Bukan Islam Tak Patut Halang

Himpunan Aman UMMAT 24 Jun 2016

Himpunan Aman A355?

Himpunan Aman UMMAT 24 Jun 2016

Kuasa Veto Melayu

Kenali Kuasa VETO Melayu Di Dalam Perlembagaan

Vernakular Melayu Telah Dikorbankan

Bagaimana Pula Dengan Vernakular Lain?

Tahniah Ah Jib Gor

Ke Arah Melahirkan Malaysia Moden Dengan Warganegara Tidak Tahu Berbahasa Kebangsaan?

Tuesday, 29 September 2015

Liberalis Ezra Zaid Ibrahim Bakal Ke Penjara?

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan adalah sah peruntukan undang-undang syariah negeri Selangor yang menetapkan adalah perbuatan jenayah bagi orang Islam menerbitkan dan mengedarkan buku agama yang bercanggah dengan undang-undang Islam.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim berkata Dewan Undangan Negeri Selangor mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkan Seksyen 16, Enakmen Jenayah Syariah 1995 kerana ia merupakan satu kesalahan dalam ajaran Islam.


Hakim Raus semasa menyampaikan keputusan sebulat suara itu, menolak petisyen dikemukakan ZI Publications Sdn Bhd dan pengarahnya Mohd Ezra Mohd Zaid untuk mencabar kesahihan Seksyen 16 enakmen itu susulan Mohd Ezra, 32, didakwa di bawah seksyen itu di Mahkamah Syariah.
Berikutan keputusan itu, Mohd Ezra, yang merupakan anak bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim, perlu menghadapi pertuduhan di Mahkamah Syariah atas dakwaan menerbitkan buku bertajuk “Allah, Love and Liberty” karya penulis Kanada Irshad Manji yang dianggap bercanggah dengan hukum syarak.
Dalam penghakiman 16 muka surat, Hakim Raus berkata orang Islam di Malaysia bukan sahaja terikat dengan undang-undang am yang digubal oleh Parlimen tetapi juga undang-undang agama negeri yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri.
Mano Maniam, Ezra Zaid Ibrahim & Patrick 'Quran-thumping mother fuckers' Teoh bersketsa!

“Ini kerana Perlembagaan (Persekutuan) membenarkan badan perundangan negeri untuk menguatkuasakan dan mengubal kesalahan terhadap ajaran Islam. Merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan secara keseluruhan, jelas menunjukkan niat penggubal Pelembagaan untuk membolehkan orang Islam di negara ini turut terikat dengan undang-undang Islam itu sendiri,” katanya.
Hakim Raus berkata tujuan Dewan Undangan Negeri Selangor menggubal Seksyen 16 adalah untuk mengawal penerbitan bahan agama yang bercanggah dengan ajaran Islam.
“Ia juga langkah untuk melarang penyebaran sebarang kepercayaan dan ajaran salah dalam kalangan orang Islam, menerusi penerbitan mana-mana buku atau dokumen atau sebarang bentuk rekod yang mengandungi apa-apa yang bercanggah dengan undang-undang Islam,” katanya.

Katanya mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan para pempetisyen bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor tidak diberikan kuasa untuk menggubal Seksyen 16 kerana seksyen itu mengehadkan kebebasan bersuara yang telah dijamin kepada setiap warganegara dalam Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.
ZI Publications dan Mohd Ezra, menerusi peguam bela masing-masing, dalam hujahan, berkata Dewan Undangan Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang yang mengehadkan kebebasan bersuara dan meluahkan pandangan dengan menyatakan hanya Parlimen boleh menggubal undang-undang seumpama itu.
Hakim Raus berkata Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan tidak menjamin kebebasan bersuara dan meluahkan pandangan secara mutlak dan menurutnya Seksyen 16 tidak bercanggah dengan Perkara 10.

Monday, 28 September 2015

Khutbah Aidiladha: JAIP Tidak Akan Mohon Maaf Daripada DAP!

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tidak akan memohon maaf daripada parti rasis dan cauvinis DAP berhubung isi kandungan khutbah Aidiladha yang dibaca di masjid-masjid negeri itu pada Khamis lalu.
 
