Monday, 17 November 2014

Bangi Tolak Mabuk, Eropah Juga Semakin Tolak Mabuk

Belum lagi kebah demam Oktoberfest yang diraikan kaki botol-kaki botol negara, yang sesetengahnya terdiri daripada pemimpin masyarakat rendah moral. Orang-orang Muslim Malaysia ditegur lagi supaya menerima kepelbagaian negara dan bersikap tidak apa terhadap hidangan tidak halal, sama seperti ketika mereka mahu kita berlapang dada dengan hidangan wangi, enak dan menyelerakan Bak Kut Teh oleh pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee.

Dalam usaha umat Islam mencari keberkatan dengan mencari makanan Halalan Toyibban ketika menjamu selera dan dalam usaha umat Islam berusaha menjauhi yang haram dan ditegah, kita ditegur lagi, oleh yang bukan Islam supaya ‘bersederhana’ dan menerima hakikat bahawa tidak ada salahnya sekiranya, makanan tidak halal dihidangkan bersebelahan dengan makanan halal.

Baru-baru ini sebuah akhbar cauvinis yang hanya mengambil berat tentang hal kaumnya, sibuk ‘berdakwah’ supaya kita semua menerima dengan hati yang terbuka dengan hidangan tidak halal yang acapkali dihidangkan di satu pesta makanan.



Semuanya bermula apabila Laporan Ketua Audit Negara yang baharu dikeluarkan yang sedikit sebanyak mengkritik penganjur pesta makanan Fabolous Food 1Malaysia (FF1M), Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia, kerana tidak menghormati sensitiviti agama apabila gagal mengasingkan gerai-gerai makanan halal dengan makanan tidak halal.

Tentunya program yang diadakan oleh kementerian tersebut perlu lebih sensitif dengan semua pengunjung dan laporan tersebut antara lain mencadangkan supaya hidangan halal ditingkat lagi sehingga 70% daripada keseluruhan hidangan yang dihidangkan. Cadangan tersebut merupakan satu cadangan yang baik dan amalan sebegini jika pun belum dimulakan lagi, haruslah menjadi ketetapan pesta makanan antarabangsa tersebut selari dengan semangat Islam sebagai Agama Persekutuan dalam perlembagaan negara.

Lalu timbul suara-suara sumbang yang mendakwa kononnya laporan tersebut sepatutnya fokus kepada cara wang kerajaan digunakan untuk penganjuran acara tersebut dan bukannya memberi lain-lain cadangan. Laporan tersebut juga dituduh cuba untuk mempromosi singularisme dan ada yang bersuara kononnya pesta makanan seperti itu tidak patut dilibatkan unsur-unsur keagamaan dan sebagainya. Kritik tersebut sememangnya keterlaluan namun itulah realiti pemikiran sesetengah daripada mereka yang bencikan Islam dan cara hidup orang-orang Muslim.

Lalu kita semua harus menyokong dengan jitu akan kumpulan yang membantah penjualan arak di Bangi. Sebuah pertubuhan yang bergelar Sekretariat Badan Bertindak Bantah Arak menyatakan dengan keras bahawa mereka yang memilih untuk tinggal di Bangi kerana tidak pernah minum arak dan mengamalkan hidup mengikut cara Al-Quran dan sunnah.

Sekretariat tersebut yang dianggotai lebih daripada 40 ngo-ngo di sekitar Bangi cuba membantah permohonan lessen sebuah pasaraya yang terletak di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi atas alasan yang lebih 90% mereka yang tinggal di Bangi terdiri daripada orang Islam.

Sudah sampai masanya ini berlaku. Setelah hampir 60 tahun merdeka, umat Islam di Malaysia masih kurang mengambil langkah pro aktif seperti kumpulan ini. Kita sering terbaca notis untuk menjual minuman keras yang dipohon di kawasan-kawasan tertentu tetapi ramai yang tidak tahu bahawa mereka berhak membantah. Jadi apa yang digerakkan umat Islam di Bangi adalah sesuatu yang sangat baik dan boleh dijadikan sebagai teladan (dan modul) dalam usaha supaya kita semua, yang bencikan arak dan Oktoberfest contohnya, memilih untuk menegah dan menyekat budaya tidak sihat tersebut daripada mula bercambah di kawasan perumahan kita dan mempengaruhi anak cucu kita.

Anak cucu kita berhak membesar dengan cara Islami yang menyeluruh tanpa dipengaruhi oleh elemen-elemen tidak sihat seperti arak dan ketagihan alkohol. Sesungguhnya permasalahan penyakit sosial dalam masyarakat harus ditegah sedari awal pada peringkat akar umbi. Dan apa yang dibuat oleh Sekretariat Badan Bertindak Bantah Arak itu tepat dan kena pada masanya. Mencegah sememangnya adalah lebih baik daripada mengubati.

