Wednesday, 25 November 2015

Kebajikan 200,000 Keluarga e-Kasih Skim Khairat Nasional Terancam!

Ketibaan ajal tidak kita jangka. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membuat persiapan sebelum datangnya secara tiba-tiba. Bekalan amal amatlah penting untuk menghadapi Tuhan, namun tidak ramai sedar akan keperluan untuk penyediaan bekal buat ahli keluarga yang bakal ditinggalkan. Antara realiti masyarakat yang kerap kita lihat, betapa peritnya janda yang kematian suami untuk menyara dan membesarkan anak-anak yang masih kecil berseorangan. 

Menjadi tanggungjawab kita untuk mengamalkan sikap saling tolong-menolong sesama Muslim. Apabila matinya seorang ketua keluarga, adalah penting bagi kita memastikan kebajikan keluarganya terjaga. Ini bagi menyahut seruan Allah yang terakam di dalam al-Quran:

"Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan taqwa,dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan melampaui batas; dan bertaqwalah kepada Allah" (al-Maidah:2)

Dengan menyumbang kepada tabung dana khairat kematian, sekaligus kita turut terlibat untuk menyumbang dalam pengurusan kebajikan keluarga yang yatim setiap kali berlaku kematian di kalangan ketua-ketua keluarga. Apabila wang dana khairat digunakan untuk menyekolahkan anak-anak yatim itu, bermakna kita sebagai penyumbang bersama-sama menyekolahkan anak-anak yatim tersebut. Apabila wang dana khairat digunakan untuk memberi makanan dan pakaian buat anak-anak itu, kita juga turut terlibat bersama-sama memberi makan dan pakaian buat mereka.

Menyedari hakikat ini, YaPEIM telah tampil ke hadapan dengan memperkenalkan bantuan Skim Khairat Nasional seawal tahun 2006 berdasarkan hasil daripada kejayaan dan keuntungan yang dijana melalui pelbagai aktiviti perniagaan pembangunan ekonomi. 
 
Usaha YaPEIM ini penting bagi membantu menjaga aspek kebajikan dan membangun perniagaan anggota keluarga yang telah kehilangan ketua keluarga dalam meneruskan kehidupan mereka.

Skim Khairat Nasional YaPEIM menawarkan pelbagai jenis bantuan bagi memastikan keluarga berkenaan dapat meneruskan kehidupan mereka berasaskan sumber yang berterusan. Antara bantuan yang ditawarkan termasuklah bantuan pendidikan buat anak-anak yatim, dan bantuan perniagaan bagi memastikan kemandirian keluarga tersebut.

Jadi adalah menjadi sesuatu yang amat menyedihkan apabila ada pihak yang tanpa perlu berasa bertanggungjawab, berterusan menyerang YaPEIM tanpa maklumat lengkap dan usul periksa.


Kita tidak mahu episod 'marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar' mengambil tempat. Bagi 200, 000 keluarga yang berdaftar bawah e-Kasih Skim Khairat Nasional,  kebajikan mereka tentunya bakal terabai jika program ini diberhentikan atau terhenti disebabkan beberapa isu yang dikaitkan dengan YaPEIM kini.
 
Persoalannya tanpa program seperti ini kelak, adakah pihak-pihak yang didakwa YaPEIM telah "memutar-belitkan fakta untuk menfitnah" itu sanggup mengalas tanggungjawab yang sedang digalas dengan jayanya oleh pihak YaPEIM dan membela nasib 200,000 keluarga yang miskin tegar tersebut?

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.