Friday, 14 November 2014

Pertindihan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil


Penulisan ini ditulis dengan merujuk kepada beberapa siri teks kuliah yang pernah disampaikan oleh Tun Ahmad Fairuz, Bekas Ketua Hakim Negara.

Antara yang utama ialah teks yang pernah beliau sampaikan pada 13 Mac 2006, di Auditorium Mahkamah Agung Singapura dengan penyampaian bertajuk, “Recent Development in Malaysia’s Constitutional Law” dan syarahan bertajuk “The Relationship Between Syariah and Civil Law in the Malaysian Legal System: Developments And Future Possibilities,” di Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) pada 11 Ogos 2005.

Topik mengenai pertindihan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil sentiasa mendapat perhatian Tun Ahmad Fairuz.

Sebelum pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dibuat pada 1988, kes-kes melibatkan Mahkamah Syariah kerap dan sentiasa dibawa semula ke Mahkamah Sivil untuk dibicarakan semula.

Pindaan Perlembagaan 1988

Pada 1988, satu pindaan terhadap perkara 121 di dalam Perlembagaan Persekutuan dibuat dengan memasukkan Artikel 121 (1A) yang memisahkan dengan jelas bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.

Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan berbunyi seperti berikut :

(1A) Mahkamah-mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Artikel 121 (1A) Tidak Menjadi Titik Noktah Permasalahan
Pindaan ini yang seharusnya menjadi titik noktah kepada perebutan bidang kuasa ini, walaubagaimana pun tidak berlaku sepertimana yang diharapkan. Kerap kalinya apabila kes-kes syariah yang dibicarakan, malah yang tehah diputuskan keputusannya, dibawa semula oleh pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan tersebut ke Mahkamah Sivil untuk disemak semula.
Seharusnya Artikel 121 (1A) itu menjadi titik penolakan kepada sebarang kes untuk yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah daripada dibicarakan di dalam mana-mana Mahkamah Sivil, kecuali Mahkamah Persekutuan.

Sebelum Hari Merdeka
Penghormatan terhadap kes di dalam bidang kuasa Syariah berlaku sejak sebelum merdeka. Terdapat kes seperti kes Mohamed Saad bin Mohd Nor lwn Hasnah Bte Ahmad MLJ Supp 31, yang pernah menyaksikan Mahkamah Tinggi Sivil mengenepikan keputusan yang dibuat sebelum itu oleh Mahkamah Majistret dalam kes hak penjagaan kanak-kanak. Hakim dalam Mahkamah Tinggi Sivil kes tersebut berpendapat bahawa hak penjagaan kanak-kanak bagi penganut Islam adalah terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Qadi (nama lama) dan bukan Mahkamah Sivil.

Mencari Ruang dan Alasan Untuk Campurtangan Mahkamah Sivil
Perlembagaan Persekutuan mencatatkan dengan jelas Perkara berikut:

I.               Artikel 3 (1), Islam merupakan Agama bagi Persekutuan.
II.       Artikel 4 (1) Perlembagaan Menyatakan bahawa Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi negara.
III.         Artikel 37 (1), YDP Agong perlu bersumpah dengan sumpah untuk memelihara Islam pada setiap masa.
IV.          Artikel 121 (1A), yang memisahkan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi Sivil.

Walaubagaimana jelas sekalipun peruntukan yang meletakkan pembahagian bidang kuasa ini, masih terdapat banyak kes semak semula keputusan Mahkamah Syariah dibuat oleh Mahkamah Sivil.

Setiap satu daripada kes-kes tersebut, menggunakan sebaik mungkin mana-mana lohong peruntukan undang-undang yang ada  untuk memberikan justifikasi kenapa kes tersebut sah untuk dibicarakan di dalam Mahkamah Sivil berbanding Mahkamah Syariah.

Alasan Akta Kehakiman 1964 Tidak Terhapus Meskipun Wujud Pindaan 1988 Pada Perlembagaan

Dalam kes Shahamin Faizal Kung bin Abdullah lwn Asme bte Haji Junus 3 MLJ 327, Hakim Edgar Joseph berpendapat bahawa Akta Kehakiman 1964 (Courts of Judicature Act of 1964) sama sekali tidak terhapus walaupun Perlembagaan Persekutuan telah melalui pindaan pada tahun 1988.

