Bukan Islam Tak Patut Halang

Himpunan Aman UMMAT 24 Jun 2016

Himpunan Aman A355?

Himpunan Aman UMMAT 24 Jun 2016

Kuasa Veto Melayu

Kenali Kuasa VETO Melayu Di Dalam Perlembagaan

Vernakular Melayu Telah Dikorbankan

Bagaimana Pula Dengan Vernakular Lain?

Tahniah Ah Jib Gor

Ke Arah Melahirkan Malaysia Moden Dengan Warganegara Tidak Tahu Berbahasa Kebangsaan?

Saturday, 31 January 2015

Video : Sembang Isu Semasa Bersama Pengerusi PEMBELA


Thursday, 29 January 2015

Kenyataan Media PEMBELA: Menuntut Penjelasan Status Tindakan Pihak Bertanggungjawab Dalam Isu KPop




Perkembangan perlahan dan tindakan lemah dalam menangani isu penghinaan terhadap undang-undang serta prinsip-prinsip Rukun Negara oleh penganjur konsert KPop, mengundang pihak kami untuk memberikan kenyataan rasmi ini.

Kami, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) ingin menuntut pihak yang berkepentingan dan bertanggungjawab di dalam isu perlakuan kurang sopan di dalam konsert KPop yang berlangsung baru-baru ini, untuk tampil memberikan penjelasan mengenai perkara-perkara berikut :

1)     Apa status serta peringkat siasatan PDRM berkenaan isu pencabulan maruah dan gangguan seksual ke atas wanita-wanita Islam di pentas secara terbuka oleh segmen di dalam konsert tersebut?

2)     Kenapa Penganjur yang jelas melanggar syarat permit oleh PUSPAL (AGENSI PUSAT PERMOHONAN PENGGAMBARAN FILEM DAN PERSEMBAHAN ARTIS LUAR NEGARA) di bawah Kementerian Komunikasi & Multimedia, masih belum dikenakan apa-apa tindakan termasuk pembatalan permit untuk konsert-konsert KPop yang bakal menyusul?

3)     Kenapa Pihak Berkuasa yang bertanggungjawab di dalam soal kelulusan permit persembahan membenarkan konsert dengan pengisian yang mencemarkan Kedaulatan Islam sebagai Agama Negara dan prinsip-prinsip asas Rukun Negara dijalankan di bumi Malaysia?

4)     Jelas melalui pelbagai bentuk pendedahan yang telah dibuat, sebahagian besar dari elemen KPop ini telah disalahgunakan oleh gerakan evangelis Antarabangsa dan digunakan untuk menyebarkan dakyah Kristianisasi secara halus ke seluruh dunia.Di Malaysia ia jelas melanggar Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan berkenaan sekatan dakyah agama bukan Islam kepada umat Islam. Kenapa sesetengah artis KPop yang jelas terlibat secara langsung dengan usaha perkembangan dakyah ini dibenarkan masuk ke Malaysia dan diakses oleh peminat mereka secara terbuka?

5)     Kenapa PUSPAL tidak menjadikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai stakeholder yang mesti dirujuk sebelum sesuatu permit persembahan itu diluluskan? JAKIM juga hendaklah mengambil sikap tegas di dalam memastikan tiada umat Islam dibenarkan melanggar batasan hukum-hukum Islam sebelum sesuatu permit persembahan itu dibenarkan.

6)     Kenapa Y.B. Menteri dan Timbalan Menteri Komunikasi & Multimedia seolah bersikap lepas tangan di dalam isu yang berlaku ini, sedangkan PUSPAL berada di bawah kementerian Y.B.?

7)     Kenapa Y.B. Menteri dan Timbalan Menteri Komunikasi & Multimedia membenarkan sumpah perjawatan Yang Di Pertuan Agong untuk memelihara Agama Islam setiap masa dikompromi dengan sikap berlepas tangan dalam isu ini?

8)     Suasana konsert dan percampuran antara pelbagai jantina yang bebas tanpa kawalan di dalam konsert tersebut mendedahkan para remaja yang menghadirinya kepada elemen-elemen negatif seperti pencabulan, penggunaan bahan-bahan terlarang, membuang masa dan pembaziran masa, kewangan dan tenaga yang amat ketara. Jika negara ingin fokus kepada pembentukan sahsiah anak muda negara bagi mencapai status negara maju yang unik, kenapa perkara seumpama ini dibenarkan berlaku?

PEMBELA tidak menentang keterbukaan dalam pengimportan budaya-budaya bermanfaat dari luar negara seperti sikap berdisplin, teknologi dan ilmu, sikap mementingkan kebersihan dan integriti, kebudayaan dan kesenian bernilai tinggi yang memberi impak kepada ketamadunan manusia yang berhemah cemerlang.

Apa yang ditentang oleh PEMBELA, ialah pengimportan budaya-budaya rosak, lucah, budaya yang boleh meruntuhkan anak-anak muda yang merupakan tiang seri negara, budaya membuang masa dan tidak produktif untuk negara.

Justeru itu, pihak kami ingin menuntut, pihak PUSPAL di bawah Y.B. Menteri dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Pihak Berkuasa Tempatan, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) tampil memberikan penjelasan kenapa sehingga hari ini, pihak penganjur yang jelas telah melanggar syarat-syarat permit PUSPAL, Prinsip-Prinsip Asas Rukun Negara, Menghina Islam sebagai Agama Negara, masih belum dikenakan tindakan yang tegas oleh pihak yang berwajib.

Pihak kami juga ingin mendesak supaya konsert susulan yang bakal berlangsung pada 7 Februari 2015 ini, ditarik balik permit kebenarannya. Ia sehingga pihak PUSPAL dapat membuktikan Garis Panduan PUSPAL yang dibuat oleh pihak mereka, benar-benar dapat dibuktikan berupaya mengawal, mengekang serta berupaya untuk mengambil tindakan ke atas sebarang perlakuan yang melanggar syarat-syarat permit. Setakat ini, berdasarkan kes B1A4, PUSPAL nyata tidak berdaya untuk mengawal selia Garis Panduan tersebut yang berada di bawah tanggungjawab mereka.

