Sunday, 7 June 2015

Abu Chia Menulis...2

The Big Durian?

Sedang sibuk Abu ronda-ronda cari makan, nak beli durian Musang King yang famous sangat kat China tu sampai menang anugerah Agro bagai, Abu terkejut apabila terbaca kisah satu gerai durian yang tidak kurang famous juga kat Petaling Jaya.

Khabarnya, gerai durian SS2 tersebut akan dipindahkan ke Seksyen 19 dan ini membuatkan penduduk seksyen itu berang dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya tersebut.

Mereka mempersoalkan mengapa pihak majlis tidak berusaha untuk mendapatkan pandangan mereka dahulu sebelum membenarkan peniaga durian tersebut berniaga dikawasan perumahan mereka.

Rachel Koh salah seorang ahli Persatuan Penduduk Seksyen 19 berkata bahawa sebagai penduduk di kawasan tersebut, mereka dapat menjangkakan masalah yang bakal berlaku dengan pemindahan gerai SS2 ke kawasan mereka kelak. 

Memandangkan kawasan tersebut sememangnya kurang tempat parkir, kereta yang berhenti di bahu-bahu jalan akan menyebabkan kesesakan yang teruk, kata Rachel Koh yang juga menambah bahawa kawasan tersebut akan kurang ‘harmonius’ setelah pemindahan gerai durian SS2 itu.

Pendemo Taman Medan Nampaknya 'Less Equal Than Some'
Demo bantah penduduk Seksyen 19 Petaling Jaya tersebut berlaku setelah kejadian yang sama berlaku di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, apabila sekumpulan penduduk setempat membantah pembinaan kompleks komersil di kawasan kediaman mereka yang membawa seribu-satu permasalahan di kawasan kediaman mereka.

Nampaknya semakin ramai rakyat bersuara menyatakan kegusaran mereka apabila keamanan dan keharmonian hidup seharian mereka dan keluarga semakin tergugat apabila pihak berkuasa tempatan ‘terlena’ dan gagal buat kerja. 

Hal yang sama juga berlaku di Taman Medan. Sebuah gereja haram yang dibuka di sebuah bangunan komersil, yang jelas telah melanggar Kanun Tanah Negara yang mensyaratkan sesuatu bangunan yang ingin didirikan di atas sesuatu tanah itu mestilah mematuhi syarat-syarat nyata dan syarat-syarat kegunaan tanah yang ditetapkan dalam suratan hak milik tanah tersebut. 

Gereja haram tersebut kemudiaan meletakkan salib ‘setelah mendapat isyarat daripada Tuhan’, tanpa sebarang permit yang menimbulkan kegusaran dan tidak puas hati penduduk setempat. Rentetan daripada tindakan tidak bertanggungjawab itu sebuah demo secara aman oleh sekumpulan penduduk tempatan beragama Islam yang majoritinya terdiri daripada golongan ibu dan remaja.

Tapi apa yang Abu pelik ialah bukan saja tiada tindakan diambil ke atas gereja haram tersebut, malah penduduk setempat yang membantah pula yang dipersalahkan pihak-pihak tertentu.

Mungkin keluhan penduduk Taman Medan tidak penting agaknya. Mereka bukan elit macam penduduk kawasan Jalan Kelawei. Mereka juga bukan terdiri daripada kelas pertengahan seperti penduduk PJ. 

Nampaknya sesetengah daripada kita ‘are more equal than others’. Malaysia dah jadi macam Animal Farm la pulak!

Musang Berbulu Ayam?

Abu seronok bila dengar ada satu kumpulan Kristian yang mesra Putrajaya bakal ditubuhkan. Abu mengaku kesefahaman tersebut amatlah jarang kebelakangan ini. Hubungan pertubuhan tersebut dengan Putrajaya sangatlah mesra sehinggakan Perdana Menteri #Nothing To Hide yang kita semua sayangi sanggup sanggup turun padang bagi merasmikan pertubuhan Kristian tersebut di sebuah hotel gah yang terletak bersebelahan dengan bangunan pusat Islam.

Nama kumpulan tersebut juga membuatkan Abu tersenyum sejuk hati. Christian for Peace and Harmony Malaysia (CPHM) sememangnya tepat kerana ia selari dengan perkara yang telah disarankan oleh Perlembagaan Persekutuan supaya agama-agama lain dibenarkan untuk diamalkan secara aman dan damai dengan Islam, Agama Persekutuan. 

Sememangnya perkembangan ini amat baik sekali dan Abu sangat sokong kerana Abu lihat hubungan rentas kaum dewasa ini semakin renggang terutamanya setelah Murphy Pakiam memohon perintah mahkamah mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri terhadap Catholic Herald Weekly adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tapi apa yang membuatkan Abu sikit kurang senang ialah kenyataan tidak bertanggungjawab Pengerusi CPHM yang cuba menghalalkan pembinaan gereja haram di seluruh negara melalui pintu belakang  dengan mengatakan bahawa Malaysia membenarkan pembinaan tempat beribadat tanpa permit dan kebenaran kerana mengamalkan tahap kebebasan beragama yang sangat toleran. Jauh lebih tinggi daripada Singapura dan Amerika Syarikat!

Licik betul Rev. Wong Kim Kong. Dalam dia puji Malaysia melangit sampai hangit dia cuba selit beberapa kenyataan salah mengenai peraturan dan undang-undang terhadap pembinaan tempat beribadat bukan Islam. Namun kenyataan tidak bertanggungjawab beliau cepat disanggah keras oleh aktivis i-Peguam saudara Aidil Khalid yang sebelum ini telah banyak menulis tentang hal-ehwal perundangan dan perlembagaan negara.