“Kita tak akan minta maaf kerana kita bercakap hal agama. Hal agama ini (pihak luar) tak boleh campur tangan, apatah lagi dalam khutbah.

“Kita tak akan tarik balik khutbah (ini). Kita ada hak untuk menyatakan tentang kebenaran Islam,” katanya kepada Antarapos semalam.

Khutbah Aidiladha yang disiarkan dalam versi PDF di laman web Jabatan Mufti Negeri Pahang untuk kegunaan para khatib antara lain menyebut:

“Dewasa ini kita melihat perpecahan umat Islam di negara kita terutama bangsa Melayu begitu ketara.

“Perpecahan ini kerana mengutamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Islam seperti parti Umno, Pas, PKR dan ditambah parti baru yang di namakan Gerakan Harapan Baru (GHB) malahan ada di kalangan umat Islam yang menyertai parti DAP yang terang-terang menentang Islam.

“Sepatutnya umat Islam bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik mereka,” kata khutbah itu.

Teks khutbah ini masih boleh diakses di pautan berikut: 
 
http://mufti.pahang.gov.my/images/khutbah/2015/rumiseptember/aidiladha.pdf


Pada hari yang sama, portal liberal The Malaysian Insider menyiarkan artikel yang ditulis oleh ahli DAP berbangsa Melayu, Sheikh Omar Ali yang mengutuk teks khutbah itu.

“Saya mencabar agar Jabatan Mufti Pahang mengeluarkan bukti-bukti kukuh yang menjadi asas berhubung dakwaan DAP menentang Islam,” tulis Sheikh Omar.

Terkini, DAP Pahang dalam kenyataannya mengugut akan mengambil tindakan undang-undang ke atas JAIP dalam masa lima hari jika JAIP tidak memohon maaf secara terbuka dan menarik balik teks khutbah itu.

“DAP Pahang akan hantar surat pada Jabatan Agama Islam Pahang atau bahagian mufti yang menuntut mereka menarik balik ucapan berbaur fitnah serta memohon maaf secara terbuka melalui media elektronik dalam masa lima hari dari hari ini.

“Sekiranya tiada tindakan atau balasan dari pihak Jabatan Agama Islam Pahang, kami secara individu iaitu orang beragama Islam dalam DAP akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Agama Islam Pahang yang keluarkan khutbah ini,” kata DAP Pahang.



http://www.ismaweb.net/2015/09/khutbah-aidiladha-kita-tak-akan-mohon-maaf-daripada-dap-kata-mufti-pahang/

Tuesday, 22 September 2015

Liberalisme Lahir Daripada Zaman Gelap Barat Yang Menindas!

TERIMA kasih kepada IDEAS kerana sudi menjemput saya ke forum ini. Saya akan bercakap bagi pihak Islam.
 
I am not conservative, I am not liberal, I am Islamist.

Bila saya bercakap saya bercakap daripada pihak Islam, bermakna rujukan saya, rujukan dalam pemikiran saya adalah Al-Quran Sunnah dan sejarah Islam. Saya tidak merujuk kepada sejarah Barat, ataupun pengalaman Kristian Barat.

Saya bukan datang daripada sekolah liberal barat, ataupun pengajian Kristian di Barat yang melahirkan idea-idea liberalisme, pluralisme agama, konservatif dan sebagainya. Itu adalah merupakan pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh Barat, di zaman kegelapan mereka di mana di waktu itu, gereja begitu diktator dan begitu keras menggunakan agama, bercakap atas nama tuhan dan menindas manusia dan mengekang kebebasan dan itu semua tidak berlaku dalam sejarah Islam.

Apabila bercakap mengenai liberalisme dan faith, faith itu sendiri tidak merujuk kepada agama dengan mafhum yang difahami oleh Islam. Faith yang dikemukakan oleh pemikir-pemikir reformis Kristian adalah sebagai contohnya John Hick sendiri, mendefinisikan faith sebagai keyakinan, hubungan-hubungan spritual seorang individu sahaja, ia bukan agama, yang memberi maksud way of life, sistem hidup yang meliputi akhlak, meliputi sistem hidup sosial, meliputi ekonomi, politik, perundangan, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Jadi itu tidak menepati kehendak Islam.