Kepada pihak-pihak yang telah diamanahkan dengan kuasa pemerintahan dan tanggungjawab dalam memelihara asset negara ini, iaitu generasi anak-anak muda kita, tolong jangan jadikan Malaysia sebagai negara lambakan serta longgokan budaya-budaya yang tidak diingini.



Bersama Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara,


Ustaz Mohamed Hafiz bin Mohamed Nordin,
Pengerusi,
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

Wednesday, 28 January 2015

Makluman Blog Baru GAP

Antara pihak yang banyak menyokong laman web dan blog NGO Islam dan perjuangan tidak bias dalam perjuangan Islam dan Melayu di sini ialah Tuan GAP dari blog Gerakan Anti PKR.

Blog GAP juga banyak memanjangkan isu-isu yang ditimbulkan oleh pihak kami di Bangkit.info ke medan yang lebih lanjut supaya sentiasa mendapat akses kepada ruang khalayak yang lebih luas dan ramai.

Usaha Tuan GAP dalam membantu memanjangkan isu-isu yang dibangkitkan amatlah kami hargai.

Walaubagaimanapun, Blog lamanya menghadapi masalah. Pautan baru kepada blog terbarunya boleh diklik pada gambar di bawah :


http://gerakan-anti-pkr-new.blogspot.com/

Sama-sama kita menyokong dan bersatu dalam satu saf dengan satu persamaan perjuangan iaitu meninggikan kembali Islam di negara ini.

Pesan Jesus, Pelampau dan Peti Undi

Oleh : Imran Haaz

Hukum Yang Paling Utama
Bila Jesus bertegas menyatakan hukum yang paling utama ialah, mengakui dan beriman bahawa Tuhan itu Maha Esa, mereka ini bertegas mengatakan Tuhan itu Tiga dalam satu.

Jesus mengatakannya di dalam Mark (Markus) Fasal 12 ayat 28 hingga 30.

(28) One of the teachers of the law came and heard them debating. Noticing that Jesus had given them a good answer, he asked him, “Of all the commandments, which is the most important?” (29) “The most important one,” answered Jesus, “is this: ‘Hear, O Israel: The Lord our God, the Lord is one. (30) Love the Lord your God with all your heart and with all your soul and with all your mind and with all your strength.’

Mereka tidak mengikuti pesannya. Jelas mereka ini adalah pelampau.

Hukum Yang Kedua Utama
Kemudian apabila Jesus mengatakan hukum yang kedua paling utama ialah menyayangi jiran-jiran sepenuh jiwa dan raga. Mereka-mereka ini saban minggu dan hari menyakiti hati dan perasaan jiran-jiran mereka dengan menghina Tuhan yang disembah jiran-jiran mereka. Nama Allah dihina dan disyirikkan mereka dengan sabitan-sabitan sifat makhluk yang tidak sepatutnya.

Jesus menyatakannya di dalam Mark (Markus) Fasal 12 ayat 31.

(31) The second is this: ‘Love your neighbor as yourself. There is no commandment greater than these.”

Mereka tidak mengikuti pesannya. Jelas mereka ini adalah pelampau.

Hukum Taurat Perlu Ditegakkan
Apabila Jesus mengatakan bahawa hukum-hukum Tuhan di dalam Taurat mesti ditegakkan kembali di dunia, mereka berpakat-pakat menghina, mencebik serta bermati-matian menentang perlaksanaan hukum-hukum Tuhan di muka bumi ini.

Jesus mengatakannya di dalam Mathhew (Matius) fasal 5 ayat 17 – 19.

17 Think not that I am come to destroy the law, or the prophets: I am not come to destroy, but to fulfil. 18 For verily I say unto you, Till heaven and earth pass, one jot or one tittle shall in no wise pass from the law, till all be fulfilled. 19 Whosoever therefore shall break one of these least commandments, and shall teach men so, he shall be called the least in the kingdom of heaven: but whosoever shall do and teach them, the same shall be called great in the kingdom of heaven.
Apa itu hukum-hukum Tuhan yang disebut di dalam Taurat? Ia tidak banyak berbeza dengan hukum Hudud & Qisas yang sedang mahu ditegakkan semula di Malaysia ini.

Malah Rasulullah s.a.w. semasa memerintahkan penzina muhsan Yahudi dihukum dengan hukuman Taurat, baginda kemudiannya menyatakan perkara berikut :
“Ya Allah, sesungguhnya akulah orang yang pertama-tama sekali menghidupkan kembali Sunnah-sunnahMu setelah mereka hapuskan perintah tersebut.”

Ia diucapkan setelah Abdullah bin Salam r.a.,salah seorang pendita Yahudi yang memeluk Islam membongkarkan pembohongan golongan agama Yahudi yang menukar hukum-hukum Tuhan dengan hukum-hukum moderate dan liberal mengikut hawa nafsu mereka.

Hadis tersebut merupakan hadis yang menjadi Asbabun Nuzul ayat 41 surah al Maidah dan dicatatkan di dalam Sahih Bukhari dan Muslim 1.

Pelampau Kristian di Malaysia bersatu menentang hukuman Tuhan. Mereka tidak mengikuti pesan Jesus kepada mereka. Jelas mereka ini adalah pelampau.

Undang-Undang Negara Mesti Dihormati
Apabila Jesus mengatakan hak negara mesti diberikan kepada negara dan dihormati, mereka saban minggu dan hari mencabar dan menentang undang-undang negara dan memaksa undang-undang negara untuk mengikuti kehendak mereka.

Jesus mengatakannya di dalam Mark (Markus) fasal 12.

17. And Jesus said to them, "Render to Caesar the things that are Caesar's, and to God the things that are God's." And they were amazed at Him.

Mereka tidak mengikuti pesannya. Jelas mereka ini adalah pelampau.

Elakkan Konfrontasi
Apabila Jesus memberi pesan supaya mengelakkan konfrontasi, mereka pula setiap hari, saat dan masa menimbulkan isu-isu tegang supaya konfrontasi antara golongan Islam dan Kristian dapat terus dipanaskan supaya mereka boleh menangguk di air yang keruh apabila tiba musim pilihanraya nanti.

Jesus mengatakannya di dalam Matthew (Matius) Fasal 5 ayat 35.

35. But I say unto you, That ye resist not with evil, but whosoever shall smite thee on thy right cheek, turn to him the other also.

