Saturday, 1 November 2014

Perjanjian Perseketuan Tanah Melayu 1948 :Asal usul dan acuan kepada Perlembagaan Perseketuan


Oleh : Dr Malik Munip

Pengenalan

1. Kenangan kemerdekaan dan Tunku Abdul Rahman sememangnya tidak dapat dipisahkan-sehinggakan setiap kali mana-mana rakyat Malaysia mendengar kata-kata keramat “merdeka”,  kelibat susuk dan wajah Perdana Menteri pertama kita, semasa melaungkan Lafaz Kemerdekaan tentunya akan kembali mengimbau. Umumnya bagi rakyat Malaysia, Gerakan Kemerdekaan bermula dengan tertubuhnya parti Perikatan pimpinan beliau-yang diasaskan secara bersama oleh UMNO dan MCA pada Pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur di tahun 1952. Kerjasama ini diteruskan sehingga ke tahun 1955 apabila MIC mula terlibat sama dan seterusnya membuahkan kemenangan besar pada tahun tersebut, bagi pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan yang diadakan di seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

2. Bagaikan disuntik semangat baru dengan mandat yang telah diberikan, Tunku mula mengatur langkah untuk tarikh Merdeka (kemerdekaan) dibawa kedepan. Dan seperti yang kita semua tahu, dalam masa dua tahun sahaja, Tunku sudah mendapat apa yang beliau idamkan. Sememangnya gelaran Bapa Kemerdekaan yang telah diberikan kepada Tunku, adalah amat bertepatan.

3. Namun apa yang kurang diketahui ramai ialah kerangka dan ciri-ciri perlembagaan yang terpaksa diguna-pakai oleh pihak Perikatan semasa proses perundingan untuk Merdeka: yang mana ruhnya adalah berpaksikan kepada langkah-langkah untuk menyah keluarkan penjajah dan penjajahan. Hakikatnya, fakta ini bukanlah untuk menekankan kepentingan daripada sisi sejarah semata-mata, namun ianya lebih menjurus kepada untuk memperlihatkan ‘peri pentingnya untuk menyah keluar penjajahan’ seperti yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (FMA).

Seperti yang tertera pada mukadimahnya:
 “Dan adalah menjadi keinginan kepada Baginda Tuanku dan seluruh kerajaan Baginda supaya kemajuan dicapai terhadap usaha untuk pentadbiran sendiri dan ...sejurus selepas keadaan membenarkan, undang-undang perlu diperkenalkan bagi pemilihan ahli-ahli kepada badan perundangan yang akan ditubuhkan mengikut Perjanjian ini.”

4. Ini bermakna, walaupun kemenangan pilihanraya semata-mata merupakan pencapaian kepada parti Perikatan, namun kewujudan proses pilihanraya bukanlah disebabkan oleh perkara tersebut. Seperti yang boleh dibaca pada Mukadimah tadi, pilhanraya dan lain-lain ciri kepada pentadbiran sendiri sememangnya dijangkakan (walaupun tidak diminta) oleh pada masa itu, undang-undang tertinggi negara: Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (FMA).

5. Malangnya, kepentingan kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dalam menyediakan asas-asas kepada Merdeka sering dipandang enteng. Maka oleh itu, apatah lagi apabila kita akan meraikan ulangtahun kemerdekaan yang ke-57, adalah penting untuk kita melihat kembali asas-asasnya.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (FMA): Ciri-ciri
6. Pada aturannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (FMA) merupakan jawapan kepada Perlembagaan Malayan Union 1946 yang dimansuhkan. Sembilan tahun selepas Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pula digantikan dengan Perlembagaan Persekutuan 1957 (Merdeka Constitution). 

Walaubagaimanapun, kedua-dua perlembagaan yang terdahulu daripada Perlembagaan Persekutuan 1957 tidak digantikan atas sebab-sebab yang sama.

7. Mengikut tradisi perlembagaan negara Perlembagaan Persekutuan 1957 agak meyimpang daripada asal kerana kebanyakkan daripada peruntukan dan prinsip-prinsipnya tidak dilaksanakan. Sebaliknya, kebanyakan daripada peruntukan dan prinsip-prinsip asas seperti yang terkandung dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (FMA) digunapakai ke dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 (Merdeka Constitution).

