Monday, 15 June 2015

NGO Sokong PAS Bersihkan 'Anai-Anai' Dalam Parti

Tindakan PAS menggugurkan beberapa individu yang mesra DAP dalam pelantikan Pesuruhjaya PAS negeri dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2015/2017 merupakan suatu tindakan bijak dan berhikmah dilakukan parti itu.


Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ustaz Ismail Mina, berkata memang sangat logik PAS gugurkan orang seperti Mohammad Sabu atau Mat Sabu, Datuk Mahfuz Omar dan beberapa individu lain.

“Mereka memang sudah tidak layak untuk berada dalam kepimpinan PAS. Sebelum ini pun, merekalah antara individu yang mempunyai rekod bercanggah dengan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Jadi, saya sangat sokong bila mereka ini digugurkan. Ini salah satu cara membersihkan PAS daripada mereka yang lebih mesra kepada DAP dan PKR. Apatah lagi setelah mereka gagal mempertahankan jawatan yang disandang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.
Beliau berkata demikian mengulas laporan Mat Sabu, Mahfuz, Dr Mohd Hatta Ramli dan Asmuni Awi antara telah digugurkan dalam pelantikan Pesuruhjaya PAS negeri dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2015/2017.

Jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang yang sebelum ini disandang Mat Sabu diganti dengan muka baharu, Ustaz Mohd Fauzi Yusof. Manakala Mahfuz yang turut gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden PAS juga digugur daripada terus memegang jawatan Ketua Penerangan PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Jawatan Ketua Penerangan diambi alih oleh Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi, manakala jawatan Pesuruhjaya PAS Kedah diganti dengan muka baharu, Datuk Ir Amirudin Hamzah. 

Perkara yang sama turut diutarakan Pengerusi PEMBELA, Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin.

Katanya, beliau amat lega dengan ‘pembersihan anai-anai’ yang dibuat oleh Presiden dan kepimpinan baharu PAS Pusat.

“Saya berharap PAS Pusat mengembalikan wajah sebenar PAS. Kembalikan ketegasan terhadap musuh-musuh yang cuba menggagalkan usaha untuk menegakkan syariat Islam.

“Kembalikan warna politik Islam yang sebenar agar PAS kembali disegani kawan dan musuh.

“Kembalikan suara Islam yang tegas yang pernah dibawa PAS di peringkat Asia Tenggara dan antarabangsa,” katanya.

Tambah Ustaz Hafiz, beliau yakin jika PAS berjuang sendirian kemenangan dan pertolongan Allah lebih hampir.

“Cita-cita PAS sejak penubuhan dulu ingin mencapai masyarakat yang beramal dengan Islam pasti akan berjaya bila perjuangannya disucikan kembali daripada kotoran asing yang didalangi DAP,” katanya.



http://www.ismaweb.net/2015/06/ngo-sokong-pas-bersih-anai-anai-dalam-parti/

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.