Inilah dia mereka. Mereka tidak mengikuti pesannya. Jelas mereka ini adalah pelampau.

Apa Kata Jesus Mengenai Golongan Ini Di Kemudian Nanti?

Jesus, di dalam kitab mereka menyatakan akan wujud golongan manusia yang sentiasa perasan diri mereka berjuang dan melakukan setiap sesuatu atas namanya. Tetapi, pada hakikatnya, mereka itulah pelaku perbuatan jahat dan kerasukan syaitan.

Jesus menyatakannya di dalam Matthew fasal 7 ayat 22 hingga 23.

22 On that day many will say to me, ‘Lord, Lord, did we not prophesy in your name, and cast out demons in your name, and do many mighty works in your name?’ 23 And then will I declare to them, ‘I never knew you; depart from me, you workers of lawlessness.’

Amat jelas, Jesus sendiri melabelkan mereka sebagai golongan pembuat kejahatan.

Lihat sahaja sikap mereka-mereka ini disekeliling kita. Kewujudan mereka-mereka ini tidak membawa sebarang kebaikan kepada agama mereka, agama pihak lain dan negara.

Mereka tidak menghormati hukum dan aturan agama mereka. Mereka tidak menghormati agama orang lain dan mereka juga meludah undang-undang negara setiap hari.

Kenapa mereka boleh terus bebas bersikap demikian?

Jawapannya mudah, mereka bukanlah pengikut Jesus dalam erti kata dan keimanan yang sebenar. Mereka menjadi besar kepala di sini kerana ada di antara politikus kita di sini, telah sepenuhnya beriman dengan hakikat bahawa peti undi itulah tuhan yang menentukan jatuh bangun dan naik turun sesebuah pemerintahan.

Berhenti daripada terus bersikap lembut dengan golongan pelampau dan melayan semua kehendak-kehendak pelampau mereka.

Apakah Archbishop Cuba Menghasut Penganut Kristian Melanggar Undang-Undang Negeri Yang Diwartakan Bersabdarkan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan? 
Golongan pelampau yang masih berkeras mahu menentang undang-undang negara, menghina sistem mahkamah, menghina Ke Esaan Allah dengan menyabitkanNya dengan makhluk tiga dalam satu, sentiasa mengapi-apikan api kemarahan dan kebencian antara agama dengan sikap keras kepala mereka, mereka-mereka ini jelas bukan hanya tidak hormat kepada prinsip-prinsip Rukun Negara, malah mereka menentang ajaran yang dipesankan oleh Jesus sendiri kepada mereka sepertimana yang dibentangkan di atas.

Kepada pemerintah, sila ambil tindakan segera ke atas penghasut-penghasut yang terus menghasut rakyat beragama Kristian untuk terus menerus menghina Allah dalam cara mencemarkan namaNya yang suci di dalam agama mereka.

Tidak perlu takut untuk bertindak tegas. Ingat! Peti undi bukan Tuhan!




Nota kaki :


1)      Al Barra` bin 'Azib dia berkata, "Suatu ketika seorang Yahudi yang dicat hitam dan didera lewat di hadapan Nabi s.a.w., kemudian beliau memanggil mereka seraya bersabda: "Beginikah hukuman zina yang kalian dapati dalam kitab Taurat kalian?" mereka menjawab, "Ya benar." Lalu beliau memanggil seorang laki-laki yang tergolong dari ulama mereka, beliau bertanya: "Aku mengharap kamu mau bersumpah dengan nama Allah yang telah menurunkan kitab Taurat kepada Musa, betulkah begini caranya hukuman zina yang kalian dapati dalam kitab tauratmu?" dia menjawab, "Tidak, seandainya anda tidak menyumpahku dengan nama Allah, aku tidak akan mengatakan yang sebenarnya kepada anda. Dan yang kami ketahui dalam kitab Taurat, hukumannya adalah rajam, akan tetapi biasanya hukuman itu tidak berlaku bagi pembesar-pembesar kami, jika yang tertangkap itu dari pembesar, maka kami biarkan begitu saja, akan tetapi jika yang tertangkap rakyat kecil maka kami tegakkan hukum sesuai Taurat. Akhirnya kami bermusyawarah, membicarakan hukum yang dapat kami tegakkan bagi pembesar dan rakyat biasa. Lalu kami putuskan untuk membuat hitam tubuh dan mendera pelaku zina sebagai pengganti hukum rajam."

Setelah laki-laki itu selesai bicara, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ya Allah, sesungguhnya akulah orang yang pertama-tama menghidupkan kembali sunnah-Mu setelah mereka hapus perintah tersebut."

 Setelah itu, beliau memerintahkan supaya Yahudi yang berzina itu dihukum rajam, lalu Allah 'azza wajalla menurunkan ayat: '(Wahai rasul, janganlah kamu merasa sedih, karena orang-orang yang bersegera menuju kekafiran -hingga firman-Nya- Jika diberikan ini kepadamu, maka terimalah) ' (Al Maidah: 41).

Orang-orang Yahudi berkata, "Datanglah kalian kepada Muhammad s.a.w., jika beliau memutuskan hukuman kepadamu dengan menghitamkan tubuh dan didera, maka terimalah, namun jika dia berfatwa kepadamu dengan hukuman rajam, maka waspadalah.

Maka Allah Ta'ala menurunkan ayat: '(Barangsiapa tidak berhukum dengan sesuatu yang telah di turunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. Dan barangsiapa tidak berhukum dengan sesuatu yang telah diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang Zhalim. Dan barangsiapa tidak berhukum dengan sesuatu yang telah di turunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik' (Qs. Al Maidah: 44- 47). Hal ini juga berlaku kepada orang-orang kafir semuanya."



Al A'masy dengan isnad seperti ini sampai kepada perkataannya, "Lalu Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan untuk merajmanya, akhirnya dia pun dirajam." Dan tidak menyebutkan sesuatu setelahnya seperti turunnya ayat." (Sahih Muslim)


Pautan Asal:

http://satuhala.blogspot.com/2015/01/peti-undi-bukan-tuhan.html#ixzz3Q2XVweQS

Tuesday, 27 January 2015

Charlie Hebdo & Delusi Kebebasan Bersuara Di Barat!

