Tuesday, 29 December 2015

Islam dan Liberalisme (Bahagian 1)-Dr Khalif Muammar

Muqaddimah
Dalam mitologi Yunani terdapat seorang dewa yang bernama Prometheus, dewa ini kononnya telah mencuri api daripada Tuhan untuk diberikan kepada manusia di dunia supaya mereka dapat hidup merdeka. Perbuatan khianat ini telah mendatangkan kemurkaan kepada Zeus, Raja segala dewa. Sebagai hukuman atas perbuatan mencuri itu Prometheus telah diikat di atas batu di sebuah pergunungan bernama Caucasus. Setiap hari helang-helang akan datang untuk memakan hatinya yang sentiasa tubuh semula pada malam harinya. Bagi Barat, Prometheus merupakan simbol penentangan demi mencapai kemerdekaan diri (self-determination) dan kedaulatan manusia (human sovereignty). Inti pati daripada idea ini adalah manusia tidak mempunyai sebab untuk menundukkan diri mereka kepada sebarang kuasa mahupun Tuhan. Dalam bukunya, Liberalism: Ancient and Modern, Leo Strauss (1899-1973) mengatakan bahawa Prometheus merupakan penjelmaan bagi Akal (Intelligence).[2] Ahli Falsafah terkenal di abad Pencerahan, Immanuel Kant (1724-1804), ketika memuji Benjamin Franklin, yang tidak takut untuk memasuki ilmu yang ‘terlarang’, mengatakan bahawa beliau adalah “modern Prometheus”.[3]Di akhir makalah ini penulis akan menjelaskan hubungan antara liberalisme dengan mitos Prometheus.


Memahami Liberalisme
Di dalam salah satu karyanya yang penting, al-Munqidh min al-Dalal, Imam al-Ghazali (1058-1111) menekankan pentingnya seseorang ilmuwan memahami hakikat sebenar perkara yang dibahaskan sebelum ia layak untuk mengkritik atau menerimanya. Beliau menegaskan seseorang yang mengkritik sesuatu perkara tanpa terlebih dahulu memahaminya dengan mendalam adalah ibarat orang yang memanah dengan mata yang tertutup.[4] Kerana itu sebarang wacana tentang liberalisme, atau apa-apa ideologi sekalipun, hanya akan bermakna dan berfaedah jika kita telah terlebih dahulu berusaha mendapatkan gambaran yang jelas tentang definisi dan maksud sebenar akan perkara yang dibahaskan itu. Pada masa ini, ketika liberalisme sering diperkatakan baik oleh para pendokong mahupun penentangnya, persoalan definisi belum dibahaskan dengan tuntas, sehingga sering terjadi kecelaruan tentang konsep dan hakikatnya dan ini menyebabkan berlakunya perdebatan yang tidak matang dan dangkal atau superfisial.

Edmund Fawcett, dalam bukunya Liberalism: The Life of an Idea, mengatakan bahawa liberalisme adalah istilah yang elusif dan tidak mudah untuk didefinisikan. Pemaknaan terhadap liberalisme sering berbeza daripada satu kelompok kepada kelompok yang lain.[5] Fawcett memberi contoh bagaimana perkataan liberty yang menjadi ciri khas liberalisme digunakan oleh Karl Marx, Pope Leo XIII, Mussolini dan parti Nazi dengan pemaknaan yang bersesuaian dengan ideologi mereka masing-masing. Kesulitan dalam mendefinisikan liberalisme, menurut Fawcett, diperkuat lagi dengan fakta bahawa liberalisme tidak memiliki tokoh penggagas utama, tanggal kelahiran yang pasti dan riwayat hidup yang jelas, ia sentiasa berkembang dan sentiasa ‘menjadi’. Namun demikian Fawcett juga menjelaskan idea-idea utama yang mencirikan liberalisme dan membezakannya dengan ideologi lain.

Berdasarkan kepada penggunaan yang rencam terhadap kata liberal dan liberalisme maka penting untuk dicermati bahawa perkataan liberal dan liberalisme sering merujuk kepada konotasi yang berbeza. Kadang-kadang ia digunakan sebagai istilah yang longgar bermaksud keterbukaan. Kerana dari segi literal perkataan liberal bermaksud terbuka dan lawannya adalah konservatif bermaksud tertutup, dan tidak terbuka kepada kepelbagaian, kemajuan dan perubahan.[6]Dari segi makna literal ini, di mana ianya terlepas daripada worldview yang mewarnai penggunaannya dalam sejarah, liberal dan liberalisme tidak membawa apa-apa konotasi yang negatif. Dengan kata lain, sesiapa sahaja berhak menggunakan perkataan liberal, iaitu terbuka, walaupun ia seorang yang berfahaman komunis, konservatif, fasis, dsb.

baca selanjutnya

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.