Friday, 19 June 2015

Kelebihan Puasa Dan Keindahan Taqwa

Allah SWT itu Maha Indah dan suka kepada keindahan. Sifat Maha Indah itu menzahirkan syariat yang indah untuk ditunaikan oleh hamba-Nya yang bernama manusia. Acap kali keindahan syariat-Nya dicemari, bukan kerana syariat itu kurang indah, tetapi kerana hati manusia sirna indahnya. 

Melihat keindahan puasa perlu pada sisi yang tepat dari kaca mata diperintahkan Allah SWT, bukan mengikut rasa hati. Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menegaskan menerusi Islam Itu Indah minggu lalu, jika melihat dengan pandangan yang tersasar, tujuan sebenar berpuasa tidak mampu untuk dilestarikan dalam bentuk amalan yang sempurna. 

Ustaz Pahrol berkongsi tamsilan cara melihat dengan memandang kepada laut. Tatkala dilihat oleh pencinta alam akan terdampar pemandangan indah yang menenangkan, ada ombak dan juga sampah di permukaannya.

Bagi nelayan, hasil tangkapan di laut sumber pencarian mereka. Berbeza bagi pemburu mutiara, melihat laut dengan bayangan kemilau butiran berharga di dasar lautan. Lebih hebat apabila jurutera petroleum memandang lautan, menerobos jauh di bawah lapisan bumi menilai harga galian yang tersembunyi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183) 

Kesinambungan iman, puasa, takwa Terkandung dalam ayat itu, tiga kata kunci yang saling berkaitan dan berkesinambungan antara satu sama lain iaitu iman, puasa serta takwa. Iman itu adalah 'input', manakala puasa adalah proses dan akhir sekali takwa iaitu 'output' atau buah yang diharapkan daripada benih iman serta pohon ibadah puasa. Maka inilah tujuan berpuasa menepati ajaran Islam yang merangkumi Rukun Iman, Rukun Islam dan ihsan. Rukun Iman adalah keyakinan yang menjadi benih, manakala rukun Islam proses iaitu tindakan (puasa) dan ihsan wujud atas rasa yang hadir umpama melihat Allah SWT atau paling kurang hadir perasaan dilihat oleh Allah SWT tatkala melaksanakan ibadah. Keindahan puasa terletak pada proses dan jalan untuk mencapai takwa. 


Kelebihan puasa sinonim dengan kehebatan dan keindahan takwa. Menurut Ibn Manzur, takwa berasal daripada perkataan Arab dengan kata akar waqa iaitu menjaga. Imam Al-Munawi menjelaskan, takwa ialah menjadikan diri dalam keadaan berjaga-jaga daripada apa yang ditakuti. Justeru, takwa adalah menjaga ketaatan kepada Allah SWT daripada seksaan-Nya dan memelihara diri daripada melakukan maksiat yang mengakibatkan pembalasan azab. Orang bertakwa akan sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga ketika bertindak. Implikasi kepada ketakwaan adalah tertanam teguh kepercayaan bahawa jika menjaga Allah SWT, maka Allah SWT akan menjaga diri individu itu. Menjaga Allah SWT di sini bermakna menjaga hukum-hakam, perintah dan larangan daripada Allah SWT.

Sebagai timbal balik, Allah SWT akan menjaga dirinya bermaksud tidak ada yang boleh memudaratkan, memusnahkan apatah lagi menakutkan orang itu kerana ketika ada Allah SWT dalam diri manusia, bermakna dia ada segala-galanya. Kitab Minhajul Abidin karangan Imam Ghazali menyenaraikan kelebihan orang yang bertakwa menurut al-Quran. Pertama, Allah akan menjadi pembela kepada orang yang bertakwa. Sesungguhnya, menjadi seorang Islam belum menjamin pembelaan daripada Allah SWT. Sebab itu dapat dilihat umat Islam seluruh dunia hari ini kerana Allah SWT tidak menjanjikan pembelaan sekadar kepada orang beriman, tetapi Allah SWT menjanjikan pembelaan kepada hamba yang bertakwa.

Kedua, akan diberi rezeki yang tidak disangka-sangka dan penuh keberkatan seperti firman-Nya yang bermaksud: "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (Surah at-Thalaq, ayat 2-3) Peluang menuju takwa Jika berlaku kekusutan dalam apa juga bidang dan lapangan maka audit kembali tingkat takwa diri berada di paras mana? Moga ibadah puasa yang bakal tiba menjadi peluang menuju takwa, pelepas daripada sebarang kekusutan dan kerumitan.

Selain itu, orang bertakwa akan diberi keberkatan dalam hidup sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Jika penduduk satu kampung beriman dan bertakwa, Tuhan akan bukakan berkat dari langit dan bumi." (Surah al-A'raf, ayat 96) Orang yang bertakwa juga dijanjikan syurga oleh Allah SWT dan diselamatkan daripada bakaran api neraka seperti yang termaktub dalam al-Quran yang bermaksud: "Akan tetapi orang yang bertakwa kepada Tuhannya bagi mereka syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, sedang mereka kekal di dalamnya sebagai tempat tinggal dari sisi Allah." (Surah Ali-Imran, ayat 198) Orang bertakwa akan diselamatkan oleh tipu daya musuh iaitu Yahudi dan Nasrani yang terkenal dengan strategi serta perancangan licik untuk menghancurkan umat Islam. Mereka begitu sistematik, fokus dan komited untuk melemahkan perjuangan umat Islam. Namun, orang bertakwa sentiasa berjaya mengenal dan mengatasi tipu daya mereka itu. Justeru, persiapkan diri dengan doa supaya Allah SWT sampaikan usia kepada Ramadan untuk merebut kesempatan pengampunan daripada Allah SWT dan nikmat takwa.



http://www.bharian.com.my/node/61965

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.