Megat Rizal M.H.

Kalau masih ada yang mahu berkomentari bahawa Charlie Hebdo patut disokong dan didokong sebagai sebuah majalah satira yang mengagungkan kebebasan bersuara dan berekspresi, tonggak kepada liberte, egalite dan fraternite yang diagung-agungkan di Perancis dan di seluruh dunia Barat amnya, penulis berani mendakwa bahawa golongan ini sama ada kurang cerdik menghampiri kepada dungu yang melampau atau sememangnya buta mata dan buta hati.

Tidak dapat tidak. Inilah alasan yang paling logik untuk mengambarkan kegilaan yang ditunjukkan golongan ini apabila cuba ‘bersilat’ untuk mengkosherkan bentuk kebencian yang sering diwar-warkan oleh majalah anti Islam tersebut hanya kerana sidang editorialnya mampu untuk membuli kelompok masyarakat Muslim senegara dengan mereka dan dunia hanya kerana perbuatan tersebut merupakan sesuatu yang sangat trendy untuk dilakukan.

Jadi apabila baru-baru ianya dilaporkan bahawa jumlah keluaran khas majalah Charlie Hebdo setelah kejadian yang menyaksikan lebih daripada 12 orang dibunuh oleh apa yang diperkatakan sebagai pengganas Islam telah mencecah kepada tujuh juta keluaran setakat ini berbanding dengan lebih kurang tiga puluh ribu salinan saja setiap minggu sebelum itu, ianya sememangnya tidak mengejutkan.

Apa yang agak mengejutkan, menyedihkan sebenarnya lebih tepat lagi, ialah apabila sidang editorial yang ada, yang terselamat daripada tindakan ganas yang membunuh rakan-rakan mereka dengan kejam, masih berdendam dengan Islam dan Muslim yang dituduh bertanggungjawab dengan keganasan tersebut, walaupun Presiden Hollande dengan jelas telah menegaskan bahawa Muslim tidak patut dipersalahkan. Malangnya nasihat itu tidak hinggap ke telinga sidang editorial yang berbaki dan mereka memilih untuk berkonfrontasi dengan semua Muslim apabila sekali lagi menghina Nabi Muhammad SAW yang disanjung oleh 1.6 billion umat Muslim di dunia.

Hakikatnya, Muslim dan Islam masih lagi menjadi ‘tebusan sebenar’ kepada kejadiaan yang melanda Charlie Hebdo.

Lihat saja kepada pertambahan mendadak serangan bersifat kebencian terhadap Muslim di sekolah-sekolah dan jalan-jalan di Britain dan Perancis yang dikatakan semakin meningkat sejak insiden pembunuhan kejam di pejabat Charlie Hebdo itu. Lihat juga kepada insiden yang membabitkan beberapa orang yang disyaki sebagai pengganas di Belgium. Lihat juga dengan demo-demo anti Islam dan Muslim yang sedang berlaku di beberapa bandar besar Jerman. Ini semua boleh dikatakan berlaku kerana imej yang telah dipancarkan ke seluruh dunia, secara terancang dan sangat kalkulatif bahawa dua adik-beradik yang didakwa terlibat dalam kes Charlie Hebdo dikatakan sebagai Muslim yang memanjangkan keganasan bagi pihak kumpulan Al-Qaeda atas nama Islam.

Itu naratif yang sedang dijualkan kepada kita semua kini apabila insiden keganasan Charlie Hebdo berlaku. Ini jugalah naratif yang sering dijaja negara-negara dunia pertama Barat, sama ada di benua Amerika ataupun di benua Eropah, cuba untuk memberitahu kita dan rakyatnya khasnya, bahawa keamanan dan kemakmuran yang dinikmati mereka kini sangat dibenci dan dicemburui oleh ‘sekumpulan orang gila’ (baca Muslim) yang akan mengembom dan melakukan huru-hara kepada kebebasan peribadi dan cara hidup mereka. Lihat saja naratif yang dipersembahkan kepada dunia di atas pengeboman yang berlaku semasa acara larian di Boston suatu ketika dulu. Dua beradik imigran yang tidak disangka-sangka rupanya menyimpan niat untuk mengganas.

Naratif yang sama yang pernah digunakan semasa kejadian 9/11 sudah menjadi naratif klasik yang ‘membuktikan’ bahawa Muslim atas nama Islam akan menyerang Barat dan menganggu-gugat cara hidup mereka.

Apa benarkah Muslim sememangnya tidak pandai berjenaka?

Melihat kepada bantahan demi bantahan yang sedang mengambil tempat daripada negara-negara yang mempunyai penduduk Muslim daripada Eropah, Afrika, Timur Tengah sehinggalah ke Asia, terdapat cakap-cakap, termasuk juga daripada sesetengah tokoh-tokoh dungu buta hati di Malaysia yang kononnya Muslim patut belajar untuk menjadi sedikit terbuka dan mula belajar untuk menikmati jenaka dan satira.

Kata mereka lagi, semua orang dewasa patut belajar untuk menerima pelecehan dengan terbuka dan tiada sesiapa pun patut dicederakan jauh sekali dibunuh hanya kerana melakukan sesuatu ejekan. Mungkin kita boleh melihat dunia seliberal itu. Namun apa yang penulis tidak faham ialah golongan liberalis ini juga yang tidak boleh menerima hakikat bahawa cara orang ‘bersatira’ dan ‘berjenaka’ berbeza. Begitu juga dengan cara untuk seseorang menyuarakan pendapatnya atau menunjukkan ‘kebebasan berekpresi tanpa batasan’?!

Bagaimanakah mampu kita mendefiniskan kebebasan berekspresi tanpa batasan?

Bukankah tanpa batasan sudah memberikan konotasi, apa saja tanpa sekatan dan had, walaupun ekstrem, seekstrem penghinaan ke atas Muslim dengan karikatur Nabi Muhammad SAW?

Jadikah kenapakah perlakuan ekstrem yang diperlakukan sesetengah orang layak dikritik dan dikutuk dunia manakala yang lain tidak? Bukankah sebarang bentuk ektremisme juga patut dikritik, sama ada ianya diperlakukan oleh kumpulan Muslim, Yahudi, Kristian, Buddhis, Hindu ataupun Ateis sekalipun?