8. Diperingkat awal pembentukkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 sebenarnya bermula pada Julai 1946 dengan penubuhan Jawatankuasa Kerja (JK) untuk mencadangkan satu kerangka perlembagaan untuk mengantikan Malayan Union (MU). Pernyertaan kepada JK ini diwakili oleh kumpulan-kumpulan politik semasa yang diiktiraf- British, Raja-Raja Melayu dan Umno. Jadi, tidak seperti MU yang disogokkan secara paksaan ke atas Raja-Raja Melayu oleh pihak British, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (FMA) terbit daripada sebuah  kerjasama Inggeris dan Melayu. Dan ianya juga menggunakan Perlembagaan Negeri Johor sebelum perang sebagai acuan untuk mendraf contoh kepada Perlembagaan Negeri.

9. Dalam proses mendrafkan cadangan perlembagaan, JK perlu mengikut beberapa prinsip-prinsip asas seperti: (i) bahawasanya perlu diadakan sebuah kerajaan pusat yang kuat, (ii) bahawasanya kedaulatan setiap Negeri Melayu dan Penempatan perlu diperjelaskan dan dipelihara, (iii) bahawasanya perancangan perlu dibuat ke arah untuk memuktamadkan pentadbiran sendiri dan merdeka, (iv) bahawasanya satu bentuk kewarganegaraan perlu diperkenalkan kepada semua yang menganggap Tanah Melayu sebagai rumah sebenar mereka dan tempat tumpahnya kesetiaan mereka dan, (v) bahawasanya orang-orang Melayu diberi kedudukan istimewa.

10. Semasa perbincangan JK, tiga nama telah dicadangkan kepada persekutuan yang hendak dibentuk. : Malayan Federation, Malayan Federal Union dan Federation of Malaya (FOM). Mengikut kepada pakar perundangan RH Hickling, Malayan Federation ditolak kerana perkataan ‘Malayan’ membawa konotasi penduduk Malaya semata-mata dan tidak mewakili orang-orang Melayu manakala Malayan Federal Union ditolak kerana ianya tidak memberi penekanan yang mencukupi kepada kedaulatan setiap negeri-negeri yang terlibat. Tambah lagi kedua-duanya tidak dapat diterjemahkan dengan baik kepada Bahasa Melayu.

11. Berdasarkan kepada penolakkan tersebut, kelihatan nama FOM-terjemahan Bahasa Melayu kepada Perseketuan Tanah Melayu – dipilih untuk memberikan makna literal kepada: sebuah gagasan Persekutuan yang  menggabungkan Negeri-Negeri Melayu sedia ada yang berdaulat.

12. Adalah amat penting untuk difahami, bahawasanya daripada segi perundangan, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 tidaklah menjadi titik tolak untuk mengabsahkan status kedaulatan kepada Negeri-Negeri Melayu; tetapi ianya meraikan keadaan dan kedaulatan sedia ada. Kedaulatan sedia ada ini telah didokumentasikan dan disahkan dengan beberapa keputusan yang telah dibuat oleh Makhamah Britain sendiri : Mighell lwn Sultan Abu Bakar (1893), Duff Development Company lwn Kelantan Government (1924), Pahang Consolidated Company lwn State of Pahang (1933) and Anchom lwn Public Prosecutor (1940).

13. Semestinya disebabkan oleh prasangka buruk yang telah terhasil terhadap gagasan Malayan Union, penekanan kepada hak kedaulatan sedia ada ini, menjadi perkara yang amat pokok kepada perbincangan JK: ianya banyak mempengaruhi dalam pemilihan nama yang sesuai kepada Persekutuan; ia juga menentukan mekanisme undang-undang yang akan digunapakai; ia menjadi penyebab utama kenapa dasar kewarganegaraan dan imigresen menjadi ketat dan saling terikat. Sememangnya ia juga mempengaruhi kenapa cadangan kepada perlembagaan dipersiap sebagai sebuah ‘Agreement’ (Perjanjian).

14. Cadangan yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Kerja telah diterbitkan dan diluluskan secara bersyarat pada 24hb Disember, 1946. Walaupun kemudiaannya cadangan tersebut telah diperiksa oleh pelbagai jawatankuasa untuk penambahbaikan dan maklum balas, Cadangan Perlembagaan Yang Disemak yang kemudiaannya telah diterbitkan pada bulan Julai 1947, sebahagian besarnya sama dengan cadangan asal yang diluluskan pada bulan Disember.

15. Malangnya pula-disebabkan oleh kemunculan gerakan komunis yang berlaku pada tahun 1948-menjadikan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 sebagai sebuah realiti seperti ‘kemajuan perlu dicapai ke arah pentadbiran sendiri dan merdeka’ sedikit terbantut. Namun, bermula pada tahun 1951, sistem separa-menteri yang digelar sebagai ‘Membership system’ diperkenalkan; sistem ini memperuntukkan beberapa fungsi dan tanggungjawab kepada seorang Ketua Setiausaha. Tambah lagi, pada penghujung tahun 1951 sebuah pilihanraya telah diadakan dan ini diikuti dengan tindakan melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan kepada kaum pendatang pada tahun 1952.