Kes ini juga unik dinyatakan memihak kepada bidang kuasa Mahkamah Sivil kerana Seksyen 40 (3) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Islam Pulau Pinang 1959 tidak memperuntukkan bidang kuasa ekslusif hanya kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes isu penjagaan kanak-kanak.

Alasan Tiada Peruntukan Jelas Di Dalam Undang-Undang Syariah

Dalam kes Ng Wan Chan lwn Majlis Agama Islam 3 MLJ 174 dan 487, Mahkamah Sivil menyatakan pendapat bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes ini. Alasan yang dikemukakan ialah, Seksyen 45 (2) dan (3) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Selangor 1952 (pada ketika itu) tidak memperuntukkan kuasa undang-undang yang jelas untuk memutuskan seseorang itu beragama Islam  atau tidak pada waktu kematiannya.

Kes Lim Chan Seng lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang 3 CLJ 231. Disebabkan oleh Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang 1993, tidak memperuntukkan dengan jelas kuasa Mahkamah Syariah termasuk peruntukan keluar dari agama Islam, maka Hakim yang membicarakan kes tersebut berpendapat bahawa kes tersebut seharusnya terletak di dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Semua yang kabur dan tidak dinyatakan dengan jelas dalam mana-mana undang-undang Syariah negeri dijadikan ruang untuk mengenepikan hak Mahkamah Syariah untuk mendengar dan membicarakan kes seumpama itu.

Dalam kes Shaikh Zolkafly Shaikh Natar dll lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang 3 MLJ 381, Hakim yang membicarakan kes tersebut menyatakan perkara berikut di dalam penghakiman :

“..sekiranya ada pertikaian bidang kuasa di Mahkamah Tinggi Sivil, perkara pokok yang perlu dilihat ialah bukannya Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai kuasa atau tidak, tetapi sama ada bidang kuasa itu terletak dalam Mahkamah Syariah. Bidang kuasa Mahkamah Syariah diberi oleh perundangan negeri tetapi sekiranya perundangan negeri tidak menganugerah bidang kuasa tersebut kepada Mahkamah Syariah, maka dengan sendirinya bidang kuasa Mahkamah Syariah terkeluar dari mengendalikan perkara tersebut, dan bidang kuasa tidak sama sekali diperolehi secara ‘tersirat’”.

Penghujahan ‘kuasa secara tersirat’ tidak digunapakai dalam penghakiman di atas.

Alasan Mahkamah Syariah Lebih Inferior Dari Mahkamah Sivil
Agak menghairankan, apabila negara yang mana Perlembagaan Persekutuannya menyatakan dengan jelas bahawa Islam adalah Agama bagi Persekutuan dan Kepala Pemerintah Utamanya diwajibkan bersumpah untuk memelihara Islam pada setiap saat dan masa, meletakkan kuasa Mahkamah Syariah yang merupakan sebahagian dari sistem Islam dengan had-had hukuman yang terlalu rendah berbanding Mahkamah Sivil.

Perlembagaan memperuntukkan kuasa yang terhad kepada Mahkamah Syariah. Dalam Jadual Kesembilan, Senarai II – Senarai Negeri, dan menjatuhkan hukuman sebagaimana yang diperuntukan dalam Akta Mahkamah Syariah  (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 1984) iaitu hukuman penjara tidak lebih dari tiga tahun atau denda tidak melebihi RM 5,000 atau sebatan 6 kali atau gabungan semua hukuman tersebut.

Inilah yang sentiasa dirujuk dan disebut sebagai Mahkamah dengan hukuman 356. 3 tahun penjara, 5 ribu Ringgit denda dan 6 kali sebatan. Walaubagaimanapu pada 2013, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan bahawa pindaan sedang diusahakan kepada hukuman maksimum undang-undang syariah supaya menghukum dengn hukuman yang lebih berat lagi.

Walaubagaimanapun, situasi 356 ini menyebabkan berlakunya penghujahan yang cuba menunjukkan kedudukan Mahkamah Syariah yang lebih inferior daripada Mahkamah Sivil. Sebagai contoh, dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja lwn Ketua Pengarah Penjara Malaysia dll 2 MLJ 241; MLJ 266. Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman tersebut telah menyatakan bahawa kedua-dua Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes liwat ini.

