Bukan Islam Tak Patut Halang

Himpunan Aman UMMAT 24 Jun 2016

Himpunan Aman A355?

Himpunan Aman UMMAT 24 Jun 2016

Kuasa Veto Melayu

Kenali Kuasa VETO Melayu Di Dalam Perlembagaan

Vernakular Melayu Telah Dikorbankan

Bagaimana Pula Dengan Vernakular Lain?

Tahniah Ah Jib Gor

Ke Arah Melahirkan Malaysia Moden Dengan Warganegara Tidak Tahu Berbahasa Kebangsaan?

Monday, 29 September 2014

Jutawan Getah Lupa Diri

Portal Malaysiakini melaporkan kisah Jutawan Getah Bercorak yang kini bermastautin di Amerika bersikap lupa diri. Beliau mengatakan bahawa beliau berhijrah ke Amerika semata-mata untuk menyambung pelajaran kerana di Malaysia peluangnya disekat oleh sistem kuota bumiputera.

Usahawan ini perlu diingatkan kembali dengan sejarah nenek moyangnya. Ketika negeri ibunda nenek moyangnya tidak lagi menjanjikan sebarang peluang untuk mendapatkan sekelumit nikmat kehidupan, mereka beramai-ramai mengambil keputusan untuk menaiki segala macam kenaikan air menuju ke sebuah tanah harapan.

Tanah itu diperintah oleh Raja-Raja Melayu. Tanpa sebarang syarat, mereka dibawa masuk secara beramai-ramai tanpa had dan tanpa peraturan jelas yang mengehadkan kemasukan mereka. Berbeza dengan Amerika yang mempunyai polisi jelas tentang pengharaman kemasukan etnik China yang ditetapkan jelas di dalam Perlembagaan mereka.

Semua kenaikan air yang membawa imigran China ke sana berhadapan dengan polisi ini. Mereka dihalang oleh Perlembagaan Amerika itu sendiri untuk mengelakkan perkara-perkara yang orang kulit putih tidak suka berlaku di Amerika. Walaupun Amerika menjanjikan peluang segala bentuk “American Dreams” pada waktu itu, mimpi itu boleh dinikmati oleh semua orang kecuali etnik dari negara China.



Tongkang sudah pun dinaiki, ke mana mereka hendak tujui kerana Amerika telah menutup pintu untuk mereka? Mereka tidak mahu pulang ke negeri ibunda kerana di sana mereka akan mati kebuluran. Negeri ibunda tidak memberikan mereka tapak dan peluang untuk menjalani sisa kehidupan. Negeri ibunda ialah negeri yang penuh susah dan payah.

Maka, destinasi terdekat yang menjanjikan mereka harapan serta penyambung ikhtiar hayat ialah negara-negara di Asia Tenggara. Kebanyakan negara-negara ini berada di dalam Gugusan Kepulauan Melayu. Nenek moyang mereka ini mendapati negeri-negeri Melayu ini memberikan mereka peluang kehidupan kedua. Mereka berusaha dan kemudian menetap di sini. Ini tanah yang menjanjikan setiap yang rajin berusaha akan mendapat labanya.

Raja-Raja Melayu, Pemimpin Politik Melayu, Orang-Orang Melayu Yang Memilih Untuk Merdeka Tidak Pernah Melakukan Perkara di Atas Ke Atas Etnik Cina Di Tanah Melayu. Apa Lagi Yang Jutawan Getah Mahu?
Melalui polisi favouritism kolonial British, mereka mendapat pelbagai bentuk peluang untuk menjadi kaya dan berjaya di tanah ini. Datang cadangan Merdeka. Untuk pulang, kebanyakan mereka sudah beranak pinak dan bermastautin di sini dalam tempoh yang lama. Malah, ramai yang sudah membina empayar perniagaan yang akan merugikan mereka jika mereka kembali ke negeri ibunda mereka. Untuk ke Amerika, mereka langsung tidak diberikan peluang oleh Perlembagaan Amerika melalui Chinese Exclusion Act. Lantas mereka berjuang dan bersungguh untuk memastikan mereka diterima sebagai rakyat Persekutuan Tanah Melayu.

Raja-Raja Melayu bersetuju untuk menerima mereka sebagai warganegara dengan persetujuan bersyarat. Mereka harus bersetia dan bersetuju dengan hak-hak keistimewaan bumiputera di negara Persekutuan Tanah Melayu nanti. Ia sebagai timbal balik kepada hak kewarganegaraan yang diberikan secara prinsip Jus Soli kepada mereka.

Ini Yang Amerika Lakukan Kepada Generasi Datuk Nenek Jutawan Getah. Jutawan Getah Mudah Lupa..
Polisi mewarganegarakan kumpulan ini memberikan peluang dan tempat kepada mereka-mereka ini untuk terus hidup dan berjaya di negara baru ini. Mereka tidak mahu pulang ke negeri ibunda kerana layanan negeri ibunda kepada mereka lebih teruk.

Lalu, mereka membina keupayaan politik melalui penguasaan ekonomi. Hakikat Jutawan Getah ini mampu melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat ketika ramai warganegara Melayu bumiputera hanya hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang sudah menjelaskan mengenai keadilan tanah ini kepada mereka yang kuat berusaha. Mengapa perlu tamak untuk mengaut semua yang percuma dan mendapatkan bantuan pemerintah ketika diri sudah mampu berlari? Kenapa mesti mahu berebut dengan yang tidak berupaya hatta untuk melanjutkan pelajaran di dalam negara ketika diri sendiri mampu untuk menyambung pelajaran ke luar negara?

Bukankah ini menunjukkan sifat dan nafsu tamak yang tidak terbendung? Segala apa sahaja mahu direbutkan ketika diri sendiri sudah mempunyai segala yang diperlukan untuk melanjutkan pelajaran. Bagaimana jika anak-anak bumiputera juga mula mempertikaikan bahawa Kontrak Sosial telah melakukan satu ketidakadilan kepada mereka kerana mereka perlu bersaing dengan pihak yang diwarganegarakan setelah lama mendapat tongkat dan sokongan British kepada perkembangan keupayaan ekonomi mereka sejak belum merdeka?

Lihat Sahaja Apa Yang Orang Amerika Hujahkan Dengan Kemasukan Generasi Datuk Nenek Jutawan Getah.
Kita tidak hairan dengan cara pelaporan dan manipulasi berita oleh Malaysiakini yang pernah mendapat pendanaan dari Amerika Syarikat. Amerika negara yang menghalau generasi datuk nenek Jutawan ini dengan secara spesifik menamakan bangsa yang tidak dimahukan Amerika kini dipuja bagaikan satu tokong rahmat.

