Melihat kepada asas pegangan mereka ini sahaja kita sudah cukup faham bahawa kelompok liberal ini menjadikan pegangan kepada agama dan pengaruh institusi agama sebagai musuh nyata dan sasaran serangan mereka. Ini jelas berlaku di negara ini terutama sejak bermulanya alaf baru. Kita tidak boleh melupakan bagaimana pasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diganyang lumat oleh kum­pulan liberal diketuai oleh sekelompok pejuang hak kebebasan yang menamakan diri mereka Sisters in Islam (SIS) melabelkan penguat kuasa JAWI sebagai penyangak agama (religious bigot) hanya kerana pasukan itu membuat serbuan ke atas sebuah kelab disko yang terletak bertentangan dengan tanah perkuburan Islam Jalan Ampang dengan tujuan untuk menyelamatkan umat Islam yang 'bermandi' arak pada satu malam tahun 2005.

Bahana keghairahan dan asakan pemikiran liberalisme ini turut disam­but dengan kemunculan golongan profesional yang turut menya­­lahgunakan nama Islam dalam pertubuhan mereka. Islam dikaitkan dengan rennaisance se­dangkan ia adalah suatu yang ter­pahat dalam perkembangan agama Kristian dan agak asing dengan Islam. Malang sekali lagi pengaruh pemikiran eksremis liberal ini berjaya menerjah ke dalam pemikiran mahasiswa yang turut terjebak dengan aliran politik baru negara. 

Sebuah parti politik yang suatu ketika dulu amat kuat mempertahankan keaslian dan keunggulan Islam juga turut terpengaruh dengan perkembangan pengaruh liberalisme hingga sanggup memecat seorang pemimpinnya yang cuba mengekang pengaruh liberalisme yang memperjuangkan hak kebebasan beragama bagi umat Islam termasuk hak untuk menjadi Kris­tian atau menukar agama. Semoga Allah mengampuni mereka dan mem­berikan hidayah untuk kembali kepa­­da ajaran Islam sejati menurut al-Quran dan Sunnah yang turut dikenali sebagai Ahlus Sun­nah Wal Jama’ah.

Terjebak
Persoalan pokok yang kita sedang hadapi pada hari ini adalah sejauh mana keberanian kerajaan bertindak secara serius terhadap pejuang ajaran sesat dan akidah songsang ini. Cukupkah sekadar melihat para mufti mengeluarkan fatwa? 

Bagaimana dengan pasukan penguat kuasa yang perlu membuat tindakan susulan setelah fatwa dikeluarkan? Hakikatnya terdapat pelbagai peruntukan dalam Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang boleh dikuatkuasakan untuk mengekang gerakan liberal yang merosakkan akidah umat Bahagian II enakmen berkenaan yang berkuat kuasa di semua negeri memberikan kuasa kepada pihak berkuasa agama untuk bertindak mengekang gerakan ekstremis liberalisme ini. Namun amat dike­sal­kan apabila pihak berkuasa aga­ma pula menjadi pak turut kepa­­da ahli-ahli politik yang terjebak dengan pemikiran sebegini. Mereka bertukar menjadi pengecut dan pak turut kepada ahli politik penganut fahaman liberalisme. Mereka tidak lagi merasakan naungan sultan sebagai ketua agama cukup untuk melindungi mereka bagi memastikan mereka mampu bertindak without fear and favour. Akhirnya pasukan ini dilihat hanya mampu menyerang artis berkhalwat tapi amat takut kepada gerakan liberal yang merosakkan akidah.

Berpuluh kepu­tusan mahkamah tertinggi negara yang berpihak kepada struktur institusi agama yang dilihat berkewajiban untuk memelihara keutuhan dan kesucian agama Islam sebagai agama negara dan agama negeri-negeri. Mahkamah Persekutuan pernah memutuskan dalam kes Lina Joy lawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, bahawa hak kebe­­basan beragama bagi umat Islam di nega­ra ini adalah ter­takluk kepada undang-undang Sya­riah yang sedang berkuat kuasa di se­mua negeri. Namun begitu tiada siapa pe­duli apabila SIS mengetuai pelbagai pertubuhan dan parti politik menggesa dihapuskan undang-undang kawalan moral berteraskan agama. Sedangkan Perlembagaan memartabatkan agama Islam seba­gai agama negara. Ini adalah penyanggahan yang nyata terhadap keluhuran Perlembagaan.

Ketua Hakim negara seka­­­­rang, Tun Arifin Zakaria juga pernah memutuskan baha­wa undang-undang yang memperkenalkan sistem tauliah dalam penga­ja­ran agama adalah sah di sisi Perlembagaan. Justeru penangkapan seorang anak bekas mufti kerana berceramah tanpa tauliah di Negeri Sembilan adalah sah. Malah beliau juga mengungkapkan: “Kami berpendapat ia perlu pada waktu dan zaman ini bagi pihak berkuasa mengawal selia pengajaran atau ceramah agama bagi mengawal, jika tidak menghapuskan ajaran sesat. Integriti agama perlu dilin­dungi dalam apa cara jua...dan inilah tujuan seksyen 53 enakmen.

“Perkara 128 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Mahkamah Persekutuan kuasa eksklusif bagi menentukan isu atau perkara dalam mengamalkan bidang kuasa asalnya. Mungkin, saya perlu nyatakan di sini bahawa keputusan mahkamah ini mengenai isu itu mengikat kepada semua mahkamah di negara ini termasuk mahkamah syariah,” kata Tun Arifin.

Penegasan Mahkamah Perse­kutuan tentang usaha memelihara integriti agama tidak boleh hanya dilihat untuk mengekang pence­ramah agama sahaja. Ia turut me­­liputi kelompok liberal yang merosakkan agama. Apa saja yang mereka ungkapkan tentang ajaran Islam jika bercanggah dengan hukum syarak tetap menjadi kesalahan dan perlu disiasat dan didakwa. Jika tidak, fatwa tingal fatwa, penguatkuasaan tiada. 

Begitu juga kita lihat bagaimana SIS dan rakan-rakan NGO bukan Islam mereka terang-terang menuntut dihapuskan undang-undang jena­yah Syariah yang berkuat kuasa di negeri-negeri, langsung tidak dipedulikan oleh pasukan pendakwaan negara. Akta Hasutan seolah-olah sudah mati walaupun belum dihapuskan.

Sudah tiba masanya untuk kerajaan merenung dan bertindak selaras dengan komitmen Ketua Utama Negara, Yang di-Pertuan Agong yang melafazkan sumpah atas nama Allah untuk memelihara agama Islam pada semua masa. Kewajipan melafazkan sumpah ini termaktub dalam Perkara 37 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan yang dilakukan hanya kerana Islam adalah agama negara. 

Kewajipan untuk memelihara kesucian agama Islam ini bukan hanya tanggungjawab majlis-majlis agama negeri, malah ia turut jadi kewajipan kenegaraan berasaskan keudukan Islam sebagai agama negara dan agama negeri-negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-Negeri.

n Penulis ialah Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)