Friday, 15 May 2015

Menjawab 13 Persoalan Isu Tabung Haji & Tanah TRX

1.  Isu Simpanan di TH

Mengikut Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), Seksyen 16 (2):  Deposit hendaklah diterima bagi maksud :

a) Menyimpan untuk individu itu menunaikan haji di Tanah Suci; atau
b) Sebagai simpanan bagi pelaburan atau bagi apa-apa maksud lain yang dibenarkan oleh Lembaga.

Mengikut  Seksyen 3 (3):  ‘Tertakluk kepada dan bagi maksud Akta ini, Lembaga boleh membuat kontrak dan boleh memperoleh, membeli, mengambil, memegang dan menikmati apa-apa jenis harta alih dan tak alih dan boleh memindahkan, menyerahhakkan, menyerahkan balik, memulangkan, menggadaikan, menggadaijanjikan, mendemis, menyerahhakkan semula, memindahkan, atau dengan apa-apa cara lain melupuskan, atau membuat apa-apa urusan mengenai apa-apa harta alih atau tak alih atau apa-apa kepentingan mengenainya yang terletak hak pada Lembaga mengikut apa-apa terma yang difikirkannya patut’.



Ia merupakan konsep simpanan (Wadiah Yad-Dhamanah) di mana pendeposit menyimpan wangnya dan TH sebagai penjaga (custodian) bersetuju untuk menjaga wang tersebut. Dalam kontrak ini, pendeposit telah memberi keizinan kepada TH untuk menggunakan/meminjam wang mereka bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya.  
TH dan kerajaan akan menjamin wang yang diletakkan di bawah jagaannya seperti mana termaktub dalam Akta Tabung Haji.

Dari sudut keuntungan yang diperolehi, ia adalah milik penuh TH. Oleh itu, keuntungan yang merupakan Hibah diagihkan kepada para pendeposit TH mengikut budi bicaranya.

2. Isu Pelaburan di TH

TH telah melabur di pasaran hartanah bukan perkara baru. 
TH menerima banyak cadangan daripada pihak-pihak yang berminat.  Adalah menjadi tanggungjawab TH untuk meneliti setiap cadangan pelaburan tersebut.
Setiap cadangan akan melelui satu proses penilaian berperingkat dan menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat. 
Pelaburan TH adalah menurut selera risiko (risk appetite)  dan mengikut Alokasi Aset TH.
Pelaburan TH sentiasa berasaskan Syariah bagi memastikan pulangan yang halal.

3. Isu Pelaburan  Di Tun Razak Exchange (TRX)

TH tidak melabur dalam syarikat 1MDB
TH hanya membeli sebidang tanah untuk membangunkan pangsapuri di TRX.
Pembangunan ini akan dimajukan oleh anak syarikat TH, TH Properties Sdn Bhd

4. Status Terkini

Setelah mengambil kira semua sentimen, pandangan dan nasihat dari pihak berkepentingan sebagai jalan untuk mengelakkan fitnah berleluasa dan melampau,  ALP telah sebulat suara membuat keputusan untuk menjual semula tanah tersebut dengan sedikit unjuran keuntungan. 

5. Data Hartanah
a) Harga : RM 188.5 juta
b) Keluasan : 1.56 ekar (67,954 kps)
c) RM2,774 kps
d) Plot ratio: 10.47
e) GFA 710,418
f)  Lokasi: Berdekatan Bulatan Kampung Pandan
g) Mendapat kelulusan  “Master Development  Plan” dari DBKL.
h) Infrastruktur disediakan oleh 1MDB


6. Asas penilaian pelaburan (Kenapa melabur di TRX) 
a) Pembelian tanah pembangunan tersebut adalah satu pelaburan yang berpotensi untuk menjana pulangan yang baik kepada TH amnya dan pendeposit khususnya.
b) Pelaburan adalah satu keputusan pelaburan yang telah mengambilkira kepatuhan syariah dan selera risiko TH.
c) Tanah ini akan menjadi milik TH.
d) Mengambil peluang dalam pembangunan milik kerajaan.
e) Terdapat potensi masa hadapan yang bersesuaian dengan  selera risiko (risk apetite) TH
f) Harga adalah berdasarkan harga pasaran yang dinilai oleh penilai professional berkecuali (Jones, Lang & Wootton).
g) Kawasan tersebut telah dilengkapi kemudahan prasarana dan infrastruktur yang akan mempunyai “state-of-the-art” serta rangkaian jaringan sistem pengangkutan yang baik dan terkini:
·      Stesen transit keretapi bawah tanah yang menghubungkan  Greater Kuala Lumpur's MRT lines” (dual line)
·      Lebuhraya MEX, SMART, DUKE
·      Laluan pejalan kaki dalam kawasan TRX ke Bukit Bintang dan KLCC
h) Insentif Cukai Khas Kerajaan

