Bukan Islam Tak Patut Halang

Himpunan Aman UMMAT 24 Jun 2016

Himpunan Aman A355?

Himpunan Aman UMMAT 24 Jun 2016

Kuasa Veto Melayu

Kenali Kuasa VETO Melayu Di Dalam Perlembagaan

Vernakular Melayu Telah Dikorbankan

Bagaimana Pula Dengan Vernakular Lain?

Tahniah Ah Jib Gor

Ke Arah Melahirkan Malaysia Moden Dengan Warganegara Tidak Tahu Berbahasa Kebangsaan?

Sunday, 31 August 2014

Tahniah PDRM Atas Penubuhan PCIRC, Harap Tegas Dengan Semua Pihak.

Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) telah ditubuhkan sejak sebulan lepas. Ia hasil dari rungutan awam mengenai kegiatan penghinaan serta perbuatan hasutan yang dilakukan ramai pihak menggunakan laman-laman sosial.

Islam dihina sebelum ini tanpa diambil sebarang tindakan. Namewee dan Patrick Teoh yang menghina Islam masih bebas. Kelvin Yip masih juga bebas. Lalu ia membangkitkan rasa marah umat Islam di seluruh negara yang menuntut sesuatu yang tuntas dilakukan pihak berkuasa terutamanya PDRM dan Pejabat Peguam Negara.

Mendengar rungutan dan tuntutan ini, PDRM mengambil langkah positif dengan penubuhan PCIRC. Ramai berpendapat ianya harus diketuai oleh anggota Polis beragama Islam kerana Islam adalah Agama Negara dan hanya orang Islam faham tentang sensitiviti Islam. Tetapi PDRM mungkin mempunyai alasan mereka yang tersendiri dengan perlantikan ketua kepada PCIRC yang telah dibuat. Masalah penghinaan menggunakan laman sosial dan laman siber sudah berada di tahap yang sangat melampau.

Jika orang perseorang dihina itu ialah kes yang biasa, tetapi penghinaan dan cercaan serta hasutan sudah mula melibatkan penghinaan ke atas agama, bangsa, budaya, Raja-Raja Melayu, Yang di Pertuan Agong dan yang paling biadab sekali ialah bilamana Allah dan Rasulullah s.a.w. menjadi subjek penghinaan.
Dengan tertubuhnya PCIRC, semua penjenayah siber ini boleh diburu dengan cara yang lebih efisien. 

Terbaharu, Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri mula merasakan bahang kebiadaban pengguna-pengguna laman sosial.



Gelaran biadab mula dihalakan kepadanya apabila beliau mengarahkan PDRM mengambil tindakan ke atas sebuah organisasi haram tajaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Beliau dimaki dan dihina di alam siber.
Lantas, kewujudan PCIRC mula dirasakan perlu bilamana beliau sendiri yang mengarahkan Pusat Tindakbalas ini untuk menyiasat dan mencari mereka-mereka ini yang menghina jawatan Ketua Polis Negara.


Kita mengharap ketegasan dengan kepantasan serta arahan yang sama dapat beliau keluarkan ke atas pihak-pihak yang menghina Islam selama ini. Harap sensitiviti yang sama dirasakan Tan Sri IGP bila Islam menjadi mangsa penghinaan.











Kami berdiri teguh dibelakang Tan Sri selagi Perlembagaan, Prinsip-Prinsip Rukun Negara dan Undang-Undang kekal berdaulat di dalam negara. Jangan biarkan mereka-mereka yang biadap ini terlepas.

RM 400, Harga Maruah Negara Tercinta?

Jika ditanyakan, berapakah nilai harga pengorbanan harta, keringat, darah dan nyawa nenek moyang kita dalam membina sebuah ketamadunan Melayu Islam di Nusantara ini, melalui perit getir peperangan dan segala ancaman sejak ribuan tahun dahulu untuk memastikan tanahair ini kekal Islam, jawapannya saya berikan secara tepat, RM 400.00 SAHAJA.

Jika ditanyakan, berapakah nilai pengorbanan anak-anak peribumi tanah ini seperti Leftenan Adnan, Kanang Anak Langkau, ribuan anggota polis dan tentera, orang-orang awam yang berjuang dengan titisan keringat, darah, harta dan nyawa untuk membebaskan negara ini dari segala bentuk anasir yang ingin menjahanamkan sifat negara ini dari sifat asalnya, jawapannya secara tepat ialah, RM 400 SAHAJA.

Jika ditanyakan berapakah nilai pengorbanan pemimpin-pemimpin negara, warga-warga Malaysia yang setia dan berteguh menjunjung Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara dengan keringat, harta, darah dan nyawa, jawapan tepatnya ialah RM 400.00 SAHAJA.

Persoalannya, kenapa nilai himpunan semua pengorbanan ini begitu murah dan amat hina lagi dina sekali?

Kejadian sekumpulan pengkhianat imej dan maruah negara membuat sesi foto separtuh bogel di jalanan terbuka di Ipoh beberapa hari lepas membuka ruang kepada justifikasi jawapan harga maruah negara tersebut.

Dengan hanya menggunakan tindakan Tipping Point, mereka menghancurkan segala imej baik, cemerlang dan dibanggakan negara serta warganya selama ini. Pemimpin-pemimpin negara berpenat lelah, tidak cukup tidur dan rehat sepanjang siang dan malam untuk memastikan negara aman makmur dan terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara Islam modern, progresif, mencintai keamanan dan penuh tatasusila.

Apa itu tindakan Tipping Point?
Tipping Point ialah satu bentuk perbuatan atau tindakan yang kecil yang boleh memberikan satu perubahan kesan yang sangat besar dan penting.

Contoh terbaik Tipping Point ialah tindakan kedua-dua model biadab yang bertindak meludah Prinsip-Prinsip Asas Rukun Negara dengan perbuatanseparuh bogel mereka. Perbuatan mudah serta murah yang dilakukan mereka ini telah memberikan kesan yang sangat besar kepada imej negara sebagai sebuah negara Islam yang dihormati.

Negara mengambil masa yang lama untuk diangkat sebagai sebuah negara Islam yang dihormati di seluruh dunia. Bukan calang-calang pengorbanan yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara untuk mengangkat imej ini sehingga bila disebutkan Malaysia, ia akan segera diingati sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan moden.

Tetapi semua itu dapat dihancurkan dengan mudah. Puluhan tahun usaha dapat dihancurkan dengan hanya mengupah dua orang model berjalan secara separuh bogel di tengah-tengah bandar utama di dalam negara.

Apabila imej itu diviralkan, maka seluruh dunia akan terkejut melihat kebejatan sedemikian rupa boleh berlaku di dalam Malaysia, sebuah negara yang selama ini dipandang tinggi oleh negara-negara Islam di seluruh dunia. Dan ini bukanlah kali pertama Malaysia dikaitkan dengan budaya bogel di tempat awam dan tempat terbuka.

Terbaharu, kes model berkeliaran bebas melakukan sessi penggambaran dalam keadaan separuh bogel di jalan terbuka. Pada awalnya, pihak PDRM mengumumkan akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Apa itu Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336)?

Berikut pernyataannya:

 Insulting Behaviour

14. Any Person who uses any indecent, threatening, abusive or insulting words, or behave in a threatening or insulting manner or posts up or affixes or exhibits any indecent, threatening, abusive or insulting written paper or drawing with intent to provoke a breach of the peace is likely to be occasioned, shall be liable to a fine not exceeding one hundredth ringgit.

100 Ringgit denda untuk mencemarkan imej baik negara di mata dunia????

Nilai RM 100 pada tahun 1955 memanglah besar. Tahun 1955, satu troy ounce emas (lebih kurang 31.1 gram) bersamaan dengan USD 35.04. ia bermakna, 1 gram emas bersamaan dengan USD 1.13. Itu adalah zaman di mana harga sebungkus Koay Teow Goreng kurang dari lima sen. Denda seratus ringgit pada ketika itu amatlah besar bagi yang melakukan tindakan lucah dan kurang sopan dikhalayak ramai.

Tetapi, ini tahun 2014. Harga 1 gram emas dalam turun naiknya pada minggu lepas berada pada aras RM 124 satu gram.

Oleh kerana denda ini terlalu kecil, maka pihak pendakwaan terpaksa menyelongkar buku demi buku undang-undang untuk mendapatkan denda yang lebih setimpal dengan kesalahan yang dilakukan pasukan produksi model tersebut.

Hasilnya, pada 27 Ogos 2014, mereka didakwa di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan. Itulah sahaja yang termampu dilakukan oleh undang-undang kita yang sudah lama tidak disemak kembali untuk lebih sesuai dengan peredaran zaman. Undang-undang tidak salah. Yang salah ialah pihak yang harus menasihati AHli-Ahli Parlimen supaya membuat penambahbaikan undang-undang yang tidak menjalankan tugas dengan baik.

Hasilnya, kes model separuh bogel ini hanya mampu di dakwa di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan.

Apa itu Seksyen 268 dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan?

