Monday, 29 December 2014

Kenyataan Rasmi : Berkenaan Ujian Yang Sedang Melanda Negara Ini

Pihak kami ingin merakamkan rasa sedih dan simpati dan ingin menyampaikan ucapan takziah kepada semua pihak yang terlibat dengan peristiwa banjir di Pantai Timur. Setiap satu perkara yang berlaku, telah berlaku dengan ketetapan Allah. Sebagai saudara sesama Islam dan insan, apa yang sedang dialami oleh saudara-saudara kita di Pantai Timur, mengundang rasa insaf betapa kerdilnya kita semua dalam menghadapi kuasa dan ketetepan Yang Maha Esa.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Syukur ke hadrat Allah, di atas respons dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pasukan bantuan yang sudah mula bergerak ke seluruh pelusuk kawasan yang memerlukan pertolongan. Semoga Allah memberikan segala bentuk bantuan yang diperlukan bagi membolehkan semua pihak dapat diselamatkan dan keadaan kembali pulih seperti sediakala.

Sebagai umat yang terbaik yang telah dipilih Allah untuk diberikan hidayah, kita seharus mendekati ujian ini dengan penuh sabar dan kembali bermuhasabah supaya apa yang sedang dilalui ini akan memberikan gantian keadaan yang lebih baik pada masa hadapan.

Secara fizikalnya, segala keupayaan perlu digembleng supaya negara kita lebih bersedia untuk mencari jalan keluar supaya peristiwa banjir seperti ini tidak lagi akan berlaku pada masa hadapan. 

Kemusnahan hutan dan gangguan kepada ekosistem mesti dikurangkan. Keupayaan kejuruteraan alam perlu digunakan sepenuhnya untuk memastikan alam dan manusia dapat hidup secara bersama tanpa memudaratkan antara satu dengan yang lain. Amanah kita dalam menjaga alam ini jangan sesekali diperkosa oleh ketamakan kita sendiri.

Secara ruhaninya, kita harus bermuhasabah dan menggunakan peristiwa yang berlaku ini sebagai sempadan peringatan supaya kita sentiasa lebih dekat dengan Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Kami menyeru supaya semua pihak lebih sensitif dengan apa yang sedang berlaku pada ketika ini dan sepanjang tahun yang penuh dengan ujian dan dugaan ini.

Begitu juga pihak kami ingin menyampaikan rasa simpati kami kepada satu lagi peristiwa kehilangan pesawat yang turut membawa imej negara bersamanya yang dikhabarkan hilang dan masih belum dapat dijejaki. Semoga semua yang terlibat dan mempunyai pertalian dekat dengan sanak saudara yang terlibat dengan peristiwa itu terus bersabar dan mendoakan supaya kesudahan yang baik dapat dikecapi dalam peristiwa ini.

Teruji dengan ujian demi ujian berat dari masa ke semasa di dalam rentang waktu sesingkat satu tahun ini, pihak kami ingin menuntut supaya semua pihak berfikir dengan lebih matang dan mengetahui semua sempadan sensitif supaya setiap bentuk program dan pengisian yang bakal diadakan menjelang kedatangan Tahun Baru 2015, adalah program-program yang dapat membantu kita semua supaya membina semangat serta mengembalikan jatidiri negara ini sebagai sebuah negara dengan Islam sebagai Agama Negara. 

Pihak kami ingin menuntut supaya semua bentuk program berunsur kemaksiatan menjelang kedatangan Tahun Baru dibatalkan. 

Jangan kita berhenti berdoa dan menunaikan solat hajat serta memohon kepada Allah supaya ujian ini dapat dijalani dengan penuh sabar dan dapat diselesaikan segera.

Kepada yang mampu, bersama-sama kita membantu serta memberi pertolongan sedaya mungkin kepada mangsa-mangsa banjir ini dengan segera.



Jika 2014 merupakan tahun ujian buat kita semua, mari kira jadikan Tahun 2015 sebagai tahun kematangan untuk kita semua.

Muslim Bangkit & Bersatu.


Ustaz Mohamed Hafiz bin Mohamed Nordin,
Penaung/Pengerusi
Pasukan Gerak Kerja Bangkit

0 comments:

Post a Comment

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.