Jadi kalau tuan-tuan tanya saya, adakah faith ataupun liberalisme boleh jalan seiring dengan faith, kalau merujuk kepada Islam liberalisme boleh hidup (seiring) jika sekiranya liberalisme sanggup duduk di bawah sistem Islam.

Tetapi jika liberalisme cuba mendefinisikan Islam ataupun mereformasikan Islam mengikut kehendak asas-asas liberalisme, maka itu mungkin tidak dapat diterima oleh Islam, sebab Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT dan tidak boleh ditokok tambah atau tidak boleh direformasikan oleh mana-mana pihak.

Dalam Islam tidak ada paderi atau ulama yang bercakap bagi pihak tuhan. Tiada ada rijaluddin dalam Islam. Tidak ada orang agama. Bagaimana orang agama dalam Kristian, ada orang agama dalam Buddha dan dalam Hindu, ada sami dan sebagainya, tetapi tidak ada orang agama dalam Islam.

Kita ada ulama, memberi makna orang yang alim, bukan orang agama yang bercakap bagi pihak tuhan.

Kalau kita mendefinisikan Islam itu untuk disejajarkan dengan liberalisme, sehingga Islam perlu direformasikan, sebagaimana yang cuba dilakukan oleh puak-puak Islam liberal yang menggunakan metodologi reformasi yang dibuat oleh pemikir-pemikir Barat di zaman kegelapan dulu, di zaman pencerahan, saya rasa itu tidak boleh diterima oleh Islam dan masyarakat Islam dan tidak sesuai dengan pengajian Islam, thaqafah dan pengalaman Islam.

Adakah liberalisme itu menjejaskan agama?

Apabila kita bercakap soal liberalisme dan faith, liberalisme dan agama, bermakna kita bercakap mengenai pluralisme agama.

Dalam pengalaman Barat, dia terpaksa meng’adjust’, ataupun membuat reformasi-reformasi kepada agama dan dia mencadangkan kepada semua agama.

Di sana ada empat mazhab paling kurang, pendekatan yang digunakan untuk mendefinisikan balik agama, supaya agama ini boleh hidup sejajar, atau dalam bahasa Arab disebut ‘ta’ayush’, hidup bersama dalam konteks kepelbagaian.

Yang pertama, ideologi humanisme. Yang menjadikan manusia sebagai matlamat dan tertinggi mengatasi yang lain termasuk agama. Selain itu, culture dan agama boleh diketepikan untuk disejajarkan dengan fahaman humanisme.

Kedua, kita tengok ada mazhab John Hick, yang dipopularkan oleh August Comte. John Hick membawa idea iman itu ialah spritual, hanya hubungan spritual dia dengan sesuatu yang tidak tentu. Individu punya spritual, kepercayaan, itu sahaja.

Ada lagi mazhab lain yang mencantum-cantumkan agama ini, mana-mana baik daripada mana-mana agama kita cantum jadi satu agama.

Satu lagi, pendekatan sufi sikit, ‘hikmat yang kekal abadi’, yang mengatakan bahawa agama ini semua sama sahaja, cuma bezanya simbol dan approach. Islam, Hindu, Buddha, Kristian semua sama hakikatnya, cuma approach sahaja berbeza.

Semua kefahaman ini adalah bercanggah dengan Islam. Jadi kalau kita nak apply liberalisme, Islam dalam mafhum dan huraian-huraian seperti ini, dia adalah secara total bersalahan dan tidak boleh diterima oleh Islam.

Sebab itu Islam adalah satu agama yang menyeluruh, dan liberalisme juga merupakan dibawa dalam bentuk pemahaman yang menyeluruh, absolute, inklusif dan sebagainya.

Dia tidak mungkin berlaku liberalisme duduk di bawah agama, kecuali kalau orang liberal setuju duduk di bawah sistem Islam.

Kalau mereka tidak bersetuju bahawa liberalisme duduk di bawah Islam – kalau boleh diterjemahkan liberalisme itu sebagai freedom sahaja – tapi saya memahami liberalisme lebih jauh daripada semata-mata freedom.