7. Isu Jangkaan Pulangan Pelaburan

a) Unjuran 25-27% melangkaui 3 tahun
b) Unjuran 9% setahun



8. Kenapa tidak beli terus daripada Kerajaan

a) Tanah tersebut telah dijual kepada dan adalah milik  1MDB
b) Urusan jualbeli adalah antara pemilik tanah dan TH
c) TH sebelum ini tidak membeli terus tanah daripada Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri dengan harga yang rendah, semuanya pada harga pasaran.

9. Perbandingan harga pasaran setempat

Harga –harga Hartanah

a)   MRCB membeli tanah Kedutaan German dengan keluasan 1.87 ekar pada harga RM3,188 skp berjumlah  RM259.26 mil

b)  Plot tanah antara KLCC dan Wisma Sentral – Hotel for Four Seasons sedang dibangunkan di atas tanah yang dibeli pada harga RM3,300 kps

c) Tanah 2.5 ekar di Jalan Conlay, berhadapan Sri Melayu dibeli pada harga RM3,299 kps

d)   Kedutaan Perancis - 7.98 ekar, dinilai pada harga RM1.1bil atau RM3,190 kps

e)  Pavillion melancarkan ‘Service Apartment’ di kawasan Bukit Bintang dengan anggaran harga jualan pelancaran dari RM3,000 kps

f)    The Horizon (bersebelahan RHB berhadapan TRX), bangunan apartment sedang dijual pada harga RM2,500 kps.




10. Mengapa Sehingga Perlu Bayar 100%

a) TH sebenarnya telah meminta harga yang lebih rendah daripada harga nilaian yang mana 1MDB telah bersetuju tertakluk kepada pembayaran 100% harga belian.

b) Disamping itu, 1MDB juga telah bersetuju untuk memberi sebidang tanah lain dengan anggaran keluasan 5 ekar sebagai cagaran yang memberikan sekuriti coverage sekurang-kurangnya 1.7 kali harga belian


11. Bagaimana Pula Dengan Manafaat Simpanan di TH?

a) Simpanan pendeposit adalah terjamin walaupun  RM1.00, itu jaminan 100% Kerajaan kepada pendeposit mengikut Akta.

b) Setiap tahun TH berjaya menjana pendapatan yang baik dan keuntungan tersebut – paling utama akan digunakan untuk subsidi dan pengurusan Haji, kemudiannya  TH akan mengagihkan keuntungan melalui  hibah  bonus tahunan.

c) Kita sepatutnya bersyukur dan tidak lupa akan manfaat dan keuntungan yang kita dapat dari simpanan di TH.

d) Tiada institusi perbankan yang memberikan kadar pulangan untuk akaun simpanan biasa sebaik TH. Kebanyakan  hanya membayar purata kadar pulangan dari 2.9% ke 3.3%,  ini fakta dan track record TH.

e) Sepanjang tempoh 5 tahun ini TH telah membayar kadar purata pulangan melebihi 7%.

12. Bagaimana Pula Dengan Track Record TH

Pendapatan TH 2014 mencecah RM 3.3bil
Keuntungan Bersih  2014 RM 3.3 bil – track record
Keuntungan Terkumpul (5 tahun) RM 11.2 bil
Aset  Bersih (5 thn) RM54.1 bil - meningkat hampir sekali ganda


Tahun
Jumlah Bayaran
Bonus
Bonus Tahunan
Bonus
Haji

2010
RM 1.332 bil
5.5%
-
5.5%
2011
RM 1.678 bil
6.0%
-
6.0%
2012
RM 2.458 bil
6.5%
1.5%
8.0%
2013
RM 2.632 bil
6.0%
2.0%
8.0%
2014
RM 3.248 bil
6.25%
2.0%
8.5%

Demi menjaga kebajikan Jemaah Haji - Kos untuk menunaikan Haji,  kekal RM9,980 sejak tahun 2009, walaupun setiap tahun kos sebenar meningkat.