Tahukah jutawan ini, jika negeri-negeri Melayu dan negara-negara di Gugusan Kepulauan Melayu tidak menerima datuk neneknya satu ketika dahulu, tentu sahaja mereka menjadi kumpulan orang hanyut di Laut Teduh setelah Amerika menutup pintu kepada mereka.

Tak perlulah bercerita tentang ketamakan yang tidak terbendung. Tidak perlulah mengungkit mengenai kontrak sosial kerana kalangan bumiputera itu sendiri tidak sukakan dengan terma-terma tertentu di dalam kontrak sosial terbabit.

Apa Erti Maruah Bangsa? Belum Pernah Tanah Melayu Mengadakan Sebarang Referendum Seperti Yang Dilakukan Di Amerika. Kenapa Tidak Tahu Bersyukur?
Jika kedua-duanya sama mengungkit tentang perkara itu, tentu sahaja perkara tidak baik akan berlaku di dalam negara. Hormati Perlembagaan. Hormati kontrak sosial. Hormati prinsip-prinsip asas Rukun Negara. Tolong hormati semua ini.

Tetapi, jika jutawan ini ingin menjilat ludahan kahak Amerika kepada maruah dan wajah nenek moyangnya dengan polisi Chinese Exclusion Act satu ketika dulu, itu hak dia untuk terus berbuat demikian. Jilatlah sampai puas.

Nenek menangis dalam kubur, siapa yang tahu?



Jadi berhentilah mempertikaikan Kontrak Sosial. Tiada siapa di sini mempertikaikan kewarganegaraan sesiapa sahaja. Jika anda merupakan rakyat Malaysia, kami semua menerima hakikat tersebut tanpa mempertikaikannya. Jadi, hormatilah bahagian kami di dalam Kontrak Sosial terbabit, supaya kami juga menghormati bahagian anda di dalam kontrak sosial terbabit. Sama-sama saling hormat menghormati, menjanjikan Malaysia yang lebih aman dan lebih ramai dari generasi anak-anak seperti Jutawan Getah ini untuk melanjutkan pelajaran ke Amareka...


Kenali Chinese Exclusion Act Amerika dengan membaca pautan di bawah :

Sunday, 28 September 2014

Jelajah GABUNGAN Pulau Pinang: Menutup Pintu Kejahatan


Alhamdulillah, segalanya berjalan penuh lancar tanpa masalah yang tidak dapat ditangani dengan cekap. Bersama pasukan kerja dan semangat kerjasama ahli-ahli jawatankuasa pendudukan Taman Sri Pinang, jelajah Malaysia Tanpa Liberal Gabungan Bela Hak Insan Pulau Pinang dengan kerjasama Aman Palestin Pulau Pinang, telah berjaya dijalankan semalam (27 September 2014).

Bertempat di padang bola berdekatan kawasan Taman Sri Pinang, program jelajah GABUNGAN bersama Aman Palestin bersambung untuk menyedarkan umat Islam tentang perkara-perkara terkini yang sedang dan bakal melanda ke atas umat Islam di negara ini dan di seluruh dunia.

Bagaikan sebuah drama yang penuh dengan plot dan cabaran yang perlu di atasi, pelbagai perkara berlaku untuk menguji semangat kerjasama pasukan kerja yang diketuai Tuan Azmi, Pengerusi Raudhatul Huda merangkap Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sri Pinang. Selain pengerusi dan penganjur bersama, beliau juga banyak membantu menyelesaikan masalah teknikal yang berlaku bersama sahabat-sahabat persatuan penduduk. Satu inisiatif dan teladan kepimpinan yang harus dipuji. Dari usaha pemasangan khemah, penurapan pasir hingga ke masalah teknikal melibatkan sistem elektrik diselasaikan secara kerjasama.

Persediaan di tapak dijalankan seawal jam 2 petang. Bumi Pulau Pinang yang panas, disirami Allah dengan hujan rahmat untuk menyejukkan sebentar suasana. Ahli-ahli persatuan penduduk yang peka dengan keadaan hujan tersebut kemudiannya bergotong royong untuk memastikan kawasan padang disediakan untuk keselesaan pihak awam yang akan turun mendengar taklimat jelajah malam nanti.


Tiada apa yang menariknya dengan sebuah ceritera dan filem cereka tanpa masalah dan cabaran untuk ditangani. Cabaran-cabaran yang ditangani ini memberikan segala rencah yang indah untuk dinikmati apabila sesebuah ceritera atau filem menuju ke plot terakhirny dan berakhir dengan kesudahan yang membawa kelegaan dan rasa puas. Happy Ending di dalam terma filem oleh sang pengkritik.


Begitu jugalah dengan penganjuran jelajah Malaysia Tanpa Liberal kali ini. Bermula dengan hujan rahmat sehingga ke masalah teknikal elektrik, semuanya dapat ditangani dengan mudah dengan kerjasama semua pihak. Tanpa mengira latar belakang parti politik, kedudukan dan pangkat, semua hadir membantu sebagai saudara Islam demi Allah dan cita-cita penyatuan umat ini. Tahniah juga kepada penduduk yang tidak berganjak sejak dari awal walaupun terpaksa bergelap untuk seketika.
Tepat jam 9 malam, sepertimana yang dijanjikan di dalam jadual program, semua masalah teknikal diselasaikan dan program dimulakan dengan ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis, Ustaz Mukhlis. Beliau mengakhiri ucapan alu-aluan dengan doa memohon supaya umat Islam kembali bangkit dan sedar dan permohonan agar perjalanan majlis berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Blackout sebelum majlis, tetapi tidak seorang pun berganjak.

Saudara Abu, Staf GABUNGAN Bertungkus Lumus Menyelesaikan Masalah Teknikal Dengan Cekap.
Pengerusi Majlis - Ustaz Mukhlis
Bekalan Dipulihkan, Pengerusi TSP Sendiri Turun Padang Menyelesaikan Masalah.

Ceramah dimulakan dengan Ustaz Budiyanto Unggun, Pengerusi Aman Palestin Cawangan Pulau Pinang. Bersama slide yang memperuntukkan maklumat-maklumat teknikal serta perkongsian maklumat tentang apa yang sedang berlaku di Palestin, tiada ruang untuk sesiapa sahaja yang hadir untuk bersungut bahawa mereka tidak diberikan penjelasan yang secukupnya tentang permasalahan yang sedang berlaku di sana. Bermula dari sejarah kemasukan Yahudi secara besar-besaran melalui gerakan Zionis antarabangsa yang dicetus ideanya oleh Theodore Hertzl, sehingga ke status dan keadaan umat Islam dan sosio politik Palestin sehingga kini, semuanya dijelaskan oleh Ustaz Budiyanto Unggun di dalam tempoh masa yang terhad. Malah apabila gambar-gambar mangsa kekejaman rejim negara haram Zionis dipaparkan, kelihatan pengunjung diusik emosi yang tidak tertahan. 