Kalau liberalisme tidak boleh menerima duduk di bawah Islam, begitu jugalah Islam tidak mungkin diolah-olahkan mengikut kehendak liberalisme sebab liberalisme adalah hanya pemikiran manusia yang akan berubah-ubah dan Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT.

Adakah ia bercanggah dengan akidah Islam?

Dalam Islam kita percaya kepada Tuhan yang mencipta, Tuhan yang mentasyrik, yang memberikan perundangan dan hukum, yang memberikan kita tunjuk ajar mengenai hak dan batil, betul ataupun salah, yang memberikan kita panduan tentang disiplin dan asas-asas dalam pembinaan kehidupan.

Jadi kalau kita ‘reject’ peranan Allah dan menolak rujukan itu, persoalan itu boleh menyentuh kepercayaan dan akidah kita.


Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden Isma



http://www.ismaweb.net/2015/09/islam-dan-liberalisme-tidak-seiringan-presiden-isma/

Monday, 21 September 2015

Liberalisme Harus Tunduk Kepada Islam

Islam tidak boleh bergerak bersama-sama liberalisme kecuali orang liberal setuju untuk ikut sistem Islam, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.
 
Beliau berkata, liberalisme hanya boleh wujud bersama Islam jika ia bersedia untuk mengikut sistem Islam kerana ideologi ini adalah sistem buatan manusia yang mudah dibentuk berbanding agama daripada Allah.



“Jika liberalisme cuba mendefinisikan atau mereformasikan Islam mengikut kehendak-kehendak atau asas liberalisme, maka itu mungkin tidak dapat diterima oleh Islam.

“Kerana Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah dan ia tidak boleh ditokok tambah oleh mana-mana pihak,” katanya selaku tetamu jemputan dalam persidangan anjuran Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang bertajuk Liberalisme and Faith: Do they go hand-in-hand (Liberalisme dan kepercayaan: Adakah ia seiringan?) di ibu negara hari ini.

Ustaz Abdullah berkata, dalam Islam tidak ada orang agama yang bercakap bagi pihak Tuhan seperti agama Kristian, Hindu dan Buddha sebaliknya Islam mempunyai ahli ulamak atau orang alim.

Beliau yang mewakili suara Islam dalam persidangan itu berkata, jika Islam cuba diserasikan dengan liberalisme sehingga terpaksa melakukan reformasi kepada Islam sebagaimana yang cuba dilakukan oleh puak ‘Islam liberal’ yang menggunakan metodologi Barat di ‘zaman kegelapan’ dulu, maka ia tidak akan boleh diterima Islam.

“Jika liberalisme cuba untuk mentakrifkan semula atau mereformasikan Islam mengikut permintaan dasar liberal, ia mungkin tidak akan dapat diterima oleh Islam.

“Kalau liberalisme tidak boleh diterima duduk di bawah Islam, maka Islam tidak mungkin diolah untuk mengikut kehendak liberalisme sebab ia hanya pemikiran manusia yang akan berubah-ubah sedangkan Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT,” katanya.

Turut terlibat tiga lagi panel iaitu Pengarah Eksekutif, Islamic Renaissance Front (IRF), Dr Ahmad Farouk Musa, Pensyarah Universiti of Nottingham, kampus Malaysia, Prof Zaharom Nain, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Kristian Malaysia, Dr Partricia Martinez dan Dr Maszlee Malik selaku moderator.



 http://www.ismaweb.net/2015/09/liberalisme-wujud-bersama-islam-jika-ikut-sistem-islam/

Sunday, 20 September 2015

Mempertegas Kesultanan dan Kerajaan bersempena Hari Malaysia — Aidil Khalid

Pada tahun 1977, seorang hakim Mahkamah Persekutuan pernah mengungkapkan seuntaian kata-kata yang amat penting dalam menetapkan hala-tuju negara ini sebagai sebuah negara-bangsa yang merdeka lagi berdaulat. Hakim tersebut, yang kemudiannya diangkat menjadi Ketua Hakim Negara dan telah menulis begitu banyak penghakiman penting yang menjadi rujukan sehingga ke hari ini, juga kemudiannya telah ditabalkan sebagai Sultan yang berdaulat bagi memerintahkan negeri Perak Darul Ridzuan, iaitu Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah, ayahanda kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak yang memerintahkan negeri bertuah tersebut pada hari ini.