Masalahnya jutaan rakyat Perancis yang keluar ke bandar-bandar di seluruh Perancis yang berarak dalam apa yang dinamakan sebagai ‘unity march’ oleh Presiden Hollande, bersama dengan beberapa pemimpin dunia yang lain, termasuk dengan penyembelih Gaza, Benjamin Netanyahu, bukan berarak untuk menegakkan kebebasan bersuara dan berekpresi secara tanpa sekatan, tetapi lebih kepada menangisi kegagalan sistem yang diamalkan oleh mereka sebenarnya. Sistem kebebasan tanpa sempadan yang bebas menghina dan menyemai kebencian dikalangan mereka dan orang lain yang tidak berkongsi sentimen atau gaya hidup yang sama dengan mereka.

Kenapakah Islam dan Muslim berterusan dihina hanya kerana mereka memilih untuk hidup dengan gaya hidup dan budaya yang berbeza dengan mereka-mereka yang lain?

Kenapakah pula golongan bukan Muslim bebas untuk menjadi apa saja dan berpakaian dengan gaya apa saja, sebebas Lady Gaga, namun kebebasan yang sama tidak layak diberikan kepada Muslim?

Hipokrasi apakah yang sedang dipermainkan di Barat kini, dan kenapakah terdapat sesetengah daripada kita yang mahu mengimpot sikap talam dua muka ini yang tidak memberikan sebarang kebaikan kepada kita di Malaysia?

Hakikatnya ketika sesetengah daripada kita bercakap perihal Charlie Hebdo dan kebebasan berkarya pengkarya-pengkarya mingguan satira tersebut, tahukah kita bahawa pada tahun 2009 Maurice Sinet telah dipecat daripada Charlie Hebdo hanya kerana menuduh anak Presiden Sarkozy, Jean Sarkozy, 22 akan masuk Yahudi atas sebab-sebab ekonomi.

Phillipe Val, editor Charlie Hebdo ketika itu menyuruh penulis yang menggunakan nama pena Sine itu untuk memohon maaf dan beliau menolak sambil berkata “I’d rather cut my balls off.” Penulisan yang dihasilkan pada Julai 2009 itu dianggap sebagai bersifat anti-semitik dan telah membuatkan beliau dihadapkan ke mahkhamah atas pertuduhan ‘inciting racial hatred’.

Bukan itu sahaja malah pada tahun 1970 majalah satira tersebut juga pernah dikecam hebat oleh rakyat Perancis hanya kerana mereka memilih untuk memperlekehkan kematian Presiden Charles de Gaulle sebagai sesuatu yang tidak penting berbanding dengan kematian di sebuah disko yang mengorbankan 146 nyawa sebelumnya, dengan headline ‘Tragic ball in Colombey: 1 death’. Majalah satira yang pada ketika itu menggunakan nama Hara-Kiri Hebdo (jelas semangat hara kiri itu masih ada dengan kematian sepuluh orang pekerjanya!) kemudiaannya diharamkan penerbitan dan ini memaksa kumpulan editorialnya untuk menukar namanya, kepada Charlie Hebdo, sebuah nama baru bersempena dengan nama pertama Jeneral de Gaulle.

Hakikatnya juga akhbar Jyllands-Posten pada tahun 2003, 3 tahun sebelum mereka menghina Nabi Muhammad SAW dan 1.6 bilion umat Islam, juga pernah memilih untuk tidak menerbitkan sebuah karikatur yang dikatakan menghina Jesus dan orang-orang Kristian.

Christoffer Zieler yang menghantar beberapa lakaran ‘dealing with the resurrection of Christ’ mendapat email balas daripada editor Ahad, Jens Kaiser yang berbunyi “I don’t think Jyllands-Posten’s readers will enjoy the drawings. As matter of fact, I think that they will provoke an outcry. Therefore I will not use them.”

Kenapakah terdapat standard yang berbeza terhadap Islam dan Muslim berbanding dengan Yahudi dan Kristian, contohnya?

Baru tiga hari lepas seorang pemimpin parti berhaluan kanan anti Islam di Jerman, Lutz Bachman telah meletak jawatan hanya kerana sekeping foto lama beliau berselfie seperti Hitler dengan misai kontot ‘Pembunuh Kepada Enam Juta Yahudi’ tersebut tersebar viral di media sosial dan diterbitkan oleh sebuah akhbar tempatan. Pemimpin PEGIDA itu walaupun mempertahankan foto yang bercaption “He’s back!” tersebut sebagai sebuah jenaka semata-mata kini sedang disiasat polis setelah akhbar yang sama telah menerbitkan juga kenyataan-kenyataan yang bersifat xenophobik yang terdapat dibawah akaun Facebooknya.

Beberapa hari sebelum itu pula, seorang wartawan veteran CNN, Jim Clancy telah ‘meletakkan’ jawatan yang dipegangnya selama 34 tahun secara mendadak hanya kerana beliau telah mentweet sebuah kenyataan yang bersifat anti-Israel, entiti haram yang masih menjajah dan menjarah bumi Palestin dengan penuh tidak berperikemanusiaan di bawah panji-panji dunia Barat seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jerman, kononnya bastion kepada demokrasi yang dibanggakan sesetengah daripada kita!

Wartawan CNN yang pernah ke Malaysia untuk melaporkan tentang kehilangan pesawat MH370 itu dikatakan telah bertikam lidah dengan beberapa pengguna twitter pro-Israel diantaranya Oren Kessler seorang penganalisis Timur Tengah berketurunan Yahudi Amerika.

Jim Clancy kemudiaannya mentweet ‘Hasbara?’ memperli Oren Kessler yang didakwanya sedang melakukan kerja diplomasi awam bagi pihak negara haram Israel. Hasbara bermakna ‘penerangan’ dan ia juga boleh didefinisikan sebagai ‘propaganda’. Terminologi ini sering digunakan oleh kerajaan haram Israel dan penyokong-penyokongnya ‘to describe efforts to explain government policies and promote Israel in the face of negative press, and to counter what they see as delegitimisation of Israel around the world.’