Tahun
Jumlah Subsidi Haji
Kos Sebenar Haji
Subsidi
Seorang
Jemaah
2009
RM 54 juta
RM 12,660
RM 2,680
2010
RM 65 juta
RM 13,040
RM 3,060
2011
RM 105 juta
RM 14,340
RM 4,360
2012
RM 104 juta
RM 14,880
RM 4,900
2013
RM93 juta
RM15,555
RM 5,575
2014
RM 106 juta
RM 16,155
RM 6,175
2015
RM 120 juta
RM 17,270
RM 7,290


Subsidi TH melibatkan kos kursus-kursus Haji, pembiayaan petugas dan pembimbing ibadah haji, pasukan perubatan dan ubat-ubatan.

13. Bagaimana Pula Dengan Sukuk terbitan Bandar Malaysia

a) TH pada 11 Mei  2015 menerusi kenyataan media telah menjelaskan bahawa ia telah melabur di dalam Sukuk terbitan Bandar Malaysia pada bulan Februari 2014, kerana pelaburan tersebut adalah pelaburan bercagar.  Sukuk ini disandarkan ke atas beberapa bidang tanah di Bandar Malaysia dengan perlindungan sekuriti sekurang-kurangnya 1.67 kali ganda.  Sukuk ini diterbitkan untuk membiayai pembinaan fasiliti gantian ekoran daripada penempatan semula  fasiliti Lapangan Terbang Tentera Udara Sg. Besi yang sedia ada.

b) Jumlah keseluruhan pelaburan TH dalam dua (2) tranche Sukuk tersebut adalah sebanyak RM 920.8 juta yang akan menghasikan pulangan 5.85% dan 6.05% untuk tempoh 7 dan 10 tahun masing-masing.  Di akhir tempoh pelaburan tersebut, TH akan menerima jumlah perolehan sebanyak RM 1.55 billion, menghasilkan keuntungan sebanyak RM 626.5 juta. 

c) Dalam bahasa mudah:  TH beli Sukuk tersebut pada harga RM920 juta, TH akan menerima bayaran RM1.55 billion, keuntungan  TH  RM625 juta. Kalau Bandar Malaysia  tidak bayar, TH  akan mendapat tanah cagaran yang nilainya adalah 1.67 kali ganda dari harga  belian sukuk tersebut.  Maka sukuk tersebut adalah selamat.


Sumber               : Dari Pihak Yang Berkredibiliti
Sumber Grafik    : Friends Of Islam

4 comments:

  1. Isu utama di sini adalah keraguan dalam transaksi jualan tanah tersebut. 1MDB beli tanah itu dari kerajan dengan harga RM 4 juta sahaja bagi keluasa 1.56 ekar itu, tetapi mengapakah dijual dengan harga RM 188 juta, apakah kos infrastruktur bagi tanah itu sampai lebih RM 100 juta bagi keluasa 1.56 ekar itu?

    Jika RM 188 juta itu adalah harga pasaran tanah itu, mengapakah kerajaan menjual tanah itu dengan harga RM 4 juta sahaja? Tindakan ini adalah merugikan rakyat, dengan RM 188 juta itu banyak pembangunan boleh dibuat, tetapi semuanya hancur akibat penyelewengan tersebut.

    Sila nilaikan, tanah di TRX itu keluasan 70 ekar, harga pasaran sekaki persegi adalah RM 7,000.00, tetapi kerajaan menjual kepada 1MDB dengan harga RM 64.00 sekaki persegi, memang sangat melampau membiarkan kerajaan rugi berbilion ringgit, malahan lagilah sangat melampau kerana berbilion ringgit kerugian akibat penyelewengan itu bolah membina beratus buah hospital daerah, boleh membina beribu buah sekolah, boleh membina ratusan ribu buah rumah kos rendah, boleh bina jutaan buah jambatan konkrit di kampung, beribu kilometer jalan raya kategori R5, dan beribu-ribu pembangunan lain.