16. Malah pada tahun 1948 Majlis Raja-Raja Melayu telah ditubuhkan dan mengikut Martin Rudner ianya “bertujuan untuk memberikan kesahihan sedia ada kepada dasar persekutuan dan berfungsi sebagai penjaga mutlak kepada hak-hak Melayu dan hak-hak Negeri-Negeri Melayu”. Walaupun persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu diperlukan untuk sebarang isu berkaitan dengan imigresen, walaubagaimanapun, penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu secara umunya tidak dikira sebagai contoh kepada sebuah model ‘pemerintahan sendiri’.

17. Pada peringkat ini penting untuk diberi perhatian bahawa atas kertas, perjanjian perlembagaan 1948 nampak seakan-akan bercanggah kerana pada satu sisi ia menginginkan kemajuan dibuat menjurus kepada pemerintahan sendiri (i.e menyah keluarkan penjajah), namun pada masa yang sama ia juga telah meletakkan satu kuasa yang kuat kepada kerajaan Persekutuan-terutamanya pada pejabat Pesuruhjaya Tinggi British. Sebagai contoh, Kerajaan Persekutuan telah diberi kuasa perundangan keatas 44 perkara dibawah Jadual Kedua manakala Negeri-Negeri Melayu, menurut Rudner, telah diberikan bidang kuasa ekslusif berkenaan dengan 10 perkara.

18. Walau bagaimanapun adalah kurang tepat jika kita cuba melihat kepada ciri-ciri Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (FMA) semata-mata dengan sisi tersebut; Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (FMA) yang tertera di atas kertas dengan cara ianya mahu dipraktikan adalah dua perkara yang berbeza. Suruhanjaya Reid (sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan untuk memberikan cadangan untuk draf Perlembagaan Persekutuan 1957) cuba menerangkan tentang perkara ini “...Perjanjian Persekutuan sebenarnya tidak bergerak seperti yang dijangkakan seperti yang termaktub”. 

Tambah suruhanjaya itu lagi “...secara praktiknya Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengusulkan sama ada perubahan utama dasar atau perundangan tanpa pertama sekali memohon persetujuan daripada semua Kerajaan Negeri yang berkenaan. Makanya, walaupun pihak berkuasa Persekutuan mempunyai kuasa untuk merubah apa saja dasar yang mereka mahu, namun secara amalannya mereka tidak mempraktikkannya.

19. Atau dalam erti kata lain, semangat untuk menyah keluarkan penjajahan yang menjadi batu penghalang kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 untuk mempraktikkan isi kandungannya.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948: Relevansi Pasca Merdeka

20. Daripada gambaran diatas, melihat kepada tempoh sembilan tahun Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, maka jelaslah bahawa semasa parti Perikatan ditubuhkan, seribu satu permasalahan yang bertentangan dengan pemerintahan sendiri dan merdeka telah wujud. Sememangnya kita bolehlah mengandaikan bahawa Persekutuan Tanah Melayu 1948 secara perlembagaannya diadakan untuk menyah keluarkan penjajah.

21. Walaupun hakikat ini tidak menjamin Merdeka, namun, ia sememangnya memberikan kuasa kepada pihak Perikatan untuk mengadakan rundingan.

22. Malah, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu juga banyak memberikan kesan pasca Merdeka. Bagaimana boleh terjadi begitu? Ianya menjadi tanda aras kepada penggubalan Perlembagaan Persekutuan 1957 (Perlembagaan Merdeka). 

Sememangnya keperluan untuk merujuk kepada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 diterangkan dengan jelas sebagai terma rujukan Suruhanjaya Reid:

 “Untuk mengkaji susunan perlembagaan sedia ada dikeseluruhan Persekutuan Tanah Melayu, dengan mengambil kira kedudukan dan martabat Permaisuri England dan Kemuliaan Raja-Raja.......” 

23. Perkataan “Untuk mengkaji susunan perlembagaan sedia ada di keseluruhan Persekutuan Tanah Melayu, bermakna pengubalan cadangan Suruhanjaya Reid akan menggunakan-sama ada ianya berbentuk pematuhan, pelepasan atau pengubahsuaian-Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dan lain-lain perlembagaan negeri sebagai panduan dan sumber rujukan. 