Pada 15 Januari lepas pula, infowars.com telah melaporkan tentang seorang Muslim warganegara Canada, Jerry Reddick yang menyara hidup dengan berniaga ‘hotdog’ disiasat polis negara tersebut hanya kerana beliau cuba untuk menguji tahap ‘free speech’ yang sering diwar-warkan Barat sebagai sesuatu yang sangat diagungkan dan suci. Lelaki tersebut yang sedar akan hipokrasi dan sikap double standard yang diamalkan Barat memilih untuk mentweet beberapa kenyataan tentang peristiwa 9/11 dan Holocaust. Akaun twitternya sekarang @dawgfatherphd telah dipadam. (Eric Paulsen dah padam belum akaun twitter beliau? #Hipocrisy #Hipocrite)

 ‘Hitler asked his people, “How do you like your Jews”? Well done with a bagel and a kosher pickle. Freedom of speech goes both ways #Muhammad’

‘In 2001 I thought Americans could fly by the way they were jumping from the twin towers in New York.#FreedomofspeechMUHAMMAD’

‘They say the best cooked Jews can be found in Poland and Germany where the ovens are made from the best clay.#Freedomofspeech?’

Tidak berapa jam selepas itu, lelaki Muslim tersebut dilaporkan kepada polis Halifax dan disiasat. Jerry Reddick kemudiaan mencemuh bangga dengan berkata “I know you didn’t think freedom to insult worked both ways. My point about free speech being limited was made loud and clear!”

Sehari sebelum itu pula, selepas perarakan besar-besaran yang berlaku di Perancis untuk memberitahu kepada dunia bahawa mereka sangat mendukung liberte, egalite dan fraternite selari dengan keagungan kebebasan bersuara dan berekspresi tanpa batasan, polis negara tersebut telah menahan Dieudonne M’bala M’bala atas tuduhan hasutan kebencian hanya kerana artis komedi kontroversi tersebut memuat naik posting yang merujuk kepada perarakan tersebut dengan berbunyi ‘I’m finally going home. Know that this evening, as far as I’m concerned, I’m feeling like Charlie Coulibaly’.

Coulibaly ialah salah seorang yang dituduh sebagai pengganas yang dikatakan telah membunuh seorang ahli polis wanita sebelum menahan sebuah pasaraya kosher sebagai tebusan. Pelawak Dieudonne kemudiaannya dikecam ramai kerana dikatakan telah mengeluarkan kenyataan yang ‘menyokong keganasan’!

Malah dilaporkan semenjak ‘unity march’ pihak polis Perancis telah membuka 54 kes siasatan jenayah yang dikatakan selari dengan langkah-langkah yang diambil untuk mengekang “hate speech, anti-Semitism and glorifying terrorism.”

Tentunya kita tidak lupa akan seorang bapa di Perancis yang didakwa ‘inciting acts of terrorism’ kepada anak-anaknya. Lelaki tersebut dilaporkan oleh bekas isterinya bahawa anak-anak mereka yang berusia dibawah 15 tahun sering dihidangkan dengan imej-imej mengagung-agungkan jihad!

Apa benarkah Barat mengagungkan kebebasan bersuara dan berekspresi tanpa batas? Dan kita semua patut belajar untuk menghormatinya?

Jahabar Saadiq dan geng boleh pergi gebang pasal hal ni pada Julian Assange, Bradley Manning dan Edward Snowden. Stop the BS already will ya?!




Nota Kaki:
Ada sesiapa seperti penulis hairan kenapakah filem ‘The Interview’ tidak mempersendakan Benjamin Netanyahu instead dengan wataknya dibunuh dalam filem tersebut seperti yang dibuat ke atas pemimpin nombor satu Korea Utara, Kim Jong-un?
Dan bayangkan juga sama ada filem ‘American Sniper’ akan mendapat pencalonan Anugerah Academy jika Chris Kyle, watak utama filem tersebut, mempunyai rekod membunuh 160 penjajah Yahudi di West Bank instead dan bukannya 160 orang Arab di Iraq?


Monday, 26 January 2015

Rotan : Apalah Guna Punyai Kedaulatan Jika Setiap Masa Berada Di Bawah Telunjuk Asing

Jika merujuk semua pesan bijaksana dari pemikir-pemikir agung merentas bangsa dan agama, setiap seorang dari mereka-mereka yang diagungkan ini, ada menitipkan pesan tentang pendisplinan anak-anak bermula dari usia muda.

Tradisi Hebrew yang berpegang kepada kitab suci mereka, memuatkan pesan-pesan yang dinisbahkan mereka kepada kata-kata yang dikatakan mereka dititipkan oleh Raja Sulaiman.
Mendisplinkan sesetengah anak melalui rotan itu penting, supaya anak itu fokus, terhalang dari memusnahkan masa depannya. Catatan di dalan Book of Proverbs, disalin semula sebagai berikut:

Pro 23:13 Don’t withhold discipline from a child; if you punish him with a rod, he won’t die

Pro 29:15 The rod and rebuke bestow wisdom, but an undisciplined child brings shame to his mother.

Pro 22:15 A child’s heart has a tendency to do wrong, but the rod of discipline removes it far away from him. 

Pro 10:13 Wisdom characterizes the speech of the discerning, but the rod is for the backs of those lacking discernment.

Pro 23:14 Punish him with a rod, and you will rescue his soul from Sheol.

Pentingnya pembentukan sahsiah anak-anak, sehinggakan Confucius sendiri pernah berpesan dengan perkara berikut :

 “If your plan is for one year, plant rice. If your plan is for ten years, plant trees. If your plan is for one hundred years, educate children.” 

Jadi untuk memusnahkan masa depan sesebuah negara, ikatlah tangan ibu bapa dan para pendidik daripada mendisplinkan generasi muda mereka. Dalam seratus tahun akan datang, negara tersebut akan hilang nilai pegangan asal dan menempah masa depan yang bakal hancur.

Dalam Islam, manusia dibahagikan kepada pelbagai kategori mengikut tingkat keupayaan psikologi mereka masing-masing.
Al Qur'an membahagikan manusia kepada 4 jenis golongan dan cara bagaimana untuk menangani mereka.

1) Golongan yang matang, boleh berfikir sendiri dan tidak perlukan hujah dan bantuan orang lain untuk dia menyedari tentang hakikat kebenaran.