    Itu baru tanah di TRX, di Sungai Besi pun sama juga, tanah 100 ekar, harga sekaki persegi RM 3,000.00 hanya dijual dengan harga lebih kurang RM 90.00 sekaki persegi kepada 1MDB oleh kerajaan, di sini sahaja pun berbilion ringgit kerajaan rugi, itu sahaja pun boleh bina banyak pembangunan sebagaimana kerugian di TRX itu.

    Isu yang menjadi persoalannya adalah kerugian kepada kerajaan, dan kerugian kepada rakyat yang kerugian peruntukkan pembangunan, bukan sikit, tetapi berbilion ringgit.

    Malahan tiga orang pengurusan atasan Tabung Haji adalah mempunyai jawatan tinggi dalam 1MDB, tidakkah mereka mengetahui dengan harga tanah itu dibeli oleh 1MDB dari kerajaan dengan begitu murah dan kemudiannya Tabung Haji beli dengan begitu mahal dari 1MDB pula?

    Isu di sini melibatkan integriti, isu konflik kepentingan yang tak munasabah berhubung urusniaga ini, ini isu utama juga.

    Malahan, mengapakah Tabung Haji tidak membuat kenyataan akhbar sebelum pembelian tersebut? Ini seperti mahu menyembunyikan transaksi pembelian tersebut dari pengetahuan pendeposit Tabung Haji.

    Malahan tanah di TRX itu asalnya hendak dibina pusat komersil bagi peniaga bumiputera, tetapi sekarang ini tanah di TRX itu dah dikuasai oleh syarikat dari negara asing, dari Dubai, dan terkini dari Indonesia, apa dah jadi dengan agenda pembangunan pusat komersil bumiputera di tanah itu, apakah dah hilang macam itu sahaja?

    Apa yang dibuat oleh kerajaan kini adalah memberikan penjelasan yang merapu yang mana akan menyebabkan rakyat makin marah, lain yang ditanya, lain yang dijawab, tindakan kerajaan seolah-olah menyatakan pihak kerajaan adalah golongan bodoh yang tak tahu menjawab, ini adalah mencemarkan imej kerajaan, tetapi mengapakah penjelasan, komen, serta kenyataan-kenyataan bodoh masih lagi dibuat oleh kerajaan?

    Jika kelakuan ini berterusan, maruah kerajaan akan tercemar, maruah Barisan Nasional sebagai parti pemerindah akan hancur, ini adalah kerana sikap gila beberapa orang terutama Perdana Menteri yang masih merapu tak tentu hala.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pembaca tegar bangkit.info...saya setuju dgn pandangan anon kt atas. PM n gomen mmg jelas nampak tak cerdik dalam kes ini.

      Ben, bangkit.info dah jadi mouth piece PMO ke?

      Delete
  2. Really, tuan, you should be on the management or BoD of TH or 1MDB. You certainly are more capable in putting forward a more credible explanation on the purchase of the TRX land than they did. Perhaps if they had you on board they wouldn't have to let go the land on a panic basis.

    Seriously, when pressured on the purchase, your write-up together with a firm united statement from the TH syariah advisory board should have been strong enough to put the point across confidently. I'm of the opinion they should have stayed firm with the purchase since it's already a done deal, rather than caved to pressure like they did.

    ReplyDelete
  3. TH jangan mendabik dada kata sistem Mlaysia yang terbaik. Kenapa TH keluar subsidi yang banyak kepada jemaah?. Sedangkan negara Thailand dan Indonesia tidak pun mengeluarkan subsidi untuk jemaah haji mereka! Tetapi kos masih mampu ditanggung oleh jemaah haji sebab sistem pondok ala-ala homestay yang dikendali oleh syeikh-syeikh mereka sendiri. Barangkali ada yang pernah terdengar aduan bahawa ada pegawai-pegawai haji Malaysia yang kowtim kutip tong dan mark-up price dengan para pembekal-pembekal hotel dan makanan di Mekah dan Madinah. Mungkin kita tak percaya tapi kenang-kenanglah sekiranya pucuk pimpinan TH pun ada yang tak amanah, apa pula pegawai bawahan... bukan semua.

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.