Thursday, 25 June 2015

"Tanpa Pendatang Cina Tanah Melayu Tetap Akan Kaya Raya"-Raja Petra Kamarudin

Tanah Melayu tetap akan kaya, kerana negara ini kaya dengan sumber hasil bumi.
 
Malah, kedatangan orang Cina yang miskin di China ke Tanah Melayu, adalah disebabkan oleh kekayaan yang dimiliki oleh negara ini.

Demikian menurut penulis laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dalam tulisannya bertajuk ‘MCS: The Malay Crutch Syndrome’ yang disiarkan semalam.

Ujarnya, kekayaan Tanah Melayu terbukti apabila 30% ekonomi Britain bergantung kepada Tanah Melayu pada sekitar tahun 1950, ketika pasca Perang Dunia Kedua.

“100 tahun selepas Cina mula memasuki Tanah Melayu besar-besaran pada 1850, kira-kira 30% ekonomi Britain bergantung kepada Tanah Melayu.

“Ya betul, 30% ekonomi Britain bergantung kepada Tanah Melayu sekitar akhir Perang Dunia Kedua,” katanya.

Raja Petra mengulas isu ekonomi orang Melayu dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang turut dibincangkan oleh mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya chedet.cc semalam.

Katanya, apabila membincangkan soal DEB, kita tidak boleh terhad membincangkan jumlah harta, aset dan saham yang dimiliki bumiputera, bahkan kita mesti membincangkan isu pendidikan yang akan membantu bumiputera untuk berjaya dalam kehidupan.

Beliau juga menulis kata-kata yang selalu diungkapkan oleh orang Cina terhadap orang Melayu seperti ‘Melayu takkan berjaya kecuali setelah mereka diberikan tongkat’.

Kata Raja Petra, sebenarnya orang Melayu tidak diberikan tongkat. Mereka diberikan peluang untuk mendapat pendidikan yang lebih baik. Dengan itu, mereka akan membantu diri sendiri dalam memilih jalan untuk berjaya dalam hidup.



Katanya lagi, orang Cina selalu menyebut Malaysia tidak akan mempunyai apa-apa jika orang Cina tidak datang ke Malaysia dan membantu membangunkannya, dan orang Melayu akan tinggal dalam hutan.

Raja Petra berkata, orang Melayu tidak pernah tinggal di hutan. Mereka tinggal di rumah-rumah.

“Alasan bahawa orang Cina memasuki Tanah Melayu bermula tahun 1850 sehingga 1920 adalah kerana pembangunan Tanah Melayu. Tanah Melayu kaya sumber bumi.

“Oleh itu, orang Cina yang miskin di China mahu mengeksploitasi sumber-sumber kekayaan ini, lalu mereka melakukannya dan mereka pun menjadi kaya,” tulisnya lagi.

Ketika mengulas statistik yang ditulis oleh Tun Mahathir bahawa DEB telah berjaya meningkatkan pegangan kekayaan bumiputera daripada 2% kepada 19%, Raja Petra mempersoalkan ketepatan fakta itu.

Katanya, sebelum DEB, pemilikan individu atau sektor swasta di kalangan bumiputera hanya 1%. Angka 2% yang disebut Tun M adalah termasuk agensi-agensi amanah seperti MARA, SEDC dan lain-lain.

Katanya lagi, pada tahun 1985, iaitu 15 tahun selepas DEB dilancarkan, pemilikan bumiputera meningkat kepada 19%. Bagaimanapun, pemilikan individu hanya 3%, selebihnya baki 16% dimiliki oleh agensi-agensi amanah yang dimiliki oleh kerajaan, bukannya individu bumiputera.

“Angka 19% pada tahun 1985 masih kekal pada tahun 2015. Jumlah itu kekal selepas 30 tahun. Bermakna, sejak Tun M menjadi Perdana Menteri pada 1981 sehingga hari ini, dalam tempoh 34 tahun, tidak berlaku langsung peningkatan.

“Jadi apakah yang telah berlaku dalam tempoh 34 tahun? Mengapakah angka itu kekal selama 34 tahun? Angka 19% yang disebut oleh Tun M adalah angka pada tahun 1985, 30 tahun lalu.

“Adakah DEB telah gagal atau kerajaan berbohong kepada kita bahawa angka sebenar bukan 19%, bahkan lebih tinggi daripada itu?

“Adakah 19% yang Tun M sebut itu merujuk kepada pemilikan kekayaan individu atau adakah ia termasuk pemilikan agensi-agensi amanah?

“Jika ia tidak termasuk agensi amanah, jadi berapakah angka sebenar jika ditambah keduanya? Jika ia termasuk sekali dengan agensi amanah, berapakah peratus untuk individu, berapakah pula untuk agensi amanah?” soalnya panjang lebar.



http://www.ismaweb.net/2015/06/tanah-melayu-tetap-akan-kaya-tanpa-kedatangan-cina/

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.