2)Golongan yang perlukan hujah untuk ditunjukkan perkara yang baik dan buruk. Baik buruk sesuatu perkara itu perlu dijelaskan kepadanya supaya dia faham mengenai pilihan yang ada.

3) Golongan yang perlukan rotan dan hukuman untuk menyedari bahawa setiap perlakuannya itu merosakkan. Mereka dalam golongan ini tidak boleh sedar dengan sendiri, tidak dapat disedarkan dengan hujah dan mungkin hanya akan sedar setelah dihukum dengan undang-undang.

4) Golongan yang bilamana dihukum sekalipun tetap tidak akan berubah dan berdegil dengan perbuatan yang salah.

Mengkelompokkan manusia di dalam satu kategori yang sama dan harus menerima tingkat pembentukan yang sama sejak kecil adalah satu bentuk penindasan hak sesetengah golongan anak-anak ini.

Rotan sentiasa menjadi sebahagian daripada alat pendidikan yang diajarkan di dalam Islam untuk digunakan dalam keadaan tertentu dan dengan cara penggunaannya yang tertentu.

Merotan anak-anak di dalam Islam, janganlah dibayangkan sebagaimana pesalah jenayah sivil disebat oleh tukang sebat penjara.

Mendisplinkan anak melalui tindakan merotan sentiasa menjadi antara pilihan akhir setelah semua cara yang lebih lembut tidak berjaya mendisplinkan mereka.



Apabila Menteri Pembangunan Wanita mengumumkan bahawa perbuatan merotan anak-anak bakal dijadikan sebagai satu tindakan jenayah, maka semua pihak sudah dapat mengagak bahawa cadangan tersebut bakal mengundang kontroversi dan bakal mendapat respons dari pelbagai pihak.

Ramai pihak telah tampil menegur, menasihati, memprotes malah ada juga yang menempelak tindakan Kementerian tersebut yang seolah-olah bertindak secara unilateral tanpa berbincang dengan semua stakeholders dalam isu ini.

Pihak kementerian yang terpukul dengan respons mendadak ini kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan media bagi menjelaskan apa yang mereka cuba maksudkan dengan pengumuman Dato' Rohani Abd Karim.

Pihak yang biasa dengan Convention on the Rights Of Child (CRC), menyatakan pihak kementerian tersebut telah menyuntik kekeliruan tentang wujudnya khayal obligasi bahawa mana-mana negara yang telah menandatangani CRC tersebut, mereka diwajibkan untuk menjalankan perkara -perkara yang dipersetujui di dalamnya.

Sedangkan, menurut sumber ini, tidak tercatat sebarang pernyataan jelas di dalam CRC tentang pengharaman sebarang hukuman badani (corporal punishment). Yang ada cumalah rekomendasi dari pihak CRC tentang cadangan supaya sebarang bentuk huikuman badani diharamkan di sekolah-sekolah dan di dalam unit keluarga.

Jadi, pihak Kementerian seharusnya terlebih dahulu membuat semakan dan merujuk kepada pelbagai pihak yang menjadi stakeholders dalam isu terlebih dahulu.

Memahami tindakan mengharamkan perbuatan merotan sebagai salah satu bentuk didikan ke atas anak-anak  juga merupakan antara perkara yang menjadi tuntutan kepada kumpulan COMANGO sebelum ini, maka pihak-pihak seperti CENTHRA yang menjadi antara medan hadapan semasa Semakan Berkala Sejagat (UPR) berlangsung sebelum ini, harus juga didekati kementerian untuk mendapatkan pandangan dan konsultasi supaya isu CPR ini dapat ditangani dengan baik.

Ia supaya negara ini, diperintah dan dibentuk mengikut acuan kita sendiri dan bukan di bawah telunjuk pihak lain.

Apalah guna punyai kedaulatan jika hidup sentiasa di bawah telunjuk orang lain.


Sunday, 25 January 2015

10 Soalan Berunsur KPop Untuk Shabery Cheek

Soalan Berunsur KPop Pertama :
Sebagai Menteri untuk Kementerian Komunikasi Dan Multimedia atau nama sebelumnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK), apakah perlakuan sumbang kumpulan KPop yang membenarkan perlakuan berpeluk dan bercium di khalayak ramai itu salah satu daripada bentuk Kebudayaan Malaysia seperti nama asal Kementerian tuan sebelum ini?

Jika tidak, kenapa mesti bersikap tidak apa dan melepaskan tanggungjawab kepada pihak lain untuk menguruskan hal pencemaran Budaya Malaysia tersebut?

Soalan Berunsur KPop Kedua :

Apakah perlakuan sumbang di dalam penganjuran persembahan KPop itu selari dengan prinsip Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara?

Jika ia tidak selari, kenapa kementerian Tuan masih bersikap tidak apa dan belum mengambil apa-apa bentuk tindakan ke atas penganjur persembahan tersebut?

Soalan Berunsur KPop Ketiga :
Setiap penganjur yang mahu menjemput artis luar negara yang mahu mengadakan persembahan di Malaysia harus mendapatkan permit daripada AGENSI PUSAT PERMOHONAN PENGGAMBARAN FILEM DAN PERSEMBAHAN ARTIS LUAR NEGARA (PUSPAL) di bawah Kementerian Tuan.

Setiap penganjur, artis dan mereka-mereka yang terlibat di dalam penganjuran penggambaran atau persembahan Artis Luar Negara (ALN) dikehendaki mematuhi Garis Panduan PUSPAL.



Di Dalam Lampiran B Perkara E, telah dijelaskan perkara berikut :

E. PEMBATALAN KELULUSAN

JK-PUSPAL boleh menarik balik kelulusan sesuatu pada bila-bila masa jika disebabkan oleh:
i)      pelanggaran mana-mana kelulusan JK-PUSPAL oleh penganjur/Artis Luar Negara.
ii)      arahan daripada PBT/Pegawai Pelesen
iii)     arahan daripada Polis Diraja Malaysia
iv)    arahan daripada lain-lain agensi/jabatan yang mempunyai kuasa ke atas sesuatu persembahan dan/atau penggambaran filem; atau
v)      apa-apa sebab yang munasabah mengikut pertimbangan JK-PUSPAL.

