Tuesday, 21 April 2015

Parti Sekular & Realiti 2050 Malaysia.

Megat Rizal M.H.

Awal bulan ini berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh PEW Research Center, sebuah badan pemikir yang berpengkalan di Washington DC, Amerika Syarikat mendapati bahawa masyarakat dunia akan menjadi semakin kuat dalam menjalankan suruhan agama dan jumlah peratusan golongan agnostik atau yang tidak mempunyai apa-apa pegangan agama akan semakin mengecil berbanding dengan jumlah populasi dunia yang semakin meningkat.

Pada tahun 2050 hanya 13 peratus sahaja populasi dunia yang akan mengaku sebagai tidak mempunyai sebarang pegangan agama berbanding dengan 16 peratus pada tahun 2010 menurut keputusan kajian yang telah dikeluarkan badan pemikir tersebut.

Nampaknya, walaupun serangan golongan sekular dan agnostik yang bertali-arus menentang amalan beragama populasi dunia, dengan tuduhan jahat dan kempen menfitnah yang tidak pernah kebah, kerja jahat mereka nampaknya semakin gagal membuahkan hasil. Ini kerana di negara-negara yang memilih untuk tidak percaya Tuhan, seperti di Eropah, Amerika Utara, Jepun dan China, mengalami kadar kelahiran yang sangat rendah dan masalah populasi yang sudah berumur, lapor kajian tersebut.
Kecuali mungkin di Amerika Syarikat sendiri apabila semakin ramai yang akan meninggalkan agama yang sedang mereka anuti berbanding mana-mana tempat lain di dunia. Tahniah dan ‘padan muka’ diucapkan kepada Uncle Sam!



Apa yang menarik, walaupun bukanlah menjadi sesuatu yang rahsia lagi sebenarnya, populasi yang menganut agama Islam menurut kajian itu lagi akan meningkat secara mendadak berbanding dengan penganut-penganut agama lain. Umat Islam dijangka bertambah sebanyak 73 peratus diantara tahun 2010 sehingga tahun 2050.

Tentunya laporan tersebut akan membuka banyak mata, terutama badan-badan pemikir sekular yang cuba melawan masa untuk ‘menidakkan’ ramalan yang telah dibuat PEW Research Center. Tentunya sesuatu sedang dirancang dalam skala yang global supaya ramalan tersebut dapat dikekang daripada menjadi kenyataan. Supaya percaturan dunia dapat diatur dengan lebih jaya mengikut orde baru dunia yang telah ditulis puak Zionis Barat.



Tentunya juga parti-parti politik sekular yang memerlukan sokongan massa dalam meneruskan talian hayat parti mereka, sekarang ini sedang berkira-kira untuk mendekati golongan yang kuat beragama khasnya umat Islam, terutamanya di Malaysia, sebagai satu-satunya jalan yang harus ditempuh supaya perjuangan parti mereka dapat diteruskan. Tentunya juga pelbagai strategi sedang dirancang supaya sokongan daripada golongan ini dapat digembleng secara optimum.

Maka tidak hairanlah apabila sebuah parti yang sering dituduh sebagai sebuah gerakan anti Islam yang sering dilihat ramai sebagai sering menongkah arus berkaitan dengan perlaksanaan nilai-nilai hidup Islam di Malaysia, kini dikatakan sedang ‘berjinak-jinak’ dengan Islam nun jauh di Timur Tengah.

Sebelum ada dikalangan kita mencemuh dan membuat tuduhan liar bahawa perkembangan terbaru ini hanya satu lagi pendekatan PR yang dibuat parti tersebut selepas beberapa episod ‘Awek Cun’, yang bercampur-baur antara berjaya dan tidak, lawatan parti tersebut ke Mesir dan Jordan dikhabarkan sebagai kesinambungan daripada beberapa siri ‘muzakarah’ mereka selama ini dengan beberapa tokoh Muslim yang tentunya terdiri daripada puak liberal aka moderates aka progresif yang tidak pernah didedahkan kepada umum.

Jauh benar parti tersebut berjalan. Apa yang menghairankan pula ialah kenapakah pula selama ini pakatan yang telah dibuat selama beberapa tahun lama kelihatan masih gagal mendekatkan parti tersebut dengan Islam dan syariahnya?

Entah apalah yang dicari parti sekular tersebut di bumi para anbiya agaknya?

