Sunday, 12 July 2015

Faisal Tehrani Mula Biadap?

SALAH seorang tokoh liberal yang perlu diambil perhatian adalah Faisal Tehrani (FT) atau nama sebenarnya adalah Mohd Faizal Musa.



Akhir-akhir ini, FT kelihatan semakin berani menyatakan perlawanan dan penghinaan terhadap institusi Islam di negara ini dan institusi ulama pada umumnya. FT kini berterus terang tentang pendirian liberalnya setelah beberapa bukunya diharamkan oleh JAKIM.

Sebagai seorang Muslim sewajarnya setiap perkara buruk yang menimpa diri kita menjadi pengajaran agar kita kembali ke jalan yang benar, namun tidak begitu yang dilakukan oleh FT.

Terlalu banyak kesesatan pemikiran, penyelewengan fakta serta penafsiran yang salah terhadap Islam yang dilakukan oleh FT dalam karya-karyanya.

Di sini saya hanya ingin menggariskan perkara-perkara penting dalam siri serangan terhadap institusi Islam di negara ini. Dalam sebuah wacana bertajuk Hak Asasi Manusia: Cabaran Pelaksanaan di Alam Melayu pada 2 Julai 2015, beliau menggelar para ulama di negara ini sebagai ‘jadong’ yang merupakan singkatan daripada jahat, bodoh dan sombong.

Jadong adalah istilah yang dicipta oleh Syed Husein Alatas bagi merujuk kepada pemimpin-pemimpin Melayu yang rosak moralnya sehingga boleh menghancurkan bangsanya sendiri. Istilah ini ternyata telah disalahgunakan oleh FT untuk merujuk kepada para ulama yang berkhidmat untuk kepentingan umat Islam di negara ini.

Dengan penghinaan terhadap ulama ini, FT berusaha untuk menghakis kedudukan mulia dan tinggi para ulama di mata umat Islam.

Dalam bukunya yang terbaharu – Aku____, maka aku ada – FT mengangkat slogan “usah ajari aku bagaimana menjadi seorang Muslim, engkau tidak semua tahu aku tidak selalu jahil”. Kata-kata yang ditujukan kepada para ulama yang baginya mengongkong sehingga ia tidak bebas berkarya sesuka hatinya.
Lebih dari itu, dalam wacana di atas, FT juga memburuk-burukkan institusi raja yang telah berdaulat sejak lebih kurang seribu tahun lamanya. Hanya semata-mata terdapat kepincangan di sana sini tidak mewajarkan seseorang itu meruntuhkan institusi yang telah sebati dengan jati diri Melayu itu dan telah mengalami proses Islamisasi.

FT tidak faham bahawa konsep zillu’Llah fi al-ard bukannya alat legitimasi yang diberikan oleh ulama untuk para sultan memiliki kuasa mutlak, melainkan ia adalah ungkapan bagi mengingatkan para sultan bahawa dirinya bukanlah siapa-siapa melainkan bayang-bayang yang perlu sentiasa mengikuti perintah dan kehendak Allah SWT.

Kebebasan perlu ada batasnya. Agama Islam dan nilai-nilai ketimuran kita khususnya tidak dapat menerima kebiadapan, sifat kurang ajar yang ditunjukkan oleh kelompok liberal.

Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris


Tidak ada negara dan bangsa di dunia ini yang boleh berkompromi terhadap sebarang usaha meruntuhkan dan sikap biadab warganya terhadap nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang menjadi tiang seri pembinaan negara dan bangsa tersebut.

Dalam buku terbaru itu, FT semakin menyerlahkan kesesatan pemikiran yang dibawanya. 

Beliau menegaskan: “Akhlak menentukan seseorang itu kafir atau tidak. Kekafiran tidak tersangkut pada perbezaan keyakinan, kepercayaan atau akidah”.

Selanjutnya FT menjelaskan: “Jika anda berada di atas jalan, kekafiran anda tidak terungkap pada akidah atau kepercayaan. Jika anda tidak berakhlak di atas jalan raya, semberono dan hilang santun, jika anda seorang pembuli jalan raya, jika anda seorang pencarut tegar maka anda seorang kafir walaupun anda berserban berjubah, atau berhijab litup.

“Contoh besar; jika anda meyakini kepercayaan atau kaum anda lebih superior dan benar, anda pun mengherdik kepercayaan orang lain, lantas menghina kaum lain dengan begitu angkuh dan sombong, justeru, walaupun ada seorang alim di mata komuniti anda, tetap menurut al-Quran anda adalah seorang kafir. Justeru, pencabul hak asasi manusia terkelompok dalam golongan kafir, biar batang tubuhnya membawa nama Islam, atau nama bukan Islam.”.

