Tuesday, 11 August 2015

Kes Low Yat: 3 Lelaki Cina Mengaku Salah Pukul Budak Melayu

Tiga lelaki berbangsa Cina hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan mencederakan seorang lelaki Melayu dalam satu insiden di Plaza Low Yat bulan lalu.
 
Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman denda RM1,800 atau penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda itu terhadap Low Leong Seng, 29; Eric Chan Weng; 23; dan Soo Weng Hing, 26.

Mengikut pertuduhan, Leong Seng, Chan Weng dan Weng Hing didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Shahrul Anuar Abdul Aziz, 22, di Tingkat G, Plaza Low Yat, jam 4.57 petang 11 Julai lalu.

Gambar Utusan Online

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Mohamad Khairul Azmi Mazlan, 22, pengadu dalam kes ini, pergi ke sebuah kedai telefon di bangunan itu bersama-sama mangsa, Shahrul Anuar untuk mengesan telefon bimbit pengadu yang hilang, namun mereka gagal menjumpainya.

Mereka kemudiannya beredar dan ketika Mohamad Khairul berada di tangga bergerak di tingkat G, beliau terdengar orang menjerit ‘Tahan-tahan…tangkap-tangkap…ada orang curi telefon’.

Mohamad Khairul kemudiannya melihat Shahrul Anuar dipukul oleh tiga lelaki dan dia yang cuba menyelamatkan rakannya itu turut dipukul dan dituduh bersubahat dengan Shahrul Anuar.

Shahrul Anuar kemudiannya ditangkap kerana disyaki mencuri telefon bimbit manakala Mohamad Khairul dilepaskan selepas mendapati dia tidak terlibat dalam kes itu.

Ketika rayuan, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.

Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan alasan kes itu mendapat perhatian di seluruh negara dengan mengambil kira faktor kepentingan awam. 

Pada 14 Julai lepas, Shahrul Anuar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencuri sebuah telefon bimbit di Plaza Low Yat.

Tertuduh, yang tidak mengaku bersalah, dibenarkan diikat jamin RM3,000 dan 14 Ogos ditetapkan untuk sebutan semula kes.



http://www.ismaweb.net/2015/08/kes-low-yat-3-lelaki-cina-mengaku-salah-pukul-budak-melayu/

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.