Pesan akhir Ustaz Budiyanto Unggun kepada semua yang hadir, apa sahaja bentuk keupayaan yang ada, hendaklah kita menggunakannya untuk membantu saudara sesama Islam kita tidak kira di mana sahaja mereka berada. Satu lagi pesan Ustaz Budiyanto Unggun ialah, supaya umat Islam di Malaysia, mengambil berat tentang perjuangan dan survival umat Islam dan hal berkaitan Islam di Malaysia. Beliau menyampaikan pesan itu sebagai mengingati pesan seorang warga Palestin yang berkhidmat dengan Aman Palestin di sana, bukanlah warga Palestin tidak mahukan orang-orang luar hadir secara fizikal membantu perjuangan umat Islam di Palestin, tetapi secara strategiknya, orang-orang luar dari Palestin perlu terus menjalankan kerja-kerja mereka memberikan bantuan, tekanan politik, menyampaikan kesedaran serta mengumpulkan kekuatan sokongan dalam semua bentuk kepada umat Islam di Palestin. Masing-masing menjalankan kewajipan atas keupayaan masing-masing.

Ustaz Hafiz Nordin menyambung tugasan menyampaikan nasihat dan maklumat kepada semua yang hadir. Berbeza dengan Ustaz Budiyanto Unggun, fokus Ustaz Hafiz Nordin adalah tertumpu kepada ancaman terhadap umat Islam di dalam negara. Ancaman “Yahudi Tempatan”, meminjam istilah yang digunakan Ustaz Hafiz Nordin. Sepertimana biasanya dia yang kami sendiri kenal, ucapan, khutbah dan ceramahnya bisa membuatkan ruh terpelanting ke belakang.

Berapi!
Jika di Gaza dan Palestin, umat Islam berhadapan dengan ancaman pembunuhan nyawa, tetapi berbeza di Malaysia, umat Islam kini sedang berhadapan dengan usaha pembunuhan akidah. Kemasukan golongan Islam Liberal di dalam tanah air menjadi punca serta akar kepada masalah ini. Dengan pendanaan berjuta-juta ringgit setahun, musuh-musuh Islam di luar membajai gerakan pembunuhan akidah umat Islam dengan mendanai aktiviti-aktiviti kumpulan-kumpulan NGO, parti politik tertentu, syarikat Sendirian Berhad yang berselindung di bawah nama NGO dan banyak individu-individu berpengaruh.

Menangani ancaman mereka-mereka ini yang sentiasa menerima pendanaan yang sangat banyak dan sofistikated dan sentiasa mengalir seperti air sungai selepas hujan, merupakan satu bentuk usaha perjuangan yang besar dan sangat mencabar bagi NGO-NGO Islam untuk bangkit melawan. Tetapi, itu semua tidak pernah dijadikan sebagai alasan untuk berhenti dan berundur menurut kata Ustaz Hafiz Nordin. Walaupun bergerak dengan segala macam bentuk kekangan dan keupayaan yang terhad, perjuangan tetap diteruskan kerana pejuang-pejuang ini percaya bahawa upah kerja mereka di akhirat sana lebih lumayan serta tiada tolok bandingnya.

Ustaz Hafiz kemudiannya menjelaskan tentang ancaman Islam Liberal, siapa dibelakang mereka dan apa hala tuju gerakan mereka di sini. Mereka-mereka di sini adalah untuk mencabut umat Islam dari akar sebenar agama mereka. Mereka mahukan umat Islam menurut kata hati dan hawa nafsu dan tidak perlu mempedulikan apa yang seharusnya umat Islam ikuti berlandaskan kehendak Allah. Bagi golongan Islam Liberal ini, mereka mahu menanamkan ke dalam pemikiran masyarakat bahawa agama itu merupakan urusan hati antara individu dengan Tuhannya. Tidak mengapa tidak bersolat, berzina, mengamalkan pluralisme agama, mempertikaikan ayat-ayat al Quran dan sebagainya asalkan hati itu tetap dikatakan menyembah Allah. Persoalannya Allah yang mana satu? Bukankah golongan ini jugalah yang membenarkan Allah turut dirujuk secara syiriknya oleh golongan pelampau Kristian tempatan?

Ustaz Hafiz Nordin berpesan supaya semua ini diambil peduli. Gerakan musuh-musuh Islam ini semakin rancak kerana umat Islam tidak mengambil peduli dan terlalu sibuk dengan urusan dunia masing-masing. Inilah masanya untuk mengejutkan umat Islam supaya Bangkit! dari tidur yang sangat lama.

Segalanya berjalan lancar dan Ustaz Hafiz Nordin berterima kasih kepada semua tenaga kerja, pihak penganjur, pengunjung-pengunjung serta pasukan Polis yang turut hadir memantau aktiviti ceramah.
Segalanya berjalan lancar. Jelas, doa Pengerusi Majlis yang diaminkan atas semangat persaudaraan Islam penduduk Taman Sri Pinang dimakbulkan Allah. Bermula jam 9 sehingga ke tamat majlis menghampiri tengah malam, tiada perkara yang mengganggu kelancaran majlis berlaku.

Semoga semua yang hadir mendapat balasan pahalayang dijanjikan Allah dan dapat memahami, mengambil pengajaran dan menyampaikan kepada mana-mana pihak yang tidak dapat hadir.


Ceramah Ustaz Hafiz Nordin diakhiri dengan pesanan, apa yang berlaku di Palestin tidak mustahil akan boleh berlaku di Malaysia. Beliau mengiakan pesanan Ustaz Budiyanto Unggun tentang nasihat wakil Aman Palestin di Palestin seorang warga Palestin kepada beliau satu ketika dahulu, bahawa umat Islam di Malaysia perlu berjuang mempertahankan tanah air mereka sendiri supaya kita kuat di sini untuk terus membantu umat Islam di Palestin.

Ini Palestin Kita, dan jangan lupa tentang perkara itu.

Gabungan Bela Hak Insan Pulau Pinang (GABUNGAN) 
No Hubungan : 
No G-07, Jalan Jeti Lama, Kompleks Bagan, 12200, Butterworth, Pulau Pinang. 
013-5124721 
Tuan Haji Mohamed Nordin, Presiden.

Aman Palestin Pulau Pinang 
No Hubungan : 
No. 12 Tingkat Bawah, Jalan Perda Barat, Bandar Baru Perda, 14000 Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 
04-5300929 
Ustaz Budiyanto bin Unggun, Pengurus Cawangan.