Walaubagaimanapun, oleh kerana had hukuman maksimum yang ditetapkan untuk Mahkamah Syariah lebih rendah berbanding Mahkamah Sivil, ia sekaligus secara tidak langsung mencadangkan kedudukan Mahmakah Sivil lebih superior dari Mahkamah Syariah.

Pembetulan Penghakiman Mengenai Kuasa Tersirat Mahkamah Syariah
Keadaan percanggahan ini terus menerus berlaku. Mahkamah Sivil telah secara kerap kalinya menggunakan hujah bahawa Mahkamah Syariah tidak diperuntukkan kuasa dalam kes-kes tertentu oleh dewan undangan negeri.

Walaubagaimanapun, dalam kes Md Hakim Lee lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1 MLJ 681, Hakim bicara menyatakan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa sekalipun tiada peruntukan jelas dinyatakan di dalam undang-undang.

Begitu juga dengan kes Dalip Kaur lwn Pegawai Polis Daerah Bukit Mertajam dan 1 Lagi MLJ1, pendapat yang sama dinyatakan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa walaupun kuasa tersebut tidak disebut secara jelas di dalam perundangan.

Isu pertindihan ini seharusnya telah lama selesai dengan satu penghakiman kes melibatkan kes murtad yang didengar oleh Mahkamah Persekutuan. Kes Soon Singh lwn PERKIM 1 MLJ 489 ialah kes yang dimaksudkan. Dalam penghakiman yang dibuat, para Hakim berpendapat bahawa isu murtad merupakan isu yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah meski pun tiada peruntukan undang-undang murtad atau keluar dari Islam dalam Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Kedah 1962. Mahkamah Sivil dalam kes landmark ini telah didapati tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes murtad.

Seharusnya, keputusan yang telah dicapai oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Soon Singh ini, memperkasakan kedudukan bidang kuasa Mahkamah Syariah di bawah peruntukan Artikel 121 (1A). Seharusnya juga, ia menjadi titik tolak untuk tiada lagi campurtangan Mahkamah Sivil mencabar Artikel 121 (1A) dengan mengkaji semula serta membicarakan semula setiap kes Syariah yang dibawa kepada Mahkamah Sivil.

Malang sekali, kita melihat perkara ini terus tidak berlaku. Terbaru, penghakiman kes Transgender yang menentang hukuman syariah Negeri Sembilan.

Bila sebenarnya Perlembagaan Persekutuan terutamanya pada peruntukan Artikel 3(1) dan 121 (1A) ini mahu dihormati? Selagi tiada ketegasan , selagi wujud sikap tidak berpuas hati terhadap kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan selagi wujudnya pihak-pihak yang tidak mahu menghormati prinsip asas Perlembagaan, selagi itulah perkara ini tidak akan dapat diselesaikan.


Mungkis sudah tiba masanya, pembuat undang-undang Islam melihat keadaan ini dan melakukan sesuatu yang jelas tegas dan drastic kepada peruntukan Perlembagaan untuk memastikan Mahkamah Syariah dan kedudukannya diperkasakan serta diberi tempat sesuai dengan status Islam sebagai Agama Negara.

5 comments:

  1. Boleh diskriminasi
    Perlembagaan Persekutuan

    Kesamarataan

    8.
    (1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang- undang.

    (2) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara .......


    Komen :

    Alasan mahkamah rayuan ialah perlembagaan tidak boleh mendiskriminasi keatas gender pondan yang memakai pakaian perempuan. Tapi para hakim mungkin tidak terbaca artikel 8(2). Artikel itu jelas menyatakan jika sesuatu diskriminasi dengan jelas dibenarkan oleh perlembagaan, maka diskriminasi itu boleh dilakukan.

    Contoh diskriminasi yang dibenarkan ialah kerajaan negeri boleh menggubal undang-undang yang menghukum orang Islam (sahaja) yang melakukan perbuatan bertentangan dengan perintah agama Islam. Lihat berikut :

    Jadual 9 Senarai 2 (Senarai Negeri)

    Kerajaan Negeri di beri hak bagi .... "pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan."