Definisi yang diberikan oleh FT ini sebenarnya merupakan luahan dendam ke atas peristiwa yang terjadi ke atas dirinya apabila seseorang telah menzahirkan kemarahan dan kebenciannya kerana kecelaruan dalam karya-karya FT sehingga menghamburkan kata-kata kasar serta tuduhan kafir ke atasnya.

Persoalannya mengapa pengalaman peribadi perlu diangkat sampai ke tahap mahu merombak definisi kufur yang telah disekapati zaman berzaman. Sewajarnya jika tuduhan itu tidak benar ia abaikan sahaja, tidak perlu marah, apalagi membuat satu gerakan liberalisme bagi merombak prinsip-prinsip Islam.

FT telah mengelirukan konsep Fasik dengan Kafir. Orang Fasiq adalah orang yang melakukan dosa besar, meskipun melakukan dosa besar para ulama tidak menjatuhkan hukuman kafir kerana pintu taubat sentiasa terbuka untuknya. Meskipun ia akan mendapat seksaan neraka kerana dosa-dosanya itu tetapi dari segi akidah, pada zahirnya, ia tetap dianggap sebagai seorang Muslim dan hukum-hukum Islam berlaku ke atasnya. Justeru, dengan kayu ukur di atas FT telah dengan mudah menjatuhkan hukum kafir kepada orang Islam yang melakukan dosa, dan dengan itu menerakakan ramai orang.

Pandangan seperti ini dalam sejarah Islam adalah pandangan para pelampau daripada golongan Khawarij dan sebahagian Mu’tazilah. Dengan demikian jelaslah bahawa pemikiran yang dikemukakan oleh FT ini adalah ajaran yang sesat dan menyesatkan.

Dalam artikel di malaysiakini yang bertajuk “Aku, Liberalis”, FT seolah-olah mengisytiharkan perlawanan besar- besaran terhadap institusi agama di negara ini.

Beliau membayangkan dirinya seperti tokoh reformis Barat yang menentang pemerintahan absolutis dan kuku besi yang bersekongkol dengan gereja untuk menindas rakyat dan mengekang kemajuan. Institusi ulama disamakan dengan institusi gereja di “zaman kegelapan”.

Seseorang yang waras akan sedar bahawa apa yang dikatakan oleh FT ini jauh panggang dari api. Meskipun institusi Islam seperti Jakim ini memiliki kekurangan namun ia tidaklah seburuk yang digambarkan oleh FT. Selain gagal membuktikan dakwaannya di atas, FT ternyata sangat berlebihan dan hal ini didorong oleh rasa tidak puas hati yang bersifat peribadi.
 
Seorang Muslim semestinya memahami bahawa peranan negara dalam Islam adalah memelihara agama. Jika terdapat kefahaman agama yang menyeleweng dan sesat adalah menjadi tugas pemimpin memastikan fahaman tersebut tidak disebarluaskan kepada masyarakat.

Kerana itu tindakan JAKIM dan MAIN mempunyai asas yang kuat, justeru, seyogianya FT memikirkan semula kefahaman agamanya agar tidak dianggap sesat dan mempertahankannya secara ilmiah jika sememangnya tidak sesat dan bukannya menimbulkan kekacauan.

Hak asasi manusia hanyalah salah satu “topeng” yang digunakan oleh FT bagi mengaburi pembacanya. Sebagai seorang yang berkecimpung dalam bidang seni beliau mempunyai pengetahuan yang cukup tentang pentingnya penggunaan topeng ini dalam seni persembahan.

Ia dapat diumpamakan seperti persembahan silap mata yang memerlukan kemahiran dalam seni persembahan, jika tidak karya-karyanya tidak akan diminati anak muda. Sememangnya terdapat ramai remaja di luar sana yang sentiasa mahukan bahan-bahan bacaan yang menghiburkan. Mereka ini sukakan unsur-unsur kejutan, kelainan, bagi membuang kebosanan, maka dengan menampilkan sesuatu yang berlainan persembahan itu akan mendapat sambutan di kalangan anak muda.

Justeru, kita khuatir mereka sebenarnya lari dari satu bencana hanya untuk menyerahkan diri kepada bencana yang lain. 

Karya FT yang dikatakan berbaur syiah?


Kita tidak menafikan banyak yang diperjuangkan oleh UDHR adalah selari dengan yang diperjuangkan oleh Islam. Sekitar 85% kita boleh bersetuju, ini kerana yang 85% ini merupakan produk pemikiran manusia yang telahpun mengapung dalam korpus ilmu masyarakat dunia, menjadi sebahagian daripada peradaban manusia, prinsip equality before the law, the rule of law, jaminan terhadap kebebasan bersuara, beragama, kebebasan mendapatkan keselamatan dan kecukupan (freedom of speech and faith, freedom from want and fear) telah menjadi norma yang diterima pakai dalam masyarakat antarabangsa.