Dalam penghakimannya pada tahun 1977, dalam kes Loh Kooi Choon lwn Kerajaan Malaysia [1977] 2 MLJ 187, baginda telah menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tapak asas kepada tata-kelola negara ini adalah sebuah perlembagaan yang mandiri, iaitu berdiri atas kakinya sendiri — atau stands in its own right — tanpa sebarang keterikatan kepada tafsiran ataupun sistem keperlembagaan yang diamalkan oleh mana-mana negara lain, atau terhadap mana-mana pengaruh dari luar.

Whatever may be said of other Constitutions,” kata baginda dalam penghakiman tersebut, “they are ultimately of little assistance to us because our Constitution now stands in its own right and it is in the end the wording of our Constitution itself that is to be interpreted and applied, and this wording ‘can never be overridden by the extraneous principles of other Constitutions.’” (Apa pun yang diperkataan berkenaan Perlembagaan-Perlembagaan dari negara lain, hakikatnya Perlembagaan negara kita hendaklah berdiri pada kakinya sendiri, serta ungkapan-ungkapan yang terkandung di dalamnya mesti ditafsirkan ‘tanpa membenarkan unsur-unsur asing dari Perlembagaan negara lain mengatasi peruntukan dalam Perlembagaan kita sendiri’).

Kata-kata baginda ini menjadi titik bersejarah, kerana selama ini kita sering dipasung dalam suatu kefahaman bahawa kononnya Perlembagaan Persekutuan yang kita terima pakai sebagai undang-undang tertinggi negara, dan perundangan-perundangan lainnya yang berkuat kuasa, adalah berasaskan kepada sistem yang diwarisi daripada kerajaan British, dan oleh yang demikian tafsiran dan tata-kelolanya hendaklah mengikut acuan dan cara yang ditinggalkan oleh British. Tetapi dengan untaian penghakiman oleh baginda yang arif lagi bijaksana ini, maka naratif perundangan negara kita sebagai negara yang merdeka lagi berdaulat telah diberikan nafas baharu yang segar dan bebas daripada pasungan fahaman kepenjajahan.

p1 pix azla_c1061932_14528_154_v01
Almarhum D.Y.M.M. Sultan Azlan Shah — hak milik foto oleh The Sun Daily

Bahkan kalau diteliti penghakiman-penghakiman lampau berkenaan dengan tafsiran keperlembagaan kita, keputusan oleh baginda Almarhum D.Y.M.M Sultan Azlan Shah itu sebenarnya bukanlah pertama kali dan bukanlah tanpa duluan. Lebih awal daripada itu lagi, iaitu tepatnya pada 14 September tahun 1963 (hanya dua hari sebelum perjanjian Malaysia dikuat-kuasakan pada 16 September 1963) Mahkamah telah diletakkan dengan tanggungjawab untuk memutuskan suatu kes penting di antara Kerajaan Kelantan lwn Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Tunku Abdul Rahman (1963) 29 MLJ 355. Pada asasnya dalam kes terebut, Kerajaan Kelantan mencabar hak kerajaan persekutuan Tanah Melayu untuk masuk ke dalam perjanjian Malaysia, tanpa terlebih dahulu mendapatkan persetujuan dan perkenan daripada kerajaan Negeri Kelantan. Tanpa perlu untuk masuk ke dalam isu-isu yang rumit lagi ruwet dalam kes tersebut, apa yang relevan untuk dipetik di sini adalah ungkapan oleh Ketua Hakim pada ketika itu, Thomson C.J., yang senada dengan apa yang bakal diungkapkan oleh Almarhum D.Y.M.M. Sultan Azlan Shah sedekad setengah kemudiannya seperti yang telah dipetik di atas.

