Tuesday, 22 September 2015

Liberalisme Lahir Daripada Zaman Gelap Barat Yang Menindas!

TERIMA kasih kepada IDEAS kerana sudi menjemput saya ke forum ini. Saya akan bercakap bagi pihak Islam.
 
I am not conservative, I am not liberal, I am Islamist.

Bila saya bercakap saya bercakap daripada pihak Islam, bermakna rujukan saya, rujukan dalam pemikiran saya adalah Al-Quran Sunnah dan sejarah Islam. Saya tidak merujuk kepada sejarah Barat, ataupun pengalaman Kristian Barat.

Saya bukan datang daripada sekolah liberal barat, ataupun pengajian Kristian di Barat yang melahirkan idea-idea liberalisme, pluralisme agama, konservatif dan sebagainya. Itu adalah merupakan pengalaman-pengalaman yang dilalui oleh Barat, di zaman kegelapan mereka di mana di waktu itu, gereja begitu diktator dan begitu keras menggunakan agama, bercakap atas nama tuhan dan menindas manusia dan mengekang kebebasan dan itu semua tidak berlaku dalam sejarah Islam.

Apabila bercakap mengenai liberalisme dan faith, faith itu sendiri tidak merujuk kepada agama dengan mafhum yang difahami oleh Islam. Faith yang dikemukakan oleh pemikir-pemikir reformis Kristian adalah sebagai contohnya John Hick sendiri, mendefinisikan faith sebagai keyakinan, hubungan-hubungan spritual seorang individu sahaja, ia bukan agama, yang memberi maksud way of life, sistem hidup yang meliputi akhlak, meliputi sistem hidup sosial, meliputi ekonomi, politik, perundangan, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Jadi itu tidak menepati kehendak Islam.



Jadi kalau tuan-tuan tanya saya, adakah faith ataupun liberalisme boleh jalan seiring dengan faith, kalau merujuk kepada Islam liberalisme boleh hidup (seiring) jika sekiranya liberalisme sanggup duduk di bawah sistem Islam.

Tetapi jika liberalisme cuba mendefinisikan Islam ataupun mereformasikan Islam mengikut kehendak asas-asas liberalisme, maka itu mungkin tidak dapat diterima oleh Islam, sebab Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT dan tidak boleh ditokok tambah atau tidak boleh direformasikan oleh mana-mana pihak.

Dalam Islam tidak ada paderi atau ulama yang bercakap bagi pihak tuhan. Tiada ada rijaluddin dalam Islam. Tidak ada orang agama. Bagaimana orang agama dalam Kristian, ada orang agama dalam Buddha dan dalam Hindu, ada sami dan sebagainya, tetapi tidak ada orang agama dalam Islam.

Kita ada ulama, memberi makna orang yang alim, bukan orang agama yang bercakap bagi pihak tuhan.

Kalau kita mendefinisikan Islam itu untuk disejajarkan dengan liberalisme, sehingga Islam perlu direformasikan, sebagaimana yang cuba dilakukan oleh puak-puak Islam liberal yang menggunakan metodologi reformasi yang dibuat oleh pemikir-pemikir Barat di zaman kegelapan dulu, di zaman pencerahan, saya rasa itu tidak boleh diterima oleh Islam dan masyarakat Islam dan tidak sesuai dengan pengajian Islam, thaqafah dan pengalaman Islam.

Adakah liberalisme itu menjejaskan agama?

Apabila kita bercakap soal liberalisme dan faith, liberalisme dan agama, bermakna kita bercakap mengenai pluralisme agama.

Dalam pengalaman Barat, dia terpaksa meng’adjust’, ataupun membuat reformasi-reformasi kepada agama dan dia mencadangkan kepada semua agama.

Di sana ada empat mazhab paling kurang, pendekatan yang digunakan untuk mendefinisikan balik agama, supaya agama ini boleh hidup sejajar, atau dalam bahasa Arab disebut ‘ta’ayush’, hidup bersama dalam konteks kepelbagaian.

Yang pertama, ideologi humanisme. Yang menjadikan manusia sebagai matlamat dan tertinggi mengatasi yang lain termasuk agama. Selain itu, culture dan agama boleh diketepikan untuk disejajarkan dengan fahaman humanisme.

Kedua, kita tengok ada mazhab John Hick, yang dipopularkan oleh August Comte. John Hick membawa idea iman itu ialah spritual, hanya hubungan spritual dia dengan sesuatu yang tidak tentu. Individu punya spritual, kepercayaan, itu sahaja.

Ada lagi mazhab lain yang mencantum-cantumkan agama ini, mana-mana baik daripada mana-mana agama kita cantum jadi satu agama.

Satu lagi, pendekatan sufi sikit, ‘hikmat yang kekal abadi’, yang mengatakan bahawa agama ini semua sama sahaja, cuma bezanya simbol dan approach. Islam, Hindu, Buddha, Kristian semua sama hakikatnya, cuma approach sahaja berbeza.

Semua kefahaman ini adalah bercanggah dengan Islam. Jadi kalau kita nak apply liberalisme, Islam dalam mafhum dan huraian-huraian seperti ini, dia adalah secara total bersalahan dan tidak boleh diterima oleh Islam.

Sebab itu Islam adalah satu agama yang menyeluruh, dan liberalisme juga merupakan dibawa dalam bentuk pemahaman yang menyeluruh, absolute, inklusif dan sebagainya.

Dia tidak mungkin berlaku liberalisme duduk di bawah agama, kecuali kalau orang liberal setuju duduk di bawah sistem Islam.

Kalau mereka tidak bersetuju bahawa liberalisme duduk di bawah Islam – kalau boleh diterjemahkan liberalisme itu sebagai freedom sahaja – tapi saya memahami liberalisme lebih jauh daripada semata-mata freedom.

Kalau liberalisme tidak boleh menerima duduk di bawah Islam, begitu jugalah Islam tidak mungkin diolah-olahkan mengikut kehendak liberalisme sebab liberalisme adalah hanya pemikiran manusia yang akan berubah-ubah dan Islam adalah agama yang diturunkan oleh Allah SWT.

Adakah ia bercanggah dengan akidah Islam?

Dalam Islam kita percaya kepada Tuhan yang mencipta, Tuhan yang mentasyrik, yang memberikan perundangan dan hukum, yang memberikan kita tunjuk ajar mengenai hak dan batil, betul ataupun salah, yang memberikan kita panduan tentang disiplin dan asas-asas dalam pembinaan kehidupan.

Jadi kalau kita ‘reject’ peranan Allah dan menolak rujukan itu, persoalan itu boleh menyentuh kepercayaan dan akidah kita.


Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden Isma



http://www.ismaweb.net/2015/09/islam-dan-liberalisme-tidak-seiringan-presiden-isma/

1 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.