Saturday, 13 June 2015

Denda RM1 Juta Premis Perniagaan Tiada Sijil Halal Guna 'Buffet Ramadan'

Premis perniagaan makanan yang tiada sijil halal dan menggunakan istilah 'buffet Ramadan' boleh dikenakan denda maksimum RM1 juta di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Takrifan Halal), kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Sehubungan itu, katanya pengusaha premis makanan diingatkan agar mendapatkan sijil halal dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) jika mahu menggunakan 'buffet Ramadan" untuk promosi juadah berbuka puasa.

Semak Status Halal

"Beberapa hari lagi umat Islam di negara kita bakal menyambut bulan Ramadan, sudah pasti banyak premis perniagaan akan mempromosi juadah berbuka puasa.

"Di sini saya ingin menegaskan khususnya kepada pemilik dan pengusaha restoran atau premis makanan yang mahu menyediakan perkhidmatan majlis berbuka puasa, saya minta jangan sesekali mereka letak atau pamer 'buffet Ramadan' dalam bentuk iklan, sedangkan mereka tidak ada sijil halal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pematuhan Halal anjuran Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di Seri Iskandar di sini hari ini.

Mohd Nizar turut menggesa orang awam untuk lebih berhati-hati dan peka mengenai helah yang digunakan pengusaha makanan melalui iklan bagi mempromosi juadah berbuka puasa.

Beliau berkata pengguna boleh merujuk kepada Bahagian Penyelidikan JAIP jika ada sebarang keraguan dan kekeliruan terhadap pemilikan sijil halal di mana-mana premis dan pengusaha makanan yang mempamerkan 'buffet Ramadan".

"Orang ramai boleh membuat semakan dengan melayari laman sesawang rasmi sistem pensijilan halal Malaysia, MYeHalal," katanya.

Sementara itu, mengulas isu penarikan sijil halal Syarikat PCK Processing and Marketing Enterprise yang beroperasi di Seri Manjung oleh JAIPk pada 1 Jun, beliau berkata syarikat itu telahpun memohon semula sijil berkenaan pada minggu lepas.

Beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi meneliti serta memantau perkembangan semasa aktiviti syarikat itu.



http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1142984

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.