Tuesday, 17 February 2015

Nietzsche & ‘Sekumpulan Rakyat Yang Berpakat’

Megat Rizal M.H.

"Gott ist tot"
Malaysia dewasa ini bertalu-talu diserang daripada luar dan dalam agar lebih mempercayai dan mengguna-pakai esen falsafah yang telah dipopularkan oleh ahli filsuf Friedrich Nietzsche berbanding dengan apa yang telah diperkenankan Tuhan sendiri, seperti yang telah dirawikan dengan terperinci dalam Al-Quran dan hadis-hadis ‘Pemberi Amaran Terpilih’.

Tidak cukup dengan asakan yang dibuat oleh golongan sekular, bukan Islam dan ateis, hari ini kita dimomokkan dengan semakin ramai cendiakawan-cendiakawan Islam liberal yang datang dengan cap kosher RAND Corporation dan konsep pluralisme songsang aktif menjaja keseragaman dalam usaha menuju Tuhan sambil dengan berani mengatakan bahawa kebenaran hakiki sebetulnya tidak pernah wujud.

Semestinya cendiakawan Islam liberal risau kalau-kalau kebatilan diri terserlah dengan menjaja konsep Tuhan telah mati, seperti si kafir Nietzsche, lalu mereka meminjam satu lagi konsep yang telah dibawakan filsuf kelahiran Jerman tersebut dengan ‘menyerang’ Tuhan sambil mengatakan bahawa ‘absolute truth’ tidak wujud.

Mereka cuba bermain-main dengan idea untuk membebaskan diri daripada ‘divine order’dalam menjalani kehidupan seharian. Mereka akan mengatakan bahawa sesuatu yang disuruh agama adalah bersikap berat sebelah, ‘gender bias’ dan sebagainya seolah-olah keputusan yang dibuat para ulama adalah dibuat dengan semberono tanpa sebarang aturan atau displin keilmuan berusia beribu tahun lama.

Kita acapkali hairan apabila ajaran yang kononnya dikatakan berusia 1500 lama seperti Islam dikatakan kolot dan tidak sesuai dengan peredaran semasa menuju arus kemodenan sedangkan perjanjian yang terpaksa dibuat oleh seorang Raja dengan beberapa orang pemberontak, yang kemudiaannya dikenali sebagai Magna Carta, 800 tahun lampau dibanggakan dan diangkat sebagai satu naskah perjanjian yang membawa ‘rahmat kepada setiap umat’?!

Rentetan daripada pemahaman yang cacat ini akan membawa kita kepada pernyataan-pernyataan yang amat mengelirukan seperti kebenaran hakiki bukanlah milik satu golongan sahaja. Golongan ini yang selalunya terdiri daripada golongan Islam liberal yang didokong oleh golongan bukan Islam yang benci Islam dan ‘kesyumulan’ yang cuba dibawanya, akan mula berkata, bahawa Islam itu benar dan agama-agama lain juga benar.

Atas alasan tersebut juga mungkin telah membuatkan sesetengah warga bukan Islam dengan berani menghina Islam dengan mempertikaikan seruan dan pesanan baik yang dibawakan sebuah khutbah Jumaat seperti yang telah dibuat oleh Ketua Wanita DAP, Chong Eng baru-baru ini.

Kenapakah sebuah pesanan yang dibuat dalam konteks Islam, khas untuk umat Islam, dengan begitu berani diserang sebagai bersikap seksis dan berat sebelah? Bukankah peringatan yang sangat mengambil berat akan keselamatan dan kehormatan wanita itu patut dipuji sebagai salah satu langkah yang perlu diambil semua, untuk mengurangkan atau mungkin juga membasmi terus kes rogol dan cabul.

Tidakkah Chong Eng faham bahawa sebagai manusia kita seharusnya tidak patut berputus asa untuk berharap dan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai kesejahteraan hidup?

Apakah Chong Eng yang mempertikaikan Jabatan Agama Islam Selangor, dibawah DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri Selangor cuba mengajarkan kepada ramai, Islam dan bukan Islam supaya bersikap anarki kepada penguasa agama dan Sultan yang menaunginya?

Sama seperti yang dipelopori Nietzsche, seorang anak yatim pada usia mudanya yang pernah berkata bahawa “state is the name of the coldest of all cold monsters. Coldly it lies; and this lie slips from its mouth: ‘I, the state, am the people. It is a lie!”

Jadi adakah kita akan berasa hairan jika ‘Putrajaya’ (the state) kebelakangan ini sering ditohmah dengan pelbagai tuduhan negatif? Apabila sesuatu golongan itu sudah terpengaruh dengan pandangan ekstrem filsuf tersebut, Putrajaya akan dilihat sebagai sebuah entiti zalim yang ‘kuat menipu’ dan harus ditumbangkan. Ini Kalilah!

Insiden terbaru yang boleh kita amati ialah apabila pemimpin numero uno ‘Sekumpulan Rakyat Yang Berpakat’ dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan penyokongnya, ‘Sekumpulan Rakyat Yang Berpakat’ memilih untuk tidak mempercayai ‘penipuan’ yang telah dibuat oleh ‘the state’!

Lalu mereka melakukan beberapa siri ‘candle light vigil’ di Sungai Buloh dengan harapan supaya ianya menjadi ikutan, mendapat momentum yang lebih kuat dan besar lalu bertukar menjadi sebuah lagi tsunami politik yang berpihak kepada mereka. Persetankan dengan persoalan berapa harga yang patut dibayar kelak, kerana semuanya halal-halal belaka!