Mana-mana pihak yang terjejas akibat mana-mana tindakan atau keputusan yang dibuat oleh JK-PUSPAL tidak berhak menuntut apa-apa ganti rugi atau pampasan atau indemniti daripada atau mengambil apa-apa tindakan perundangan ke atas Kerajaan.

Apakah perlakuan peluk, cium anak-anak gadis Muslim di dalam persembahan kumpulan KPop tersebut tidak dikategorikan sebagai satu “pelanggaran mana-mana kelulusan JK-PUSPAL oleh penganjur/Artis Luar Negara” tersebut?

Soalan Berunsur KPop Ke Empat :
Di dalam Lampiran F Garis Panduan PUSPAL, nyata dan amat jelas, perkara yang berlaku di dalam persembahan Kpop kontroversi sebelum ini adalah perkara yang termasuk di dalam perkara yang dilarang untuk dilakukan dalam mana-mana persembahan. Lampiran F, Perkara 2.2.2 Garis Panduan PUSPAL adalah seperti berikut :

 2.2.2 Gerak Laku Semasa Persembahan ALN adalah dilarang mempamerkan aksi dan pertuturan yang mengganggu keselesaan penonton serta menyentuh sensitiviti masyarakat dan bertentangan dengan nilai budaya tempatan seperti:-

a) Membaling objek ke arah penonton.

b) Mempamerkan perlakuan atau tutur kata yang berunsur lucah dengan aksi yang menghairahkan seperti berkucupan, mencium penonton atau melakukan perbuatan seumpamanya sesama sendiri. Ini adalah selaras dengan :

Kaedah 22, di bawah Kaedah-Kaedah Hiburan ( Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ) 1993 yang menyatakan tiada hiburan yang lucah boleh dibenarkan di dalam mana-mana tempat hiburan.

c) Melakukan persembahan liar, menjolok mata dan perbuatan yang bertentangan dengan tata susila persembahan.

d) Melakukan perbuatan atau mengeluarkan tutur kata yang boleh difahamkan sebagai menghasut, menarik minat untuk membanggakan sesuatu golongan masyarakat atau agama tertentu dalam konteks polarisasi kaum yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

 e) Melayan atau duduk bersama pengunjung pada bila-bila masa. Persembahan mereka adalah terhad di pentas premis sahaja.

f) Syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh pihak PBT/Pegawai Pelesenan




Jika benar berlaku pelanggaran, kenapa penganjur masih belum ditarik balik kelulusan permit untuk mengadakan persembahan seterusnya selepas kes tersebut?

Soalan Berunsur Kpop Kelima :
Jelas di dalam perkara yang dinyatakan di atas, berlaku pelanggaran syarat dan arahan sepertimana yang disyaratkan oleh Garis Panduan PUSPAL (GPP). Persoalannya, apakah penganjur Kpop tersebut mempunyai imuniti atau kekebalan tertentu di dalam GPP sehingga mereka dikecualikan daripada dikenakan sebarang tindakan atau permit mereka ditarik balik oleh PUSPAL?

Soalan Berunsur Kpop Ke Enam :
Jika tiada imuniti tertentu diberikan oleh garis panduan tersebut, apakah penganjur konsert Kpop itu mempunyai keistimewaan tertentu sehinggakan undang-undang tidak boleh menyentuh mereka?

Soalan Berunsur Kpop Ke Tujuh :
Apakah prinsip Kedaulata Undang-Undang serta prinsip Kesopanan dan Kesusilaan dalam Rukun Negara tidak mempunyai sebarang tempat dalam Kementerian tuan?

Soalan Berunsur Kpop Ke Lapan :
Yang Di Pertuan Agong telah dikehendaki bersumpah semasa perlantikan jawatan baginda untuk memelihara dan menjaga agama Islam pada setiap masa.

DYMM YDP Agong telah berkenan mengamanahkan kuasa pentadbiran kepada kerajaan yang memerintah pada ketika ini untuk menjalankan pentadbiran negara bagi pihak Baginda.

Salah seorang daripada Menteri-Menteri yang telah bersumpah untuk menjalankan amanah kuasa ini adalah termasuk Dato’ Seri Shabery Cheek.

Persoalannya, kenapa tuan masih belum mengambil tindakan yang sepatutnya setelah imej agama Islam, imej negara ini sebagai sebuah negara Islam, imej Yang Di Pertuan Agong sebagai Kepala Pemerintah yang telah bersumpah untuk menjaga Islam pada setiap masa dicemarkan oleh sikap lepas tangan penganjur dengan insiden tersebut?

Soalan Berunsur Kpop Ke Sembilan :
Jika pentadbir undang-undang sendiri seperti tidak mahu menjalankan undang-undang sebagaimana yang tercatat di atas kertas, maka bagaimanakah pemerintah mahu mengharapkan rakyat jelata untuk menghormati undang-undang yang mereka sendiri tidak mahu menghormatinya?

Jika penganjur konsert Kpop yang sama masih lagi diberikan permit untuk terus mengadakan konsert-konsert susulan meskipun setelah berlaku kontroversi tersebut, apakah PUSPAL mahu mencadangkan kepada rakyat bahawa Garis Panduan PUSPAL yang seharusnya menjadi nadi kepada bentuk kawalan pencemaran budaya Malaysia, tidak lebih daripada bertaraf tisu tandas pakai buang kepada penganjuran acara kumpulan Kpop terbabit dengan perlakuan sedemikian rupa?

Tindakan harus diambil oleh PUSPAL, Pihak Berkuasa Tempatan yang mentadbir undang-undang berkaitan persembahan artis. Tidak perlu mencari kambing hitam lain.

Dato’ Shabery Cheek, sebagai Menteri yang bertanggungjawab mesti menyelesaikan isu ini mengikut saluran undang-undang yang ada dan kuasa yang diberikan oleh pemerintah. Jawapan yang diberikannya kepada media sebelum ini dengan mengatakan sikap penonton adalah berada di luar kawalan PUSPAL adalah satu jawapan yang amat tidak masuk akal bagi mereka-mereka yang telah menyemak dan meneliti Garis Panduan PUSPAL tersebut.

Soalan Berunsur Kpop Ke Sepuluh :

Bila mahu serius bertindak Dato’ Seri?