[T]he Constitution,” kata Thomson C.J., “is primarily to be interpreted within its own four walls and not in the light of analogies drawn from other countries such as Great Britain, the United States of America or Australia.” (Perlembagaan kita hendaklah ditafsirkan menurut tafsirannya sendiri tanpa mengambil analogi daripada negara-negara lain seperti Great Britain, Amerika Syarikat atau Australia).
Kedudukan ini amat penting untuk kita amati dan fahamkan, dan setelah itu hayati dan terapkan, terutamanya dalam menerajui masa depan negara, lebih-lebih lagi pada hari ini dalam suasana yang begitu rencam, dan dalam pada pelbagai aliran dan fahaman serta pandangan dan pemikiran berebut-rebut untuk mengisi makna dan naratif negara-bangsa yang kita cintai ini, sehingga keretakan kepada perpaduan semakin hari menjadi semakin parah.

Orang-orang yang bijaksana sering menyatakan bahawa langkah awal bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan adalah dengan terlebih dahulu mengenal pasti akan masalah tersebut sebagai sedia adanya, tanpa sekali-kali membenarkan diri berada dalam keadaan penafian. Justeru amatlah penting agar kita tidak berada dalam penafian terhadap hakikat bahawa negara kita sedang dirundung krisis perpaduan yang amat teruk, dan kita mestilah memperakuinya seperti sedia adanya, kerana dari situ barulah jelas dan mudah bagi mencari jalan penyelesaiannya.

Setelah 58 tahun kita lewati tarikh keramat kemerdekaan tanah air dan 52 tahun persekutuan ini dikenali sebagai Malaysia, kita menyaksikan pergelutan sengit tentang identiti negara ini. Kita pergaduhkan dan tidak sepakat akan tuju dan arah yang wajar diambil dalam melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara-bangsa yang merdeka. Kita umpama bahtera yang membedah lautan bergelora dan taufan, tetapi alangkah malang kerana nakhodanya tidak tahu membaca peta dan arah, manakala para kelasinya pula saling berebut bagi membawa kapal ke arah yang berlainan dan bertentangan antara sesamanya, apatah para penumpangnya terpinga-pinga tidak tahu ke mana akan dibawa.

Sungguhpun kita tahu bahawa kita adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, tetapi demokrasi yang bagaimana tidaklah pula dapat disepakati, bahkan dipergaduhkan pula apakah demokrasi dalam erti membiarkan kebebasan tanpa batasan sehingga hilangnya adab dan adat leluhur bangsa, ataukah demokrasi dalam erti yang mesti disemak dan diimbangkan secara murni dengan sejarah kita yang bukan sahaja panjang dan kaya, tetapi juga besar dan megah? Kita juga menyaksikan percanggahan mengenai makna Raja Berperlembagaan yang menaungi tatakelola negara ini, apakah cukup sekadar mengangkat seorang Raja itu sebagai hiasan dan simbol semata-mata dengan mengambil tradisi asing Constitutional Monarchy ala British sebagai acuan, ataukah Raja Berperlembagaan dalam erti yang difahamkan dalam psyche masyarakat tempatan yang telah berakar-umbi berkurun lama seperti yang pernah diikrarkan di antara Demang Lebar Daun dan Raja Sri Tri Buana dalam Sejarah Melayu? Demikian juga dalam pada kita menerima Islam adalah agama persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi tidaklah pula kita sepakati apakah makna, kesan dan sejauh manakah pengaruhnya dalam menjadi kuasa penentu terhadap sistem tata-kelola negara.

Maka amatlah penting untuk kita kembali menghayati semangat Perlembagaan Persekutuan dalam rohnya yang sebenar, iaitu bukan sebagai sebuah dokumen yang dipasung oleh tafsiran dan sistem keperundangan British (seolah-olah kita sebuah negara yang belum merdeka), tetapi sebagai sebuah dokumen perjanjian yang pengisian dan tafsirannya hendaklah berasaskan kepada sistem kesultanan dan kerRAJAan yang berdaulat.

