Saturday, 25 July 2015

TPPA Ancam Kedaulatan Negara-Bahana ISDS Menggerunkan!

Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) kini berada di fasa akhir proses rundingan antara 12 negara yang terlibat, termasuk Malaysia. Antara klausa perjanjian yang menerima tentangan paling hebat ialah peruntukan ISDS yang kontroversi.
 
1. APAKAH ISDS?
‘Penyelesaian pertikaian pelabur-negara’ atau ISDS ialah suatu mekanisme undang-undang antarabangsa yang memberikan hak kepada pelabur asing untuk membawa kerajaan tuan rumah ke tribunal antarabangsa bagi menyelesaikan pertikaian berkenaan kepentingan pelaburannya.

2. APAKAH INSTITUSI YANG MENJALANKAN PROSIDING ISDS?
Antara yang utama ialah Pusat Penyelesaian Pertikaian Pelaburan Antarabangsa (ICSID) yang berpangkalan di Washington dan ditaja oleh Bank Dunia. Institusi lain termasuklah Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa London, Dewan Perniagaan Antarabangsa, Pusat Arbitrasi Antarabangsa Hong Kong dan UNCITRAL.
3. APAKAH MEKANISME PROSIDING ISDS?
Biasanya, prosiding pertikaian akan didengari oleh panel tiga arbitrator – setiap pihak memilih satu, dan yang ketiga akan dipilih secara bersama. Keputusan akan ditentukan menerusi undi majoriti dan ianya muktamad tanpa ada proses rayuan.
Jika keputusan memihak kepada pelabur, negara tuan rumah perlu membayar pampasan yang ditetapkan. Jika enggan membayar, aset negara tuan rumah di seluruh dunia boleh disita.
Jika keputusan memihak kepada negara tuan rumah, ini bermakna pampasan yang dituntut tidak dibenarkan. Pelabur mungkin hanya akan diarahkan membayar sebahagian kos guaman negara tuan rumah.

4. MENGAPAKAH ISDS MENJADI ISU?
ISDS telah digunakan secara berleluasa oleh syarikat pelabur sehingga mencabul kedaulatan negara tuan rumah. Dalam beberapa kes, tuntutan saman oleh pelabur telah menyulitkan kerajaan melaksanakan undang-undang sah berkaitan kepentingan awam seperti kesihatan rakyat, kesejahteraan alam sekitar, hak pekerja dan pengguna, serta polisi berkaitan kepentingan penduduk asal.

Saman yang dikemukakan oleh pelabur ini tidak sekadar menuntut semula kos yang telah dilaburkan tetapi turut memasukkan bahagian keuntungan yang didakwa bakal terjejas atas pelaksanaan undang-undang tertentu oleh negara tuan rumah. Nilai pampasan yang perlu dibayar negara tuan mencecah ratusan juta dolar, bahkan ada yang mencecah bilion dolar.

Risiko yang jauh lebih besar ke atas negara tuan rumah (seperti yang dihuraikan dalam bahagian mekanisme) membuatkan sebahagian negara tunduk kepada ancaman pelabur untuk mengguna pakai ISDS lalu mengubah undang-undang yang menjadi pertikaian. Secara tidak langsung, undang-undang tersebut yang telah diluluskan secara sah dan demokratik telah diveto oleh pihak asing.

Sistem ISDS juga pincang kerana tidak memberikan negara tuan rumah hak yang sama untuk membuat tuntutan pampasan ke atas pelabur, terutamanya berkenaan kegiatan pelaburan yang menjejaskan alam sekitar, kesihatan pekerja dan penduduk setempat.
Selain itu, prosiding ISDS yang sering dijalankan secara sulit dan anggota arbitrator yang mempunyai konflik kepentingan dan peranan telah menimbulkan keraguan yang berasas terhadap ketelusan ISDS dan kemampuannya berfungsi dengan adil.



5. APAKAH KAITAN ISDS DENGAN TPPA?
Hampir kesemua perjanjian dagangan antarabangsa yang terkini mensyaratkan peruntukan ISDS diguna pakai (dan mengenepikan saluran penyelesaian menerusi mahkamah negara tuan rumah) bagi menyelesaikan pertikaian berkaitan pelaburan. 

TPPA kini sedang dalam proses rundingan peringkat akhir antara negara peserta dan dijalankan dengan tahap kerahsiaan yang tinggi. Bagaimanapun, dokumen rundingan yang bocor mengesahkan bahawa Amerika Syarikat mendesak supaya peruntukan ISDS dimasukkan dalam klausa utama perjanjian.

6. APAKAH TINDAKAN NEGARA PESERTA TPPA BERKENAAN PERUNTUKAN ISDS?
Kesemua negara peserta, termasuk Malaysia, telah memberi persetujuan penuh untuk memasukkan peruntukan ISDS dalam TPPA, kecuali Australia yang meletakkan pengecualian bersyarat.

7. APAKAH ANTARA CONTOH KES ISDS?
Sejak tahun 2000, lebih daripada separuh negara di dunia pernah disaman oleh ratusan syarikat menerusi sistem ISDS. Antara kes yang menjadi perhatian ialah:
  • Pada 2012, Ecuador diarah membayar Occidental Petroleum sebanyak $2.3 bilion kerana membatalkan sebuah kontrak penerokaan minyak atas sebab perlanggaran terma perjanjian.
  • Jerman sedang menghadapi saman mencecah $4.7 bilion oleh syarikat tenaga, Vattenfall apabila menghentikan penjanaan kuasa melalui teknologi nuklear sebagai langkah berjaga-jaga susulan malapetaka reaktor nuklear di Fukushima, Jepun pada 2011.
  • El Salvador sedang menghadapi saman berjumlah $284 juta daripada syarikat perlombongan emas Pacific Rim, kerana tidak memberi permit penggalian emas atas sebab pencemaran, hak penggunaan tanah penduduk dan juga politik.
  • Australia disaman oleh Philip Morris kerana meluluskan undang-undang mengharamkan logo jenama diletakkan pada kotak rokok.
  • Uruguay turut disaman oleh Philip Morris apabila kerana mensyaratkan supaya saiz amaran kesihatan dibesarkan kepada 80 peratus bahagian depan kotak rokok.
  • Pada 2006, Afrika Selatan disaman sebanyak $350 juta oleh pelabur perlombongan granit dari Itali kerana menguatkuasakan undang-undang pasca-aparteid yang mewajibkan pemilikan minimum 26% kepada rakyat kulit hitam dalam syarikat perlombongan yang beroperasi di negara itu. Saman tersebut digugurkan apabila Afrika Selatan akhirnya bersetuju untuk hanya mengurangkan syarat minimum tersebut kepada hanya 5%.
Ternyata peruntukan ISDS ini menggugat kedudukan undang-undang dan hak rakyat sesebuah negara yang berdaulat seperti Malaysia. Dan semua ini sedang dipaksa untuk diterima oleh negara peserta TPPA demi menjamin keuntungan kelompok kapitalis semata-mata, terutamanya syarikat-syarikat gergasi Amerika-Yahudi.



http://www.ismaweb.net/2015/07/tppa-ancam-kedaulatan-negara-apa-yang-anda-perlu-tahu-mengenai-isds/

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.