuma diperoleh daripada proses ijtihad para ulama. Proses ijtihad ini menurutnya telah menjadikan sistem ini bukan lagi berlandaskan wahyu, akan tetapi cuma dari hasil pemikiran dan campur tangan manusia.

Nuansa perjuangan beliau yang mengatakan hukum syariah bukan berasaskan kepada wahyu begitu selari dengan apa yang diperjuangkan oleh kumpulan NGO yang difatwakan sesat oleh Negeri Selangor iaitu Sisters In Islam (SIS) dan juga NGO dan kumpulan-kumpulan Islam Liberal lain seperti Islamic Renaissance Front (IRF) dan kumpulan G25.

Beliau juga menyeru agar perundangan Syariah dirombak agar selari dan senada dengan hak asasi universal sejagat.

*Tolak Quran Kalau Tidak Selari Dengan Hak Asasi Universal*

Baginya, mana-mana ayat Quran dan Sunnah yang tidak konsisten dengan hak asasi universal perlulah ditolak daripada dijadikan sumber perundangan dan cuma dianggap terbatas kepada konteks sejarah silam sahaja.

Menurutnya, hanya ayat-ayat Quran dan hadis yang senada dengan hak asasi universal sahaja boleh digunakan sebagai asas  dalam perundangan Islam.

*Syariah Perundangan Lapok*

Dr Abdullahi Ahmed An-Naim berpendapat perundangan Syariah yang sedia ada pada masa sekarang ini adalah lapuk dan tidak lagi sesuai dilaksanakan pada zaman ini. Beliau berpendapat agar perundangan ini dirombak supaya tidak lagi mendiskriminasikan dan memberi layanan buruk kepada kaum wanita, mereka yang bukan Islam, dan golongan murtad. Beliau juga dikatakan pernah berkata, _"if I don't have the freedom to disbelieve, I cannot believe."_


*Islam Disebar Melalui Jalan Perang?*

Dr Abdullahi Ahmed An-Naim berkata bahawa pemahaman tradisional perundangan Syariah membenarkan negara bukan Islam diserang dan ditakluki sebagai langkah untuk menyebarkan Islam. Beliau juga berkata bahawa Syariah klasik membenarkan tahanan lelaki untuk dibunuh, dan kaum wanita dan kanak-kanak dijadikan hamba tawanan perang sepertimana yang telah dilakukan oleh pengikut ISIS terhadap kaum wanita Yazidi di Syria. Beliau berpendapat bahawa ISIS boleh diatasi sekiranya umat Islam sepakat untuk menggunakan penafsiran alternatif bagi dalil-dalil perundangan Syariah.

*Sokong Sekular & Tolak Konsep Negara Islam*

Dr Abdullahi Ahmed An-Naim juga sangat tidak bersetuju dengan konsep negara Islam. Bahkan beliau berpendapat bahawa umat Islam amat memerlukan negara yang sekular.

Baginya, adalah mustahil bagi sesebuah negara untuk dikira sebagai 'Islam' sedangkan negara itu sendiri bukanlah sebuah entiti yang boleh berfikir, merasa ataupun beriman. Jadi bagaimana negara tersebut boleh dikira sebagai negara Islam?

*Apa Tindakan Pihak Berkuasa Kita?*

Beliau akan mengadakan siri lawatan ke beberapa negeri di dalam negara Islam Malaysia dan bakal mendakyah fahaman sekular ke dalam negara. Persoalannya, apakah kita dan pihak berkuasa kita hanya mahu diam dan menunggu pukul 5 petang untuk punch card dan pulang serta tidak berbuat apa-apa untuk menghalang pendakyah dengan agenda seperti ini merosakkan sistem negara yang kita bina dengan jerit payah selama ini?

Kami tinggalkan persoalan itu untuk dijawab dengan perbuatan dan pelaksanaan undang-undang oleh pihak berkuasa kita.

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.