Namun dengan keghairahan parti tersebut semakin berani cuba membawa wajah-wajah Islam, ke hadapan, bermula dengan barisan ‘awek-awek cun’ yang boleh ‘dirampas mikrofonnya pada bila-bila masa’, yang baru-baru ini juga salah seorang daripada ‘awek cun’ tersebut tersebar gambar-gambar panasnya dengan suami orang (ketika itu) sehinggalah kepada seorang penulis novel pelacur yang bertudung litup, parti tersebut khabarnya mahu belajar lanjut dengan kebangkitan ‘political Islam’ dan mungkin juga cara dua negara tersebut mengekangnya? Kedua-dua negara tersebut mengamalakan sistem perundangan syariah dan sivil serupa yang diamalkan kita di Malaysia.

Jika tidak, tentulah tindakan yang diambil oleh parti sekular tersebut amat mengejutkan Muslim yang memerhati, adakah parti sekular demokratik itu mahu belajar model pemerintahan sebuah junta tentera dalam mengekang kebangkitan perlembagaan Islam seperti yang cuba dibawa oleh mantan Presiden Mesir, Mohamed Mursi, yang digulingkan oleh Jeneral Tentera negara tersebut seperti yang dimahukan oleh penulis skrip orde baru dunia.

Mohamed Mursi kini bakal menjalani hukuman bunuh, apabila dituduh dengan pelbagai tuduhan oleh sebuah pemerintahan junta tentera yang jelas menyaksikan begitu ramai yang terkorban nyawa. Semua ini dilakukan dengan ‘restu’ Amerika Syarikat hanya kerana, Mohamed Mursi, si moderat yang pernah dibangga-banggakan Barat, tanpa diduga tiba-tiba mahu pula memperkasakan Islam di tanah airnya sendiri.

Inilah contoh agung hipokrasi barat yang saban hari cuba mengajar kita dalam menjalani kehidupan bernegara secara demokrasi namun menutup dua belah mata dan seluruh telinga sambil mulut terkunci rapat apabila hak demokrasi rakyat Mesir yang memberikan Mohamed Mursi kerusi Presiden Mesir.

Demi survival geopolitik serantau dan dunia, sebuah Mesir yang kuat jati diri dan sahsiah Islamnya, tentulah tidak sama sekali bersesuaian dengan kehendak kuasa-kuasa pro Zionis Barat. Ianya tidak baik untuk Amerika Syarikat dan Israel. Ianya juga bukanlah sesuatu yang mereka mahu pasca ‘Arab Spring’.  Kebangkitan Arab hanya bermakna rakyat di negara-negara Arab hanya ‘dibenarkan’ untuk menjatuhkan rejim-rejim seperti Hosni Mubarak dan lain-lain (yang selalunya sudah terlalu berat ‘baggage’nya), tetapi jangan sesekali mahu kembali kepada ajaran dan syariah Islam yang sebenar, itu akan ditentang Barat dengan habis-habisan.

Termasuklah dengan mengarahkan tentera, yang ‘digajikan’ Amerika Syarikat untuk merampas kuasa dengan mengorbankan ratusan nyawa seperti yang dapat kita lihat terjadi kepada Mesir.

Yang menjadi kemusykilan ialah dengan kehadiran seribu satu NGO Islam dan organisasi Islam yang ada di Malaysia, parti sekular tersebut yang  sering kali cuba menipu penduduk Malaysia dengan mengatakan bahawa perlembagaan Malaysia sekular, masih tidak mahu mendekati persatuan-persatuan Islam yang ada di tanahair sendiri.

Kita juga agak pelik kerana sejak sekian lama juga parti tersebut memperjuangkan supaya Islam, Agama Persekutuan tidak diperkasakan di Malaysia, mereka lebih suka berkata Islam hanyalah sebuah agama ‘rasmi’ dan tidak lebih daripada itu. Kenyataan seperti ‘langkah mayat aku dulu, untuk negara Islam’ sering terpacul daripada mulut pemimpin-pemimpin ulung parti tersebut.

Yang terbaru, pakatan yang sudah dibentuk dengan jayanya sehinggakan melonjakkan perolehan undi popular sehingga melebihi daripada 50 peratus daripada jumlah yang keluar mengundi terkulai ditengah jalan menanti rebah apabila usaha yang dilakukan sebuah rakan parti yang berpakat yang berkeras mahu menzahirkan pelaksanaan Hudud telah mendapat tentangan secara terbuka parti sekular tersebut.