Berikut Pernyataannya :
268. Public Nuisance
(1) A person is guilty of a public nuisance, who does any act, or is guilty of an illegal omission, which causes any common injury, danger, or annoyance to the public, or to the people in general who dwell or occupy property to the vicinity, or which must necessarily cause injury, obstruction, danger, or annoyance to persons who may have occasion to use any public right.

290. Punishment for public nuisance
Whoever commits a public nuisance in any case not otherwise punishable by this Code, shall be punished with fine which may extend to four hundred ringgit.

Jelas, hukuman yang dikenakan ke atas kedua model yang telah mencemarkan imej negara tersebut adalah hukuman paling maksimum yang dikenakan.

Kacau ganggu kepada ketenteraman awam hanya biasanya melibatkan perasaan resah kepada kumpulan awam setempat yang terlibat sahaja. Tetapi perlakuan mereka ini, mencemarkan imej negara di mata dunia. Dalam era internet,  laman sosial dan dunia tanpa sempadan, berita ini sangat cepat tersebar ke seluruh dunia.

Satu persatu peristiwa bogel dan lucah sedang mewarnai landskap imej negara. Setakat ini hanya kes bogel di Teluk Kampi, Pulau Pinang menunjukkan pelakunya dikenakan hukuman yang bernada tegas.

Selepas ini, setelah mengetahui kos modelling dengan keadaan separuh telanjang di jalan-jalan terbuka hanya boleh didenda dengan harga RM 400, maka akan berpusu-pusulah syarikat produksi berlumba-lumba melakukannya. Malah, para model juga tidaklah terlalu risau dengan kerja-kerja separuh lucah mereka. Apa yang perlu ialah, memasukkan kos denda RM400 oleh Mahkamah di dalam sebutharga tugasan mereka.

Lebih malang lagi, kedua-dua model itu seakan diberikan publisiti murah untuk mengiklankan diri mereka di seluruh dunia hanya dengan kos RM 400. Tidak perlu bayar kepada pengiklanan dengan mana-mana agensi, tidak perlu mengupah perunding imej dan perunding promosi dengan bayaran mahal untuk mengiklankan khidmat mereka. Caranya mudah. Ikuti proses berikut;
1. Berjalan separuh telanjang di mana-mana bandar besar dalam negara
2. Pastikan ianya menjadi kontroversi dengan memviralkan perbuatan tersebut.
3. Tunggu Polis datang.
4. Tunggu Pendakwaan di Mahkamah.
5. Tidak perlu upah peguam, hanya perlu mengaku salah kerana denda maksimum ialah RM 400.
6. Tunggu wartawan Star dan Sin Chew Daily datang membuat promosi percuma dengan berita-berita mereka.
Tersenyum Lebar Selepas Mendapat Promosi Khidmat Percuma Dengan Hanya Mengeluarkan Kos RM 400. Maruah Negara Dipijak dan Dinajisi, Tetapi Mereka Masih Boleh Tersenyum Lebar. Apalah Sangat Dengan Maruah Negara. Harganya Cuma RM 400.
Mudahkan? Inilah harga maruah negara kita Malaysia. RM 400. Maruah negara dinajisi di depan mata kita semua hari ini kerana ada pihak yang bertanggungjawab dengan undang-undang sudah tidur terlalu lama.

Darah Perwira. Berapa Harganya? Cuma RM 400 SAHAJA.
Undang-undang tidak salah. Yang salah ialah orang yang bertanggungjawab menasihati menteri-menteri kabinet tentang keperluan menjalankan penambahbaikan kepada undang-undang sedia ada.


Lainlah, jika pihak-pihak ini masih terperangkap di dalam tahun 1955 di mana harga sebungkus Koay Teow Goreng, mungkin kurang dari Lima sen sebungkus.


Tolong Bangkit! dari lena yang panjang!!!

Bangkit!!!!!

Bertungkus Lumus Siang Dan Malam Menyelesaikan Isu Negara. Berapa Harga Maruah Pengorbanan Pemimpin Negara? RM 400 Sahaja.

Saturday, 30 August 2014

Perutusan Merdeka Pengerusi PEMBELA



BismiLLAHi ALLAHu akbar waliLLAHilhamd.

Mahasuci ALLAH yang telah mencipta kemenangan kepada Briged al-Qassam dan umat Islam seluruh dunia ke atas yahudi Israel  laknatuLLAH. Kemenangan yang sangat besar dan sangat bermakna kepada umat Islam Palestin dan kita semua, meskipun lebih dua ribu yang terpaksa berkorban nyawa serta menemui syahid dibunuh tentera yahudi dajjal laknatuLLAH.

Kegembiraan ini berlaku dalam bulan ini, bulan yang penuh bersejarah serta  mencatatkan terlalu banyak nostalgia pahit manis pejuang-pejuang Islam, bangsa dan tanah air ini.

31 Ogos diraikan setiap tahun sebagai tarikh ulang tahun pengisytiharan kemerdekaan Negara dari penjajahan kuasa asing. Tahun ini genap 57 tahun bumi bertuah kurniaan ALLAH yang maha Pemurah ini dikatakan merdeka.

Saya ingin menarik perhatian umat Islam khasnya umat Melayu kerana anda telah diamanahkan ALLAH swt untuk menjaga kedaulatan Islam di atas Tanah Melayu ini. Umum mengetahui bangsa- bangsa lain semuanya ada tanah mereka masing-masing dan tidak perlulah saya menyebutnya satu persatu. Apa  yang pentingnya adalah sejauh mana umat Melayu telah betul-betul memelihara amanah ALLAH itu. Sebagai pemegang amanah apakah umat Melayu memastikan kedaulatan Islam yang telah dibangunkan berabad lamanya  masih berdiri teguh berpaksikan al-Quran, hadith serta peruntukan yang tersemat dalam Perlembagaan Negara atau sebaliknya?

Artikel 3 (1) Perlembagaan Negara memperuntukan Islam adalah agama bagi persekutuan (tanah Melayu) ini. Namun apakah pengisian bagi artikel “keramat” ini telah benar-benar dilakukan sepanjang 57 tahun yang lalu? Apakah peluang-peluang berlandaskan peruntukan dalam artikel  ini dan sumpah jawatan Yang DiPertuan Agong dengan nama ALLAH (wallahi wabillahi watallahi) di dalam Artikel 37 untuk menjaga agama Islam pada setiap masa, telah dilaksanakan dengan kecintaan dan ketaqwaan kepada ALLAH yang maha Penyayang?

Ya, benar ‘di sini lahirnya sebuah cinta..’ tetapi tidaklah semata-mata cinta sesama bangsa atau rakyat jelata dan pemimpin malah kecintaan yang hakiki iaitu kecintaan kepada  ALLAH Tuan Empunya cinta serta Pencipta kepada perasaan cinta itu sendiri.

Saya sangat yakin bumi bertuah amanah ALLAH ini akan berjaya menjadi negara maju yang dihormati di mata dunia, jikalau umat Melayu meneruskan usaha dengan penuh kecintaan kepada ALLAH,  berpegang teguh dengan aqidah, syariat dan akhlak sebagai tonggak  kemajuan negara.

Kita juga mesti mengambil contoh Baginda Nabi saw yang mengasaskan negara Madinah di atas asas-asas penting yang di antaranya adalah perpaduan umat Islam. Maasya ALLAH, akhirnya Baginda Nabi saw telah berjaya  membina sebuah Negara dan tamadun yang sangat mantap juga kukuh di Madinah al-munawwarah kerana bersatu padunya umat Islam di bumi itu.

Perpaduan merupakan asas kekuatan  sesebuah negara Islam sehingga rakyat yang bukan Islam turut menghormati serta mentaati Baginda Nabi saw. Pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam di tanah ini mestilah mencontohinya. Kita mesti maju dengan acuan kita, acuan Nabi kita Muhammad saw, acuan Islam bukan acuan sekular liberal barat yang hanya membina laluan mudah untuk kedatangan Dajjal al-Masih, nauzubiLLAH.
ALLAHU AKBAR…

ALLAH masih meneruskan kasih dan cintaNYA terhadap Malaysia. Akhir-akhir ini, diuji pemimpin dan rakyat negara ini dengan musibah-musibah yang menggegarkan seluruh rakyat malah dunia turut merasakan gegarannya. Kejadian-kejadian yang dahulu kita hanya mendengarnya  berlaku di negara-negara lain namun kali ini ia benar-benar  berlaku ke atas Malaysia.

Sememangnya semua kepayahan atau kesengsaraan akan disusuli dengan kebaikan yang berlipat kali ganda namun ianya adalah satu muhasabah kepada bangsa 'pemegang amanah’ tanah ini agar 57 tahun yang berlalu tanpa gangguan dan campur tangan kuasa asing jangan dibiarkan berlalu sia-sia tanpa ada daya usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengisi Islam dalam ertikata yang sebaik-baiknya berteraskan aqidah, syariat dan akhlak mulia yang sempurna.

