Thursday, 21 January 2016

Kes Indira, Tamparan Bagi Pejuang Liberalisme & Sekularisme: I-Peguam

BARU-BARU ini rakyat Malaysia digemparkan dengan satu keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan oleh responden-responden yang terdiri daripada Muhammad Riduan bin Abdullah iaitu si bapa, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak, Kementerian Pelajaran Malaysia dan lain-lainnya. Hasil semakan kehakiman mendapati bahawa pembatalan pertukaran agama kepada Islam oleh si bapa tersebut terhadap ketiga-tiga anaknya adalah tidak sah dan perihal pertukaran agama ke dalam atau luar daripada Islam adalah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.
Semestinya keputusan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat khususnya pengamal undang-undang dan golongan profesional yang memperjuangkan agenda liberal dan sekular. Hal ini kerana keputusan tersebut dan mana-mana keputusan sedemikian akan memihak kepada kedaulatan Islam, institusi agama Islam dan jati diri Muslim yang ingin dipelihara.

Maka, seperti yang kita sedang perhatikan, mulalah adegan mengkritik keputusan tersebut dengan momokan bahawa ia tidak adil, mencabuli hak si ibu, bertentangan dengan norma-norma antarabangsa bahkan mempersoalkan integriti Institusi Kehakiman serta para Hakim yang membuat penghakiman sedemikian sebagai‘heartless’ atau kejam kononnya atas dasar kedaulatan Perlembagaan.
Namun hakikatnya, mereka sendiri yang bertindak ironi dengan tidak menghormati Perlembagaan dan pengiktirafan oleh Perlembagaan terhadap kedudukan Islam dan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang sudah berdekad dikekalkan, dilindungi bahkan tidak dicampur tangan oleh Mahkamah Sivil.
Titik permulaan kes ini berkisar pada Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang telah menggariskan dasar pemisah bahawa Mahkamah Sivil tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Kes Haji Raimi b Abdullah v Siti Hasnah Vangarama bt Abdullah juga diambil kira oleh Mahkamah Rayuan tersebut dengan memutuskan bahawa ‘beyond a shadow of doubt’ isu pertukaran agama ke dalam agama Islam adalah merupakan isu di bawah bidang kuasa ekslusif Mahkamah Syariah.
Perkara inilah yang menjadi titik tolak kepada perasaan tidak puas hati dalam kalangan golongan liberal yang mahu mempergunakan undang-undang bagi manfaat mereka sendiri.
Amatlah mengecewakan apabila dalam seruan mereka yang sama kononnya ingin mendaulatkan hak-hak asasi manusia terkandung dalam Perlembagaan, mereka mengambil norma-norma dan konvensyen antarabangsa untuk menilai dan menjadi penanda aras kepatuhan undang-undang Malaysia dalam mempertahankan hak asasi manusia.

Mereka ingin menyembunyikan kenyataan Hakim Eusoffe Abdoolcadeer dalam kesMerdeka University Bhd v Government of Malaysia (1981) CLJ(Rep) 191 di muka surat 209 yang menyebut bahawa Deklarasi Hak Asasi Manusia Universal (UDHR) hanyalah sebagai;
‘…merely a statement of principles devoid of any obligatory character and is not part of our municipal law. It is not legally binding instrument as such and some of its provisions depart from existing and generally accepted rules.’
Dalam erti kata mudah, Deklarasi Hak Asasi Manusia Universal hanyalah suatu set pegangan yang tidak meletakkan kewajipan ke atas mana-mana negara untuk mengikutinya dan bukanlah juga sebahagian daripada perundangan Malaysia. Oleh itu (deklarasi) tidak mempunyai sebarang ikatan perundangan, bahkan sebahagian kandungannya juga bertentangan dengan perundangan sedia ada.
Seharusnya kita sedar bahawa golongan liberal dan sekular tidak akan berputus asa untuk menerapkan nilai-nilai universal ke dalam negara yang akan menggugat kedaulatan Islam dan institusinya, prinsip dan nilainya bahkan nilai-nilai moral dalam kalangan masyarakat secara amnya. Terdapat beberapa kes mahkamah yang menunjukkan bagaimana puak-puak liberal dan sekular berusaha untuk mempersoalkan bidang kuasa dan integriti institusi Islam.
Terkini keputusan Jabatan Agama Islam Perak untuk mengesahkan keislaman ketiga-tiga anak tersebut dipertikaikan. Sebelum ini, undang-undang tangkapan khalwat telah dipertikaikan oleh puak liberal seperti G25. Pendukung-pendukung liberal dan sekular juga telah mempersoalkan tindakan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang menahan beberapa orang lelaki yang berpakaian dan menyerupai wanita yang sama sekali dilarang oleh agama Islam. Tidak dilupakan juga kes ke atas larangan penerbitan yang menggunakan kalimah Allah dalam Bible atau makalah Kristian yang tidak lain dan tidak bukan ingin menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
I-Peguam kali ini menyeru agar pihak kerajaan serta Jabatan Agama Islam di peringkat Persekutuan mahupun Negeri juga golongan Islamis agar berganding bahu membanteras usaha-usaha untuk mempersoalkan bidang kuasa serta kedaulatan institusi agama Islam agar ia terpelihara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan.
Danial Ariff Bin Shaari & Muhammad Akmal Bin Abdul Ghani
I-Peguam

http://www.ismaweb.net/2016/01/kes-indira-tamparan-bagi-pejuang-liberalisme-dan-sekularisme-i-peguam/

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.