Ianya kemudiaannya diikuti dengan beberapa siri kenyataan akhbar yang menghina dan mempersoalkan kredibiliti pemimpin numero uno parti tersebut dan beberapa langkah yang telah diambil parti yang mahukan Hudud dan ini dilihat telah mengeruhkan lagi ‘pakatan’ yang terjalin sejak dua plihanraya umum kebelakangan ini.

Terkini parti sekular yang terkenal dengan pendekatan ‘awek cun’ untuk menarik perhatian penyokong muda Melayu telah memutuskan hubungan secara penuh dengan Presiden parti yang bakal membentangkan undang-undang Hudud di Parlimen pada sidang yang akan datang.

Malah salah seorang daripada pemimpin ulung mereka juga, cuba menidakkan sebarang kerjasama atau perpaduan sesama ummah diantara dua parti Islam terbesar di Malaysia dengan mengandaikan bahawa ianya amat bertentangan dengan semangat Persekutuan Malaysia?!

Lelaki ini menuduh bahawa perpaduan yang terjalin pasca kelulusan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang menyaksikan sokongan sebulat suara Adun-Adun Muslim rentas parti adalah sesuatu yang berbahaya kepada Malaysia. Busuk sungguh hati pemimpin parti sekular tersebut.

Mungkin disebabkan oleh usia emasnya, lelaki ini yang pernah dituduh satu ketika dulu sebagai cuba menidakkan semangat perkongsian diantara masyarakat majmuk di Malaysia dengan strategi dan gerak kerja politik yang dibawakan beliau dan parti pimpinannya sebenarnya yang bakal membawa bahaya kepada Malaysia dan bukan sebaliknya.

Namun pendekatan pecah perintah yang cuba dibawa mereka dengan menidakkan penyatuan ummah sesama Muslim walaupun sudah ditelah, untuk pengetahuan mereka-mereka yang mendukung parti sekular tersebut adalah sesuatu yang amat bertentangan dengan Islam dan nilai-nilai yang dibawanya. Seseorang Muslim tidak perlu berpergian sehingga ke Timur Tengah untuk tahu tentang itu, kan Zairil?

Apakah niat tersembunyi mereka sebenarnya?

Oh ya, laporan yang dikeluarkan oleh PEW Research Center itu juga melaporkan bahawa umat Islam akan menjadi umat yang dominan mengatasi semua penganut agama lain menjelang tahun 2070. Kadar kelahiran yang tinggi, dua digit dikalangan umat Islam akan menjadi penyumbang kepada peningkatan populasi yang mendadak dengan hanya satu generasi.

Dan kepada parti-parti sekular dan bukan Islam di Malaysia yang masih mahu menentang Hudud, suka dimaklumkan bahawa menurut kajian yang telah dikeluarkan oleh PEW Research Center itu juga mendapati bahawa menjelang tahun 2050, 7 daripada setiap 10 orang rakyat Malaysia adalah beragama Islam.

Makanya, adakah salah jika kita melontarkan pandangan bahawa perlaksanaan Hudud di Malaysia bak ‘Sirih Pulang Ke Gagang’?




5 comments:

  1. Artikel yg. BERNAS oleh Megat Rizal!

    Malangnya Ben, di Barat, puak Zionis-pengikut IBLIS telah berjaya MELIBERALkan agama Kristian terutamanya agama Katolik; kerana tujuan utama mereka adalah untuk MENGHANCORkan mana-mana agama konservativ terutamanya Islam dan Katolik Konservativ yg. keduanya amat anti-HOMO, anti-penceraian (yg. menyebabkan institusi keluarga kucar.kacir), anti-seks bebas-"abortion"/pornografi, anti-dadah/judi/alkohol, anti-perang penjajahan dsbnya!

    Sebab itu, ISLAM adalah MUSUH utama puak Zionis ini kerana MAJORITI umat Islam masih koservativ - walaupun si puak Islam-LIBERAL-PENGKHIANAT/TAMAK-yg. sebenaqnya pengikut-ZIONIS (samada sedaq atau tidak) cuba nak MENYONSANGkan Islam/umatnya!

    Nek Tempoyak.



    ReplyDelete
    Replies
    1. Tu agenda yang akan terus dipanaskan Nek sampai kumpulan liberal 25 menjadi liberal 25 juta.

      Delete
  2. Selepas tahun 2050 atau 2100, maka seluruh dunia dah diIslamkan dan Dunia menjadi aman damai seperti Pakistan, Saudi Arabia, Yemen, Somalia, Iraq, Iran, Sudan, Nigeria dan dan dan.

    Tak baca ke Al Quran?

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.