Sunday, 2 August 2015

Kerajaan Disyor Laksana Undang-Undang Jenayah Islam-Majlis Dakwah Negara

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, pihaknya mencadangkan untuk membawa undang-undang jenayah Islam, diyat bagi membolehkan hukuman itu dilaksanakan di negara ini.
 
Katanya, perkara itu akan dibawa secepat mungkin kepada pihak kerajaan selepas perbincangan dalam jawatankuasa yang ditubuhkan MDN berkaitan diyat selesai.



“Diyat adalah satu bentuk pampasan yang akan diberikan oleh pelaku kepada mangsa dalam kes kematian ataupun kecederaan yang dilakukan tanpa sengaja.

“Dalam undang-undang sekarang, apabila berlaku kemalangan, pampasan yang dibayar oleh pihak insurans adalah sedikit dan tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mangsa.

“Manakala, individu yang menyebabkan kemalangan itu pula akan masuk penjara. Sedangkan dalam diyat, pesalah hanya perlu membayar pampasan dan tidak akan masuk penjara jika kemalangan terjadi tanpa sengaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas persidangan meja bulat mengenai diyat sebagai satu agenda pelaksanaan undang-undang jenayah Islam, semalam.

Mengulas lebih lanjut Dr Mahmood berkata, beliau yakin hukuman ini akan berjaya dilaksanakan oleh kerajaan sedia ada dan sebelum PRU-14 akan datang.

“Masyarakat bukan Islam akan turut menyokong hukum diyat ini. Diyat memberi keuntungan kepada semua pihak terutama kepada mangsa ataupun individu yang menyebabkan kemalangan.

“Saya yakin masyarakat bukan Islam menyambut baik perkara ini. Dalam masa yang sama ia akan mengurangkan rasa prejudis orang bukan Islam terhadap hukum Islam,” katanya.
 
Selain itu tambah beliau, sekiranya diyat dilaksanakan, keluarga mangsa dapat meneruskan hidup apabila tertegaknya konsep keadilan kepada individu yang tidak sengaja menyebabkan kemalangan itu.

“Ini apabila dari segi pembayaran, bukan pelaku yang akan membayarnya, sebaliknya ia terpulang kepada pihak insurans. Berkaitan pembayaran dan dana ianya akan dikaji dahulu dalam jawatankuasa,” katanya.



http://www.ismaweb.net/2015/07/majlis-dakwah-negara-syor-kerajaan-laksana-undang-undang-jenayah-islam/

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.