Bangkitlah wahai bangsa Melayu pemegang amanah tanah ini! Bersatu padulah! Bantulah Yang DiPertuan Agong  dan Raja-Raja Melayu melaksanakan sumpah mereka tarhadap ALLAH untuk menjaga Islam pada setiap masa.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan kali ke 57, semoga ALLAH Merahmati Malaysia.

“MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN ISLAM SEBAGAI AGAMA NEGARA”

Ya ALLAH Selamatkanlah Malaysia negeriku.

Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin
Pengerusi
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

Apa Kedudukan Indeks Syariah NUCC?

Satu usaha yang sangat murni dan baik telah dilancarkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak semalam. Negara Islam ini, di bawah pentadbiran Najib Tun Razak memperkenalkan inisiatif Indeks Syariah untuk mengukur dan menilai pencapaian Malaysia dalam melaksanakan tuntutan syarak melalui maqasid syariah dan bakal diguna pakai di negara ini bermula Januari 2015.

Kajian bakal dijalankan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM).

Pujian harus diberikan kepada Najib Tun Razak di atas kenyataannya yang menyatakan program itu amat dekat di hatinya sambil menjelaskan, indeks tersebut mengukur tahap keseriusan usaha Malaysia dalam mengimarahkan prinsip, nilai dan sistem Islam merentasi pelbagai sektor.

Tetapi kenyataan itu masih tidak cukup untuk diambil serius kerana masih ada penyakit-penyakit liberal dan dan bersifat bertentangan dengan prinsip Islam masih menjangkiti organ pentadbiran negara.

Malah, penubuhan sebuah Majlis tiada beban batu digalas yang cenderung memperjuangkan segala perkara yang bertentangan dengan prinsip-prinsip asas di dalam agama Islam turut diperjuangkan mereka.

Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN@NUCC) telah ditubuhkan atas inisiatif serta perlantikan Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak untuk mengkaji serta mencadangkan kepada pihak kerajaan satu bentuk rang undang-undang yang bakal digunakan bagi menggantikan Akta Hasutan 1948.

Malang sekali, Majlis ini bagai menghidapi satu bentuk rasukan dengan menjalankan tindak tanduk lebih sudu dari kuah dengan cuba memperkenalkan perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan serta Prinsip-Prinsip Asas Rukun Negara di dalam Rang Undang-Undang Harmoni yang cuba dicadangkan oleh mereka.

Rang Undang-Undang yang diperkenalkan oleh NUCC telah diubah namanya berkali-kali. Tetapi pengisiannya tetap mahu memaksakan hasrat bejat golongan ekstremis Islamufobia tempatan untuk memasukkan kehendak-kehendak mereka ke dalam undang-undang itu melalui pintu belakang.
Hasilnya, golongan murtad, tidak bertuhan, pengamal homoseksual, golongan LGBTIQ telah cuba diangkat sebagai golongan yang menjalankan hak mereka tanpa boleh didiskriminasikan. Ia jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam sebagai Agama Negara. Islam adalah Agama Negara ini. Ia jelas ditegaskan di dalam Artikel 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Dengan kewujudan Indeks Syariah yang bakal digunakan menjelang 2015 nanti, harapan kami ialah supaya Majlis-Majlis serta pertubuhan-pertubuhan seperti NUCC ini ditelitikan halatuju serta fungsi peranan kewujudan mereka kembali samada ia benar-benar patuh Indeks Syariah atau pun tidak.

Sekiranya NUCC ini gagal mematuhi Indeks Syariah yang bakal digunakan untuk mengukur tahap keseriusan usaha Malaysia dalam mengimarahkan prinsip, nilai dan sistem Islam merentasi pelbagai sektor, maka ada baiknya pihak-pihak yang mencadangkan kewujudannya, pihak-pihak yang terlibat dengan NUCC dan sebagainya dipertanggungjawabkan kerana gagal untuk mematuhi sesuatu yang ‘sangat dekat di hati Najib Tun Abd Razak.’ 1




Rujukan :


Thursday, 28 August 2014

Tahniah Menteri Pertahanan & Panglima Angkatan Tentera Atas Ketegasan

Rakyat Malaysia sudah lama ingin mendengar pernyataan tegas daripada pihak-pihak yang mempunyai kuasa dan dipertanggungjawabkan untuk memelihara sistem Raja Berpelembagaan ini daripada mendapat sebarang bentuk ancaman sama ada dari dalam atau pun dari luar negara.

Menteri Pertahanan, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein menyatakan seperti berikut :

"Pendirian kementerian saya dan Angkatan Tentera jelas, kita tidak kompromi malah dituntut untuk mempertahankan institusi Diraja. Institusi Diraja seperti agama dan apa sahaja perkara yang termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang negara merupakan tiang seri 'pillar of nation building' (tonggak pembinaan negara)." (1)

Panglima Angkatan Tentera Malaysia di dalam majlis yang sama menyatakan dengan tegas bahawa institusi diRaja merupakan institusi suci yang harus dipertahankan. Beliau kemudian menyatakan perkara berikut :

"Ini disebabkan Yang Di-Pertuan Agong merupakan pemerintah yang tertinggi dalam ATM manakala Raja-Raja Melayu pula merupakan kolonel-kolonel yang dipertua sama ada kor dalam tentera darat, laut dan udara.

"Semua warga ATM akan terus mempertahankan kesucian institusi Diraja sekiranya terdapat sebarang perbuatan mencela. Warga ATM tidak sesekali memandang ringan dengan segala tohmahan yang dilempar kepada Raja-Raja Melayu," katanya.


Rakyat Malaysia sudah lama menunggu serta merindui kenyataan-kenyataan tegas dari Rijal yang bertulang dan bersendikan keyakinan tanpa rasa takut.

Era umat Islam dipimpin himpunan bapuk-bapuk lembik harus berakhir serta merta!!!

Dan apabila Menteri Pertahanan membuat pernyataan tegas bahawa Kementerian Pertahanan bersama Panglima Angkatan Tentera Malaysia akan bangkit mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu termasuk semua institusi yang menjadi tonggak kepada sistem Raja-Raja Melayu termasuk umat Islam daripada pengkhianatan dan tindakan biadab, maka siapalah kami untuk tidak menyahutnya dengan sokongan pejal dan seratus peratus padu.

Cuma tuntutan kami, semoga kenyataan itu adalah satu puncak ketegasan yang akan kekal di dalam istiqomah.

Selagi Islam selamat dan berdaulat di dalam Perlembagaan dan Kiblat Kerajaan Persekutuan, maka selagi itulah sumpah setia akan umat Islam tumpahkan tanpa berbelah bahagi.



http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=1063618


Wednesday, 27 August 2014

Dr. Shamrahayu: Peranan Raja-Raja Melayu Berpaksi Perlembagaan Persekutuan

Teks pembentangan Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz, Pensyarah Kulliyyah Undang-undang Profesor Ahmad Ibrahim, UIAM, bertajuk Kedaulatan Islam Sebagai Agama Negara – Peranan Raja-Raja Melayu Berpaksi Perlembagaan Persekutuan, di Seminar Mendaulatkan Islam Agama Negara (SEMAIAN) Peringkat Nasionalyang telah berlangsung di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 5hb Januari 2013 anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM)