24. Dan memandangkan daripada segi perundangan, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 tidak menjadi titik mula kepada status kedaulatan Negeri-Negeri Melayu yang sememangnya sudah tersedia wujud, tetapi ianya lebih merupakan kesinambungan kepada kedaulatan sedia ada, maka ianya menjadi sebuah penunjuk aras kepada DNA kedaulatan negeri-negeri tersebut-kedudukan istimewa Negeri-Negeri Melayu, Kesultanan Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu-menjadi sebahagian daripada peninggalan perlembagaan yang diwarisi daripada Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan ianya dimasukkan semula ke dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 atau Perlembagaan Merdeka.

25. Dan walaupun Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dituduh sebagai tidak menyeluruh, ianya perlu diingat bahawa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu lah yang telah membuka jalan untuk diadakan sebuah perlembagaan dalam membentuk sebuah kerakyatan yang berbilang kaum. Mengikut Tun Suffian, sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, tidak ada bentuk kewarganegaraan yang meliputi seluruh negara-seseorang itu sama ada rakyat kepada Raja-Raja Melayu atau jika seseorang itu dilahirkan di Negeri-Negeri Selat, memegang kerakyatan British.

26. Oleh itu pada asasnya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bukan saja menjadi sumber rujukan kepada Perlembagaan Persekutuan 1957 malah juga menjadi acuan kepada pembentukkannya.




Terjemahan Oleh     : Perkhidmatan Terjemahan OKU (somethink.diffferent@gmail.com)

2 comments:

  1. Aku tak setuju dengan artikel yg. amat MENGELIRUkan ini!

    Tanah Melayu kita ini dulunya adalah kepunyaan DYMM Kesultanan Melayu serta rakyat Bumiputeranya, sehingga Kesultanan ISLAM/Melayu kita diTIPU si PENJAJAH KAPIRDAJAL Barat-ZIONIS utk. menandatangani perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 (melaksanakan juga strategi DAJAL Malayan Union 1946, dlm. bentuk lain, lihat di - www.khazanahbendaharaserimaharaja.com/sejarah-perjuangan-kemerdekaan-v.html , Sejarah Perjuangan Kemerdekaan V: Protes Melayu, UMNO & Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu)!

    PENIPUAN perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 ini, (sebenaqnya adalah pelansungan dari Malayan Union), yg. dipaksa oleh PENJAJAH British/ZIONIS ke atas Kesultanan Melayu serta rakyat BUMIPUTERA Islam/Melayunya, adalah utk. menghapuskan SEJARAH Tanah Melayu sbg. bumi ISLAM, termasuk dgn. menghapuskan terus KUASA EKSEKUTIF Kesultanan Melayu terutamanya berkaitan pemerintahan secara ISLAM, dan dlm. kuasa memberikan kerakyatan serta pemilikan tanah PUSAKA di bumi ISLAM kita (maka sebab itulah BERJUTA Pendatang Cina dan India diberi kerakyatan dan hakmilik tanah dgn. begitu mudah mengikut Perjanjian PENIPU ini, yg. berasaskan undg-undg DAJAL Malayan Union, si British-ZIONIS “jus soli” dlm. tahun 1946).

    Makcik Sambal Belacan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kami setuju dengan rasa tidak setuju Makcik.

      Ini merupakan siri-siri terawal penulisan yang akan mengkaji semula mitos bahawa negara kita ini pernah dijajah dan mendapat kemerdekaan daripada British. Sedangkan hakikatnya tidak.

      Artikel ini, dikongsikan di sini untuk membuka jalan kepada pengenalan awal tentang wujudnya perjanjian demi perjanjian yang dipaksakan berlaku dan ditandatangani secara penipuan ke atas Raja-Raja Kita, pemilik sebenar bumi Melayu yang merdeka semenjak zaman Srivijaya lagi.

      Cuma kesilapan kami ialah, kami tidak memasukkan komentar pandangan kami mengenai tujuan, pandangan kami mengenai artikel di atas dan siri-siri penulisan yang bakal menyusul bagi membongkarkan fakta bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah keseluruhannya.

      Artikel di atas, jelas menyatakan bahawa Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 ialah satu kesinambungan dari Malayan Union yang gagal sebelum itu.

      Sama seperti pendapat Makcik Sambal Belacan.

      Terima kasih atas teguran. Kami akan memperbaiki usaha ini dengan lebih baik pada masa hadapan.

      Teruskan membuat teguran positif, supaya laman ini menjadi lebih baik dari masa ke semasa.

      Delete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.