Tuesday, 12 January 2016

Bantah TPPA-Keluhan Hati Pengerusi

Saya terkilan dengan jawapan yg diwar-warkan oleh Datuk Seri Abdul Wahid Omar selepas menghadiri Sidang Kemuncak TPPA oleh Bantah TPPA di Shah Alam, 9 Januari 2016. Beliau mengatakan beliau menghormati majlis dan menghormati jawapan yang diberikan penganjur majlis untuk tidak dapat memberi ruang beliau bercakap tetapi mewar-warkan kepada semua pihak seolah-olah hak beliau telah dirampas.


Mesej peribadi Datuk Seri Abdul Wahid Omar kepada saya pada malam sebelum program adalah beliau datang semata-mata untuk mendengar. Jika beliau maklumkan dari awal beliau ingin bercakap kita boleh menyediakan slot bersama 4 panel dalam forum tersebut.

Permohonan untuk beliau bercakap dibuat selepas sesi panel berakhir. Penganjur juga tidak dapat memberi ruang kpd lebih 50 persoalan yg diajukan oleh peserta sidang yg hanya lima soalan dpt dijawab memandangkan masa yang terbatas. Moderator forum telah memaklumkan akan menjawab semua soalan didalam media sosial bagi memastikan semua soalan terjawab.

Yang pastinya rakyat mempunyai banyak persoalan dan pendapat yang belum terjawab dan kefahaman rakyat berkenaan TPPA masih rendah, namun sepanjang 6 tahun lepas TPPA dirundingkan oleh kerajaan secara tertutup dan rahsia, dan dalam tempoh dua bulan ini, selepas teks perjanjian terpaksa didedahkan, rakyat dipaksa untuk menerima TPPA tanpa dapat merubah isi kandungan perjanjian.

Ya, isi kandungan atau teks perjanjian ‘tidak boleh’ diubah walaupun rakyat tidak bersetuju. Ya, kita bakal dipaksa menerima TPPA walau banyak kita tidak bersetuju berkenaan isi kandungan perjanjian dan ‘wajib bersetuju’ menerima apa saja yg dipersetujui dalam perundingan rahsia sebelum ini yang berakhir di Atlanta November lepas sebelum teks perjanjian didedahkan.

Tujuan Sidang Kemuncak TPPA adalah mendengar pandangan pelbagai pihak berkenaan isu TPPA, dan 250 NGO telah menyatakan pandangan menolak TPPA. Sidang Kemuncak memberi ruang kepada pelbagai kumpulan ini memberi pandangan dan kita menyediakan ruang kepada 15 pemimpin masyarakat mewakili pelbagai kumpulan untuk menyuarakan pandangan antara lain dari kumpulan pesakit dan NGO kesihatan, wakil nelayan dan petani, wakil kumpulan politik dari PKR, PSM, wakil NGO Melayu, Gabungan Ketua Cawangan Malaysia UMNO, kumpulan profesional, wakil peguam, wakil NGO Islam, aktivis pengguna dan pelbagai lagi. Memandangkan kesuntukan masa beberapa wakil pemimpin masyarakat seperti kumpulan alam sekitar, parti PAS dan AMANAH, kumpulan pelajar dan kumpulan pekerja tidak berkesempatan untuk menyatakan pandangan bukan sahaja Datuk Seri.



Peluang untuk berbicara dan didengari tidak diberikan secara adil dalam semua sesi penerangan MITI sebelum ini. Terakhir didalam sesi Town Hall MITI Disember yg lepas, pihak kami telah dicabar oleh Timbalan Menteri MITI, Dato Ahmad Maslan untuk hadir dan mengajukan pandangan. Kami telah menyahut cabaran dengan sembilan wakil telah hadir dengan 20 soalan. Malangnya sebahagian besar wakil tidak dapat bertanyakan soalan dan bagi yang berjaya menanyakan soalan; YB Menteri mengelak daripada menjawab soalan tersebut dan memberi jawapan umum yang sebenarnya tidak menjawab soalan.