Semua ini telah ada dalam peradaban Islam dengan nama dan konsepsi yang berbeza. Dalam perbincangan pemikiran politik Islam semua ini disebut sebagai al-daruriyyat, necessities, yang menjadi kewajipan pemerintah untuk menyediakannya tanpa perlu dituntut sebagaimana dalam konsep hak.

Barang diingat Magna Carta tahun 1215 bukanlah perlembagaan pertama di dunia melainkan piagam Madinah yang ditulis oleh Rasulullah pada tahun 622, tiga natural rights yang dikemukakan oleh John Locke (1704) bukanlah perkara baru kerana Imam al-Ghazali (1111) telah terlebih dahulu mengemukakan 5 maqasid al-Shari’ah.

Terdapatnya 15% perkara-perkara dalam UDHR yang bercanggah dengan hukum Islam, norma masyarakat Timur, seperti kebebasan untuk murtad, menyebarkan ajaran sesat, seks bebas dan songsang, hak LGBT, dan sebagainya.

TIDAK boleh dipandang remeh, kerana hal ini melibatkan perkara pokok dalam agama dan cara hidup orang Islam yang perlu diatur mengikut agama.

Umat Islam tidak boleh dipaksa menerima perkara-perkara yang bertentangan dengan Shari’ah Islam.

FT telah menikmati kebebasan bersuara sejak sekian lama, banyak karya tulis beliau telah pun mempengaruhi ramai generasi muda yang dahagakan hiburan. Hanya baru-baru ini JAKIM mengharamkan sebahagian buku beliau kerana kandungannya yang melampau.

Kebebasan bersuara yang diberikan kepada penulis ini telah disalahgunakan untuk menyebarkan fahaman yang sesat dan keliru, meracuni pemikiran anak muda dengan menyelewengkan fakta sejarah dan memburuk-burukkan institusi Islam di negara ini dengan tujuan yang jelas iaitu meruntuhkannya.

Ini kerana ia adalah institusi yang memartabatkan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak menerima Akidah Syiah. Seandainya FT akur dengan undang-undang negara, termasuk kekangan kepada penyebaran fahaman Syiah niscaya buku-buku beliau tidak akan diharamkan.

Pengharaman buku oleh JAKIM di negara ini bukan untuk mengekang kebebasan bersuara dan kebebasan akademik, melainkan untuk memelihara agama Islam daripada diselewengkan dan diputarbelit bagi memenuhi nafsu ajaran sesat serta memelihara keamanan dan kedamaian.

Universiti tidak sewajarnya menjadi tempat bagi golongan liberal menyebarkan kekeliruan. Apalagi memberi ruang kepada penulis yang telah menunjukkan sikap biadab kepada institusi Islam dan institusi raja.

Negara kita tidak mengamalkan absolutisme kerana di luar universiti golongan ini mempunyai ruang yang besar dengan adanya sebahagian anak muda yang cenderung kepada liberalisme dan fahaman Syiah. Ini bermakna negara ini mengamalkan kebebasan bersuara dan kerana itu juga NGO liberal seperti IKD, SIS dan IRF masih kekal berleluasa.

Jika kelompok ini mendapat dana yang besar dari luar untuk menyebarkan faham liberalisme dengan tujuan menguasai pemikiran umat Islam secara halus, kerajaan yang bertekad untuk mendaulatkan Islam dan telah pun mengambil pendirian yang tegas terhadap liberalisme tentunya berhak menyekat gerakan ini daripada terus meracuni pemikiran masyarakat Islam.

Semoga Allah SWT menjauhkan diri kita dan saudara-saudara kita daripada kesesatan yang datang dalam pelbagai bentuknya.



http://www.ismaweb.net/2015/07/luahan-kemarahan-faisal-tehrani-satu-kebiadaban-terhadap-islam-institusi-raja/

6 comments:

  1. Bukan kah beliau pengikut syiah ?

    ReplyDelete
  2. FT ni dah terang2an Syiah... jangan ambil pusing apa yang di cakapnya,ajar dia dengan kekerasan undang2 .... tak perlu berbaik2 dengan manusia macam ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. setuju. kita perlu humban pemikiran liberalis gila dari Negara. liberalis yang bertopengkan islam jauh lebih berbahaya dari kapir harbi,

      jentayu

      Delete
  3. takperlu baca novel2 beliau bertaraf sampah..

    apa perlu mengagongkan syiah? mencari publisiti? dah tak laku?

    ReplyDelete
  4. Pernah membeli beberapa beliau tapi selalu tak sedap hati dengan cara penulisannya.

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.