******************
Kedaulatan Islam Sebagai Agama Negara : Peranan Raja-Raja Melayu Berpaksikan Perlembagaan*

Shamrahayu A Aziz**


Pengenalan
Hubungan antara Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu (DYMM Raja-Raja Melayu) dan Agama Islam boleh dilihat menerusi Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan negeri. Hubungan tersebut merangkumi, antara lain, peranan yang perlu dimainkan oleh raja-raja berkenaan Islam. Sama ada dengan kapasiti sebagai Ketua Agama di negeri masing-masing atau bersama dengan Majlis Raja-Raja, raja-raja boleh memainkan peranan besar untuk mendaulatkan Islam sebagai agama negara atau agama negeri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan. Selain daripada itu sebagai simbol perpaduan, raja-raja juga boleh melaksanakan peranan untuk memartabatkan Islam. Kertas ini cuba mendalami peranan yang perlu dipenuhi oleh raja-raja bagi mendaulatkan agama Islam sebagai agama negara. Di samping mengetengahkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai peranan tersebut, kertas ini juga cuba memberi tafsiran berkenaan tujuan dan semangat Perlembagaan. Bagi memenuhi objektifnya kertas kerja ini saya cuba membawa kepada peserta seminar ringkasan sejarah berkenaan hubungan dan peranan raja-raja dan Islam, dari Alam Melayu sehingga peranan tersebut diisytiharkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sejarah Ringkas Pertalian dan Peranan Raja-Raja Melayu dan Islam
Hubungan antara Raja-Raja Melayu dan Islam dapat dilihat dengan jelas dalam lipatan sejarah Alam Melayu. Kita saksikan sejarah yang membuktikan pertalian antara Islam dan raja-raja bukan hanya satu tautan fizikal. Pertalian antara keduanya adalah tautan jiwa dan nurani yang menjadi begitu sinonim sehingga menjadikan Islam sebagai mandat yang hendaklah sentiasa dipenuhi tanggungjawabnya oleh raja-raja sepanjang tempoh takhtanya.
Kita maklum Alam Melayu begitu sinonim dengan agama Islam sehinggakan orang-orang Melayu dan Islam itu dianggap sebagai ganti antara satu sama lain; iaitu, yang dikatakan Islam itu adalah Melayu dan yang dikatakan Melayu itu Islam. Walaupun ini tidak semestinya benar, kerana Islam itu bukanlah terbatas kepada Melayu, tetapi oleh kerana hubungan antara keduanya adalah hubungan simbiotik, maka itulah pemahaman dan penerimaan masyarakat Melayu berkenaan Islam sehinggalah Melayu hendaklah sentiasa beragama Islam sebagaimana diisytiharkan dalam Perlembagaan (160(2)). Malah keputusan mahkamah juga berkata begitu (Azlina Jailani – Mahkamah Tinggi)
Atas peranan yang telah dimainkan oleh institusi raja berkenaan Islam, maka Islam berkembang di Alam Melayu bukan sahaja sebagai satu kepercayaan atau agama semata-mata. Raja-Raja telah menjadikan Islam berkembang dengan gemilang di Alam Melayu sebagai satu cara hidup yang mewarnai dan mencorak kehidupan serta budaya masyarakat. Penerimaan Islam sebagai cara hidup dan pemakaian sistem politiknya menerusi pemerintahan Raja-Raja Melayu menjadikan Alam Melayu ini sebuah tamadun yang makmur dan gemilang. Institusi raja telah memainkan peranan penting serta menjadi tunggak kepada pengembangan dan kegemilangan Islam di Alam Melayu.
Peranan raja sentiasa menjadi tumpuan dalam proses keIslaman di Alam Melayu. Kelihatan dengan jelas kesan dan pengaruh keislaman raja yang memeluk Islam ke atas rakyatnya. Setelah seorang raja memeluk Islam maka rakyatnya juga mentaati Islam. Pengislaman raja menjadi titik tolak kepada pengembangan Islam di Alam Melayu.
Mengenai Islam dan raja di Tanah Melayu, kewibawaan Raja-Raja Melayu berkaitan Islam telah membawa kegemilangan kepada Tanah Melayu dan menjadikan Tanah Melayu sebagai pusat perdagangan yang masyhur. Raja adalah sumber kestabilan dan kemakmuran negara dan merupakan contoh tauladan – menjadikan kedudukan raja sungguh tinggi sehinggakan setiap kata-katanya adalah undang-undang. Kalau bukan dengan kesungguhan raja, tidaklah Islam begitu tersebar di Alam Melayu dan seterusnya menjadi masyhur dan sebati di Tanah Melayu, termasuklah Empayar Melaka serta kesultanan sebelum dan selepasnya, seperti Kesultanan Terengganu, Kedah dan Perak. Malah dalam konteks undang-undang kesultanan-kesultanan ini mempunyai senarai undang-undang Islam yang bukan sedikit.
Dalam keadaan itu, bukan tiada cabaran atau rintangan yang dihadapi raja-raja dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup dan asas pemerintahan serta perundangan. Cabaran itu bukan pula sedikit. Raja-raja melalui cabaran dari sudut penyesuaian budaya. Perubahan daripada satu corak kehidupan kepada sesuatu yang berlainan menjadikan ia satu kejutan budaya dan ia bukan satu yang mudah.
Raja-raja juga menghadapi cabaran dalam mengubah kefahaman Hindu yang agak mendalam di kalangan masyarakat Alam Melayu termasuk juga Tanah Melayu. Begitu juga dengan cabaran yang datang daripada kuasa adat. Apabila disebut adat maka dengan sendirinya difahami bahawa ia merupakan sesuatu yang begitu tertanam dan membumi dalam masyarakat. Adat ialah amalan yang telah sekian lama mendapat tempat yang sangat selesa dalam budaya Alam Melayu sebelum kedatangan Islam. Maka secara resamnya, mengubah sesuatu yang telah menjadi amalan yang membumi itu bukan sesuatu yang mudah. Di sinilah juga peranan raja-raja menjadi terserlah.
Setelah Islam berjaya dijadikan sumber kepada cara hidup dan pemerintahan, cabaran seterusnya yang telah dihadapi Raja-Raja Melayu ialah pengaruh kuasa atau penjajah Barat di Alam Melayu. Kuasa Barat tidak datang ke ruang Alam Melayu dan Tanah Melayu ini dengan tangan kosong. Mereka membawa pengaruh bukan sahaja imperialisme fizikal tetapi juga sarat dengan misi keagamaan. Dengan misi dan pendekatan yang berkesan pengaruh penjajah Barat dalam hal keagamaan itu juga bukan calang-calang hebatnya di kalangan masyarakat Melayu. Ini menjadi cabaran yang besar kepada raja-raja. Kedatangan kuasa Barat yang membawa bersamanya ajaran Kristian dan undang-undang sekular dilihat sebagai mencabar kedudukan Islam dan undang-undangnya yang telah lebih seabad bertapak di Tanah Melayu. Fakta sejarah perundangan menyaksikan, terutamanya ketika pemerintahan British, undang-undang dari England telah diperkenalkan secara tidak langsung menerusi hakim-hakim Inggeris yang membuat keputusan berdasarkan undang-undang dan kefahaman mereka. Seterusnya British memperkenalkan undang-undang mereka secara formal dengan pengenalan Piagam-Piagam Keadilan. Kita mengambil perhatian juga bahawa Hakim Inggeris mengiktiraf kedudukan undang-undang Islam sebagai undang-undang yang tidak asing walaupun niat pengiktirafan ini boleh dipersoal. Walaupun ada yang menafikan kesan Piagam Keadilan terhadap perundangan negara, hakikatnya ialah Piagam tersebut telah memberi ruang yang lebih luas kepada hakim-hakim untuk merujuk kepada undang-undang Inggeris. Kewibawaan raja-raja mengekalkan kedudukan Islam di bawah naungan baginda sehingga kedudukan Islam itu kekal dan diiktiraf walaupun kedatangan Barat itu membawa ajaran Kristian dan juga undang-undang sekular yang begitu dominan.
Dengan kedatangan kuasa Barat, peranan dan sumbangan institusi raja bukan sedikit demi kelangsungan Islam walaupun dalam keterbatasan ketenteraan jika dibandingkan dengan kuasa Barat.[1] Raja-raja telah membuktikan kebolehan diplomasi sehingga institusi raja itu sendiri dapat dikekal dan agama Islam berjaya dipertahan walaupun beberapa negara beraja lain telah hilang sistem beraja bahkan agama yang berada di bawah naungan raja telah hilang daripada ruang perundangan. Di India contohnya, bukan sahaja sistem beraja yang hilang tetapi juga agama yang begitu berpengaruh juga telah dikeluarkan daripada perundangan sehingga Perlembagaan India yang merdeka mengisytiharkan negara tersebut sebagai sebuah negara sekular – sedangkan kita tahu agama Hindu begitu sebati dengan negara India sebelum penjajahan Barat – bahkan sehingga kini.
Ketika dalam proses kemerdekaan, cabaran besar datang kepada kedudukan agama Islam dengan berkembangnya pengaruh komunisme. Fahaman komunisme ini juga menjadi kebimbangan dan juga boleh dianggap sebagai cabaran yang telah dihadapi oleh raja-raja berkenaan peranan mempertahan dan memartabatkan agama Islam.
Cabaran atau rintangan yang telah disebut di atas telah mencabar kebijaksanaan raja-raja bagi menjaga dan mempertahankan agama Islam. Walaupun dalam liku dan rimbunan onak duri yang tebal telah ditempuhi itu, Islam tetap selamat di bawah naungan dan payung baginda.
Semangat juang yang tinggi serta sifat peribadi terpuji raja-raja telah berjaya mengharungi semua cabaran itu. Sifat warak dan keilmuan serta keperibadian raja telah menjadikan Kesultanan Melayu (Melaka, sebagai contoh, atau lama sebelum itu, Pasai) sebagai pusat keilmuan, pusat perdagangan dan kegemilangan Islam. Begitu juga contoh yang didapati pada Kesultanan Acheh, Kesultanan Brunei, Kesultanan Sulu, Riau, Palembang dan beberapa kesultanan di Alam Melayu yang lain.[2] Ketokohan, kewibawaan dan keperibadian seorang raja yang memerintah diserasikan dengan unsur kudus, luhur dan suci. Jika sebelum Islam sifat-sifat ini dikaitkan dengan dewa dan kepercayaan lain tetapi setelah kedatangan Islam, sifat-sifat ini dikaitkan dengan Allah dan RasulNya serta para anbia dan wali-wali Allah. Percaya atau tidak sehingga kini kita mempunyai penulisan yang mengaitkan Raja-Raja dengan keturunan Rasulullah terus dari Mekah.
“dan jangan kamu sekalian lupa pada berbuat kebaktian kepada raja kamu. Oleh itu kata hukama, adalah raja yang adil itu dengan Nabi Sallahahu-‘alaihi wasallam umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagipun raja itu umpama ganti Allah dalam dunia, kerana ia zulilahi-fi’l-‘alam; apabila berbuat kebaktian kepada raja seperti berbuat kebaktian kepada Allah Subhanahu-wa-Taala. Yakni berbuat kebaikan kamu akan Allah dan Rasul-Nya dan akan raja… hendaklah janganlah kamu lupai, supaya kebesaran dunia akhiratkamu perolehi”[3]
Di sinilah juga lahir konsep ‘kedaulatan’ raja. Ini bagi memberikan keyakinan kepada rakyat akan karisma pimpinan raja tersebut. Konsep ‘daulat’ raja dalam hubungannya dengan Islam boleh dikiaskan dengan keupayaan raja mendapat kepercayaan rakyat dalam mentadbir dan melaksana urusan Islam – sebagai lambang dan unsur sisiopolitik tradisi Islam yang istimewa sebagai tokoh yang berdaulat terhadap rakyat. Dengan prinsip Islam, konsep kedaulatan dikaitkan dengan keimanan, ketakwaan, keunggulan peribadi, keluhuran budi, dan pencapaian rohaniyah. Di sinilah letaknya juga peranan ulamak dalam memberi panduan menasihati dan memperingati raja-raja. Karisma mengenai Islam dan daya kepimpinan untuk Islam akan menjadikan seorang raja itu mampu mengekalkan daulat dan memikat rakyat kepada Islam.
Dalam keadaan kedaulatan raja ketika ini merujuk kepada Perlembagaan, ia amat jauh berbeza dengan kedaulatan raja terdahulu yang dikaitkan dengan karisma, kebolehan peribadi dan kewibawaan batang tubuh raja tadi. Bagaimana pun, dalam sistem berperlembagaan, walaupun kedudukan dan peranan raja berkaitan Islam jelas terpahat, ia bukan sesuatu yang tersendiri dan terpisah daripada keperibadian raja bagi memikat rakyat kepada Islam dan memartabatkan Islam. Ini kerana Islam itu harus diperlihat dan diperaku melalui keperibadian dan apa yang dimasyhurkan dalam Perlembagaan itu adalah bagi memudahkan institusi raja memainkan peranan mendaulatkan Islam.
Dalam proses kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan, raja-raja agak keberatan untuk meletakkan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun Suruhanjaya Reid menganggap raja-raja mempunyai reaksi negatif terhadap cadangan itu, Suruhanjaya tidak meletakkan alasan yang telah diutarakan oleh raja-raja. Dalam nota ‘perbicaraan’ ketika pertemuan antara wakil raja Melayu dan ahli Suruhanjaya, raja-raja menyatakan ketidaksediaan mereka itu berpunca daripada perbincangan mengenai sama ada perlembagaan yang dirancang itu patut memberi hak kepada Melayu untuk menukar agamanya dalam konteks kebebasan. Ketika berbicara tentang pertukaran agama, raja-raja memikirkan lebih baik untuk Islam dikekalkan sebagai urusan negeri-negeri.[4]Oleh itu pernyataan Suruhanjaya Reid berkenaan pandangan raja-raja berkenaan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan tidak disertakan dengan keterangan menyeluruh.