Saturday, 27 September 2014

Teks penuh titah ucapan DYMM Sultan Selangor

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah dan kurnianya pada hari ini, Beta dapat mengadakan Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) pada petang ini.
Seperti yang kita sedia maklum pelantikan Exco yang baru ini adalah disebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) tiada mempunyai keyakinan kepada Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim yang menyandang Menteri Besar Selangor, yang dilantik selepas Pilihanraya Umum ke 13. Oleh itu seorang Menteri Besar yang baru dan Exco yang baru juga perlu dilantik untuk mentadbirkan Kerajaan Negeri Selangor ini.
Kemelut dan pergolakan dalam Parti Pakatan Rakyat ini bermula daripada Pakatan Rakyat membuat “Kajang Move”-Langkah Kajang dan bermulalah usaha mereka untuk menyingkirkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Dengan ini timbullah pelbagai hasutan dan tomahan untuk memburukkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim supaya dapat diturunkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor. Perkara hasut menghasut dan melempar tohmahan-tohmahan terhadap Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim berterusan walaupun semasa bulan suci Ramadhan, dimana umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk membersihkan dosa dan maksiat. Beta telah menyeru dan mengingatkan beberapa kali, rakyat Melayu beragama Islam di Negeri Selangor ini supaya di bulan Ramadhan yang mulia ini hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan melakukan amal jariah kita supaya diterima Allah.
Tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan suci Ramadhan dengan terus menghina dan mencaci sehingga mereka berjaya dalam niat mereka untuk menjatuhkan Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Di sini Beta ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim yang telah menjalankan tugas beliau dengan jaya dan sempurna sebagai Menteri Besar, yang mana hubungan Istana dengan beliau telah berjalan dengan baik dan lancar.
Krisis yang berlaku berkenaan dengan Menteri Besar Selangor ini telah membuka mata dan hati serta pandangan Beta terhadap politik di Negeri Selangor ini. Ahli-ahli politik datang dan pergi, mereka akan berkhidmat untuk selama 5 tahun dan mungkin akan diganti pada pilihanraya yang akan datang. Tetapi kedudukan Beta sebagai Sultan yang memerintah Negeri Selangor akan berterusan sehingga akhir hayat Beta.
Sebagai Sultan yang memerintah, tugas-tugas Beta amatlah berat untuk memastikan rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini dapat menikmati hidup yang berkualiti dan pembangunan Negeri yang sempurna. Beta tidak campur tangan dalam pentadbiran Negeri yang dijalankan oleh Menteri Besar. Beta hanya menasihatkan Menteri Besar jika terdapat sesuatu perkara yang boleh menyusahkan rakyat.
Beta ingin mengingatkan bahawa Sultan itu bukanlah sahaja dalam istiadat dan majlis rasmi, tetapi kuasa Sultan adalah untuk melihat negeri dan rakyat Negeri Selangor ini hidup dalam keamanan dan maju jaya.
Oleh kerana rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi sebenar Sultan, rakyat beranggapan Institusi Raja itu adalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai apa-apa peranan dan kuasa yang diperuntukkan dibawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Beta dapati ada ahli politik yang tidak faham akan peranan dan kuasa Institusi Raja atau mereka sengaja tidak memahaminya kerana Beta yakin mereka mempunyai agenda yang lain.
Beta adalah Sultan yang memerintah Negeri Selangor sentiasa berpandukan pemerintahan Beta dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang telah di meterikan pada tahun 1959.
Rakyat Negeri Selangor yang berbilang kaum dan berbilang agama serta mempunyai pelbagai adat resam mahukan Negeri Selangor ini aman dan makmur, bebas mengamalkan agama masing-masing serta dapat hidup dalam tenteram dan harmoni.
Seterusnya Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Negeri Selangor yang menyokong Beta dalam kemelut pelantikan Menteri Besar di Negeri Selangor ini dan mempercayai Beta dalam menyelesaikan kemelut ini. Beta sentiasa memikirkan ketenteraman, kemakmuran dan keharmonian rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini.
Tidak lupa juga Beta mengucapkan terima kasih kepada pihak media arus perdana yang telah berkerjasama dengan pihak Istana dalam menyiarkan kenyataan-kenyataan akhbar dari Istana.
Disamping itu Beta mahukan orang Melayu Islam janganlah berpecah belah dan tidak extremis atau mengelirukan rakyat hingga mengikut ajaran agama sesat.
Beta tidak mahu orang Melayu Islam berpuak-puak, mencaci antara sesama sendiri, hingga meruntuhkan kemuafakatan orang Melayu yang mana Beta kuatiri suatu hari kelak jika perkara ini berterusan, orang Melayu akan menuju kehancuran.
Kemanakah hala tuju, dan kemanakah perginya orang Melayu nanti. Beta sentiasa berdoa agar Allah Subhanahu Wata’ala membuka hati mereka supaya dapat melihat kebenaran dan seterusnya bersatu padu didalam memelihara dan mempertahankan tanah air kita yang dikasihi ini. Janganlah mudah sangat orang Melayu diperdaya sehingga maruah tergadai demi untuk kepentingan sendiri.
Kepada Ahli-Ahli Exco yang baru, Beta menyeru supaya memberi sokongan yang padu kepada Yang Amat Berhormat Tuan Mohamed Azmin Bin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru. Lupakan segala sengketa yang lalu dan tumpukan segala tenaga, kepakaran dan pengalaman disertakan dengan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat Negeri Selangor yang telah memberi mandat kepada tuan-tuan dan puan-puan sebagai wakil rakyat mereka. Rakyat tidak suka melihat Negeri Selangor ini didalam kucar kacir dan mereka tinggal didalam ketakutan dan kesengsaraan.
Beta berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga dengan pelantikan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru ini, parti-parti yang telah diberi mandat untuk memerintah Negeri Selangor akan dapat berkerjasama untuk mentadbir Kerajaan Negeri dengan penuh jujur dan ikhlas demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Negeri Selangor. Rakyat menaruh harapan supaya mereka dapat tinggal di Negeri Selangor yang kaya dan maju ini serta dapat menikmati segala kemakmuran yang ada di dalamnya.
Beta sentiasa berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala supaya Negeri Selangor yang kita kasihi ini dirahmatiNya dan dilindungi daripada segala malapetaka dan apa juga yang boleh menyusahkan rakyat Negeri Selangor yang Beta kasihi ini. Amin.
Sekian.

