Thursday, 18 June 2015

Mata & Telinga Pihak Berkuasa Semasa Berpuasa

Setiap kali bulan Ramadan menjelma tentunya isu 'Bufet Ramadan' tidak halal atau yang disangsikan status halal sering menjadi topik perbualan seluruh rakyat Malaysia.

Seringkali itu jugalah ada dikalangan kita yang akan menyuarakan rasa tidak berpuas hati kerana ditipu oleh restoran-restoran dan hotel-hotel yang tidak mempunyai status halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).


Oleh untuk mengelak umat Islam daripada keliru dan mudah diperdaya mana-mana restoran atau hotel yang menyediakan hidangan 'Bufet Ramadan' maka amat penting untuk kita mengenali logo Halal Jakim yang sah. Mana-mana logo halal lain adalah tidak sah dan wajar diragui. Dan hal tersebut wajib dilaporkan kepada pihak yang berwajib supaya tindakan segera dapat diambil.

Apalah lagi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sendiri telah memberi amaran kepada mana-mana pengusaha yang menawarkan dan mempromosikan 'Bufet Ramadan' tanpa memiliki sijil halal boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

"Apa yang menjadi kebimbangan ialah bukan sahaja dari sudut (premis) tidak memiliki sijil halal bahkan kita tidak mahu ada tempat (premis) yang menggantungkan sijil halal palsu.

"Jadi semua pengusaha makanan diingatkan agar tidak mengelirukan orang Islam dengan menawarkan Bufet Ramadan sedangkan mereka tidak memiliki sijil halal," katanya.

Sebelum itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak Datuk Mohd Nizar Zakaria dilaporkan berkata bahawa mana-mana premis perniagaan tiada sijil halal yang menggunakan istilah 'Bufet Ramadan' boleh dikenakan denda maksimum RM1 Juta di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Takrifan Halal).


Salam Ramadan diucapkan kepada semua pengunjung dan dalam kita menjalani ibadah puasa, dan bergembira untuk menghadiri majlis-majlis berbuka, eloklah kita pastikan tempat yang kita kunjungi tersebut mendapat status pensijilan halal yang diiktiraf Jakim.

Jika ada mana-mana premis perniagaan yang diragui status sijil halal tersebut perkara ini boleh dipanjangkan kepada pihak berwajib seperti Jakim atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya para peniaga yang tidak bertanggungjawab yang tidak mempunyai status halal tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan berlipat ganda ketika umat Islam sedang tekun menjalani ibadah berpuasa.

Berbuka puasa juga satu ibadah, jadi pastikan ianya jelas halal.

1 comments:

  1. boleh buat lebih dr warning sja kan

    patut benda ni ada dalam web jakim

    senarai restoran/hotel yg ada sijil halal

    sebulan atau dua bulan sebelum puasa

    perkara ni jakim boleh monitor n letak list siap2 dlm web jakim

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.