Abu suka baca cerita Jekyll and Hyde
“Sesuatu bangunan itu hanya boleh digunakan untuk tujuan yang telah ditetapkan ketika dibina. Bererti bangunan yang dibina sebagai lot komersial hanya boleh digunakan untuk tujuan komersil dna tidak boleh ditukar menjadi gereja.

Hal ini seperti yang diperuntukkan dengan jelas dalam seksyen 70(12) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Tetapi aturan umum ini ada pengecualiannya, iaitu sekiranya hendak digunakan untuk tujuan yang lain daripada tujuan ketika dibina, kegunaan tersebut mestilah terlebih dahulu mendapat izin daripada pihak berkuasa tempatan, “ kata aktivis tersebut seperti yang dilaporkan oleh portal Ismaweb.

“Soalnya kenapa Wong Kim Kong hanya membaca dan mengulas sekerat sahaja perkara 11? Sikap yang tidak cermat, tidak telus dan tidak jujur seperti ini ketika merujuk Perlembagaan Persekutuan lah sebenarnya menjadi penyebab kepada masalah ketegangan antara kaum dan agama di Malaysia mutakhir ini.”

Perbuatan jahat cuba membaca Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan sekerat-sekerat juga pernah dibuat oleh ‘ratu kain batik’ Elizabeth Wong salah seorang exco kerajaan negeri Selangor sejurus selepas kes gereja haram di Taman Medan dan oleh Jagir Singh, Presiden kepada sebuah majlis bukan Islam MCCBCHST rentetan daripada peristiwa yang sama.

Ish-ish risau sungguh Abu dengan kelicikan kumpulan ini. Terutamanya Rev. Wong Kim Kong seorang tokoh evangelis Kristian yang belum cukup sehari pun pertubuhan CPHM dilancarkan sudah mula ‘tunjuk belang’ dengan ‘bermain api’.

Macam mana nak ‘peace and harmony’ macam ni Reverend?

Perlembagaan & Geng Tilik Nasib.

Abu sememangnya tidak pernah dapat faham dengan sikap segelintir pihak yang sering cuba mengingatkan rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengan mereka bahawa perlembagaan negara perlu dibaca selari dengan niat asal pemimpin terdahulu yang ‘menulis’ perlembagaan kita. 

Bukankah apa yang tersurat lebih jelas untuk ditelah daripada apa yang tersirat?

Masalahnya juga bagaimanakah kita mampu untuk berbuat sedemikian, menelah niat asal tersebut apabila mereka-mereka yang dikatakan ‘menulis’ perlembagaan negara kita sudah lama pergi meninggalkan kita. Bagaimana mampu kita ‘membaca’ niat asal mereka-mereka tersebut? 

Pergi kubur nak perasap kemian ke brader? Atau pergi jumpa sang penilik nasib Central Market?

Kelakar. Memang cukup kelakar. Itu satu tapi yang satu lagi tidak kurang kelakar juga ialah apabila seorang moderates reject berlagak hero bapa segala moderates Malaysia dengan mengatakan bahawa Perkara 153 telah ditafsirkan secara berlebihan oleh sesetengah pihak. 

Nampak tak apa yang saya nampak? Kalau tak nampak juga alamat pendek umur!
Bapa moderates ni pun mula memberikan contoh tentang diskaun sepuluh peratus Bumiputera dan bertanya adakah patut jika pembeli rumah berharga RM3 juta masih mendapat diskaun sedemikian rupa?

Dia mungkin juga sedang bercakap pasal ahli keluarganya yang berada ataupun kawan-kawan yang sekelab dengannya, sebab setahu Abu berapa kerat sahaja Bumiputera yang mampu beli rumah RM3 juta?

Dan siapa pula hak bapa moderates nak menidakkan status Bumiputera yang jelas termaktub pada Perlembagaan Persekutuan? Ada ke dalam perlembagaan disebut si folan-si folan boleh mempersoalkan akan Perkara 153 dan menetapkan jangka masa untuk ianya dihentikan secara total?

Jadi kenapa pula bapa moderates ni nak sibuk? Perdana Menteri pun tak boleh nak memansuhkan Perkara 153 dan mempersoalkan perkara tersebut sama ‘seditious’ dengan mempersoalkan kewarganegaraan seseorang, namun kenapakah bapa moderates ini masih bebas ke sana ke mari menghasut supaya agenda Bumiputera dihentikan menjelang jangka masa tertentu?

Adakah bapa moderates lebih 'supreme' mengatasi Yang di-Pertuan Agong yang sememangnya dipertanggung-jawabkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mempertahankan Perkara 153?

Bapa moderates juga dengan melampau berkata bahawa Perkara 153 boleh dan sepatutnya diperbincangkan secara terbuka, walaupun ada sesetengah pihak yang berpendapat sebaliknya.

Kelakar kan kenyataan beliau sebab seingat Abu, dia ini lah dulu ada berbuat satu forum bincang isu-isu sensitif yang sememangnya tidak boleh diperbincangkan kerana jatuh menghasut di bawah Akta Hasutan telah bertindak mengarahkan supaya semua pihak media yang hadir untuk melakukan 'media blackout' terhadap isu-isu yang dibangkitkan di forum yang jelas telah menghasut tersebut.

Abu tak mudah lupa!

1 comments:

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.