Friday, 5 June 2015

Saman Hudud-Gerakan Fail Rayuan

Gerakan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman pemula Gerakan untuk mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud.
 
Seorang daripada peguam yang mewakili Gerakan, Chai Ko Thing memberitahu pemberita notis rayuan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Baharu, Kelantan hari ini.

Pada 7 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Kota Baharu menolak permohonan Gerakan untuk merujuk persoalan perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan.
 
Pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi juga membatalkan saman pemula Gerakan untuk mencabar perlembagaan kerajaan negeri Kelantan berhubung Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang telah dipinda dan diluluskan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac lepas.

Ahli Gerakan di Kompleks Mahkamah Kota Baru-theheatonline.asia
Pindaan itu untuk memasukkan perundangan bagi kesalahan jenayah seperti mencuri, merompak dan rogol yang merupakan sebahagian daripada senarai perundangan persekutuan dan dihukum di bawah undang-undang persekutuan.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan notis usul Gerakan bersifat pramatang kerana difailkan sebelum Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan itu.

Beliau juga membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh kerajaan Kelantan bahawa Gerakan perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, permohonan Gerakan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk memulakan petisyen mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah itu, ditetapkan hari ini bagi pengurusan kes di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Nor Aziah Jaafar menetapkan 9 Julai untuk pengurusan kes selanjutnya bagi membolehkan kerajaan negeri Kelantan memfailkan afidavit jawapan berhubung permohonan Gerakan itu.

Mewakili ketiga-tiga anggota parti iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie pada prosiding hari ini ialah peguam Ong Siang Liang dan Chai.

Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayub mewakili Pejabat Peguam Negara manakala peguam Wan Jawahir Harun mewakili kerajaan negeri Kelantan.

Dalam notis usul yang difailkan 8 Mei lepas, ketiga-tiga anggota Gerakan itu berkata DUN Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang untuk menghukum perbuatan jenayah, yang termaktub di bawah undang-undang persekutuan.

Mereka mendakwa kelulusan Dewan Undangan Negeri berhubung pindaan itu adalah tidak sah dan batal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam notis usul itu, mereka menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai defendan.



http://www.ismaweb.net/2015/06/gerakan-fail-rayuan-terhadap-keputusan-mahkamah-tinggi-tolak-saman-hudud/

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.