Atas kesongsangan yang lahir daripada ketidak-puasaan hati filsuf Jerman tersebut terhadap ajaran Kristian sendiri (it conveys his view that the Christian God is no longer a credible source of absolute moral principles), ianya cuba dipercambahkan kepada sanubari anak-anak muda kita dengan mempopularkan tentang gerakan masa berbentuk anarki yang mengagungkan kepada kemusnahan dan kerosakan awam, kerana tidak pernah mahu tunduk kepada penguasa atau sebarang bentuk sistem kerajaan untuk mencapai emansipasi diri.



Übermensch
Spencer Sunshine yang menulis buku yang mengkaji pengaruh Nietzsche dengan gerakan anarki dalam sebuah naskah yang diterbitkan pada tahun 2005, bertajuk “Nietzsche and the Anarchists” menulis "There were many things that drew anarchists to Nietzsche: his hatred of the state; his disgust for the mindless social behavior of 'herds'; his anti-Christianity; his distrust of the effect of both the market and the State on cultural production; his desire for an 'übermensch' — that is, for a new human who was to be neither master nor slave”.

Jadi tentunya kita tidak hairan apabila terdapat segelintir anak-anak muda yang marah dengan Putrajaya lalu mahu melakukan apa saja untuk menyatakan pendirian mereka itu. Termasuk dengan berdemo dan sebagainya. Tentunya kita masih ingat akan insiden kereta polis yang diterbalikkan oleh ‘Sekumpulan Rakyat Yang Berpakat’ pada satu perarakan yang kononnya mahu membasuh bersih kebobrokan negara. Perarakan yang bertukar menjadi rusuhan kecil tersebut menyaksikan seorang anggota polis dibaling benda keras sehingga menyebabkan beliau pengsan dan kereta yang dipandunya terbabas di sebuah kompleks membeli-belah Sogo yang terpaksa ditutup.



Kelmarin ‘Sekumpulan Rakyat Yang Berpakat’ diketuai oleh anak pemimpin mereka yang dipenjarakan atas kesalahan meliwat seorang pembantu setelah tujuh tahun dibicarakan berkumpul lagi di Sogo untuk menyatakan bantahan dengan slogan anarkis #Kitalawan yang selari dengan slogan yang banyak dibuat sebelum ini seperti ‘lawan tetap lawan’ dan ‘rakyat hakim negara’!

Tidak cukup dengan beberapa pengikut mereka yang dipenjarakan dengan Akta Hasutan 1948 kerana didapati bersalah menghasut untuk membenci dan menggulingkan ‘the state’ dengan cara yang menyalahi undang-undang negara, mereka sekali lagi cuba-cuba menghidupkan kembali huru-hara hanya kerana mahu membela seorang susuk yang dianggap mereka sebagai ‘anugerah Tuhan’.



Persetankan orang lain yang mahu menjalani kehidupan dengan aman damai kerana apa yang mereka mahu, mereka sepatutnya dapat kerana ianya lebih penting daripada pandangan atau hak orang lain. Khabarnya mereka akan terus memegang lilin di Sungai Buloh sehingga ‘the state’ tunduk dengan desakan mereka supaya ‘anugerah Tuhan’ dibebaskan daripada penjara Sungai Buloh?!



Nampaknya gerakan penentangan kerajaan oleh ‘Sekumpulan Rakyat Yang Berpakat’ muncul daripada ‘feeding session’ diskusi pseudo intelek di kedai-kedai mamak dengan bertunjangkan seorang filsuf batil yang jelas, pada kacamata penulis, terbukti salah dengan penolakkan konsep Tuhan dan kebenaran hakiki.

Peliknya, gerakan ini yang cuba beromantis dengan alam intelektualisme ala-ala Sartre dan de Beauvoir di kafe-kafe jalanan Paris, semakin mendapat tempat kerana dilihat dan dianggap sebagai satu sesi pencerahan yang sangat mengujakan.

Nampaknya sesi ini juga menjadi medan mengenal pasti dan mengumpul tentera-tentera jalanan yang akan meneruskan kesinambungan untuk terus berjuang sehingga ke tulang putih kepada pergerakan #Kitalawan. Tentunya kata-kata seperti ‘jangan bercakap pasal perjuangan jika takut untuk berkorban’ menjadi mantra terbaik memberikan semangat kepada golongan-golongan ini untuk ke depan dan berjuang apa saja, walaupun terpaksa digantung kolej, kehilangan tajaan biasiswa pendidikan atau jika ke penjara sekalipun.


Namun kenapakah minda seorang Muslim yang berfikir masih boleh jatuh terpedaya dengan pemikiran ‘kurang cerdik’ tersebut, preteks kepada beberapa siri perbuatan bodoh yang akan menjerumuskan seseorang itu ke dalam penjara, anti tesis kepada konsep Übermensch yang juga dipopularkan oleh Nietzsche sendiri?!

Kenapakah juga, kita sebagai Muslim mahu berpegang kepada maxim sesat seperti “What does not kill me makes me stronger”? Bukankah banyak cara lagi yang lebih baik dan bermanfaat untuk kita belajar menjadi insan seperti yang telah disyariatkan oleh Islam?

Tepuk dada tanya selera??


3 comments:

  1. Prkataan "fuck"@ "fucking" ni adalh istilah mncrut bila d mlayukn. D zamn 50an@60an ia adalh prktaan lazimnya d guna oleh rakyat amerka trutama d kalngan askar amerika. Puak2 yg nk msnahkan islam d Tanah Melayu mmng kurang ajar yg prlu krjaan mmrinth mngajr mrk dgn mngkap dn mnghukum dgn sbrat2nya hukum agr puak biadap ni mnerima habuan stimpal dgn krjabuat jahat. Brani kah krjaan ambil tindakn ? Dgn brsikap mnyotong ni sy khuatir mrk akn brtndak !! Wallahu-aklam.

    ReplyDelete
  2. Geng yang nak bakar kereta KPN pun geng yang sama-anti demokrasi tu codename anarki!

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.