Wednesday, 17 June 2015

Pakatan Rakyat Tidak Lagi Wujud-'Khalifah Umar Abdul Aziz'

DAP hari ini mengisytiharkan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti itu, PKR dan PAS tidak lagi wujud.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata keputusan yang dibuat Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' pakatan itu.

Jawatankuasa eksekutif pusat DAP pada mesyuaratnya semalam mencapai kata sepakat berhubung Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

'Bapak Borek, Anak Rintik'-'Khalifah Umar Abdul Aziz' Dengan Abinya

"Oleh kerana Pakatan Rakyat dibentuk oleh tiga parti berkenaan berdasarkan konsensus dan terikat dengan Rangka Kerja Polisi Bersama, usul Muktamar PAS dengan berkesan telah membunuh Pakatan Rakyat. Oleh itu Pakatan Rakyat tidak lagi wujud," kata Lim dalam satu kenyataan Selasa.

Pakatan Rakyat merupakan pakatan tidak rasmi yang dibentuk pada 1 April 2008 oleh DAP, PAS dan PKR selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Pada awal bulan ini, Muktamar ke-61 PAS telah meluluskan resolusi untuk memutuskan hubungan dengan DAP setelah DAP secara rasmi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

DAP memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi selepas mendakwa Abdul Hadi gagal untuk membincangkan dengan anggota Pakatan Rakyat yang lain berhubung rancangan PAS untuk meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

PAS sebaliknya mendakwa pemimpin DAP telah menyerang kepimpinan Abdul Hadi sehingga menyebabkan parti itu memutus hubungan dengan DAP.

"Kemungkiran janji oleh Hadi ini diikuti dengan keputusan besar pada 6 Jun apabila Muktamar PAS, perhimpunan agung yang merupakan badan pembuat keputusan tertinggi parti itu, menerima tanpa membahaskan satu usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP," kata Lim.

Beliau juga berkata perbuatan Abdul Hadi memungkiri janji peribadinya pada mesyuarat Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat pada 10 Feb untuk membincangkan mengenai undang-undang hudud yang dicadangkan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat terlebih dahulu, sebelum dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan atau sebelum rang undang-undang peribadi oleh Abdul Hadi dibentangkan di Dewan Rakyat tambah melumpuhkan lagi keseluruhan Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Keadaan Pakatan Rakyat yang hampir lumpuh direncatkan lagi dengan kerelaan Hadi untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan bersama UMNO dan sokongan beliau terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," dakwa Lim.

Setiausaha Agung DAP itu turut memberi contoh beberapa insiden besar yang berlaku sejak beberapa tahun lalu termasuk krisis menteri besar Selangor dan keputusan yang dipersetujui pada Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat yang dilanggari Abdul Hadi sehingga menyebabkan pakatan itu hampir lumpuh.

DAP katanya, akan terus bekerjasama dengan PKR dan semua pihak bagi menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

"Kesan segera dengan kerajaan negeri Selangor ialah sokongan DAP kepada pucuk pimpinan Menteri Besar (Mohamed) Azmin Ali untuk merangka semula kerajaan negeri dengan pakatan baharu yang mampan," katanya.

Kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan ditadbir Pakatan Rakyat yang DAP dakwa tidak lagi wujud.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mempunyai 56 kerusi yang DAP dan PAS masing-masing mempunyai 15 kerusi sementara PKR sebanyak 13 kerusi. Barisan Nasional (BN) mempunyai 12 kerusi.

Di DUN Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi, DAP menduduki 19 kerusi, PKR, 10 dan PAS, satu. BN menduduki 10 kerusi.

DUN Kelantan pula mempunyai 45 kerusi, yang 32 kerusi diwakili PAS dan satu oleh PKR. BN mempunyai 12 kerusi.



http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/po/newspolitics.php?id=1144459

2 comments:

  1. tak layak langsung diberi nama khalifah walaupun untuk sindiran. bodoh la korang ni

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kami cuma meraikan gelaran yang diberikan ahli-ahli sorga suatu ketika dulu. Tuan ahli sorga juga ke?

      Delete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.