Friday, 19 June 2015

Pengkritik Sebenarnya Tidak Bebas-Tun Abdul Hamid Mohamad (Bah. 1)

Saya bercakap daripada pengalaman, bukan daripada persepsi atau daripada buku. Saya menghabiskan 21 tahun sebagai seorang pegawai dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan memegang pelbagai jawatan, termasuk Ketua Pendakwaan. Saya menghabiskan 18 tahun dalam Badan Kehakiman, menjadikan sejumlah 39 tahun. 


 
Saya bersidang dalam semua mahkamah di negara ini dari Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. Saya juga mempengerusikan Mahkamah Khas dan bersidang sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah. Sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, saya mendengar rayuan yang membabitkan Ketua Menteri mewakili Barisan Nasional (BN) di sebuah negeri. Penghakiman majoriti yang saya tulis menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk memegang jawatan itu. Sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, saya mempengerusikan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan kes liwat pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penghakiman majoriti yang saya tulis melepas dan membebaskan beliau yang tidak disenangi oleh parti yang berkuasa dan kerajaan. Sebagai Ketua Hakim Negara, saya mempengerusikan Mahkamah Khas yang mendengar tuntutan sivil terhadap bekas Yang di-Pertuan Agong dan Raja sebuah negeri yang sedang bertakhta. Penghakiman sebulat suara mahkamah yang saya tulis memerintahkan baginda membayar AS$1,000,000 kepada plaintif. (Anda boleh membaca alasan penghakiman saya di laman web saya).


Ketepikan kesopanan, saya fikir saya boleh berkata saya adalah lebih layak untuk bercakap pengalaman daripada semua orang yang ada di dalam dewan ini, termasuk Datuk Mohamad Ariff Mohd Yusof. Sepanjang 21 tahun saya berada dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, termasuk sebagai Ketua Pendakwaan, tidak ada sesiapa yang pernah mengganggu saya dalam membuat keputusan saya. Apa yang berlaku kepada saya selepas saya menyebabkan Ketua Menteri BN hilang kelayakannya? Dalam keadaan biasa, saya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Apa yang berlaku selepas kes yang membabitkan bekas Yang di-Pertuan Agong? Pertama, baginda mematuhi perintah itu dan membayar. Tunjukkan kepada saya sebuah negara di mana perkara seperti ini berlaku. Malah, Ratu England pun mengatasi undang-undang. Saya telah menghadiri Persidangan Hakim-Hakim Mahkamah Perlembagaan di Manila.

Seorang Hakim Mahkamah Perlembagaan dari negara jiran berkata: "Di negara saya menteri pun mengabaikan perintah mahkamah." Malah, pada persidangan itu, ada seorang Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan di sebuah negara yang tidak mempunyai mahkamah - mahkamahnya dihapuskan oleh tentera dalam suatu rampasan kuasa. Rakyat Malaysia perlu belajar untuk menghargai kedudukan dalam negara mereka sendiri. Apakah yang berlaku kepada saya selepas saya melepas dan membebaskan Anwar? Saya akui, parti pemerintah tidak senang dengan saya. Saya adalah Hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan. Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar (Malaya) adalah kosong. 

Ada percubaan untuk memintas saya. Bagi saya itu perkara biasa. Ia berlaku di mana-mana di dunia ini. Katakanlah saya mensabitkan Anwar dan Pakatan Rakyat berkuasa selepas itu, adakah tuan-tuan fikir kerajaan Pakatan Rakyat akan melantik saya menjadi Ketua Hakim Negara? Tekaan anda adalah sama baik atau seburuk tekaan saya.



Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan Biar apa pun, selepas pita video V K Lingam didedahkan, diikuti oleh Suruhanjaya Siasatan, saya ditawarkan jawatan Presiden Mahkamah Rayuan dan sebulan kemudian, Ketua Hakim Negara dan tarikh pelantikan saya dikebelakangkan kepada tarikh pelantikan saya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan. Apabila saya bersara, saya dilantik sebagai pengerusi dan ahli pelbagai jawatankuasa dan suruhanjaya yang ditubuhkan oleh kerajaan. Malah, dalam keadaan saya sekarang ini pun, pandangan saya masih diminta, sekali-sekala. Dalam 39 tahun kerjaya saya, tidak pernah sekali pun saya menerima panggilan telefon atau nota daripada, dan tidak seorang pun mendekati saya bagi pihak pentadbiran, eksekutif atau ahli politik untuk mengarahkan, meminta, mencadangkan atau membayangkan bahawa saya patut membuat keputusan dalam sesuatu kes begitu atau begini. Ya, adalah benar bahawa sebelum saya mendengar kes Anwar, ada seorang (bukan ahli politik) pernah berkata kepada saya: "Jika kamu melakukannya dengan betul, salah satu jawatan itu boleh menjadi milik kamu." Saya menjawab: "Saya tidak tahu apa keputusan saya kelak. Tetapi saya bersedia untuk bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan." Selepas itu, saya berkata: "Jika ada sesiapa yang cuba untuk mempengaruhi saya, saya akan naik ke mahkamah, saya akan isytiharkan secara terbuka dan menarik diri." Tidak ada sesiapa yang cuba untuk mempengaruhi saya selepas itu. Saya tidak tahu mengenai hakim lain. 

Semuanya bergantung kepada kita sendiri. Samalah seperti rasuah. Saya akan ceritakan satu kisah benar. Ketika saya menjadi Hakim Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang, saya membicarakan kes sivil membabitkan seorang ahli perniagaan Singapura keturunan Cina. Dia datang ke mahkamah dengan rakannya dari Pulau Pinang. Jurubahasa Cina saya terdengar perbualan mereka. Ahli perniagaan Singapura itu bertanya rakannya dari Pulau Pinang: "Adakah kamu fikir hakim ini boleh disogok?" Rakannya dari Pulau Pinang itu menjawab: "Yang ini, saya tidak fikir boleh." Perhatikan, mereka membuat penilaian sendiri sama ada seseorang hakim boleh didekati atau tidak. 




http://www.bharian.com.my/node/61966

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.