Seperti yang diungkapkan oleh Thomson C.J.:
[A]lthough the Constitution forms an important part of the municipal law of the country,” kata beliau dalam Kerajaan Negeri Kelantan melawan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, “it is also part of an Agreement between the previously sovereign States that went to make up the Federation of Malaya…” (Selain Perlembagaan kita menjadi perkara utama dalam tata-kelola negara ini, ia juga adalah sebahagian daripada Perjanjian di antara negeri-negeri yang sememangnya berdaulat yang kemudiannya menjadi Persekutuan Tanah Melayu).
Kata kuncinya di sini adalah “negeri-negeri yang sememangnya berdaulat” dan oleh yang demikian bukanlah negeri-negeri yang berada dalam jajahan. Hal ini bererti Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen yang dimasuki dan dipersetujui oleh pihak-pihak yang masing-masingnya adalah ketua di negeri masing-masing.

Dalam kes yang sama, Thomson C.J. turut menyatakan:
“The parties to that Agreement were Her Britannic Majesty, as the Sovereign of the then British Settlements (which later became States) of Penang and Malacca, and the Rulers of the nine Malay States of Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Trengganu and Perak.” (Pihak-pihak dalam Perjanjian tersebut adalah Raja British sebagai ketua di negeri Pulau Pinang dan Melaka, serta Raja dan Sultan di sembilan negeri-negeri Melayu, termasuk Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak).

Hal ini menunjukkan bahawa Mahkamah kita mengiktiraf hakikat bahawa sejarah negara ini tidak bermula dengan tahun 1957, atau tahun 1963, sebaliknya keRAJAan dan peradaban negara ini — walaupun sebagai sebuah negara seperti yang ada pada hari ini belumlah terbentuk sebelum daripada tahun 1957 itu — sebenarnya telah pun lama wujud sebagai negeri-negeri yang berdaulat atas nama dan takhta Raja-Rajanya sendiri.

Perkara ini bahkan diperakui oleh kerajaan British pada tahun 1894, iaitu 63 tahun sebelum daripada kita menyambut hari kemerdekaan tanah air. Seperti yang dilaporkan dalam sebuah kes Mighell v Sultan of Johore [1894] 1 Q.B 149, ketika diminta penjelasan berkenaan status kedaulatan negeri Johor dan sultannya pada ketika itu, Setiausaha Negeri bagi Tanah-Tanah Jajahan British telah memberikan jawapan seperti berikut:-
[T]hat Johore was an independent state and territory in the Malay peninsula, and that the defendant was the present sovereign ruler thereof; that the relations between the Sultan and Her Majesty the Queen, which were relations of alliance and not of suzerainty and dependence, were regulated by a treaty made on December 11, 1885, of which a copy was enclosed; that the Sultan had raised and maintains armed forces by sea and land, had organised a postal system, dispenses justice through regularly constituted courts, had founded orders of knighthood, confers title of honour; and, generally speaking, exercised without question the usual attributes of a sovereign ruler.”
(Bahawa Johor adalah negeri dan wilayah yang merdeka di semenanjung Tanah Melayu, dan bahawa defendan dalam kes ini adalah Sultan yang berdaulat terhadap negeri tersebut; bahawa hubungan di antara Sultan tersebut dengan Ratu British yang merupakan hubungan di antara rakan perikatan dan bukan penguasaan atau penjajahan adalah diikat oleh perjanjian bertarikh 11 Disember 1885, yang sesalinannya dikepilkan disini; bahawa Sultan tersebut ada memiliki kekuatan tenteranya sendiri di lautan dan di daratan, ada memiliki sistem postalnya sendiri, serta turut mengendalikan perundangan dan keadilan melalui Mahkamah yang sah, ada memberikan dan menganugerahkan tingkat-tingkat penghargaan dan pangkat kenamaan; dan secara umumnya tanpa syak lagi sememangnya memegang, melaksanakan dan mempunyai ciri-ciri serta sifat-sifat seorang raja yang berdaulat.)
Atas hakikat ini, Hakim British yang membicarakan kes tersebut telah memutuskan bahawa Mahkamah Britain tiada bidang kuasa bagi mendengar dan membicarakan seorang Raja yang berdaulat. Penting untuk diulangi di sini bahawa keputusan ini diputuskan lama sebelum daripada 31 Ogos tahun 1957 mahupun 16 September tahun 1963.