Dalam usaha bantahan terhadap mereka juga kumpulan tersebut  menyarankan supaya semua surau dan masjid di sekitar Bangi untuk mengadakan solat hajat mendoakan supaya bantahan mereka berjaya. Sekretariat tersebut yang dilaporkan telah mendapat hampir 18 ribu respon atas talian bagi inisiatif ‘Petisyen Bantahan Penjualan Arak’, juga akan berarak beramai-ramai ke Pejabat Daerah berdekatan bagi menghantar notis bantahan terhadap permohonan pasaraya besar tersebut.

Di Eropah masyarakatnya dilihat semakin cuba menjauhi minuman dengan kandungan yang memabukkan. Walaupun beer adalah satu kebiasaan dalam kehidupan seharian mereka, terdapat trend yang baru wujud kini di Eropah yang menunjukkan pasaran beer tanpa alkohol sedang mendapat sambutan.

Tetapi di sini, beer walaupun tanpa kandungan alkohol yang memabukkan, harus dielakkan daripada dijual secara terbuka terutamanya di kawasan penempatan melibatkan umat Islam dalam jumlah yang ramai.

Kita faham, al Quran mengajar kita melalui 3 ayat yang diturunkan mengenai arak. Ayat pertama mengajak golongan yang berfikir supaya menjauhinya, kerana keburukannya melebihi kebaikannya yang sedikit. Ayat kedua yang turun mengenai minuman memabukkan ini ialah supaya  umat Islam pada ketika itu menjauhkan diri dari keadaan mabuk sebelum menunaikan solat. Dan akhir sekali turun ayat pengharaman total minuman yang memabukkan.

KIta faham daripada cara ayat-ayat ini diturunkan, Allah mengajar manusia sejak dari awal dalam hal minuman yang memabukkan ini supaya cuba menjauhinya walaupun dipromosikan bahawa ia mempunyai serba sedikit kebaikan. Ini kerana Allah mengajar kita supaya melihat keburukannya yang lebih besar.

Beer walaupun dikategorikan sebagai halal, tidak mempunyai kandungan alkohol, harus dielakkan. Kita faham benar dengan modus operandi untuk mencairkan rasa takut umat Islam untuk menghampiri yang haram. Lalu dibiasakan mereka dengan dengan permainan persepsi bahawa beer yang diminum itu ialah beer yang halal. Lama kelamaan akan cairlah sikap berhati-hati umat Islam dengan perkara memabukkan sedemikian rupa. Begitu juga dengan pesta gomol anjing sebelum ini dan kes Bah Kut Halal. Semuanya cuba mencairkan sikap berhati-hati umat Islam dengan perkara-perkara yang Allah haramkan.

Kita tidak menggalakkan umat Islam untuk mencubanya. 

Orang Eropah walaupun bukan disebabkan oleh kekangan agama, memilih untuk bertukar kepada amalan yang lebih sihat, yakni beer zero alkohol. Tren ini, seperti juga gaya pemakaian fesyen modest dan sopan yang semakin popular di bandar-bandar besar di seluruh dunia, kini semakin mendapat tempat. Seharusnya pemuja budaya barat dikalangan umat bukan Islam di Malaysia mengambil iktibar dari tren yang semakin hari semakin menuju cara hidup yang lebih Islamik yang sedang berlaku di Eropah dan Barat.

Mungkin juga kerajaan melalui kementerian-kementerian yang berkaitan boleh memulakan langkah awal untuk mengekang penularan jumlah kaki botol dalam negara supaya warga Malaysia sihat siaga hendaknya. Sesetengah daripada segmen masyarakat kita tidak dapat bangun untuk membantu diri sendiri dan keluarga apabila terperangkap dengan putaran kemiskinan yang diburukkan lagi dengan sindrom kaki botol tegar. Golongan ini amat memerlukan bantuan tuntas daripada badan-badan kerajaan.

Dan langkah pertama yang boleh dibuat oleh kerajaan kita haruslah bermula dengan menyahut seruan orang-orang Bangi yang tidak mahukan arak!


Dan untuk para pembaca yang budiman kita semua boleh menyokong petisyen tersebut dengan hanya memasukkan nama dan emel anda, di sini http://goo.gl/IDI1My.  

2 comments:

  1. Biarlah orang kapir nak mabok ke, nak mamposs ke. Kita jaga anak cucu kita dahh> Lagi cepat dieorang mampos, lagi aman dunia.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Klu diorang mabuk x menyusahkan org lain, x apa tuan Hamba Allah. Diorang mabuk membahayakan juga anak cucu kita nanti. Sebab itu kita tentang habis habisan.

      Delete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.