Friday, 19 June 2015

Pengkritik Sebenarnya Tidak Bebas-Tun Abdul Hamid Mohammad (Bah. Akhir)

Sekarang, saya merujuk kepada Datuk Mohamad Arif. Saya tahu beliau pernah bertanding pilihan raya sebagai calon PAS dan kalah. Namun, saya mengesyorkan beliau untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan ia dipersetujui kerajaan. Adakah tuan-tuan fikir kerajaan Pakatan Rakyat akan melantik seorang UMNO yang menjadi calon BN dan kalah untuk menjadi seorang hakim? Tekaan anda adalah sama baik atau seburuk tekaan saya. Datuk Arif telah disahkan sebagai hakim dan kemudian dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan. Terus terang saya katakan, saya kecewa dengan beberapa penghakiman beliau. Saya hanya boleh berharap bahawa mahkamah yang lebih tinggi akan mengubah (reverse) penghakiman beliau. Itu sistem kita. Sekarang, saya minta beliau memberitahu kita pengalamannya: sama ada mana-mana ahli politik atau sesiapa saja yang berkuasa ke atasnya atau yang mewakili pentadbiran pernah mengarahkan, mencadangkan atau membayangkan kepada beliau untuk membuat keputusan kes yang memihak kepada kerajaan atau sama ada beliau pernah menerima apa-apa ancaman, ugutan, amaran atau peringatan daripada mereka atau sama ada sesiapa yang berkuasa pernah cuba untuk campur tangan dalam membuat keputusan beliau. Sampai kepada tuan-tuan dan puan-puan sekarang.  



Berapa orang daripada tuan-tuan dan puan-puan yang mempunyai pengalaman peribadi di mana tuan-tuan dan puan-puan kalah kes di mahkamah kerana hakim itu tidak bebas? Berapa ramai daripada tuan-tuan dan puan-puan yang membaca penghakiman sesuatu kes kontroversi sebelum berkata mahkamah tidak bebas? Saya yakin bahawa kebanyakan orang sudah pun membuat pendirian bagaimana keputusan kes itu patut dibuat tidak kira keterangan yang dikemukakan di mahkamah dan undang-undang yang terpakai. Jika keputusan itu memihak kepada mereka, soal kebebasan badan kehakiman tidak timbul. Jika tidak dan jika pihak yang satu lagi adalah kerajaan, alasan yang paling mudah adalah bahawa mahkamah tidak bebas. Ramai orang semata-mata bergantung kepada apa yang ditulis oleh akhbar online dan penulis blog. Saya akan memberitahu satu pengalaman saya. Apabila saya ditawarkan jawatan pengerusi suatu jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan, saya berkata, mereka perlu menghantar kereta untuk menjemput saya dari rumah saya ke mesyuarat dan menghantar saya balik. Sebuah akhbar online melaporkan, "Beliau meminta sebuah kereta." (Untuk maklumat anda, saya membuat permintaan yang sama kepada UiTM untuk datang ke sini hari ini, bahkan saya juga meminta seorang pegawai untuk membantu saya. Adakah saya meminta sebuah kereta lagi dan juga seorang pembantu?) 


Anwar kritik kebebasan kehakiman Tidak ada sesiapa dalam sejarah perundangan Malaysia yang mempersoalkan kebebasan badan kehakiman lebih daripada Anwar Ibrahim, itu pun hanya apabila keputusan mahkamah tidak memihak kepadanya. Di hadapan saya, pada hari pertama rayuan beliau didengar, beliau mahu saya menarik diri daripada membicarakan kesnya, mungkin kerana saya datang dari Permatang Tinggi Bakar Bata yang lebih dekat dengan Permatang Bertam, kampung Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri ketika itu daripada Cherok Tok Kun, kampung beliau. (Peguamnya cuba memberikan beberapa sebab lain). Apabila saya menolak permohonannya, beliau bangun dan mengkritik saya dan mendakwa bahawa mahkamah tidak bebas. Apabila, pada akhir kes itu, saya membebaskan beliau, beliau bangun dan berkata: "Terima kasih, Yang Arif. Semoga Allah memberkati Yang Arif." Peguam beliau berdiri untuk membuat ucapan memuji saya. Saya mengarah mereka untuk duduk kerana saya tahu bahawa mereka tidak akan membuat ucapan yang sama jika penghakiman saya tidak memihak anak guam mereka. Ketika beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes liwat kedua, beliau tidak berkata mahkamah tidak bebas. Tetapi apabila Mahkamah Persekutuan mensabitkan beliau, badan kehakiman tidak bebas semula. 