Islam dalam Perlembagaan secara ringkas
Hakikat yang dapat kita lihat secara harfiah dalam Perlembagaan ialah Islam berada pada tempat yang sangat selesa dalam sistem perundangan negara. Kedaulatan Islam beriringan dengan kedaulatan Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan, sebagai sebuah perlembagaan bertulis mengisytiharkannya sebagai undang-undang tertinggi negara melalui per. 4(1). Perlembagaan juga mengisytiharkan Islam sebagai agama bagi negara dengan memaktubkan per. 3. Selain daripada per. 3 ini, terdapat beberapa peruntukan lain yang meletakkan Islam pada tempat yang tinggi dan berbeza daripada agama lain. Perkara-perkara lain itu termasuklah per. 12(2), 11(4) dan 150(6A) sert sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong berkaitan Islam. Kita juga telah melihat kedudukan Islam yang berbeza jika dibandingkan dengan agama lain sebagaimana dihujahkan oleh mahkamah dalam beberapa kes seperti Meor AtiqulrahmanKamariah Ali, Azlina Jailani dan terbaru, kes Fathul Bari walaupun agak berbeza dengan pendekatan tafsiran yang dibuat dalam kes Che Omar Che Soh 
Bagi kepentingan munasabah kaum lain, Perlembagaan membenarkan bukan penganut Islam untuk mempunyai kebebasan beragama. Namun, raja-raja telah memainkan peranan penting ketika penggubalan Perlembagaan dengan memberikan peringatan kepada Suruhanjaya Reid supaya kebebasan beragama itu tidak merangkum kebebasan untuk menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam atau menyebabkan orang yang beragama Islam menukar agama. Dalam kata-kata peguam yang mewakili raja-raja:
“The position is this in practice. Supposing a teaching order, in a broad sense, wants to establish an educational establishment in the stats – well, no difficulty in the past has been put for practical reasons in the way of their doing so, and they are encouraged by grants of land to come and do it but the understanding is that you must not try and convert Muslims. With all the others you can do what you like.”[5]

Peranan Raja-Raja Mengenai Islam Berpaksikan Perlembagaan
Kalau dahulu, sebelum Perlembagaan digubal, keselamatan, kemakmuran dan keamanan negara dikaitkan dengan pemerintahan raja yang adil dan tuah raja, perkara ini tidak jauh berbeza walaupun dengan adanya Perlembagaan bertulis. Walaupun negara menerima sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, kita tidak meninggalkan insitusi raja. Kita masih mengekalkan sistem beraja walaupun telah ditukar kepada ‘raja berperlembagaan’. Selain daripada mengekalkan institusi raja, kita bahkan dari satu sudut, kita telah mengukuhkan institusi raja tersebut. Hal ini dapat dilihat bilamana kita menambah bilangan takhta dan memperaku pembentukan dan peranan Majlis Raja-Raja dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagi membincangkan peranan mendaulatkan Islam sebagai Agama bagi Negara, beberapa konsep dan peruntukan berkaitan kedudukan, kuasa dan tanggungjawab yang boleh dimainkan oleh DYMM Raja-Raja Melayu cuba diketengahkan dalam perbincangan di bawah.

Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan
Frasa ‘Raja Berperlembagaan’ tidak asing dalam kebanyakan sistem monarki yang diamalkan dalam dunia demokrasi hari ini. Frasa ini boleh diertikan sebagai menolak sistem feudal dan juga pemerintahan berdasarkan kehendak raja secara mutlak. Dengan kata lain, frasa ‘Raja Berperlembagaan’ juga melambangkan institusi raja bukanlah sistem feudal yang membolehkan raja bertindak sesuka hati tanpa sebarang kawalan atau tanpa sekatan. Dalam sistem raja berperlembagaan ini raja harus bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan yang telah menutup ruang kepada kuasa mutlak.
Menerusi sistem raja berperlembagaan sebagaimana dimaktubkan Perlembagaan Persekutuan, DYMM Raja-Raja bagi negeri-negeri hendaklah bertindak atas nasihat Majlis Eksekutif yang diketuai oleh Menteri Besar, manakala di peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri dalam semua perkara kecuali dalam beberapa perkara yang disebut sebagai kuasa budi bicara.
Sebagaimana difahami daripada sejarah dan penerimaan prinsip raja sebagai Ketua Agama, kuasa, peranan dan tanggungjawab berkaitan hal-ehwal agama Islam serta adat istiadat Melayu sepenuhnya berada di bawah ruang lingkup budibicara DYMM Raja-Raja. Walaupun tidak dikelaskan begitu dalam per. 40 (peruntukan berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak atas nasihat) sebagai sebahagian daripada kuasa budi bicara, semangat Perlembagaan hendaklah diambil perhatian. Semangat Perlembagaan dalam konteks ini ialah, DYMM Raja-Raja Melayu merupakan Ketua Agama bagi negeri-negeri dan agama Islam adalah urusan negeri-negeri serta menurut tradisi dan warisan sejarah, Raja-Raja Melayu berkuasa penuh ke atas agama Islam. Kesannya di sini, dalam hal urusan berkaitan agama Islam dan adat resam atau adat istiadat Melayu, DYMM Raja-Raja tidak tertakluk kepada nasihat Jemaah Menteri. Seperti juga semasa pemerintahan Inggeris, raja-rajalah juga yang menggenggam kuasa berkaitan Islam. Islam (dan adat istiadat Melayu) kekal dalam kekuasaan dan budibicara baginda.
Kesan daripada itu, sebarang tindakan atau apa juga perkara berkenaan agama Islam dan Melayu hendaklah diurus dan diselenggara menurut kehendak Raja-Raja (berdasarkan nasihat-nasihat Mufti atau institusi lain yang diberikan tanggungjawab memberi nasihat dalam hal berkenaan agama Islam. Menerusi konsep raja berperlembagaan inilah juga raja-raja Melayu boleh melaksanakan peranan untuk mendaulatkan Islam sebagai agama bagi negara kerana kuasa Raja berkaitan agama Islam adalah konklusif. Sekiranya tidak, baginda tidak akan dapat memelihara Islam sebagaimana dimaksudkan di dalam sumpah jawatan (yang akan dibincangkan dibawah). Keadaan ini memberikan Raja satu posisi selesa sebagai Ketua Agama dan melaksanakan peranan mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara.
Oleh itu, konsep raja berperlembagaan ini tidak boleh dijadikan sekatan kepada DYMM Raja-Raja Melayu untuk memartabatkan Islam sebagai Agama Negara.