Menteri dan MITI telah diberi peluang yang luas untuk memberi ulasan berkenaan TPPA, saya mengharapkan Sidang Kemuncak TPPA 2016 menjadi peluang kepada Menteri untuk mendengar pandangan yang sebelum ini tidak diberi ruang untuk diajukan.

Malangnya Abdul Wahid Omar telah pulang awal dan tidak sempat mendengar keseluruhan pandangan termasuk antara lain pandangan wakil nelayan dan petani, profesional dan wakil gabungan ketua cawangan UMNO, GKCM memberi pandangan. Malahan ketika wakil PERKASA dan PKR memberi pandangan; beliau yg duduk disebelah memberi respon ‘mana boleh’! tanpa meneliti secara mendalam pandangan tersebut.
Kita telah memberi jawapan secara beradab didalam majlis tersebut kepada Menteri untuk mendengar wakil-wakil dari masyarakat memberi pandangan dan memberi cadangan kepada beliau untuk beliau mengadakan satu sesi khas yang dianjurkan oleh beliau atau EPU dan kami sudi membawa wakil daripada 250 NGO ini untuk mendengar dari kedua belah pihak.



Malahan kerajaan dalam tempoh dua bulan ini telah mengadakan lebih 30 sesi penerangan diketuai oleh Tok Pa ke serata pelusuk Malaysia termasuk dalam media arus perdana menggunakan jentera dan dana kerajaan menerangkan pandangan sebelah pihak berkenaan TPPA. Banyak persoalan dalam sesi penerangan tersebut tidak dijawab malahan soalan dari pemanggil dan soalan FB ketika sesi di RTM, tidak dibenarkan untuk diutarakan.
Kami bersedia untuk bersama-sama duduk sepentas bersama-sama Menteri MITI atau Datuk Seri Wahid Omar dalam siri roadshow yg diadakan oleh kerajaan jika kerajaan benar-benar ikhlas untuk mendengar pandangan rakyat dan pandangan yang kritikal berkenaan TPPA. Dalam 30 lebih roadshow diadakan diseluruh negara, ianya hanya bersifat berat sebelah, mempromosikan kebaikan TPPA tanpa ada panel daripada pihak yang kritikal pada TPPA memberi pandangan sebaliknya.
Dalam analisa yang kami laksanakan kerajaan bakal kehilangan USD 12B dari imbangan dagangan (trade balance) pada 2027 jika TPPA dilaksanakan, dan tanpa TPPA negara mendapat tambahan dalam imbangan dagangan sejumlah USD1B setiap tahun. Mengikut data dari Amerika Syarikat sendiri, nilai tambah rGDP selepas TPPA kesan dari pemotongan tarif menjelang 2025 hanyalah 0.01%. Ini adalah terlalu kecil berbanding kesan dan implikasi kepada kedaulatan negara, ekonomi dan kebajikan rakyat yang bakal kita rugikan. Semua ini dan banyak lagi tidak diwawarkan oleh Menteri dalam sesi penerangan mereka keseluruh negara.
Sebelum ini rakyat telah menyuarakan pandangan tentang kesan GST, kos sara hidup dan peluang perniagaan yg semakin mengecil. Tiada penyelesaian yang tuntas kerajaan dan rakyat merasa peritnya. TPPA adalah perjanjian perundangan antarabngsa yang ketat dan memberi kesan jangka panjang dan bakal memberi kesan jangka panjang kepada seluruh rakyat. Saya merasa terkilan ketika mana rakyat bakal menerima kesan besar dari TPPA, Datuk Seri Abdul Wahid Omar membesar-besarkan isu tidak dapat bercakap dalam satu forum namun tidak menyebut kebimbangan rakyat yg disebut dalam forum tersebut.
Saya berharap DS Abdul Wahid Omar akan lebih berjiwa besar, dan tidak salah seorang menteri duduk mendengar keseluruhan pandangan rakyat, di saat rakyat sangat memerlukan suara mereka didengari.
Mohd Nizam Mahshar
Pengerusi Bantah TPPA
Pengerusi Sidang  Kemuncak  NGO untuk TPPA


http://www.ismaweb.net/2016/01/tppa-menjawab-datuk-seri-abdul-wahid/

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.