Kesilapan Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar kes itu ialah mereka keluar dari mahkamah memberi gambaran bahawa mereka lari. Mereka sepatutnya meminta beliau menunjukkan sebab mengapa beliau tidak patut dihukum kerana menghina mahkamah di hadapan mahkamah. Tuduh 'kreativiti kehakiman' Selalunya, orang yang mengkritik kebebasan badan kehakiman itu sendiri tidak bebas. Bagi mereka mahkamah adalah 'bebas' apabila ia memberi keputusan yang memihak kepada mereka tetapi 'tidak bebas' apabila ia memberi keputusan yang tidak memihak kepada mereka, terutama jika pihak yang menang itu kerajaan? Apabila mahkamah melentok ke belakang atau menulis semula undang-undang atas alasan membuat tafsiran, mereka memanggilnya 'kreativiti kehakiman.' Jika mahkamah melakukan hal yang serupa untuk memihak kepada kerajaan (saya percaya ia tidak pernah berlaku di negara ini) saya pasti mereka akan berkata bahawa mahkamah telah melebihi bidang kuasanya! Kebebasan badan kehakiman bukan jalan sehala. "Jika pengasingan kuasa hendak mempunyai apa-apa makna, ketiga-tiga cabang kerajaan perlu menghormati bidang kuasa masing-masing. Tidak ada gangguan, tidak ada perampasan kuasa patut berlaku di antara satu sama lain." 




Itulah apa yang saya katakan dalam kes Karunairajah Rasiah v Punithambigai Ponniah (2004) 2 CLJ 321 (juga boleh didapati di laman web saya), Penghakiman Mahkamah Persekutuan. Pelantikan Hakim biasanya adalah prerogatif Perdana Menteri atau Presiden. Di Malaysia, ada pula Majlis Raja-Raja yang bukan hanya 'rubber stamp' dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Saya pernah menjadi anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman selama dua penggal selepas persaraan saya. Saya katakan bahawa tidak ada politik di sana.

Benar, Perdana Menteri tidak terikat untuk mengikut syor suruhanjaya. Tetapi, sepanjang tempoh saya menjadi ahli suruhanjaya itu, setakat yang saya ingat, tidak ada kes di mana Perdana Menteri menolak syor suruhanjaya. Ketika lawatan saya ke Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat, saya bertanya sama ada Presiden pernah menolak nama yang dicadangkan oleh jawatankuasa yang serupa dengan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman kita. Jawapannya adalah, "nama-nama itu telah diluluskan oleh Presiden sebelum mereka di bawa ke jawatankuasa itu." (Nampaknya Presiden Amerika Syarikat lebih bijak dalam hal ini.) Jangan fikir bahawa hakim yang dipilih melalui pilihan raya adalah lebih baik. 

Dalam lawatan sama, sebagai jawapan kepada soalan saya, kami diberitahu bahawa kebanyakan hakim yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah adalah hakim yang dipilih melalui pilihan raya. Saya bertanya kepada hakim yang memberi taklimat kepada kami: "Jika tuan diberi tugas untuk menulis semula Perlembagaan Amerika Syarikat, adakah tuan akan mengesyorkan bahawa hakim-hakim dipilih melalui pilihan raya?" Jawabnya: "Tidak sekali-kali." Saya akhiri ucapan saya dengan apa yang Tun Mohd Suffian pernah kata kepada saya pada tahun 1970-an ketika saya menjadi Timbalan Pendaftar. Katanya: "Kamu tahu Hamid, apabila Majlis Peguam berkata kita prokerajaan dan kerajaan kata kita antikerajaan, itu bermakna kita bebas." Isu ini bukan baharu. 





http://www.bharian.com.my/node/61966

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.