    Komen :

    Senarai Persekutuan tidak menyatakan hal berkaitan hukuman keatas orang Islam yang melakukan kesalahan terhadap perintah agama Islam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas penambahan fakta Tuan Maae.

      Begitu juga dgn sekatan ke atas aktiviti tidak bermoral dalam Artikel 11(5). Seharusnya diambil kira.

      Delete
  2. Hakim tidak faham 'jenayah syariah' dengan 'jenayah sivil' ?
    .... mungkinkah, sebab itu disebut oleh hakim mahkamah rayuan bahawa laki-laki berpakaian perempuan bukan kesalahan 'jenayah' tanpa menyebut ia 'jenayah syariah' atau 'jenayah sivil'. Mungkin dapat dimaklumi hakim mahkamah rayuan (sivil) tidak diwajibkan faham tentang hukum syariah.

    ReplyDelete
  3. Ben, SETUJU dgn artikel BERNAS ni!

    SYUKUR ALHAMDULILLAH, ALLAH SWT makin membuka mata seramai umat Islam/Melayu berkaitan PENGKHIANATAN pemimpin-pemimpin Islam/Melayu-LIBERAL-PENAKUT; selama ni ramai TAKUT nak bersuara sebab asyik disuruh DIAM -"hampa tolong jaga "keharmonian kaum" kononnya - biaqpun ISLAM/umatnya diSERANG bertubi-tubi oleh MUSUH ISLAM/Melayu kat NEGARA ISLAM; pusaka nenek moyang kita ni!

    Jadi, si PONDAN HOMO ni - jgn. dok angkuh ingat boleh MENGALAHkan Hukuman ALLAH SWT dan NEGARA ISLAM kita ni, dgn. sewenangnya; walau buat masa sekrg. depa tengah seronok, dibuai mimpi 'indah' palsu akibat ramai pengikut Syaitan-puak-SODOM, ejen Barat-Zionis dok puji sakan kat 'kemenangan' palsu depa!

    Dan SYUKUR ALHAMDULILLAH, peguam-peguam HEBAT kita dari PGSM dah menubuhkan "Rapid Response Team" dlm kumpulan Peguam untuk Islam, utk. membantu MAIN, K'jaan dsbnya, dlm. MEMPERTAHANkan Islam dgn. amat TEGAS dan BERANI! Lihat di - http://www.utusan.com.my/berita/nasional/peguam-untuk-islam-tangani-8232-isu-syariah-1.24448 , Peguam Untuk Islam tangani 
isu syariah, 14 November 2014:

    SHAH ALAM 13 Nov. – Satu kumpulan dikenali sebagai Peguam Untuk Islam yang terdiri 30 peguam sivil dan syarie tempatan ditubuhkan bagi membantu kerajaan, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan institusi berkaitan Islam bagi mengkaji keputusan mahkamah dari segala aspek perundangan terutama melibatkan kes yang mencabar sistem perundangan syariah.

    Penubuhan ini dilaksanakan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berikutan perkembangan semasa termasuk keputusan Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Undang-Undang Syariah Negeri Sembilan yang memperuntukkan hukuman terhadap golongan lelaki Islam berpakaian wanita di tempat awam adalah melanggar Perlembagaan Persekutuan.

    Setiausaha Agung PGSM, Moeis Basri berkata, walaupun menghormati keputusan mahkamah, keputusan yang memberikan kebenaran kepada golongan transeksual oleh Mahkamah Rayuan itu telah mengejutkan umat Islam.
    “Kami dapati ada beberapa kelemahan (hujah pembelaan) pada pihak responden (Majlis Agama Islam Negeri Sembilan) yang sepatutnya dapat diatasi jika mendapat nasihat pakar perundangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

    Yang turut hadir Presiden PGSM, Musa Awang dan sebahagian pengamal undang-undang yang menganggotai Peguam Untuk Islam.

    Makcik Sambal Belacan.

    ReplyDelete
  4. Salam. Semak smula apa yg tk kna yg mnghlang prudngan islam brkutkasa dn buat pndaan prlmbgan atau apa2akta spya prkra srupa ni tak brulng. Cma brnika puak2 krjan trmsuk anak razak yg nk jga smua tp mngnpikn smpah trima jwatn kna jga islam !!

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.