Thursday, 5 February 2015

PESANAN PENGERUSI PEMBELA : KEPADA ALLAH SAHAJA KITA BERGANTUNG HARAP




Semenjak perpaduan ummah semakin ranap. Sejak bangsa ini semakin tidak sekata bahkan musuh menyelinap masuk dan merasuk agar perbalahan semakin perkasa, saya melihat bangsa kita semakin tunduk,semakin akur dengan desakan musuh dalam negara dengan dalangnya kuat mendokong dari luar. Pihak penguatkuasa undang-undang pun sudah dilihat takut, sudah dilihat lebih juara bertindak sesama bangsa sendiri namun melopong dengan bangsa-bangsa lain.

Satu fenomena yang sudah tersurat dan tersirat. Yang berada dalam ILMU ALLAH, yang wajib kita terima dengan pasrah dan redho walau kita tidak boleh berpeluk tubuh melihat sahaja Islam dan bangsa ini disondol dengan begitu rakus dan kejam.

Kalau undang-undang yang kita harapkan, buntulah kita.

Penguatkuasa undang-undang pun memilih bulu. Pendakwaan terpilih semakin ketara, para pemegang amanah negara yang bersumpah jawatan dengan nama ALLAH pun masih hidup senang lenang dengan segala protokol dan kemewahan. Walau berjanji dengan ALLAH untuk menjaga Islam pada setiap masa. Para eksekutif yang turut berjanji dengan nama ALLAH pun sama saja. Apa lagi yang boleh diharapkan pada mereka semua?

Zaman kita sudah tiba. Zaman kita hanya menjadi penonton kepada penindasan yang bersifat binatang di negara-negara timur tengah sudah pun berlalu. Misteri  MH370, MH17 dan QZ8501 itulah pembuka “bicara” musuh-musuh terhadap kita.
Kini tiba masanya kita kena hadapinya sendiri. Harapkan Pegar, Pegar pula yang makan padi. Disangkakan” hujan hingga ke petang rupanya panas di tengahari”.

Kalau kita mengimbas kembali perjuangan Rasul Kekasih Ilahi. Baginda menghadapinya dengan qudrat sendiri. Bertemankan Saidatina Ummul Mukminin Khadijah Bintu Khuwailid RadhiaLLAHu anha di peringkat mulanya di Makkah. Tanpa kuasa, tanpa kerajaan menyokong perjuangan Baginda, Tanpa simpati dari penguatkuasa undang-undang Makkah dan para pembesar-pembesarnya, tanpa dana kecuali dari isteri tercinta dan para sahabat Baginda. Dakwah dan perjuangan yang sangat mahal harganya. Yang tidak popular malah dikeji nista dan ditentang. Dakwah dan perjuangan yang dibayar dengan pengorbanan agong menagih nyawa dan jiwa.

Walau dikekang sedemikian rupa namun Rasuluna al-Mustafa berjaya. Walau tidak berjaya dalam bentuk jumlah atau orang sekarang kata kuantiti, tetapi Rasuluna al-Mustafa berjaya dari sudut melahirkan manusia bermutu tinggi atau kualiti aqidahnya. Sangat kental imannya. Sangat gagah daya juangnya.

Berbekalkan kejayaan kualiti yang tinggi inilah Rasuluna al-Mustafa diarahkan ALLAH  berhijrah ke al-Madinah. Calang-calang aqidah tidak mampu melaksanakan tugas hijrah.

Balik semula di zaman kita ini. Rasuluna wa habibuna al-Mustafa sudah sangat lama meninggalkan kita. Malah tidak sempat pun kita bersandarkan  kekuatan perjuangan padanya kerana Baginda sudah tiada. Dengan segala kelemahan dan kedahaifan yang ada, kita cuba menduga perjuangan Islam ini.

Dengan bekalan yang tidak cukup. Dengan amalan yang tersangat dangkal. Kail hanya sejengkal tetapi kita sedang menduga di lautan yang sangat dalam malah bergelora.

 Zaman yang dijanjikan telah muncul. Era dajjal laknatuLLAH yang saya maksudkan. Dunia sedang menghadapi episod  terakhir kehidupan.   Ya, babak terakhir. Dan kita lah orang-orangnya yang masih bernafas. Kalau bukan kita yang menggalas beban perjuangan ini, SIAPA lagi??

Tiada lagi nabi untuk mempertahan agama ALLAH ini, tiada Abu Bakar, tiada Omar,tiada Osman, tiada Ali untuk menjadi benteng mempertahankan aqidah suci peninggalan Nabi. Tiada Hamzah penghulu segala syuhada, tiada Bilal, tiada Zaid, tiada Usamah, pendek kata tiada lagi semua peribadi-peribadi unggul malah walau di zaman tabi’in. Tiada Imam An-Nawawi  tiada Imam Izzuddin Abdul Salam.

Aduhai sahabat-sahabat seperjuangan walau di mana bumi dipijak, walau di mana sekalipun langit dijunjung, ayuh lah kita bersatu dan bersama, merapatkan saf yang telah lama renggang. Membetulkan saf yang telah lama bengkang bengkok.

Bangunlah. Bangkitlah.  Kalau bukan kita yang menggalas beban perjuangan ini, SIAPA lagi?? Hanya KEPADA ALLAH KITA BERGANTUNG HARAP.

Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin
Pengerusi PEMBELA

3 comments:

  1. Satu psanan yg amat brhrga bg kita yg sama2 mndokong pjuangn yg amat mulia d sisi Allah swt. Mngimbas kmbali prjuangn yg d lalaui Nabi saw dn para Sahbt Baginda yg mnghsilkn islam dpt smpai kpd kita umat akhir zaman ini. Kini kita pulak tdak mnghrgainya dgn tlath kita brpchblah smata2 untuk mmuaskn kpntingn diri yg akhirnya musuh islam mngambl ksmpatn mrosakn islam sprti apa yg tlah dn sdng blaku d ngara umat islam d timur tngah. Srngn keats ngra kita pun sudh smpai boleh d ktakn jga kritikal. Apa tdaknya ? Bila phak yg btnggong jwab dgn brsumph dgn nama Allah untk mnjaga agamaNya pun, sprti yg d smpaikn oleh Pngerusi Pmbela d atas, TIDAK mnjlnkn amanah yg mrk d prtngong jwabkan. Ini cukup parah kdudukn islam dn pnganutnya d bumi brtuah ngara kita Malaysia. Wallahuaklam !

    ReplyDelete
  2. Pemimpin yg gagal berjuang dijalan Allah SWT patut malu dan insafi diri!!

    ReplyDelete
  3. kalau dia(mereka) malu dan insaf dia dah lama turun


    bagi yg betul2 layak sja memerintah

    tapi demi dunia (duit berguni) peduli hapa dorang nak jadi apa dgn Islam dgn undang2, dgn rakyat

    kata pemimpin " ade aku kesah? takde kaaaaannn"

    kalau dorang kesah kita tak jd mcm skrang dibuli dr pelbagai sudut, kalau tak boleh agama, didiskriminasikan pulak bangsa dan bahasa

    tunggu apa lagi tuan-tuan

    tp ada lagi jugak yg dok mimpi siang hari

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.