Thursday, 25 September 2014

Amaran Kepada Azmin Ali: Jangan SALAH GUNA Kalimah Allah

Sekali lagi kami panjangkan penulisan Tuan A Karim Omar seperti berikut :

MB yang baru dilantik, dalam temubual pertamanya dengan pemberita, Azmin Ali mengatakan bahawa beliau akan meneliti semula keputusan yang dibuat oleh pentadbiran lalu dalam beberapa isu termasuk isu “Bible” (baca: Analogi Mudah Untuk Faham Isu Tindakan JAIS Terhadap Persatuan Bible Malaysia)
Walaupun Azmin cuba berlapik dalam menjawab soalan pemberita, namun beliau telah cuba juga membuka semula satu ruang yang telahpun diputuskan dalam isu ini. Dengan itu, saya ingin membuat amaran awal kepada beliau agar berhati-hati dengan tindak-tanduk yang bakal beliau ambil dalam isu “rampasan Bible” dan isu penyalahgunaan nama suci Allah oleh pelampau evangelis Kristian.
Amaran kpd Azmin-revisit BibleSeizureAMARAN ini khusus kepada MB yang baru dilantik ini supaya memahami akan sumpah setia beliau di hadapan Tuanku Sultan serta merujuk kembali titah-titah Tuanku sebelum ini dalam kedua-dua isu yang mempunyai kepentingan untuk umat Islam khususnya di negeri Selangor. JANGAN MEMANDAI dan menderhakai Tuanku.
Azmin terkenal dengan keceluparan mulutnya dalam menyanggahi kepentingan umat Islam di Tanah Air ini. Kami mahukan tindakan “sadduz zara’i” bagi menghalang tuntutan melampau evangelis Kristian yang masih tidak tahu apa nama tuhan mereka sebenarnya hingga terpaksa meminta untuk salah guna nama suci Allah untuk gantikan nama Elohim atau Yahweh itu. Kita TIDAK MAHU Azmin buka “sadd” ini! (baca: Nama Tuhan Kristian Boleh Ditukar-tukar dan Apa Susah-susah Nak Faham Terjemahan “God”?)
Azmin turut juga celupar menyanggahi kenyataan TG Ustaz Hadi Awang serta menolak keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura PAS pada bulan Januari tahun lalu.
Kita tidak akan duduk diam untuk memantau setiap keputusan dan tindakan MB baru berhubung kepentingan Islam.
Baca juga kiriman berkaitan tuntutan untuk menyalahgunakan nama suci Allah oleh pelampau evagelis Kristian:

Kenapa Tidak Boleh Dibenarkan Pihak Gereja Mengguna Istilah “Allah” Untuk Tuhan Jesus Mereka?

Berikutan niat Menteri Besar Selangor yang baharu, YB Azmin Ali yang mahu mengkaji semula kes Bible di Selangor, pihak kami ingin berkongsi kembali sebuah penulisan lama tetapi masih relevan yang ditulis oleh Tuan A Karim Omar seperti di bawah :

Mungkin bagi sesetengah orang isu ini sudah reda. Tiada lagi perbincangan hangat berhubung keputusan mahkamah membenar pihak gereja mengguna istilah Allah untuk terjemahan kepada tuhan yang disebut dalam bible mereka. Namun, sebagai umat Islam kita mesti sentiasa berwaspada dan terus menghalang usaha pihak gereja untuk mengguna istilah ini dan istilah-istilah lain yang diguna khusus oleh umat Islam di Malaysia.
Kenapa begitu?
Sudah banyak diperbincangankan sebelum ini. Dan sudah banyak sebab diberikan. Tujuan tulisan ini ialah bagi memberi satu bukti kejayaan pihak gereja dalam usaha mengelirukan umat Islam di negara majoriti Islam dengan istilah-istilah yang diguna khusus oleh umat Islam di negara itu.
Hujjah bahawa pihak gereja mempunyai niat jahat dan sengaja mengguna istilah-istilah yang diguna orang-orang Islam demi untuk mengeliru dan untuk memudahkan kerja-kerja dakyah mereka selalu disangkal oleh mereka yang “skeptics” serta mudah menerima “face-value” helah pihak gereja dan tidak percaya bahawa pihak gereja mempunyai rancangan jahat sedemikian.
Dalam keluaran terbaru (Feb 2011), Christianity Today, “cover story” mereka adalah bertajuk Muslims and the “Son of God”, membongkar rahsia sebenar niat jahat mereka untuk “use religious vocabulary familiar to Muslims” (mengguna istilah-istilah agama yang biasa untuk umat Islam) supaya memudahkan kerja-kerja dakyah mereka.
Walaupun sebahagian besar dari pihak paderi sendiri yang menentang usaha untuk mengguna istilah-istilah yang “familiar to Muslims” , dan mereka ini “…charge their colleagues with compromise that undermines belief in Jesus Christ”, namun kerana niat jahat mereka untuk mempengaruhi dan memurtadkan umat Islam maka penggunaan istilah itu diteruskan.
Dalam perbincangan di kalangan mereka yang melakukan kerja-kerja dakyah Kristian di negara-negara majoriti Islam pada tahun lepas, telah diperakui bahawa usaha mengelirukan umat Islam dengan istilah-istilah ini telah berjaya dengan “many thousands of Muslims in this nation alone, then, had found faith in Jesus” (ribuan telah berjaya dimurtadkan).
This nation” ini merujuk kepada sebuah negara Islam yang dirahsiakan namanya dari disiarkan dalam majalah tersebut. [mungkinkah Malaysia?]
Artikel tersebut juga memetik seorang “missiologist” (pakar dakyah mereka yang telah melakukan kerja-kerja ini di Asia dan Afrika semenjak 1977 lagi) yang berkata “Missionaries can live in a Muslim culture for decades, blaming Muslims for being “resistant” to the gospel, when the problem actually lies with linguistic and cultural stumbling blocks”. Maka secara tidak langsungnya, kini mereka percaya bahawa mereka telah dapat melepasi satu “halangan” linguistik untuk kerja dakyah kepada umat Islam (di Malaysia).
Dan dia merumuskan “Once these are removed, many Muslims are quite open and interested in knowing more about Jesus”.
Kisah penggunaan istilah Allah juga disabitkan sebagai suatu kejayaan mereka untuk membuka minda orang Islam untuk menerima dan membaca bible – “Muslims reading Scripture for the first time won’t immediately reject the Bible as foreign to their culture”.

CT-bearing dramatic fruits2

Dengan itu, apa yang kita lihat berlaku di negara kita dengan usaha mereka mengguna istilah-istilah seperti Kiblat, Kaabah, solat, dan beberapa lagi adalah di antara usaha mereka untuk strategically changed particularly challenging phrases.
Menurut tulisan itu lagi, mereka juga ada missionari khas untuk “discipling Muslims” dengan program latihan “teaches missionaries what Muslims believe so they can minister to them effectively”.
Oleh kerana itu, sedarlah mereka yang “memperjuangkan” kebebasan untuk mengguna istilah-istilah yang lazimnya digunakan oleh umat Islam di negara ini, bahawa bukannya kebebasan yang mereka cari tetapi kerja memurtad umat Islam yang menjadi matlamat mereka.
akarimomar.wordpress.com
Untuk baca keseluruhan artikel tersebut sila klik di sini.

pautan asal :

Wednesday, 24 September 2014

Apakah Azmin Ali Mencari Endorsemen Gerakan Pelampau Kristian?