Raja-Raja Melayu Sebagai Ketua Agama
Perlembagaan Persekutuan mengekalkan raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama di negeri-negeri Melayu yang sembilan itu. Bahkan bagi negeri-negeri lain yang tidak mempunyai raja Perlembagaan Persekutuan menyatakan supaya dimasukkan ke dalam Perlembagaan negeri itu peruntukan bagi meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing (per. 3(3)). Melalui Perlembagaan Persekutuan juga Yang di-Pertuan Agong dijadikan Ketua Agama bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan (per. 3(5)).
Walaupun istilah ‘Ketua Agama’ ini agak baharu iaitu dalam tradisi kepimpinan berkaitan agama Islam, tetapi ia menggambarkan tentang kekuasaan dan tanggungjawab raja-raja terhadap Islam. Kedudukan sebagai ‘Ketua Agama’ tidak bersifat ‘ceremonial’. Terkandung di dalam kedudukan itu tanggungjawab yang besar. Istilah ‘ketua’ sebagaimana maksud literalnya ialah pemimpin yang mengepalai dan bertanggungan. Lahir daripada pengertian dan maksud literal perkataan ‘ketua’ itu, maka kedudukan ‘Ketua Agama Islam’ itu bermaksud seorang pemimpin yang bertanggungjawab untuk mempastikan agama Islam sentiasa terpelihara dan dihormati.
Perlembagaan bagaimana pun tidak memperincikan cara atau mekanisme yang perlu diikuti atau dipatuhi oleh Ketua Agama untuk menjadikan agama Islam itu agama yang terpelihara dan dihormati.
Kedudukan DYMM Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama tidaklah disebut perinciannya dalam Perlembagaan, kecuali apa yang dinyatakan peranannya dalam per. 38(6)(d) iaitu peruntukan berkaitan kuasa budi bicara Majlis Raja-Raja dalam “mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh.” Walaupun begitu kedudukan sebagai Ketua Agama itu difahami sebagai merangkum kuasa berkaitan perundangan dan pelaksanaan, termasuk pentadbiran, serta mungkin tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, berkaitan kehakiman juga.
Peranan DYMM Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama telah diambil perhatian oleh undang-undang berkaitan Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri.
Kedudukan sebagai Ketua Agama Islam tidak boleh dipandang sebelah mata. Bukan sahaja kerana ia satu tradisi yang telah menjadi amalan, tetapi juga kerana ia merangkumi hak, kuasa dan tanggungjawab yang diberikan oleh Perlembagaan, undang-undang tertinggi negara. Oleh itu pengiktirafan Perlembagaan tersebut seharusnya mempunyai kesan tertentu. Ia tidak harus dianggap sebagai sesuatu yang sia-sia. Hak, kuasa dan tanggungjawab tersebut mempunyai nafas dan hidup. Ia harus menjadi rujukan dan diterima dalam mendepani isu-isu berkaitan agama Islam.
Dari perpektif lain, keadaan sekitar atau orang sekeliling juga hendaklah sentiasa menghormati Ketua Agama. Sebagai Ketua Agama yang diiktiraf kuasa dan peranan Perlembagaan perlu diberikan ruang untuk didengar dan dipatuhi dalam apa jua keadaaan yang melibatkan agama Islam. Agak mustahil bagi seorang ketua, termasuk Ketua Agama, untuk melaksanakan tanggungjawab atau peranan sekiranya keadaan sekitar tidak kondusif untuk pelaksanaan tersebut.
Oleh itu, dalam konteks ini dalam apa juga keadaan, menerusi apa juga cara, Ketua Agama berperanan untuk meletakkan kedudukan agama Islam dalam keadaan selamat dan terpelihara serta dogma-dogma dan amalan-amalan agama, termasuk perundangannya dihormati dan ambil kira dalam apa jua keadaan.

Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong
Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong yang diperturun di dalam Jadual 4 Perlembagaan meletakkan tanggungjawab perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga dan mempertahankan kedudukan Islam, walaupun baginda secara harfiah bukanlah Ketua Agama Islam bagi keseluruhan Persekutuan. (“…Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam” – petikan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong). Oleh itu titah baginda Yang di-Pertuan Agong perlu didokong dalam isu berkaitan agama Islam. Sekiranya tidak, jawatan Ketua Agama Islam dan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong tersebut hanyalah peruntukan Perlembagaan yang sia-sia. Ini tidak harus terjadi kerana Perlembagaan bukan dokumen yang sia-sia dan kaku. Seluruh peruntukan perlembagaan mempunyai firasat dan nafas tertentu, dan ia tidak diwujudkan dalam kekosongan.
Memberi perlindungan kepada pendakwah dan sarjana Islam, bergaul rapat dengan pemikir Islam mewujudkan lunas-lunas positif dalam penerapan keilmuan Islam dan seterusnya penumbuhan peradaban Islam.
Dalam sumpah jawatan itu juga Yang di-Pertuan Agong hendaklah membina pentadbiran yang adil. Sifat adil adalah kunci kepada segala perkara dan sifat inilah juga yang boleh dijadikan ruang untuk memjalankan peranan mendaulatkan Islam.

Peranan Raja disokong Undang-Undang Jenayah Syariah
Dalam konteks undang-undang jenayah Syariah di Malaysia, mengingkari titah raja dalam urusan agama Islam adalah satu perbuatan jenayah. Titah Raja mengenai Islam bukan merupakan omongan kosong yang boleh diabaikan. Ia adalah titah yang mempunyai sanksi Perlembagaan. Dalam konteks ini, titah Raja merupakan nasihat yang perlu diperakui dan dituruti. Dengan mempunyai kekuatan ini, raja-raja boleh menjalankan peranan mendaulatkan Islam dengan lebih semurna.
Pengembangan Agama Bukan Islam
Kita telah dekati pernyataan peguam mewakili raja-raja dalam proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Setelah berjaya meletakkan sekatan kepada kebebasan beragama sebagaimana peruntukan per. 11(4) dan juga senarai negeri, maka adalah menjadi peranan raja-raja yang memerintah pada ketika ini supaya pengembangan agama bukan Islam bukan sahaja dapat dibendung, tetapi juga disekat sepenuhnya. Maka dalam merealisasikan kedudukan Islam sebagai agama negara, maka cubaan memurtadkan orang Islam dalam gerakan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam perlu diambil perhatian sebaik mungkin oleh raja.
Kita maklum juga banyak negeri telah meluluskan undang-undang bagi mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam dan ini boleh membantu raja dalam melaksanakan peranan ini.


Rakyat dan Raja
Karisma raja tidak akan berkesan tanpa sokongan rakyat, terutamanya barisan pemerintahan dan pentadbiran. Dengan kata lain, peranan mempertahan dan mendaulat Islam sebagai agama negara tidak tersekat kepada raja-raja sahaja. Rakyat juga hendaklah menjaga dan membina kemantapan Islam sebagai agama negara. Atas tradisi, peranan dalam pemerintahan dikongsi antara pembesar rakyat dan raja. Kadi dan fakih berada bersama dalam pentadbiran dan setara dengan pembesar utama. Sebagai contoh, ini jelas dalam sejarah Melaka, Kelantan dan negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Keadilan mungkin tidak akan dicapai jika merujuk kepada raja yang memerintah sahaja. Pimpinan rakyat hendaklah membantu raja dalam mengendalikan pemerintahan yang adil. Dalam konteks ini para Mufti dan Majlis Penasihat raja-raja bagi negeri hendaklah menjalankan tanggungjawab dan peranan mereka supaya raja juga dapat melaksanakan peranan dengan sebaik mungkin. Konsep musyawarah merupakan kunci kepada pemerintahan yang adil. Peranan alim ulamak yang berada disekitar raja-raja juga tidak boleh diketepikan. Mereka inilah juga yang dapat menjadikan raja itu sebagai raja yang berwibawa.
Penutup
Peranan institusi raja adalah penggerak utama dalam pelaksanaan hukum Islam dan kedaulatan Islam sebagai agama negara. Dengan pengiktirafan telah sekian lama, sudah tiba masanya bagi DYMM Raja-Raja merealisasikan kedudukan baginda sebagai Ketua Agama. Bagi merealisasikan peranan ini keseluruhan kerangka Perlembagaan dan pentadbiran Islam hendaklah diberikan nyawa.  Untuk keharmonian negara, Ketua Agama harus dilihat dalam konteks Malaysia, dan sudah tiba masanya untuk Malaysia membentuk konvensyen perlembagaan yang tersendiri, terutamanya mengenai kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan kedudukan Raja sebagai Ketua Agama. Malaysia harus melihat kepada salasilah dan nilai tempatan, dan seterusnya membina tamadun perlembagaan yang tersendiri. Raja harus meletakkan satu penanda aras dalam menentukan hala tuju dan kedudukan Islam di negara ini. Kesungguhan raja-raja pada awal kedatangan Islam ke Alam Melayu dan Tanah Melayu hendaklah menjadi taudalan kepada raja-raja semasa dalam mendaulatkan Islam sebagai agama negara. Sebagai contoh, usaha yang begitu gigih selepas pemelukan agama Islam hendaklah dijadikan inspirasi raja-raja Melayu.
Raja-raja bukan sahaja Ketua Agama yang menaungi Islam agama negara, tetapi harus menjadi perancang, penyusun, penggerak dan seterusnya pelaksana kepada Islam serta hukum hakamnya dan seterusnya berjaya membawa Islam ke arah kesejahteraan dan kesejagatan.

