Thursday, 8 October 2015

Mufti Pahang & JAIP Tidak Perlu 'Kowtow' DAP!

Tulisan Wan Ji Wan Hussin yang antara lain mahu Mufti Pahang bersemuka dan berdialog dengan pihak DAP adalah sesuatu yang amat memalukan.

Cadangan beliau bahawa Mufti Pahang perlu berdialog dan jika tidak ianya akan memalukan lagi institusi mufti di mata umat Islam adalah sesuatu yang kelakar kerana pendirian Mufti Pahang mendapat sokongan daripada beberapa pertubuhan politik dan NGO Melayu dan Islam akar umbi.

Adakah Wan Ji Wan Hussin yang menulis pandangan-pandangan tersebut?

Malah kerajaan Negeri Pahang pimpinan Datuk Seri Adnan Yaakob sendiri telah menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap Mufti Pahang yang mempertahankan isu kandungan khutbah Aidil Adha lepas.

DAP yang sedar keseorangan dan bakal dilihat sebagai sebuah parti yang sememangnya anti Islam jika parti tersebut meneruskan saman terhadap Mufti Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang berada di bawah Sultan Pahang sebagai Ketua Agama Islam Negeri Pahang.

DAP jika berbuat demikian bakal berdepan dengan resam ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’, bakal dilihat sebagai sebuah gerakan subversif yang mahu menggugat institusi Kesultanan dan Raja-Raja Melayu dan Institusi Agama Islam itu sendiri.

Jadi pendirian yang telah dibuat oleh Mufti Pahang bahawa ianya adalah hal ehwal agama Islam yang DAP tidak perlu masuk campur dan tiada hak untuk berbuat demikian adalah amat bertepatan sekali. Malah tegas Mufti Pahang bahawa beliau berpegang kepada al-Quran iaitu ayat 28 Surah Ali Imran yang menjelaskan larangan orang mukmin berpihak kepada orang kafir dan menjadikan mereka teman setia dengan meninggalkan orang mukmin adalah benar sekali.



Hujah Wan Ji Wan Hussin kononnya DAP tidak pernah memberontak adalah dangkal kerana bantahan demi bantahan DAP terhadap nilai-nilai Islam seperti Hudud amnya yang disokong semua orang Melayu dan Islam di Kelantan khasnya, berdasarkan kepada keputusan sebulat suara yang dicapai di DUN Kelantan sendiri, adalah dilihat ramai Muslim sebagai usaha yang bertentangan dengan Islam.

Persoalannya adakah Wan Ji Wan Hussin mahu Mufti Pahang dan JAIP amnya untuk ‘kowtow’ kepada DAP yang jelas tidak mempunyai sebarang hak untuk mempersoal hal-hal yang berkaitan dengan Islam dan khutbah orang Islam?


Mufti Pahang dan JAIP tidak melaporkan tugasan mereka kepada DAP dan Wan Ji Wan Hussin perlu jelas akan hal tersebut. Ianya bukanlah bakal menjadi satu amalan yang baik jika JAIP terpaksa merujuk kepada parti politik untuk melaksanakan syariat Islam. Adakah ini yang Wan Ji Wan Hussein mahu sebenarnya?

Maka jawapan yang diberikan oleh pihak Mufti Pahang bukanlah sesuatu yang memalukan malah perlu dibanggakan malah disokong penuh NGO Melayu dan Islam, Barisan Nasional dan Pas sendiri.

Tentunya budaya rahmat tidak bermakna yang bukan Islam boleh menghina dan memijak nilai-nilai Islam itu sendiri seperti yang dibuat oleh BooSu Lyn dan Malaymail Online berkenaan dengan artikel meminta memansuhkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, contohnya.


Sememangnya juga permusuhan berasakan kaum dan agama boleh dielak jika parti politik seperti DAP tidak memilih untuk setiap kali menyerang atau mempersalahkan Islam seperti yang pernah dibuat oleh Teresa Kok dan P. Ramasamy, apabila sesuatu isu sekular seperti kod pemakaian sopan di jabatan-jabatan kerajaan tidak dipolemikkan sebagai isu Islam. 

Namun malangnya, dan DAP tahu sendiri, itu sememangnya tidak berlaku!

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.