Tidak sampai 24 jam dilantik menjawat jawatan Menteri Besar Selangor dengan bersumpah dengan nama Allah, Azmin dilihat terus mencari pintu belakang. Dikatakan beberapa perkara yang telah diputuskan sebelum ini akan dikaji semula. Ini termasuklah mengkaji semula kes rampasan Bible di Selangor.


Masih terlalu awal untuk melakukan sebarang spekulasi atau menelah apa yang dimaksudkan dengan mengkaji semua kes Rampasan Bible tersebut. Sultan Selangor yang bersetuju melantiknya ke jawatan tersebut pernah menyatakan titah murka baginda ke atas Khalid Samad yang dianggap bebal dan biadab kerana mempertikaikan arahan serta kehendak Sultan berkenaan enakmen Kawalan Agama Bukan Islam di Selangor.

Jika apa yang dimaksudkan Azmin ialah untuk mengembalikan Bible-Bible tersebut kepada pihak yang melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan, maka amatlah jelas masa depan umat Islam dan agama Islam di negeri Selangor akan meniti hari-hari yang suram di bawah pentadbiran Selangor yang baru.

Jika apa yang dimaksudkan oleh Azmin Ali, ialah untuk memperkemaskan serta memperbetulkan apa yang sepatutnya diperbetulkan pentadbiran terdahulu mengikut kehendak undang-undang sedia ada dan mengikut titah DYMM Sultan Selangor, maka ia merupakan tindakan yang harus disokong oleh semua pihak yang menghormati Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip asas Rukun Negara.

Undang-undang sudah lama dijadikan bahan sepak terajang oleh golongan pelampau Kristian tempatan. Mereka digelarkan pelampau kerana dengan sengaja mahu meletakkan negara ini di dalam keadaan tidak aman melalui provokasi mereka yang sengaja mahu melanggar undang-undang yang ada.

Jika Menteri Besar yang baharu ini berkecenderungan untuk tunduk kepada desakan kumpulan pelampau ini, maka amatlah malang bagi umat Islam di negeri Selangor.

YB Azmin Ali diceritakan oleh RPK Pernah Bertugas Sebagai Setiausaha Menguruskan Perkara Sulit Dato' Seri Anwar Ibrahim (mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia) Dengan Gaji Yang Hanya Berjumlah RM 2,400.00 Dan Hidup Mengikut Cara Kesederhanaannya Yang Tersendiri. Dilihat Dalam Gambar Di Atas, Kesederhanaan Yang Ditonjolkan YB Azmin Terserlah Apabila Beliau Dilihat Kerap Memakai Kemeja Yang Sama Dalam Pelbagai Aktiviti Yang Dijalankannya 
Jika beliau merupakan seorang yang berprinsip dan seorang yang sangat kuat beramal ibadah seperti di dalam pengakuan isteri sahnya di dalam sebuah wawancara dengan media semasa hari perlantikan, maka prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang akan digigitnya dengan gigi geraham dan tidak akan dilepaskannya.


JAKIM dan MAjlis Agama Islam Negeri Harus Belajar Dari Azmin Ali Untuk Mewajibkan Setiap Imam Mempunyai Akaun Twitter Supaya Setiap Kali Mereka Mengimamkan Solat, Berpuasa Sunat, Bersugi, Beristinjak dan Mendapat Ang Pow Solat Jenazah,  Ianya Dapat Di Updatekan Ke Dalam Laman Sosial. Ini Satu Contoh Tajdid Yang Diluar Kotak.

Kita sama-sama lihat dalam tempoh terdekat ini apa yang beliau maksudkan sebenarnya dengan kaji semula kes Bible tersebut.

Apakah Allah yang namaNya disebut berulang kali di dalam sumpah perjawatan Menteri Besar ini akan kembali menjadi subjek penghinaan oleh golongan pelampau Kristian di Selangor? Sama-sama kita saksikan nanti kesudahan apa maksud sebenar yang dinyatakan Azmin.

Selagi mana-mana pihak menghormati dan tidak bercanggah dengan Islam, menghormati kedudukan Islam sebagai Agama Negara, menghormati Perlembagaan Persekutuan, Kontrak Sosial yang membentuknya serta Prinsip-Prinsip Asas Rukun Negara, kami di Bangkit! tidak mempunyai sebarang bentuk halangan untuk memandang elok setiap usaha yang dilakukan sesiapa sahaja di dalam kerangka ini.

Bagi yang melakukan sebaliknya, pihak kami akan terus menegur, melaporkan kepada pihak berkuasa, serta akan memastikan setiap yang bertentangan serta menentang kerangka tersebut akan ditentang sehabis-habisnya.

Campur Tangan Amerika Syarikat Di Negara Islam Yang Berterusan

Tuan A. Karim Omar Menulis :



Dalam keadaan Syria yang sudah punah randah, Amerika Syarikat meneruskan usaha untuk menjahanam terus bumi yang Rasulullah doakan keberkataannya.
Terbaru, Dewan Perwakilan (House of Representatives) Amerika Syraikat telah meluluskan cadangan Obama untuk melatih 5,000 tentera “pemberontak” di sebuah kem latihan di Arab Saudi untuk melawan “militant ISIS”. Dipetik darihttp://thecable.foreignpolicy.com:
In a crucial vote of support for the White House’s declared war on Islamic State militants in Syria and Iraq, the House of Representatives voted to give President Barack Obama authority to arm and train Syrian rebels in the war-torn country.
… which would train some 5,000 Syrian rebels in the first year at facilities in Saudi Arabia.
Maknanya, Amerika Syarikat kini akan melatih 5,000 (untuk tahun pertama) “orang Islam” untuk berperang dengan “orang Islam ISIS”. Pemimpin ISIS Abu Bakar Baghdadi kita semua sudah maklum adalah awalnya hasilan didikan Amerika Syarikat. Samada penerusan gerakan militant ISIS/ISIL sekarang ini adalah dalam “grand plan” asal atau ianya suatu situasi “anak didik yang sudah naik kepala dan lawan tuan” – itu semua mungkin lebih terserlah dalam masa terdekat.
Di Tanah Air kita pun tidak kurang juga minat Amerika Syarikat untuk campur tangan. Sebab ini curahan dana dari Amerika Syarikat berleluasa meracuni pemikiran rakyat awam dengan membina boneka-boneka dan “moderate baruas” dalam apa yang disebut oleh Rand Corporation sebagai “Building Moderate Muslim Networks”.
Rand-align USSebab itu mereka yang diupah secara sedar atau tidak akan memekik-mekik dengan laungan-laungan seperti menuntut hak demokrasi, kebebasan beragama, kebebasan bersuara, kesamaan gender dan seumpamanya. Mereka ini bagaikan tersusun mengikut telunjuk perancangan yang disebut dalam monograf Rand Corporation bertajuk “Civil Democratic Islam” supaya hasilannya nanti ianya akan mematuhi “arahan Uncle Sam”:
“ … to the alignment of U.S. policymakers …”
Ya Allah lindungi kami dari ancaman dan perancangan musuh ini. Amin.

Pautan :
http://akarimomar.wordpress.com/2014/09/19/campur-tangan-amerika-syarikat-di-negara-islam-yang-berterusan/

Jalan Kesederhanaan Bapa-Bapa Malaysia

Oleh : Megat Rizal MH

Ketika Tun Mahathir Mohammad (Tun M) membuat komen pukul rata bahawa beliau kecewa dengan bangsa Melayu kerana malas dan adakalanya tidak jujur berdasarkan pengalaman beliau ‘berniaga’, ramai yang mengambil sikap tidak apa dengan apa yang diutarakan oleh Tun M kerana umum memahami bahawa apa yang telah diutarakan beliau tentulah mempunyai asas, berdasarkan pengalaman beliau, dan tentunya, kekecewaan beliau, menjadi pemimpin UMNO dan juga Perdana Menteri Malaysia selama lebih daripada dua puluh tahun!



Walaupun ada yang tidak bersetuju dan kurang senang dengan keterbukaan Tun M dalam membicarakan hal tersebut, namun rata-rata umum sedar, termasuk saya sendiri, bahawa Tun M sebenarnya mempunyai niat yang baik, ‘menegur’ kerana sayangkan negaranya, sama keadaannya seperti yang diperjelaskan oleh, anaknya, Mukhriz Mahathir ketika Tun M menegur Perdana Menteri tempoh hari. Jadi disebabkan itulah agaknya, kita melihat orang Melayu itu sendiri tidak melatah sehingga mengeluarkan kata-kata yang kurang sedap didengar terhadap Tun M.

Tun M nampaknya, rata-rata orang Melayu faham konteks mesej Tun.

Itulah juga yang saya cakapkan kepada sahabat-sahabat saya bahawa, saya akan menjadi ‘kurang marah’ jika seorang  kenalan yang mengkritik saya berbanding dengan seseorang yang tidak dikenali, kerana konteks sesuatu kenyataan itu dibuat juga penting.

Walaupun label tersebut pada sesetengah orang agak kurang adil kerana bersifat ‘unwarranted generalisation’, saya sebagai seorang Melayu, tahu, bahawa saya bukanlah seorang yang pemalas dan merupakan seorang yang jujur dan boleh dipercayai.

Oleh itu saya tidak akan melaporkan perkara berikut, kepada pihak polis. Saya tahu siapa diri saya. Itu sudah cukup untuk saya mengunci mulut dan melihat kritikan Tun M secara terbuka. Namun itu tidak bermakna saya akan mengejek atau mempersendakan mereka-mereka yang bertindak sebaliknya! Kerana itu hak mereka.

Ini penting untuk difahami. Sebagai contoh, sekiranya seseorang mengatakan kepada saya melalui Twitter, bahawa cara saya memimpin syarikat kandungan kreatif dan pengurusan media saya bagaikan Adolf Hitler, saya mungkin akan berasa sedikit marah dan kesal kerana saya merasakan bahawa kenyataan tersebut tidak benar sama sekali. Kerana sejujurnya, walaupun adakalanya, saya pernah berkali-kali menyuruh pereka grafik saya meminda sesuatu tugasan mengikut kehendak pelanggan (selalunya saya yang kurang berpuas hati), percayalah bahawa tidak ada seorang jiwa pun, yahudi atau sebaliknya, yang terkorban semasa proses kreatif tersebut! Jadi dakwaan tersebut sememangnya tidak berasas sama sekali!

Tetapi apa yang pasti, saya tidak akan memanjangkan ketidak-puasaan hati saya ke atas tweet tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia.

Itu saya, saya sememangnya mempunyai takat toleransi yang tinggi. Syabas kepada diri saya. Syabas juga kepada ibu dan bapa saya, terutamanya bapa, seorang tokoh hebat, yang banyak membantu membesarkan saya dan menjadikan saya, seperti yang tuan-tuan lihat sekarang.

Namun sering juga saya harus mengingatkan diri saya bahawa saya adalah saya dan bukannya orang lain. Dan orang lain juga bukanlah saya. Makanya saya tidak boleh mengharapkan orang lain untuk mempunyai nilai-nilai diri seperti yang saya pegang! Saya tidak harus berperasaan seperti itu. Saya tidak harus meletakkan nilai saya ke atas orang lain.

Adakalanya itu yang sering saya lupa!

Oleh itu, saya sering mengingatkan sahabat-sahabat saya untuk sentiasa menegur saya dan menyedarkan saya bahawa apabila saya memilih untuk tidak berbuat apa-apa di atas kenyataan orang lain ke atas saya, itu merupakan hak saya untuk berbuat sedemikian.

Lain padang lain belalang.

Oleh itu saya sememangnya tidak berhak untuk membuatkan semua orang mengikut jejak langkah saya dan memaafkan saja, mana-mana kenyataan yang dirasakan oleh mereka sebagai menghina. Mereka berhak memilih untuk tidak berbuat seperti saya!

Dan saya juga sedar bahawa bukanlah menjadi hak saya untuk menidakkan hak orang lain, jika mereka berasakan keperluan untuk memanjangkan perkara tersebut kepada pihak berwajib. Silakan. Saya cuma boleh bertanggungjawab dan berhak ke atas diri saya sahaja dan bukannya ke atas orang lain.

Semestinya saya tidak mahu Malaysia menjadi seperti sesetengah peguam di sebuah acara Majlis Peguam sebelum ini yang memboo rakan-rakan guaman mereka sendiri, hanya kerana, peguam-peguam yang diboo, memilih untuk mempunyai pendapat yang berbeza daripada yang lain berkaitan dengan pemansuhan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970). Perbezaan pendapat nampaknya tidak diterima dalam Majlis Peguam itu sendiri. Kepada para peguam yang berlagak seperti ‘lembu suci’ (kambing mengembek, lembu... mengemboo?), suka untuk kita mengingatkan mereka untuk cuba tanamkan sifat ‘sense of humor’ ke dalam diri masing-masing seperti yang pernah diutarakan Presiden mereka sendiri.

Namun kita hairan mengapakah Majlis Peguam yang sentiasa memperjuangkan hak-hak kebebasan bersuara dan berekspresi, rupa-rupanya saling tidak tumpah persis ibu ketam mengajar anaknya berjalan!

Dan tentunya menarik untuk kita semua nanti, tonton cara mereka ‘berjalan’ untuk mendesak kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) kelak.

Atas dasar inilah saya rasakan bahawa Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) itu wajib dikekalkan kerana saya berpendapat bahawa kerajaan patut memastikan bahawa rakyatnya, yang ramai, saya mana mungkin  mampu mengawalnya sendirian, dan dalam konteks negara kita, sangat pelbagai, perlu dikawal.

Kita tidak mahu sesuatu yang bermula dengan kata-kata yang menghina, sama ada di media sosial, suratkhabar mahupun secara bersemuka bertukar menjadi pertumpahan darah kerana ada yang memilih untuk mengamuk kerana tidak berpuas hati. Tentunya peristiwa berdarah 13 Mei yang berlaku pada tahun 1969 masih segar dalam ingatan sesetengah daripada kita, ‘Malaysian who remembers’ seperti yang pernah diungkap oleh Allahyarham Tun Sufian Hashim, bekas Ketua Hakim Negara.

Memanglah, saya boleh menerima pendapat-pendapat yang mengatakan bahawa ‘The State’s business is not to ensure that citizens are not offended’. Namun saya berpendapat bahawa adalah menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk memastikan keselamatan jiwa dan harta benda setiap seorang rakyatnya. Oleh itu mencegah daripada kejadian berdarah dan meragut nyawa seperti yang berlaku di Ambon dan Rwanda, misalnya, adalah penting dan patut menjadi keutamaan negara. Jika bukan kerajaan negara itu sendiri yang sentiasa menjaga kebajikan rakyatnya sendiri, kerajaan negara mana lagi?

Uncle Sam?

Saya juga bersetuju bahawa perbuatan biadab bukanlah suatu jenayah. Tetapi saya tidak faham kenapakah segelintir daripada kita nampaknya memilih untuk tidak menghormati undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) yang dengan jelas telah menjenayahkan sesetengah perbuatan, biadab atau tidak, saya rasa sudah tidak relevan lagi?!

Kenapakah juga, jika Perlembagaan Persekutuan 1957 itu sendiri membenarkan Parlimen untuk menghadkan perkara-perkara tertentu, dengan jelas, ke atas kebebasan bersuara dan berekspresi, masih ada diantara kita, yang mencuba-cuba, ‘testing the water’ kata penjajah British, bersikap tuli akan hal ini, cuba melakukan provokasi berkenaan dengan isu yang jelas sensitif?

Siapakah diantara kita yang akan sabar dengan satu persatu provokasi yang dilakukan berkali-kali banyaknya? Tentunya sekali dua, mungkin majoriti diantara kita, saya tentunya, akan boleh bersabar, tetapi seperti yang saya katakan tadi, tahap kesabaran saya sememangnya sangat tinggi, tetapi mungkin tidak untuk semua orang?!

Jadi tentunya atas kesedaran itulah pindaan kepada Akta Hasutan 1948 itu dibuat selepas 13 tahun penjajah British pulang meninggalkan kita!

Keamanan dan kestabilan yang kita kecapi telah lama tidak harus diperjudikan sahaja oleh kerana sesetengah daripada kita amat suka menghasut dan memperkatakan perkara-perkara yang telah diklasifikasikan sebagai hasutan mengikut Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970).

Ada juga yang mengatakan, saya petik “You cannot compel people to love each other through criminal sanctions”, saya setuju.  “You cannot make people support the Government by punishing people who do not support the Government’, saya setuju dan rasa isu ini tidak timbul sebenarnya, kerana kerajaan yang ada sekarang ini kelihatan kalau boleh tidak mahu mendakwa sesiapa pun sebenarnya.

Tetapi saya tidak bersetuju dengan pendapat yang ini, “You cannot make people respect royal institutions by punishing those who show disrespect”. Sebenarnya begini, saya setuju sebahagian dan tidak bersetuju dengan sebahagian lagi. Saya bersetuju bahawa kita tidak boleh memaksa orang ramai daripada mempunyai rasa hormat atau tidak terhadap institusi beraja selagi mereka tidak mepersoalkan, mempermainkan atau merendah-rendahkah institusi tersebut mengikut kerangka Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970).

 Kenapa pula kita tidak boleh menguatkuasakan dan menghukum (jika kesalahan bersabit) sesuatu yang jelas melanggar perundangan negara kita?

Saya juga bersetuju bahawa semangat cintakan negara ‘cannot be forced’, namun itu tidak bermakna bahawa undang-undang sedia ada ‘can’t be enforced’ juga?!

Saya bersetuju dengan pandangan bahawa, keamanan, keharmonian, kebersamaan dan patriotisme patut dipupuk dengan pelbagai cara yang sesuai. Ada yang boleh dipupuk dengan slogan semata-mata, namun ketahuilah bahawa manusia tidak akan patuh peraturan dan undang-undang semata-mata dengan retorik sahaja. Keamanan dan keharmonian boleh juga dikawal selia dengan undang-undang berbentuk pencegahan seperti Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1970) yang berupaya mencegah permasalahan itu daripada awal.

Ini tidak bermakna bahawa saya tidak boleh menerima pandangan yang berbeza dan sebarang kritikan, walaupun mungkin beberapa bekas rakan kongsi saya akan mengatakan sebaliknya (Hitler la katakan!), namun saya masih percaya bahawa ianya masih boleh dibuat mengikut kerangka perundangan negara!

Negara kita punya undang-undang, namun mengapakah masih terdapat seruan supaya undang-undang tertentu tidak dikuatkuasakan?

Pandangan-pandangan tidak bertanggungjawab berbentuk hasutan seharusnya tidak dibiarkan belarutan, tanpa sebarang tindakan undang-undang. Perkara-perkara yang jelas dan tidak boleh diperbincangkan lagi seharusnya tidak patut diberi sebarang kompromi. Ruang kompromi yang dibiarkan inilah nanti yang akan mengundang ketidak-puasan hati dan akan membawa kepada perpecahan dalam masyarakat.

Sememangnya pada pendapat saya, kita boleh menjadi bangsa yang matang dengan belajar untuk menghormati peraturan dan undang-undang. Bercakap ikut sedap mulut, tanpa perlu bertanggungjawab seperti menghina dan menghasut akan perkara-perkara yang sensitif tidak lain dan tidak bukan akan mengundang bencana.

Jalan kesederhanaan yang telah kita ambil dan patuh sejak sekian lama tidak harus dipergadaikan hanya kerana ada segelintir daripada kita sudah tidak menghargai nilai-nilai tempatan yang menjadi benteng pengikat kepada kekuatan kita sebagai satu bangsa yang bertamadun dan dihormati. Setelah 51 tahun Malaysia, apa yang telah dipersetujui oleh bapa-bapa kita haruslah dipegang erat supaya kita jelas arah tuju ketika terdapat cubaan bertali-arus untuk menidakkan prinsip asas-asas negara.

Tetapi itu pandangan saya semata-mata. Pandangan Tun M mungkin berbeza.


Pandangan anda, tepuk dada, tanya selera?