Demikian juga dalam sebuah lagi kes, Duff Development Company Limited v Government of Kelantan and Another [1924] A.C. 797 di mana cubaan untuk menyaman Kerajaan Kelantan di Mahkamah Britain yang dibicarakan pada tahun 1924 telah dibuang atas sebab sama, iaitu Mahkmah Britain tiada hak apa lagi bidangkuasa bagi membicarakan Kerajaan Kelantan sebagai kerRAJAan yang berdaulat dan oleh yang demikian hanya boleh disaman di Mahkamah di negerinya sendiri.

Mengingat dan menginsafi akan hakikat ini — iaitu bahawa Raja dan Sultan Melayu adalah Raja dan Sultan yang berdaulat atas nama dan takhtanya sendiri — amatlah penting untuk kita mempertegas kedudukan negara-bangsa yang kita cintai dan kenali sebagai Malaysia pada hari ini: iaitu bahawa negara ini dibentuk atas persetujuan oleh Raja-Raja Melayu, atas kedaulatan dan takhta mereka masing-masingnya, untuk kemudiannya bergabung dan bersatu bagi membentuk sebuah persekutuan. Persekutuan yang dibentuk oleh Raja-Raja dan Sultan-Sultan Melayu ini kemudiannya diperkuatkan lagi ikatannya, apabila perjanjian Malaysia dimeteraikan dengan Sabah dan Sarawak (dan Singapura yang kemudiannya keluar daripada persekutuan), sehingga terbentuklah Malaysia seperti hari ini.

Seperti mana laungan kemerdekaan tujuh kali pada 31 Ogos tahun 1957 diiringi kemudiannya dengan laungan azan oleh Datuk Hassan Azhari sebagai simbolik tunduk dan patuhnya negara ini dengan hukum-hukum dan perintah-perintah Allah SWT, maka amatlah molek dan wajar kiranya sekalian warga Malaysia pada hari ini, tanpa mengira bangsa dan agama, juga dapat memeperingati kembali akan doa yang dibacakan oleh Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said, mufti Pertama Negeri Sembilan, ketika pengisytiharan Kemerdekaan Negara di Stadium Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj:
“Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekalian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.
“Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan. Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.
“Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.
“Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan. Ya Allah! Awasilah dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan bentengMu yang tidak mudah diterima.”
 
*Aidil Khalid ialah aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ).

Friday, 18 September 2015

Siapa Rafidah Untuk Menidakkan Bangsa Melayu?

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin mengesyorkan kepada bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz untuk belajar semula sejarah kemerdekaan negara serta memahami tujuh wasiat Raja-Raja Melayu.
 
“Rafidah patut belajar semula sejarah. Saya tidak sangka seorang bekas menteri, seorang bekas pemimpin parti Melayu Umno tidak faham tentang keistimewaan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak patuh kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutamanya artikel 153, 152 dan 89 yang bersabit dengan keMelayuan.



“Kenyataan dia itu tidak berpijak di bumi yang nyata. Siapa dia untuk menidakkan bangsa Melayu? Tuhan?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Rafidah yang mahukan bangsa Melayu untuk tidak lagi memperkenalkan diri mengikut kaum berikutan hidup di negara majmuk. Rafidah juga berkata Tanah Melayu kini sudah tiada, yang ada cuma Malaysia.

Menyifatkan Rafidah sebagai warga derhaka kepada tanah Melayu ini tegas Ustaz Hafiz, sebagai bekas menteri dia sewajarnya menasihatkan bangsa-bangsa lain dalam negara ini agar menghormati bangsa asal dan bangsa yang lebih awal menjadi penghuni bumi Melayu ini.

“Sedangkan Allah adalah pencipta semua bangsa-bangsa di dunia ini termasuk bangsa Melayu yang dikasihi.

“Nabi Muhammad SAW tidak pernah malu untuk mengaku sebagai seorang Arab berbangsa Quraish walaupun negara yang dipimpin oleh Nabi SAW lebih majmuk dari masyarakat Malaysia.

“Nabi juga tidak pernah cuba untuk memadamkan bangsa-bangsa yang wujud dalam negara pimpinan baginda.

“Jadi saya ingatkan kepada semua umat Melayu untuk tidak terpengaruh dengan fahaman songsang Rafidah itu,” katanya.



http://www.ismaweb.net/2015/09/siapa-rafidah-untuk-menidakkan-bangsa-melayu/