*Kertas yang dibentangkan sempena Seminar Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara, anjuran MUAFAKAT, pada 5 Jan 2013 di Pusat Islam Kuala Lumpur
**Profesor Madya (Dr) di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau boleh dihubungi melalui emelshamrahayu@gmail.com
[1] walaupun kita tidak dapat menafikan ada di kalangan raja yang leka dan terpedaya.
[2] Auni Abdullah (1991), Islam dalam Sejarah Politik dan Pemerintahan di Alam Melayu, Kuala Lumpur: Nurin Enterprise, 36 – 48
[3] W.G. Shellabear, sebagaimana dipetik Muhammad Yusoff Hashim (1989),Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 156 – 157
[4] CO 889/8 XC22193 – Public Record Office(London) Hearing of Counsel on behalf of Their Highnesses the Rulers held in Executive Counsel Chamber, Maxwell Road, Kuala Lumpur pada Jumaat dan Sabtu, 14 dan 15 September 1956, h. 104 (92)

Tuesday, 26 August 2014

Kelucahan dan Kebiadaban Tumbuh Bagai Cendawan Lepas Hujan

Tidak pelikkah apabila terdapat satu segmen masyarakat di dalam Malaysia ini semakin galak mencabar satu persatu perkara mengenai Kesopanan dan Kesusilaan yang telah lama disepakati selama ini?

Lepas satu, muncul satu lagi kebiadaban. Seolah-olah sistem pendidikan awal yang dilalui mereka-mereka ini gagal mendidik mereka tentang budaya hormat kepada negara. Kenapa sistem pendidikan moral dan tatasusila mereka berbeza dan kelihatan semakin melahirkan produk-produk yang terbentuk untuk menjadi watak-watak antagonis kepada sistem sedia ada?

Muncul golongan militan sosial dengan senjata telanjang, kebiadaban, tuntutan-tuntutan tidak masuk akal, kelucahan melampau, bersenggama bagai binatang dan berlisan lancang tetapi terasuk kebodohan.

Dari mana asal mereka ini? Dari hutan? Atau dari peradaban yang sudah biasa melepaskan hajat di tepi-tepi jalan untuk dipertontonkan kepada orang ramai. Bagi golongan ini, apa yang penting, hajat mereka mesti ditunaikan segera. Di mana sahaja. Tidak kira masa. Tidak kira tempat. Jika timbul keinginan untuk berhajat, maka harus sahaja hajat itu dilepaskan di mana sahaja. Janji diri mereka puas. Jika tidak, jiwa mereka tentu sahaja menggerutu senak dengan hajat yang ditangguh-tangguh.

Menggunakan senjata hak asasi, maka apa sahaja hajat yang mahu dilepaskan, dilepaskan mereka tanpa malu di hadapan khalayak ramai. Lihat sahaja kebiadaban-kebiadaban bertali arus ini. Ia tidak pernah putus kerana yang mampu memutuskannya tidak berfungsi seperti biasa. Sedar dalam lena. Lena dalam sedar. 

Jika berhajat ingin berbogel, mereka terus berbogel tanpa mempedulikan undang-undang. Jika berhajat mahu berjalan separuh bogel di tengah-tengah bandar, mereka terus melepaskan hajat tersebut tanpa mempedulikan undang-undang. Jika mahu memaki hamun Sultan dan Raja-Raja Melayu, mereka terus melepaskan hajat tersebut di media-media sosial.



Budaya melepaskan hajat tanpa mengira tempat, waktu, keadaan, peraturan dan sebagainya ini tentu mempunyai akar kepada pembudayaan doktrin pemikiran mereka. Semuanya mempunyai punca. Persoalannya ialah, kenapa sejak hampir sedekad lalu, budaya melepaskan hajat secara biadab seperti ini tumbuh bagai cendawan muncul selepas hujan?

Negara punya undang-undang, tetapi pelaksanaannya terlalu menghampakan. Teras keberanian mereka dapat dicongak dengan mudah. Kebiadaban ini dibaja dengan sikap sambil lewa serta tidak bertegas dengan undang-undang sedia ada yang wujud.

Mereka sudah mula mentafsirkan bahawa diri mereka kini lebih kebal dari segala undang-undang yang ada. Kerana itulah, semua prinsip-prinsip Rukun Negara dilanggar mereka dan dilenyek mereka dengan menggunakan steamroll ego dan besar kepala mereka. Pada mata fikir mereka, mereka punyai wang dan wang boleh membeli apa sahaja.

Peruntukan serta cetakan undang-undang pada kertas di dalam kitab-kitab undang-undang negara bernilai lebih rendah dari apa jua bentuk kertas, tisu, daun atau objek kesat yang boleh digunakan untuk mencuci segala lepasan hajat mereka.

Mungkinkah dengan segala kemungkinan yang wujud ini, maka Parlimen perlu bersidang, berbahas serta perlu memasukkan tambahan perkara kepada Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk umur wajib pencen Peguam Negara?

Seolah-olah keadaan di dalam negara sudah berubah menjadi seperti Wild Wild Far East.

Jika keadaan ini berterusan, maka sesuailah, bukankah ketua eksekutif negara juga senang dan senggang menjadi Sang Ah Jib Gor?


Keistimewaan Melayu adalah hak






Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak istimewa orang-orang Melayu. Ia hendaklah ditafsir menurut sejarah dan falsafah yang ada di sebalik kewujudannya. Ini kerana peruntukan itu wujud dengan nilai, sejarah dan falsafah yang tertentu. Mungkin ada pembaca yang tidak bersetuju dengan apa yang saya katakan ini. Mereka mungkin berkata, perubahan masa dan keadaan menuntut perubahan kepada budaya, keadaan sosial dan falsafah Perlembagaan negara. Walau apa pun, saya amat yakin bahawa majoriti masyarakat Melayu menganggap keistimewaan ini sebagai hak dan mereka inginkan nilai, sejarah dan falsafah kewujudan Perkara 153 diambil kira dalam membuat tafsirannya.

Amat menyedihkan apabila orang Melayu yang mendapat manfaat daripada Perkara 153 sendiri telah mentafsir peruntukan ini dengan menafikan "hak" orang Melayu. Atas apa alasan sekalipun ulasan atau tafsiran terhadap Perkara 153 dibuat, ia amat tidak adil kepada orang Melayu.

Hakikatnya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi asas kepada kedudukan istimewa orang Melayu telah dikategorikan sebagai perkara sensitif. Mempersoalkan kedudukannya sehingga mencadangkan supaya ia dilupuskan daripada Perlembagaan secara perundangannya dikategorikan sebagai satu hasutan. Peristiwa berdarah 1969 juga mempunyai kaitan dengan Perkara 153. Atas alasan kestabilan negara, perkara berkaitan keistimewaan Melayu diberi perhatian serius dan diklasifikasi sebagai perkara sensitif. Walaupun pendakwaan jarang sekali dilakukan berkaitan perbuatan mempersoalkannya, peruntukan berkaitan amat jelas wujud di dalam Akta Hasutan.

Keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu bukan perkara baru. Ia adalah antara menu utama dalam pembentukan asal negara ini.

Istilah keistimewaan Melayu bermula sejak campurtangan British di Tanah Melayu. Ketika pemerintahan British, keistimewaan orang Melayu dijaga melalui polisi di dalam pentadbiran British. Polisi keistimewaan Melayu diiktiraf British kerana rungutan dan permintaan para raja Melayu.
Disebut di dalam laporan Suruhanjaya Reid bahawa keputusan untuk memasukkan peruntukan berkaitan keistimewaan Melayu ke dalam Perlembagaan Persekutuan tidak mendapat tentangan yang menyerlah walaupun tindakan untuk menambahkan lagi keistimewaan tersebut mendapat reaksi negatif banyak pihak. (lihat Perenggan 165)

Suruhanjaya Reid juga menyebut mengenai pertembungan antara kehendak prinsip kesamarataan antara rakyat yang berbilang bangsa. Walaupun begitu, Suruhanjaya berpendapat, peruntukan mengenai keistimewaan Melayu amatlah diperlukan bagi menjaga kedudukan bangsa Melayu. Selain daripada itu, keistimewaan Melayu juga diperlukan bagi menjamin kedudukan Melayu dalam proses integrasi antara kaum-kaum di negara ini setelah prinsip "common nationality" diperkenalkan oleh Perlembagaan Persekutuan 1957 (lihat Perenggan 165).

