Friday, 24 October 2014

Perutusan Tahun Baru 1436 Hijrah Oleh Pengerusi PEMBELA



BismiLLAH, walhamduliLLAH, wassolatu wassalamu 'ala rasuliLLAH wa 'ala aalihi wasohbihi wasallam.

Hijrah bukan semata-mata satu peristiwa. Hijrah ar-Rasul SAW adalah kesinambungan kepada perjuangan tauhid yang bersifat istiqomah yang ditunjukkan baginda SAW.

Setiap tahun negara meraikan sambutan tukar taqwim baru ini. Sudah puluhan tema-tema yang indah bertukar ganti.

Meskipun Islam menjadi agama kepada negara ini dan PEMBELA juga terlibat malah sentiasa berada di saf paling hadapan dalam mempertahankan Islam sebagai agama bagi negara kita ini, namun kita dapat melihat bagaimana umat Islam masih ketandusan gaya hidup Islam, gaya hidup berasaskan tauhid yang menjadi asas utama berlakunya hijrah ke atas nabi saw dan para sahabat baginda radhiaLLAHu 'anhum ajma'in.

Negara masih lagi panas dengan isu pesta arak dan pesta memeluk najis mughallazoh. Sekaligus mencerminkan betapa masih ramai umat Islam yang masih dangkal ilmu dalam bab thoharah, ilmu-ilmu yang seharusnya menjadi asas yang difahami dengan jelas oleh umat Islam.

Tetapi, kelemahan ini tidak boleh dipaksakan beban tanggungjawabnya ke atas umat Islam yang terkepung dengan sistem pendidikan sedia ada semata-mata.

Segala kelemahan ini tidak dirasakan dengan ketara kerana kesedaran tentang masalah ini tidak dirasakan sebagai sesuatu yang terlalu mendesak oleh kepimpinan negara.

Untuk mengubati tragedi akidah dan permasalahan kefahaman Islam oleh umat Islam ini, segalanya sudah pasti mesti dimulakan oleh kepemimpinan negara terlebih dahulu.

Jangan pula menjadi seperti ketam yang nak mengajar anaknya berjalan betul. Pemimpin mesti mula menunjukkan tauladan agar rakyat boleh mengikutinya. Sebagai contoh, bermewah-mewah atau membazir dalam membelanjakan wang rakyat. Berbelanja untuk perkara-perkara yang tidak mencerminkan sebagai seorang yang benar-benar bertaqwa kepada ALLAH.

Perubahan mesti dibuat segera demi mencari redho ALLAH. Sejauh mana pula pemimpin berusaha untuk mencapai redho ALLAH melalui usaha meminimakan maksiat dan kemungkaran dalam urusan pentadbiran, majlis-majlis rasmi kerajaan, keraian-keraian, perayaan-perayaan, pendek kata dalam semua urusan pentadbiran kerajaan? Sudahkah benar-benar telah kepimpinan negara berhijrah ke arah yang lebih baik, cekap dan ke arah jalan yajg diredhai Allah?

Rakyat hanya dahagakan gaya hidup Islam. Tanyakanlah kepada sesiapa sahaja. Walaupun rakyat negara ini majmuk namun gaya hidup Islam yang sempurna tetap boleh dijadikan ikutan.

Nabi s.a.w. sewaktu mentadbir negara al-Madinah, baginda mentadbir seratus peratus secara Islam dan terbukti rakyat negara al-Madinah yang lebih majmuk dari negara ini boleh mengikutinya.

Para pemimpin negara ini mesti meyakini bahawa Islam sememangnya rahmatan lil 'aalamin. Justeru bersempena dengan kedatangan tahun 1436 hijriyah ini, kami dengan rasa rendah diri mengajak para pemimpin yang sedang menerajui negara ini agar menganggap tahun 1436 hijriyah ini sebagai tahun terakhir untuk mereka berkesempatan untuk melakukan penghijrahan kepada Islam yang syumul. Tanpa merasakan masa yang sudah semakin suntuk, mana mungkin kepimpinan tahu bahawa seluruh negara dan umat yang berada di dalamnya sedang berada di dalam kerugian.

Usah menangguhkannya lagi kerana kemungkinan besar kita sudah tiada di bumi ini pada tahun 1437 hijriyah nanti. Atau kalau kita dilanjutkan usia oleh ALLAH pun belum tentu kita masih menjadi pemerintah. Berhijrahlah sekarang sebelum segala-galanya terlambat. Saya begitu yakin bahawa rakyat pasti akan mengikut pemimpin-pemimpin yang sanggup melakukan perubahan ke arah kebaikan yang diredhai Allah dalam kepimpinan mereka.

Salam Ma'al Hijrah dan selamat menyambut awal Muharram 1436H.



Mohamed Hafiz Mohamed Nordin
Pengerusi
Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam
(PEMBELA)

1 comments:

  1. Sya brstuju dgn prutusn maal hijrah pmbela yg trtumpu kpd semua kta umat islam hndklah muhasabh diri msing2 sudh kah kta bnar2 brhijrah untk mndpt kredoan Allah atau mcmna. Mmng bnr pmimpin adalah yg prlu mmbuat pnghijrahan dlm smua aspek pntadbirn yng brasaskn syariat islam dgn mngenepikn sistem2 ala barat yg mmng mnyelewng dgn aqidah islam. Contohlah sprti apa yg Nabi saw mmrintah ngara islam Madinah dn insyaAllah prtolong Allah kta kcapi dunia akhirat.

    ReplyDelete

Bangkit! percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan al Qur'an dan As Sunnah, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara.

Pihak kami tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang komen yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukunegara dan Undang-Undang Negara. Sila pastikan setiap komen yang dibuat mengambilkira semua aspek ini supaya keharmonian hidup bermasyarakat secara bertamadun dapat dinikmati secara bersama.