Thursday, 21 May 2015

Hujah & Komen Sub Judice

Segalanya bermula dengan kenyataan yang dikatakan telah dibuat oleh Peguam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Mohd Hanif Khatri Abdulla bahawa ‘undang-undang syariah di negara ini tidak terikat kepada perihal kebebasan asasi individu seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan’ dalam kes berkenaan dengan perlantikan seorang peguam bukan Islam yang mahu mempraktikan kerjaya guamannya di Mahkamah Syariah.

Hujah beliau dalam kes rayuan itu yang mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan peguam bukan Islam menjadi peguam syarie akan dibangkitkan peguam tersebut di Mahkamah Persekutuan pada 13 Ogos kelak.

Kenyataan tersebut walaupun akan dicabar keabsahannya kelak, mampu membuatkan bukan sedikit golongan sekularis dan liberalis di Malaysia tersentak.

Lim Kit Siang dengan tidak semena-mena cuba membabitkan Perdana Menteri dengan bertanya sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah menterinya benar-benar berpegang kukuh kepada perkara-perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata bahawa hujah yang telah dibuat oleh pihak MAIWP itu merupakan serangan ‘monumental’ terhadap Perlembagaan Persekutuan, terutamanya apabila ianya dibuat dengan restu menteri.

Telatah DAP itu yang dilihat sebagai satu bentuk buli dan tidak lebih daripada perbuatan untuk cuba melobi, memberi tekanan dan pengaruh terhadap perbicaraan yang bakal diadakan kelak pada bulan Ogos nanti.

Lalu kegelojohan pemimpin parti yang sering dituduh anti Islam itu, ditegur telah melakukan kesilapan seperti kenyataan yang dibuat oleh Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), bahawa Lim Kit Siang sudah ‘terkhilaf dan terpesong dalam pemahaman kenyataan peguam MAIWP yang dilaporkan dengan luas melalui semua media cetak dan media elektronik, yang berbuny: Peruntukan di dalam enakmen Islam tidak perlu diuji kesahihannya berpandukan kepada klausa kebebasan asasi di dalam Perlembagaan Persekutuan...’

Melalui kenyataan yang dibuat oleh presidennya itu, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, PPMM menambah bahawa bacaan objektif peguam MAIWP itu jelas membawa maksud ‘mana-mana enakmen Islam yang digubal di bawah Perlembagaan tidak boleh dipersoalkan kesahihannya berpandukan kepada klausa hak asasi di dalam Artikel 5 hingga 13 Perlembagaan Persekutuan.’

Ada dasar itu, Lim Kit Siang dicabar untuk memberikan penjelasan bagaimana beliau boleh mencapai pemahaman terpesong berhubung dengan kenyataan itu yang dituduh mencabar kedaulatan Perlembagaan Persekutuan?

Walaupun DAP dan Lim Kit Siang masih membisu seribu bahasa kepada teguran yang dibuat oleh PPMM, muncul pula pelobi-pelobi lain yang cuba menangguk di air yang keruh dengan memacak ‘false flag’ apabila mengatakan bahawa ektremis agama sudah mula menyusup masuk ke dalam jabatan-jabatan kerajaan dan mula mencabar Perlembagaan.

Nomy Nozwir yang berkicau @comradenami yang sebelum ini kurang senang apabila iklan Cadbury (yang masih cuba memujuk ramai Muslim yang masih ragu-ragu dengan coklatnya itu) yang kelihatan ‘bertudung litup bagai’, satu fenomena baru ‘nukil’ beliau, kini naik setakuk lagi kelicikan beliau dalam memacak ‘false flag’ apabila mencongak bahawa ‘negara kita bakal menjadi negara bergolak antara agama seperti di Nigeria atau di kepulauan Maluku di Indonesia’.

@comradenami juga tidak senang dengan istiqamah keimanan sesetengah pihak yang berpendapat bahawa “kepercayaan mereka lebih tinggi dari orang lain”.

Persoalannya pula adakah komrad sebenarnya berpandangan bahawa semua agama itu sama di sisi Allah SWT?

Tidak cukup dengan itu kemudiaan timbul lagi usaha melobi untuk mempengaruhi perbicaraan yang bakal mengambil tempat apabila dikatakan bahawa hak Muslim di Malaysia bakal terhakis, jauh tercorot berbanding dengan golongan bukan Islam jika hak asasi dilindungi kerana orang-orang Muslim akan menjadi ‘mangsa’ kepada pihak berkuasa agama Islam!

Kata sekumpulan peguam itu lagi perbuatan tersebut juga bakal menjauhkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia dan pemimpin-pemimpin politik tempatan juga bakal kehilangan ‘moral authority’ untuk bercakap tentang isu-isu kritikal di forum-forum antarabangsa.

Peguam Syahredzan Johan Jaafar berpendapat bahawa bukan sahaja orang Muslim bakal kehilangan hak berbanding dengan orang bukan Islam, “In fact, it would render the fundamental liberties of Muslims illusory dan ineffective. Surely, this is not what the framers of the constitution intended when Part II was drafted.”

R. Kenghadharan, seorang peguam pula berpendapat bahawa “This is an attempt to weaken democratic rights in the constitution which will eventually lead to anarchy.”

Persoalannya, kenapakah pengamal-pengamal perundangan ini tidak menyahut saranan rakan seperjuangan mereka seperti Datuk Zainul Rijal melalui kenyataan yang dibuat PPMM yang menyeru supaya semua pihak untuk tidak membuat kenyataan yang boleh memungkiri prinsip “sub judice”?

Saran PPMM lagi ialah supaya ‘sistem kehakiman diberi peluang menilai keseluruhan penghujahan undang-undang berhubung dengan isu penting ini secara objektif dan saksama sebelum memberi keputusan yang adil dan saksama sebelum memberi keputusan yang adil dan saksama serta tepat di sisi Perlembagaan dan udang-undang negara ini, tanpa mana-mana pengaruh dan tekanan.’

Namun kenapakah segolongan daripada kita seakan-akan kurang senang apabila kedudukan Islam dihujah sistem kehakiman negara?

Adakah kita mahu menggalakkan rakan senegara kita untuk mengangkat senjata ‘instead’? Jika tidak kenapakah pula kita masih bersikap alpa terhadap saranan baik yang telah dibuat oleh PPMM untuk tidak memungkiri prinsip “sub judice”? Jabatan Peguam Negara?


0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.