Apa yang dapat dihujahkan daripada kenyataan Laporan Suruhanjaya Reid ini ialah proses integrasi antara pelbagai bangsa yang ada di Tanah Melayu akan mengambil masa yang agak panjang. Pada andaian Suruhanjaya Reid sekiranya proses integrasi antara pelbagai kaum di negara ini menjadi bertambah baik, ia akan seterusnya dapat mengurangkan atau menghapuskan keistimewaan Melayu. Apa yang dapat difahami daripada kenyataan Suruhanjaya Reid ini adalah, selagi mana integrasi antara pelbagai kaum belum mencapai tahap matang, kedudukan istimewa Melayu harus dikekalkan.

Sehingga 53 tahun merdeka integrasi antara pelbagai bangsa di negara ini masih menjadi agenda utama negara. Perkara berkaitan perpaduan atau integrasi antara kaum kekal menjadi isu sensitif. Ada yang berpandangan bahawa perpaduan di kalangan rakyat Malaysia agak rumit kerana negara kita tidak menjalankan proses asimilasi yang mahukan semua pihak melenyapkan identiti bangsa masing-masing dengan menerapkan satu identiti sahaja.
Semua kaum di Malaysia masih mengekalkan identiti kaum masing-masing. Seorang cendekiawan mengibaratkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa seperti beberapa batang besi yang diikat bersama. Batang-batang besi tersebut akan terlerai sekiranya tali pengikat yang menggabungkannya terputus. Batang-batang besi tersebut tidak dilebur dan dibekukan untuk menjadi satu batang besi yang lebih besar dan tegap. Batang-batang besi yang dilebur dan dikeraskan ini tidak akan terlerai sekiranya tali pengikatnya terputus.

Walaupun bersetuju dengan cadangan Parti Perikatan mengenai kedudukan istimewa Melayu, Suruhanjaya Reid mencadangkan supaya keistimewaan Melayu disemak semula selepas 15 tahun. Kenapa 15 tahun? Adakah jangkamasa 15 tahun ini satu jangkamasa yang substantial? Jawapan kepada persoalan ini tidak dijelaskan oleh Suruhanjaya Reid.

Jangkamasa 15 tahun adalah andaian Suruhanjaya Reid. Hakikatnya, hanya masyarakat Malaysia selepas merdeka yang menentukan. Secara prinsipnya, kenyataan Suruhanjaya Reid ini bukanlah sesuatu yang mengikat. Sejauh manakah Suruhanjaya Reid dapat menentukan integrasi kaum di Malaysia akan berjalan lancar dan boleh mencapai objektifnya hanya dalam masa 15 tahun. Hatta negara-negara yang tamadunnya beratus-ratus tahun masih lagi mempunyai masalah berkaitan perkauman dan ia kekal sampai ke hari ini.

Pengajarannya ialah jangkamasa 15 tahun cuma jangkaan Suruhanjaya Reid. Ia tidak semestinya benar dalam realiti.

Walaupun mencadangkan jangka masa 15 tahun untuk disemak semula peruntukan ini, Laporan Suruhanjaya Reid juga menyebut bahawa, ia terpulanglah kepada keputusan kerajaan yang memerintah, sama ada untuk mengekal, atau mengurang atau melupus keistimewaan tersebut. Keputusan kerajaan tersebut tertakluk kepada keadaan masyarakat Melayu semasa semakan tersebut dilakukan (lihat Perenggan 167).
Hakikatnya keputusan sama ada keistimewaan Melayu perlu diteruskan ataupun tidak bergantung kepada keadaan dan status orang Melayu. Sekiranya integrasi antara pelbagai kaum tidak mencapai tahap matang seperti andaian Suruhanjaya Reid, kemungkinan untuk kerajaan meneruskan status quo Perkara 153 menjadi jelas. Selain daripada itu, sekiranya kedudukan ekonomi Melayu masih belum mencapai tahap yang boleh dianggap mampu bersaing dengan kaum bukan Melayu, Perkara 153 ini masih diperlukan. Atau, selagi orang Melayu fikir mereka masih memerlukan keistimewaan seperti yang termaktub, ia harus dikekalkan di dalam Perlembagaan.

Perlembagaan

Perkara 153 adalah di bawah tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong. Perlembagaan memberi kuasa kepada Raja-raja Melayu untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu. Perlembagaan tidak memberikan Parlimen kuasa penuh untuk meminda Perkara 153. Peruntukan ini hanya boleh dipinda sekiranya mendapat perkenan Raja-Raja Melayu. Selain daripada itu, apa juga polisi yang diperkenalkan berdasarkan Perkara 153 tidak boleh diubah kecuali mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.

Majoriti ahli Suruhanjaya Reid mencadangkan supaya Yang di-Pertuan Agong menjalankan tanggungjawab menjaga keistimewaan Melayu atas nasihat Jemaah Menteri. Justice Abdul Hamid, ahli Suruhanjaya Reid dari Pakistan, dalam nota kecualiannya menyatakan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini adalah kuasa budi bicara. Baginda boleh menjalankan kuasa berkaitan keistimewaan Melayu di atas keputusan sendiri tanpa mendapatkan nasihat Jemaah Menteri.

Keadaan ini amat kukuh untuk dihujahkan bahawa keistimewaan Melayu di bawah Perkara 153 adalah satu "hak" dan bukanlah hanya keistimewaan dalam kata harfiahnya.

Saya perlu nyatakan bahawa Pekara. 153 adalah sebahagian daripada hak asasi. Pengiktirafan sebegini juga diamalkan di negara-negara lain. Hak asasi ini diiktiraf oleh kebanyakan negara untuk menjaga kestabilan sosial supaya sesuatu kaum tidak terpinggir dan keadilan dapat dicapai dengan memberi peluang kepada semua. Hak asasi ini boleh dikatakan sebagai pengecualian kepada dasar kesamarataan menggunakan prinsip diskriminasi positif atau juga dikenali sebagai affirmative action.
Di negara seperti Amerika Syarikat, dasar affirmative action ini tidak disebut di dalam Perlembagaan. Ia hanyalah polisi pentadbiran negara. Negara kita mengiktiraf keistimewaan Melayu di dalam Perlembagaannya. Ini menjadikan kedudukan istimewa ini lebih "istimewa" berbanding amalan di Amerika Syarikat.

Perkara 153 diperkenalkan bukan kerana sifat rendah diri atau inferiority complex orang Melayu sebagaimana anggapan sesetengah pihak. Ia bukan tongkat kepada Melayu. Ia merupakan pengiktirafan yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu kerana asal negara ini adalah "Tanah Melayu". Ia tiada kaitan dengan kedudukan kaum lain yang telah lama berada dan menyumbang kepada negara ini.

Objektif Perkara 153 bukan juga untuk mempersoalkan kehadiran kaum bukan Melayu di negara ini. Kaum bukan Melayu tidak harus merasa bimbang dengan kekalnya Perkara 153 di dalam Perlembagaan.

Apa yang ingin saya sampaikan adalah penghormatan harus diberikan kepada kaum Melayu dan penghormatan tersebut sebenarnya di iktiraf oleh Perlembagaan. Walauapa pun, saya tidak fikir keistimewaan Melayu ini satu diskriminasi, walau dikatakan sebagai diskriminasi positif. Ia adalah satu struktur sistem yang telah dicipta untuk kestabilan negara ini.
Oleh itu prinsip keluruhan Perlembagaan atau ketinggian Perlembagan harus sentiasa diberi perhatian sewajarnya. Keistimewaan yang diberikan kepada kaum Melayu di dalam Perkara 153 adalah satu hak yang diiktiraf oleh Perlembagaan dan tidak harus dipertikaikan.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat kedudukan kaum bukan Melayu di negara ini. Walaupun peruntukan telah wujud sepanjang 53 tahun lepas, ia tidak menjadi penghalang yang besar kepada bangsa bukan Melayu untuk memakmurkan kedudukan sosial dan ekonomi mereka di negara ini. Perkara 153 tidak menafikan kedudukan kaum bukan Melayu.

Sebenarnya tiada hujah yang konkrit untuk dikatakan kuota Melayu menerusi Perkara 153 ini telah menafikan kedudukan kaum bukan Melayu sehingga menjadikan kaum bukan Melayu merempat di negara ini. Malah, apa yang kita saksikan dengan nyata ialah, kaum Melayu, atas apa sebab sekalipun, masih lagi di belakang kaum bukan Melayu dalam aspek kedudukan ekonomi. Tiada kemudaratan yang dilahirkan oleh Perkara 153 walaupun ia seringkali dijadikan alasan amalan ketidaksamarataan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.


Penulis ialah pensyarah Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia